Monday, January 20, 2014

Menulis Itu Kerja Yang Sederhana


Katanya, begitulah.

Menulis adalah kerja yang sederhana, tetapi impaknya luar biasa. Menulis bukan kerja main-main. Bukan sekadar cecehan harian atau bercerita tentang si polan dan si polan, kemudian tamat. Bukan. Menulis juga bukan untuk menunjukkan label-label tertentu pada penulisnya. Cukuplah kebenaran dan manfaat yang dibawa melalui tulisan.

Katanya lagi, menulis ialah satu kerja yang luar biasa hebat - gabungan tenaga batiniah dan lahiriah. gabungan pemikiran dan kekuatan fizikal. Gabungan rasa - pancaindera yang lima (enam).

Tidak semua orang mampu menulis dengan baik walaupun berbakat besar dan menjalani latihan-latihan penulisan kerana yang namanya penulisan itu, tidak sahaja memerlukan kepakaran menulis tetapi juga kepakaran menjalani kehidupan bermasyarakatnya - Bukankah penulis itu menulis untuk masyarat? Menulis untuk dibaca oleh banyak orang?

Dan ia bukan satu kerja yang kecil, tetapi besar dalam kesederhanaan sikap dan sifat penulisnya.

Penulis yang benar juga tidak akan menunjukkan sikapnya secara jelas berada di pihak mana (politik), kerana penulis yang benar akan membawa kebenaran tanpa meletakkan diri pada mana-mana bahagian sudut bumi.

Penulis seperti bintang - penunjuk arah kepada mereka yang kesesatan.

Tidak pula menjadi bintang yang bersinar sepanjang malam, yang tinggi di dada langit kelam, tetapi tiada fungsi kepada alam.

Jangan angkuh sangat dong!

 ****

Tahun ini, 2014, saya seolah-olah memulakan kembali kerja-kerja penulisan yang tertangguh beberapa lama. Tentang novel yang masih tersangkut akibat beberapa kekangan - saya tarik balik hak penerbitan dari syarikat yang telah dipersetujui sebelum ini. Dan sekarang novel itu dalam pertimbangan dan penambahbaikan. Ruang banyak, cuma saya perlu memilih lebih berhati-hati. Pengalaman akan selalu mengajar kita.

Tahun ini juga ada beberapa projek persendirian yang akan saya buat. E-book dan projek penerbitan indie dengan seorang kawan baik. Insya Allah. Saya berharap momentum dan sinergi yang dilaksanakan akan membuahkan hasil.

Sudah penat melihat orang lain mengutip dan menikmati 'buah' dari pohon yang mereka tanam.

Untuk berhadapan dengan 2014 yang mencabar (bagi saya) - banyak perkara akan saya lakukan. Lebih baca membaca buku pelbagai genre, dan mengikuti beberapa latihan kemahiran, dalam bidang perbukuan dan juga ... oh, saya sudah mula bersungguh tentang lukisan. Saya akan mula belajar melukis yang saya kira aliran tenaganya sama seperti penulisan.

****

Melalui bulan ke 10 sebagai editor. Semakin banyak ruang dan peluang yang saya lihat bukan sahaja untuk penulis tetapi juga untuk diri sendiri. Memiliki lingkungan kawan-kawan yang menginspirasikan membantu banyak hal tumbuh dengan subur dalam perjalanan hidup saya.

Dan berada di dalam ruang dan dunia perbukuan memperlihatkan banyak corak penulis dan penulisan. Bukan sahaja hasil karya tetapi sikap dan sifat penulis itu sendiri. Dan saya seperti biasa, mula membuat kajian peribadi mengenai sosiobudaya dan pemikiran penulis-penulis ini.

Banyak sikap yang perlu ditangani - ah ... akhirnya saya sedar, manusia tetaplah manusia dengan sikap dan sifat tertentu walau apapun kerjaya yang melatari kehidupan mereka.

Untuk penulis, yang kita semua tahu - seorang 'genius' yang berkongsi cerita dengan cara kreatif, saya tetap memulangkan kepada fitrah kemanusiaannya. Betapapun, siapa penulis itu, berapa banyak karyanya - yang akan tertinggal dan tumbuh dalam pemikiran masyarakat pembacanya ialah sikap dan sifatnya - selain karyanya yang menggugah.

Penulis tetap manusia biasa. Masih ada cabang-cabang sosialnya yang perlu diperbaiki - terutama dalam hal perjuangan penulisan.Menegakkan karya sendiri, dengan tidak menjatuhkan karya orang lain. Juga sifat-sifat halus dan kasarnya dalam menangani proses penerbitan karyanya di tangan editor.

Dan semua ini akan dirakam dalam bentuk catatan yang maha dalam oleh saya, sebagai rakaman zaman - bagaimana manusia yang bernama penulis itu melakari kehidupan masyarakat pembacanya.



Friday, January 10, 2014

SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH



Selepas sebuah penyerahan amanah - SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH.

Saya tidak terlibat secara langsung dengan proses-proses yang berkaitan dengan sayembara ini keraa ketika itu saya masih belum berkhidmat dengan ITBM. Malah, sebenarnya saya berhasrat mahu menghantar sebuah dua karya untuk dipertandingkan. Namun, keadaan yang kurang membantu - ketika itu mengandungkan Umar dan melahirkan ... maka saya hanya melihat sayembara ini berlalu sehingga tarikh akhirnya. Tiada rezeki (kalau sempat pun entah menang entah tidak .. ha ha ha)

Bercakap mengenai sayembara yang dikatakan menawarkan hadiah yang agak lumayan  dalam dunia penulisan, tidak dinafikan banyak proses yang terlibat, dan banyak pula hal-hal yang menghambat.

Ketika saya mula berkhidmat (11 Mac 2013), rakan-rakan editor yang lain sedang bertungkus-lumus menyiapkan buku ini dan berurusan dengan pemenang-pemenangnya. Ia agak sukar apabila ITBM yang baru pertama kali menganjurkan sayembara, dengan kakitangannya yang ramai, dan dengan kepakaran yang terhad (sukar untuk menjaga P&C keputusan sayembara), tidak seperti mana-mana syarikat penerbitan yang lain - seperti Utusan Publication misalnya yang gah dengan Hadiah Sastera Karya Utusan Exxon Mobile (lebih kurang berlangsung ke tahun yang ke 25 jika tak silap).

Terjadi juga kebocoran rahsia, tetapi segera ditangani. Dan proses menerbitkan buku pun berjalan dengan lancar sehinggalah ke hari pengumuman pemenang berlangsung. Saya dapat lihat debaran di wajah pemenang-pememang yang tidak diberitahu sehingga ke sat akhir kedudukan mereka di tempat ke berapa. Ia satu momen yang indah bagi penganjur acara.

Sebanyak 30 karya telah dipilih daripada sekian 5** karya yang dihantar dan dinilai. Dengan kepakaran dan kredibiliti yang ada, penilai, editor dan seterusnya penerbit, berusaha menghadirkan impian penulis dalam bentuk anugerah dan buku (yang cantik).

Tahniah kepada semua pemenang. Jadikan anugerah ini sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya dengan lebih baik dan saksama. Membantu rakan-rakan penulis yang lain untuk tidak berputus asa kerana masih banyak pertandingan menulis diadakan dalam arena perbukuan demi meningkatkan semangat dan menghargai 'buah fikir' penulis selama ini. Kepada yang gagal, karya anda bukan tidak bagus, cuma belum masanya ia diangkat ke dalam masyarakat.

Kami hanya menjalankan amanah, dan bukan penentu nasib penulis. Penulislah yang menentukan hala tuju mereka dalam dunia penulisan ini. teruskan berkarya. Dan kami sedia membantu.

Terima kasih juga kepada PENA selaku badan persatuan yang banyak membantu kami meletakkan kualiti di tingkat teratas. Juga Berita Harian sebagai penganjur bersama (media), yang banyak membuat liputan dan mengangkat nilai sastera dan buku di mata masyarakat.

Saya berharap sayembara ini diteruskan dengan kerjasama lebih banyak pihak, secara konsisten (seperti HSKU), dan berprestij. Ini salah satu cara yang baik mengangkat sastera dan buku ke takah yang lebih bermaruah.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil) 
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N

Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
• Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
• Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
• Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
• Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
• Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
• Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)





TAHNIAH KEPADA PARA PEMENANG!

Friday, January 03, 2014

Pagi. Dan Yang pergi.




AL-FATIHAH (1934-2014)

Suhaimi Haji Muhammad

WUJUD POHON DARI KATA

Wujud pohon dari kata, akar menyusun kata
ranting mengalirkan kata, bunga-bungapun
menjunjung kata, hingga batang berteraskan
kata, apapun yang ada di sana mengalunkan
kata, apapun yang ada di sana zatnya kata

Burung-burung di dahan berkicauan kata
darahnya dari kata, dagingnya dari kata,
bulunya mengalunkan kata, sayapnya terbang
sambil mengalunkan kata-kata yang tidak
habis-habis dialunkan, kata yang kembara
sepanjang jalan sepanjang pantai, kata
yang akan kembali kepada sangkar

Pohon, burung-burung, dan semua yang ada
di dataran ini menerbangkan kata—tanda
rindu, tanda duka, tanda cinta, dari darah
darah yang tercipta dari kata—melalui
lapis-lapis alam yang terdiri dari kata yang mengalunkan
kata hingga ke sumber.




Sepagi-pagi ... berita yang sukar untuk saya terima ialah kehilangan orang-orang yang dikenali - juga tak dikenali. Seorang penyair yang saya kagumi, Suhaimi Haji Muhammad, telah pergi menemui Allah. Betapa, saya masih menyimpan hasrat untuk bertemu dengan penyair nan satu ini dan berharap dapat menangani puisi-puisinya jika beliau menghantar naskhah tulisannya di ITBM. Akan saya tanyakan setiap baris dan bait kata-kata dalam puisinya yang seringkali memberi makna yang bercabang dan berakar-akar dalam fikiran.

Tiada rezeki saya untuk menyelongkar puisinya lewat perbualan terus dengan penulisnya. Damailah tuan di sana. Hanya doa mampu saya titipkan agar segala tulisan tuan semasa hayat menjadi bekal pahala yang bermanfaat. 




Thursday, January 02, 2014

Yang Tertulis, Yang Tertinggal.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”
Pramoedya Ananta Toer
“Nuun.Demi pena dan apa yang mereka tulis.”  (al-Qalam : 1)

*******

Saya terkesan. Amat. Tentang pemergian artis Indonesia yang satu ini. Aden. Aden Edcoustic yang amat popular dengan lagu-lagu dakwahnya. Malahan, saya juga selalu menelusuri blog peribadinya serta mengikuti status-status facebook Allahyarham.

Alangkah, hidup ini terlalu singkap dan boleh terhenti bila-bila masa sahaja. Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah sosok Aden sebagai seorang pencatat rasa di blognya http://adenlife.com/ yang memberi banyak inspirasi kepada ramai orang. Dengan gaya bahasa santai tetapi tetap terjaga patah perkataan dan bahasanya, Aden dilihat sebagai seorang pendakwah yang bagus. Bukankah Islam itu indah dan sukakan keindahan. Barangkali kerana Allahyarham seorang artis, seorang penulis lirik lagu maka bahasa yang digunakan juga baik-baik sahaja. 

Aden telah pergi meninggalkan dunia. Aden membawa sekali pemikiran dan bakatnya. Dunia lagu-lagu dakwah akan sedikit  'bolong' tanpa sentuhan kreatif Aden. Malahan, saya tidak pasti novel beliau yang pernah dikongsikan di blognya telah siap atau belum. 

Aden telah pergi meninggalkan Muhasabah Cinta, Nantikanku di Batas Waktu, Aku Ingin Mencintaimu dan banyak lagi yang selalu membawa saya ke dalam diri. Malahan, lagu yang ditulisnya Ketika Cinta Bertasbih juga sangat popular selari dengan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang merupakan sebuah filem yang sangat bagus dalam memperlihatkan Islam yang indah.



Yang tertinggal, itulah -  hasil pemikiran dan tulisannya, yang saya doakan menjadi bekal paling bermakna buat Allahyarham di sana.


Al-FATIHAH
*****

 Merenung diri sendiri, entah apa yang telah saya sumbangkan dalam penulisan malahan, adakah tulisan-tulisan itu mampu membantu saya kelak?

Juga merenung buku-buku dan tulisan yang ada di dunia hari ini - penulisnya mati, tetapi tulisannya tak akan mati. Melekat dalam diri dan jiwa mereka yang membacanya. Jika baik tulisan itu, maka baiklah balasannya. Insya Allah.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...