Tuesday, October 14, 2014

Buku dan Tangan-tangan Manusia






Seronokkah jadi editor? Tanya adik-adik yang membuat praktikal di jabatan saya.

Roti pisang tidak sesedap mana tanpa cinta (dan passion) untuk menikmatinya. Begitu juga pekerjaan. Apapun pekerjaan pasti seronok (dan disertakan tanggungjawab yang pelbagai), asalkan kita menanam rasa cinta  dalam melaksanakannya.

Editor mungkin berbeza bagi penerbitan yang berbeza. Bergantung kepada cakupan, gerak kerja dan sasaran serta objektif. Editor ada banyak jenis - editor perolehan yang kerjanya mencari manuskrip baharu atau membina judul baharu untuk penulis. Editor penyuntingan pula melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada manuskrip. Dan banyak lagi bergantung kepada gerak kerja sesebuah manuskrip.

Untuk sesebuah buku, banyak proses akan berlaku dan ia memerlukan kerjasama erat daripada pihak-pihak yang terlibat. Tidak kiralah mahu berperang atau bertekak dengan pembaca pruf, penyemak teknikal, pereka atur huruf, pereka desain kulit buku dan sebagainya, untuk mempertahankan atau membuang sesuatu, paling penting buku kena siap dan cantik menjadi buku yang diimpikan oleh penulis dan penerbit.

Malahan dalam masa yang sama penulis juga memainkan peranan dalam proses-proses yang dilakukan. Karya adalah hak penulis. Editor ada batasannya dalam menangani karya dan penulis juga ada batasannya dalam hal menentukan konsep atau kehendak.

Pendek kata, buku bukanlah satu produk yang dikeluarkan dengan mudah. Selain material, tenaga dan otak manusia yang terlibat juga banyak.

Paling penting, hal-hal berkaitan buku perlu ditangani oleh orang yang tepat- yang memahami aspirasi buku, mencintai buku dan faham keseluruhan kewujudan buku untuk pembaca dan masyarakatnya.

Tanggungjawab editor, memastikan ia hadir dalam bentuk yang paling indah dan bermanfaat.

Seronok kan?

Tetapi ada pula orang yang seronok menjadi virus dalam dunia buku. Menjadi penulis, menjadi editor dan penerbit serta menjadi pembaca yang zalim kepada keseluruhan pembinaan moraliti masyarakat dengan menghasilkan bahan bacaan LUCAH dan CABUL.

Saya masih memikir-mikir, jenis manusia apakah yang sanggup menabur nila dalam seperiuk susu yang bermanfaat. Si bacul manakah yang berselindung di sebalik nama pena, editor dan penerbit di sebalik tabir serta pembaca psiko yang mempertahankan bacaan perosak jiwa begini.

Terbuka?
Rebel?
Anti-agama?

Label apa pun, berbalik kepada asasnya - menulis untuk apa dan kesan menulis kepada diri sendiri dan masyarakat.

Itu juga tanggungjawab editor dan penerbit. Penulis dan pembaca. Kitaran ini tidak pernah terputus.

Jadi, mana mungkin engkau berkata tentang hak!




Monday, October 13, 2014

CABUL vs BACUL

Hak penulis ialah menulis. Hak pembaca setakat beli atau tidak. Setuju atau tidak, ada rencananya.

Apabila diperkenalkan dengan istilah 'novel cabul' beberapa tahun dahulu (ketika mengikuti kelas teknik Surah Yusuf oleh Puan Ainon Mohd), saya sekadar merasakan peranan saya sebagai penulis (kononnya), sekadar menghasilkan bahan bacaan yang tidak melanggar syariah dari aspek cerita mahupun setiap patah perkataan yang digunakan.

Melalui teknik tersebut, kami diajar memilih perkataan dan menggunakan ayat (showing) yang tepat dan patuh syariah. Kagum. Tentulah saya kagum kerana teknik tersebut merupakan satu-satunya teknik yang boleh mendidik penulis berhati-hati dengan setiap baris ayat dan setiap babak yang dituliskan. Apatah lagi teknik ini menggunakan surah Yusuf yang dikenali di dalam al-Quran sebagai sebuah kisah paling indah. Nyata, setelah meneliti surah itu sendiri, saya sedar, Quran adalah sebaik-baik panduan dalam apa jua bidang dan urusan harian manusia.

Bagaimana dalam kisah Yusuf yang diceritakan melalui surah ini, digambarkan perlakuan jelik Zulaikha, isteri pembesar yang tergila-gilakan Yusuf. Yusuf juga digambarkan terlalu indah ciptaannya sehingga terpotong jari mereka yang memandangnya. Dan pelbagai babak lagi yang melengkapi sebuah kisah seorang nabi dalam melakari kehidupannya.

Inilah kisah terindah kerana menggunakan gaya bahasa paling indah dan sempurna dalam menyampaikan cerita. Tidak perlu menjelaskan secara terperinci 'kegatalan' Zulaikha yang asyik masyuk kepada Yusuf. Cukup sekadar menggambarkan perlakuan-perlakuan Zulaikha dengan ayat yang sederhana dan tidak memaksa pembaca berimaginasi liar.

Itu kisah teknik Surah Yusuf yang saya fahami dan mula mengerti tentang kehebatan Quran sebagai panduan asas kepada penulis.

Hari ini, ketika ini saya dikecam kerana membanteras novel lucah atau cabul yang semakin berani menapaki pasaran buku dengan teknik penipuan yang licik. Bersama-sama sekumpulan rakan penulis dan penggiat buku serta pembaca yang mahukan hal ini dibanteras, maka saya tanpa takut atau gentar memulakan operasi mengenalpasti bahan-bahan lucah yang semakin 'daring' dipasaran.

Berperingkat-peringkat, satu demi satu hal muncul. Sedari penulis yang menulis, editor yang mengedit, penerbit yang menerbit serta pembaca yang membaca.

Mungkin, dilihat ini kerosakan moral yang dihadapi oleh penulisnya sehingga sanggup dan tega menulis sesuatu yang amat jijik untuk dibaca. Apatah lagi sasarannya remaja yang masih bersekolah. Apabila diselami lagi, kerosakan ini berpunca juga daripada penerbit yang memang mahukan bahan begini ditulis. Jika tiada penerbit, manakan mungkin penulis berani menulis begini.

Kesal. Apabila niat yang baik ini dikecam oleh peminat novel berkenaan. Dengan angkuh mereka berkata, "Ini hak penulis. Ini hak pembaca."

Ya, hak mereka menulis. Hak pembaca (gila) yang sanggup baca dan beli malah mempertahankan kecabulan ini.

Di mana pula hak pembaca yang tertipu oleh santun dan manisnya kulit depan buku yang kelihatan suci bersih siap dengan tagline berunsur Islamik?

Di mana pula hak ibu bapa yang tertipu kerana menyangka buku berkenaan baik-baik sahaja?

Di mana pula hak masyarakat yang terkena kesan daripada pembacaan hal-hal cabul tersebut.

Masih, penggiat bahan cabul mempertahankan hak mereka malah mengecam dan mahu menyaman kami.

Siapa yang CABUL di sini? Sungguh, mereka itulah yang BACUL.

*Panas juga apabila aliran indie mula bersuara. Memang, kami maksudkan juga buku-buku indie. Ini bukan menyekat kebebasan berkarya. Tulislah cerita apapun. Syaratnya, jangan keterlaluan melacurkan industri buku.






Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...