Monday, February 29, 2016

Di Sebalik: Hero vs Villain



Semalam, semasa menikmati nasi ayam di sebuah kedai makan bersama anak-anak, saya dikejutkan dengan suara seorang bapa yang memanggil nama anaknya berulang-ulang sehingga nadanya menjadi sedikit keras dan keras.

Beliau meminta anak-anaknya yang berusia lebih kurang 6 tahun dan 3 tahun (kedua-duanya perempuan), untuk memandang ke arahnya yang sedang memegang telefon bimbit. Beliau meminta anak-anaknya 'fokus' kepadanya untuk diambil gambar. Anak-anak kecil itu masih bergerak dan tak fokus. Si bapa bersuara lagi, "Dalili ... pandang ayah!" dengan suara yang kuat.

Begitulah.

Mungkin sebentar lagi rakan-rakannya akan memberi like yang banyak serta komen muluk tentang comelnya anak-anak itu melalui gambar yang terpapar di FB atau Twitternya tanpa mengetahui terlukanya anak dipaksa-paksa dan dijerit-jerit begitu di hadapan khalayak realiti.


*******

Saya selalu menerima pujian daripada penulis mahupun pembaca tentang buku yang saya tangani. Alhamdulillah, saya harap pujian itu berkekalan, dengan tidak menafikan ada juga buku yang saya tangani, tidak memuaskan hati penulis mahupun pembaca.

Tidak lupa juga, mereka selalu bertanya, proses di sebalik manuskrip itu menjadi buku fizikal. 

Ada yang saya suka bercerita. Dan ada juga yang saya diamkan sahaja. 

Tidak mengapa, jika buku dipuji, menang anugerah dan sebagainya, tidak disebut pun nama editor yang mengerjakan naskhah itu - dengan lelahnya (jika manuskrip memang teruk) atau mungkin juga tidak disebut kerana editor itu tidak melakukan tugasnya dengan baik.

Ada buku, yang terhasil dengan hero di sebaliknya.

Ada juga buku yang terhasil akibat sifat 'villain' penerbitnya. 

******

Dalam banyak hal juga, tak ramai yang mahu ambil tahu, atau memang tak tahu 'hero' atau 'villain' yang menjadi penyebab sesuatu itu berlaku.

Senyum - di sebaliknya ada duka yang bertampuk.

Senyum, di sebaliknya ada seseorang atau sesuatu yang mendorong. 

Biarlah cerita itu berada di belakang tabir hingga suatu masa, ia akan diketahui juga.

Monday, February 15, 2016

International Book Giving Day 2016


Lihat, saya dapat apa? Yeayyyyy

Ia berlaku semalam. 14 Februari 2016.

Seperti yang ditunggu-tunggu hari yang dimaksudkan menjelma. Saya yang beberapa hari sebelum itu termenung panjang dan memikirkan hal ini sedalam-dalamnya, akhirnya membuat keputusan untuk mengeluarkan buku-buku terbaik dalam simpanan saya, untuk dihadiahkan kepada dua orang rakan yang akan 'mengopi' bersama-sama saya kelak.

Ia sesuatu yang sukar. Saya seorang yang agak berkira tentang buku. Kerana kebanyakan buku yang saya sayangi, dibeli sedikit demi sedikit melalui peruntukan gaji, dan juga pemberian daripada orang lain. Oleh kerana saya bukan jenis mencatat tarikh pembelian dan penerimaan di mana-mana bahagian buku (ya, kawan saya ada buat. Catat tarikh penerimaan buku), maka, saya terpaksa meluangkan banyak masa di hadapan rak buku di rumah, di meja kerja di rumah dan juga rak serta himpunan buku di pejabat.

Akhirnya, beberapa buah buku saya kumpulkan. Ada orang mesej, banyaknya beri buku pada orang. Saya kata, yang saya nak jumpa ini kawan-kawan yang istimewa bagi saya, yang saya harap melalui pertemuan ini, bukan sahaja saya mendapat pengalaman manis mengopi bersama mereka, tetapi juga berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang kepakaran masing-masing.

Tiba di Hospital Ampang Puteri, saya menunggu di kerusi tetamu bahagian lobi. Aroma kopi menusuk rasa. Belum sempat ambil gambar buku-buku yang saya bawa, kawan yang berdua itu sampai. Kak Emila Yusof - seorang pelukis yang terkenal dan bertaraf antarabangsa dengan lukisan yang sangat saya suka, dan seorang lagi, Kak Mazni Ramly - seorang penggiat seni persembahan Kamishibai (yang popular di Jepun).

Kami duduk, pesan kopi, dan menikmati perbualan awal dengan ghairah. Lama juga tak bertemu muka dengan Kak Emila, hubungan yang berlaku antara kami, hanyalah semasa beliau mengepos kalendar cantik 2016 kepada saya. Melompat bintang dibuatnya.





Kak Mazni pula, kami bertemu dalam beberapa siri, Melihat beliau mempersembahkan Kamishibai di Nu Sentral beberapa bulan lepas (kali pertama menontonnya, dan wow, ia bukan seni persembahan yang main-main dan calang-calang orang boleh buat, but she did it!), bertemu di PPAS dalam acara Pelancaran Buku Tiga Penyair, beliau membeli buku S.M. Zakir dan Zaen kasturi, tetapi tidak sempat mengambilnya semula kerana bergegas pulang, serta kali terakhir, beberapa hari lalu ketika saya melawat ibunya yang sakit di Hospital ini, Ampang Puteri.


 **********

Dan semalam harinya, 14 Februari 2016, buat pertama kali buat saya, meraikan IBGD bersama rakan-rakan yang saya suka. 

Gambar dari FB Kak Emila Yusof. Ya, itulah buku yang saya hadiahkan tidak termasuk Kite Runner (Kak Mazni hadiahkan kepada beliau)



Sebahagian buku saya, menjadi milik kak Mazni. Semoga bermanfaat (sumber, dari FB Kak Mazni)

*****

Itulah yang berlaku semalam. Saling memilih buku yang saya bawa (sebenarnya risau juga jika tak kena dengan 'kimia' mereka, namun, saya pilih buku yang saya jamin, tidak menghampakan mereka, insya Allah).

Selainnya, kami berbicara soal kerjaya masing-masing. Isu-isu seputar dunia kami dan beberapa hal kecil yang menjadi besar apabila dibincangkan sambil menikmati kopi yangs edap serta lasagna yang menyelerakan.

Tahun hadapan, saya mahu lagi, dan mungkin akan melibatkan beberapa orang yang telah saya 'aim'. :)


Sunday, February 14, 2016

Idea, Idea, Idea

Semalam adalah hari yang penuh dengan idea. Menghadiri dua acara (walaupun salah satu daripadanya saya hadir sekejap sahaja), masih, kedua-dua acara memberi banyak idea kepada saya. Idea untuk apa? Menulis? Kelakar juga saya ini.





Semalam berlangsung bengkel penulisan novel remaja yang dihadiri oleh penulis/penyair wanita (PENITA), SN Zurinah Hassan, Puan Amelia Hashim dan Puan Norazimah sebagai tuan rumah (GAPENA), serta editor-editor Jabatan Buku Malaysia. Ketua Jabatan kami, Tuan Rozlan Mohamed Nor diamanahkan untuk berkongsi pengalaman beliau yang panjang dan banyak dalam menangani novel remaja.

Sesi pertama, hal-hal berkaitan novel yang menarik untuk dilihat oleh peserta. Antaranya elemen-elemen yang membina novel remaja, ulasan novel-novel remaja yang pernah ditangani, hala tuju novel remaja dan potensi sebarluas novel remaja dalam pembinaan sashsiah dan jati diri remaja masa kini. Antara yang disebut ialah hal Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU) dan Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi yang merupakan antara pertandingan menulis terbesar di Malaysia dan perlu diambil tahu oleh penulis. Kedua-dua platform 'pengujian mutu penulisan' ini bukan sahaja menyediakan imbalan yang banyak kepada penulis malahan, pengukuhan nama dan kualiti karya, serta impak kepada pembaca terutamanya remaja dan pelajar sekolah. 

"Kenapa beriya-iya mahu dengar bos sendiri bagi talk?" tanya seorang rakan semasa saya singgah di Rumah Pena semalam untuk acara lain.

Saya ketawa. Tentulah saya suka, sebab saya pun ada impian untuk menulis dengan banyak dan berkualiti. Dan buah butir bicara bos saya selalu mengujakan. Akan ada imput baru yang saya tak dapat di pejabat. (Itupun jadi isu)

kemudian, saya memandu deras menuju ke Rumah Pena. Tak jauh pun. Di situ berkumpulnya warga penulis-pembaca generasi muda (Okey tak ramai 'warga' sastera - nampak sangat indie dan sastera umpama minyak dengan air - berbeza dan tak boleh bersatu tetapi punya manfaat tersendiri).



Sempat dengar sedikit. Dan ia turut mencetuskan banyak idea dalam kepala. kalaupun bukan isi kandungan perbualan (saya tak boleh kalau tak ikuti dari awal), masih pertemuan itu memberi banyak idea untuk saya mencatat sesuatu kelak berkaitan dunia orang muda yang semangatnya berapi-api. Alah, saya pun pernah muda kan. :P

Balik sesudah sesi pertama, memandu semula ke Rumah GAPENA (kan bagus kalau Rumah GAPENA masih di tapak lama, bersebelahan Rumah PENA).

Sesi kedua Bengkel Penulisan Novel Remaja berkongsi idea penulis dan ditambah baik oleh SN Zurinah Hassan dan Puan Amelia Hashim. Untungnya peserta dengan kehadiran Ainunl Muaiyanah, editor JBM merangkap penulis yang sedang naik kerana menghasilkan puisi dan cerpen serta memenangi beberapa pertandingan dan hadiah.

Suasana menjadi semakin rancak dan bersemangat. Sehinggakan saya pun tak boleh fokus. Dalam kepala ligat memikirkan itu ini (tapi malas mencatat. Haih).

Apa pun, tahniah untuk penganjuran bengkel yang menjadi dan beri manfaat pada semua, termasuk kepada para editor. Kami akan sentiasa menambahbaik gerak kerja kami.

Tulislah banyak-banyak, dan hantar kepada kami karya terbaik anda.



Thursday, February 11, 2016

Rasa yang Menyerbu Kalbu





I choose to love you in silence… For in silence I find no rejection,
I choose to love you in loneliness… For in loneliness no one owns you but me,
I choose to adore you from a distance… For distance will shield me from pain,
I choose to kiss you in the wind… For the wind is gentler than my lips,
I choose to hold you in my dreams… For in my dreams, you have no end.
~Rumi

Tuesday, February 09, 2016

Beri Buku?





http://bookgivingday.com/2016/02/08/how-to-get-involved/

Ini bukan permainan. Ini adalah sebuah aktiviti yang menghargai buku dalam kalangan peminat buku. Di Malaysia, ia dilaksanakan oleh penggiat buku demi mengalihkan perhatian umum daripada Hari Kekasih yang difatwakan haram untuk disambut.



Ia sebenarnya aktiviti yang menarik untuk memupuk budaya membaca dan menghargai buku dalam kalangan peminat buku. Saya meraikan acara ini sebagaimana acara berkempen membaca@ iaitu membaca di mana-mana tempat yang pernah dilakukan oleh kawan-kawan suatu masa dahulu untuk memupuk budaya membaca dan berilmu dalam kalangan rakyat Malaysia yang dikatakan hanya membaca dua buah buku setahun (entah kajian tahun bila dan apa indikatornya).

Seperti status yang saya tulis mengenainya semalam, dalam banyak-banyak aktiviti melibatkan buku, acara pemberian buku secara barter sesama kawan adalah acara yang saya kurang in. Mungkin sebab saya memiliki buku yang benar-benar saya mahu. Dan tak mungkin saya berikan kepada orang lain. Apatah lagi memberi orang lain buku yang saya tak suka (dalam kes, terpaksa atau tersilap beli).

Namun, saya diingatkan dengan konsep ikhlas memberi dan menerima pemberian orang. Tapi akhirnya, bukankah kita dituntut memberi yang terbaik kepada orang lain? Pengalaman saya dahulu semasa terlibat dengan aktiviti ini, ramai kalangan pembeli yang memberi bukan kerana mahu meraikan minat dan cinta yang sama terhadap buku tetapi mahu 'membersihkan' stok buku yang mereka tak mahu. Jadilah seperti kes saya, diberi buku yang lunyai dan buku yang 'macam sampah' bagi saya. Maaf.

______________

14 Februari ini saya sudah tandakan dalam jadual untuk bertemu dua orang rakan yang baik hati. Kami akan bertukar-tukar buku. Oleh kerana tak mahu melakukan pembaziran dan mahu menjadikan pertemuan istimewa itu berakhir dengan kenangan yang manis, maka, kami berbincang-bincang mahu bertukar buku apa.

Saya akan bawa beberapa buah buku dan suakan kepada rakan ini. Pilihlah mana yang awak mahu.

"Kak E nak buku Hujan awak." Kata Kak M.

"Haaa...???? Janganlah, sedih saya dengan sejarah novel saya itu."

Okey, kisah novel malang itu akan saya ceritakan kemudian. :P

Tak sabar menanti hari yang ditandakan itu.

Book Giving Day bagi saya bukan acara yang suka-suka. Kau perlu kenal siapa yang kau mahu beri dan siapa yang bakal memberi.

#bookgivingday #buck

Friday, February 05, 2016

Hidup adalah Perulangan Sejarah



Dalam banyak buku yang saya baca, itulah yang disebut-sebut. Menakutkan atau bagaimana entah perasaan yang perlu ditunjukkan. Hidup adalah sejarah yang berulang-ulang.Berulang-ulang memperkatakan hal yang sama dengan cara dan garapan berbeza. Kita belajar hal yang sama sejak dulu? Sejak zaman Nabi Adam.

Tapi kerana sifat manusia - antaranya - pelupa, pemaaf, tidak ambil kisah dan banyak lagi, maka hal-hal yang sama itu berulang-ulang juga.

_______________

Hari ini mood ke laut. Selain menyiapkan manuskrip yang perlu disudahkan, mengimbas kembali kata-kata lalu untuk melihat diri pada hari ini.

5/2/2016

Dan kata-kata yang ditulis tahun-tahun sudah:

  1. Untuk bertemu dengan esok, kita tak perlu tidur pun. Jika tidur, kita akan bertemu mimpi. Kita, mahu bertemu esok. *semoga panjang umur. Jumpa esok, mentari. Saya, menunggu pagi.
  2. Jika anda sebuah buku, buku apakah anda? *saya sebuah buku seram komedi (kata kawan itu). Sekian.
  3.  Seronok berbual dengan usahawan ni. Macam-macam cerita kita boleh tahu dan ambil iktibar. Kisah di sebalik tabir. Kisah yang tak diceritakan. Kisah yang penuh rahsia. Kata dia.Ya, tuan. Sama juga halnya dengan dunia penulisan. Dunia buku. Penulis itu sendiri punya banyak cerita yang dibukukan dan yang tak dibukukan. Sama sahaja. Tak kira usahawan atau penulis. Yang namanya manusia pasti ada kisah tersendiri. Kata saya dalam hati. *cerita mana yang ingin kamu tahu? 
  4. Kegilaan orang Malaysia - memutihkan wajah dan mengencangkan seks.
  5.  Kata-kata cinta tak perlu disimpan terlalu lama dalam hati. Jangan simpan. Padam selepas ia diucapkan. Cinta perlu diperbaharui setiap hari. Perlu ada nilai dan rasa yang baharu. Setiap waktu. Kata dia. Seperti papan hitam yang tertulis pelbagai ilmu baharu setiap hari. Sang guru menulis dan pelajar bertungkus lumus menyalin dan menghadam ilmu baharu dalam tempoh tertentu. Habis tempoh, tulisan dipadam dan tulisan baharu yang seterusnya akan ditulis. Kita pun tertunggu-tunggu untuk menghadam ilmu dan kata-kata baharu. Itulah cinta. Kata dia lagi.Dia, guru yang selalu mengajar erti kehidupan. *menghadam penuh kepayahan dalam kepenatan memikirkan hal-hal duniawi.
  6. Kita tak perlu meneroka satu dunia untuk mencari cerita. Dunia tetap begitu. Yang perlu kita teroka ialah pemikiran dan tanggapan-tanggapan kita tentang dunia. Dan dari situ cerita tercipta. Kata dia.
Dan hari ini, saya masih mengulang-ulang hal yang sama. Bacalah buku, dan kita akan lebih mengerti, dunia ini berputar pada paksi permasalahan yang sama. Kita lihat bagaimana kita, dan mereka menyelesaikan kehendak-kehendak hidup.

Thursday, February 04, 2016

Tentang Baca



http://www.nytimes.com/pages/books/index.html?module=SectionsNav&action=click&version=BrowseTree&region=TopBar&contentCollection=Arts%2FBooks&contentPlacement=2&pgtype=article

Terlalu banyak membaca. Kemudian apa?

Pertanyaan seorang teman. Itu pertanyaan tanpa asas. Saya tak menjawab. Mungkin sebab passionate saya pada buku taklah sampai melupakan segala hal keduniaan lain. Saya hanya membaca ketika saya benar-benar mahu membaca. Baca, tak boleh dipaksa-paksa dalam usia dan situasi kerjaya ini. Mungkin. Maksud saya bacaan yang benar-benar berkualiti.

Sengaja saya simpan link di atas, gambar catatan saya tentang Harper Lee di FB  tahun lalu.

Kau tahu tak, banyak perkara yang kau boleh dapat dengan membaca kalaupun ia bukan berasaskan soalan-soalan yang terbit dari dalam kepala engkau?

Itu soalan balas saya kepadanya.

____

Ini zaman orang membaca sekadar lalu. Zaman pantas. Zaman 'segera'. Segala hal mahu disegerakan.

Kau tahu sejak bila zaman 'pantas' ini bermula? Sejak ada internet. Semua dihujung jari. Jari (jari, mana ada otak).

Sebab itulah dalam banyak hal, banyak zaman yang menimpa penulis, yang menggulati dunia buku, tulisan yang baik akan menang. Buku yang baik akan dikenang zaman.

Bayangkan semua penulis amat menitikberatkan apa yang ditulis seperti Harper Lee...

___

Di rumah saya, ada banyak buku. Jangan tanya saya berapa banyak yang saya sudah baca. Tujuan saya beli buku cuma mahu buku-buku itu berada di hadapan mata saya. Baca atau tidak, saya akan uruskannya. Jangan pula awak kata, tak guna buku banyak tapi tak baca. Sekurang-kurangnya, kalaupun tanggapan awak betul, saya tak sempat baca semua, saya tetap bersyukur, saya punya suami dan anak-anak yang suka membaca. Separiuh daripada buku yang tak sempat saya baca, mereka akan ceritakan dan berkongsi pandangan kepada saya. Itu menguntungkan, kan?

Seperti menulis, perlu dari hati.

Membaca juga perlukan hati!

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...