Saturday, December 19, 2020

2021: BERSEDIA MELAKUKAN YANG TERBAIK

Ah, sudah ke penghujung 2020 yang 'happening'! Happening kerana terlalu banyak perkara yang berlaku, yang mengubah seluruh landskap dunia. 

Kita akan meninggalkan 2020 yang menduga dan tentunya memberi impak kepada kehidupan kita, dan bukan sahaja diri sendiri tetapi seluruh dunia. Tidakkah ini sesuatu yang patut diraikan dan diingati?

Apa yang berlaku dalam hidup saya sepanjang tahun ini? 

  • Saya bertukar bahagian dalam kerjaya. Daripada editor (Jabatan Buku Malaysia) ke Bahagian Terjemahan Dokumen. Walaupun masih organisasi yang sama, yang saya sayangi, tetap ada perubahan besar dari aspek penerimaan, kemahiran, fikiran, masa dan tenaga. Selamat tinggal jabatan buku dan kerja-kerja editorial yang saya cintai.

Sunday, August 23, 2020

JIMI NI SUGOI!

Apabila salah seorang rakan dalam 'group' Goodreads Malaysia mencadangkan cerita ini, dan selepas pertemuan dengan Norziati ke pejabat saya Jumaat lalu, keinginan menggulati semula hal-hal berkaitan editorial menjadi kuat apatah lagi selepas hampir setahun meninggalkan jabatan buku dan kerja-kerja hakiki berkenaan buku.

Kata Noorjihan, 

"Ada satu drama yang saya nak rekomen kat sini - Jimi ni Sugoi! Drama ni berkenaan karier sebagai proofreader.  Dia tunjuk bagaimana watak utama yang temuduga untuk jadi editor majalah fesyen tapi  dapat kerja sebagai proofreader, dan kisah bagaimana dia cari fakta dan perbendaharaan kata dengan meneliti latarbelakang penulis dsb."

Maka sejak seminggu lepas saya mengambil keputusan meladeni drama Jepun, Jimi Ni Sugoi (2016) ini dengan keterujaan ...

Jimi Ni Sugoi (Jdrama, 2016)


Etsuko Kono berusia 28 tahun apabila lulus temu duga di sebuah penerbitan terkenal Keibonsha. Setelah 10 tahun mencuba jawatan editor di majalah Lassy, majalah fesyen yang terkenal di Keibonsha, berita lulus temuduga itu merupakan sesuatu yang amat menggembirakan Etsuko. Namun, apabila tiba di Keibonsha, Etsuko dikejutkan dengan berita bahwa dia sebenarnya ditawarkan kerja sebagai proofreader. Apa itu Proofreader (pembaca pruf)?

Kecewa, namun setelah dipujuk oleh ketua bahagiannya, Etsuko meneruskan perjalanan baharu itu dengan keyakinan dalam tempoh tiga bulan dia akan ditawarkan pula menjadi editor untuk majalah fesyen kesukaannya, Lassy. 

Waktu berganti, Etsuko menemukan hal-hal baharu dan menyeronokkan dalam kerjaya sebagai pembaca pruf walaupun impian utamanya untuk menjadi editor tidak pernah terlupakan. Tidak lupa, penonton dihadapkan dengan kerja-kerja pembacaan pruf yang tidak terfikirkan dan melangkaui apa yang dilakukan oleh penulis sendiri. Isu-isu biasa dipaparkan - tentang fakta dan logik dalam pengkaryaan, soal mengejar masa, salah cetak, perselisihan antara editor dan pembaca pruf, juga tentang plagiat yang menjadi virus dalam dunia penulisan.







Dalam satu kejadian yang tidak tersangka, Etsuko mendapat peluang itu. Adakah dia merebut peluang yang ada setelah hatinya benar-benar jatuh cinta dengan kerja-kerja membaca pruf?

Editor vs Pembaca Pruf





Menonton drama ini membawa saya ke tempoh enam tahun ke belakang (2013-2018) ketika saya menjadi editor buku di Jabatan Buku Malaysia, ITBM. Ia merupakan tempoh paling membahagiakan dalam kehidupan kerjaya saya. Siapa yang tidak bahagia mendapat pekerjaan yang selari dengan minat sendiri -BUKU! Seolah-olah menikmati hobi yang menyenangkan dan dibayar gaji pula melalui hobi itu.

Dalam tempoh itu saya bukan sahaja berkenalan dengan penulis-penulis yang mapan dan baru bertatih, tetapi juga dibawa mengembara ke pelbagai arena dan lapangan, fiksyen dan bukan fiksyen dalam dunia buku. Membaca karya penulis sebelum dibukukan merupakan satu nikmat yang tidak terkatakan. Bersama-sama penulis membina dan memperbaik karyanya sehingga terbit menjadi buku pun sebuah pengalaman yang sangat enak untuk dikenang malah memperkaya pengalaman saya sebagai editor. ia satu proses yang mematangkan - emosi dan ilmu pengetahuan. 

Dalam proses ini, tentunya ada watak pembaca pruf yang sama-sama merencahkan pengalaman saya sebagai editor. Bergaduh dengan pembaca pruf, tidak bersetuju, berkejar-kejar dengan masa - itu semua mengajar erti kenikmatan dalam kerjaya yang kita sukai.

Apa yang terpapar dalam drama ini sungguh-sungguh meletakkan saya dalam watak-watak yang memainkan peranan sebagai orang-orang di balik tabir penerbitan sesebuah buku. 

Ah, saya teringatkan Aina Juslida, antara pembaca pruf yang teliti, Saadah, juga pembaca pruf merangkap QC yang selalu bertelagah dengan saya soal sempadan kerja dan pelanggaran peranan.

Itu semua jika didramakan dalam versi Malaysia, entah bagaimana penerimaan penulis dan masyarakat sekeliling tentang peranan sebalik tabir editor dan pembaca pruf yang amat penting. 

Saya amat berharap drama kerja di sebalik tabir begini dalam diperbanyak agar masyarakat kita tahu banyak kerja yang boleh dibuka peluangnya jika setiap kerjaya dijelaskan dalam bentuk drama begini. 

Oh, saya juga suka falsafah penulisan yang diselitkan dalam drama ini dan bagaimana akhirnya seorang penulis yang biasa-biasa menjadi luar biasa dengan campur tangan editor dan pembaca pruf yang jujur memberi pendapat tentang karya mereka. 

Saya suka Yukito akhirnya berhenti menulis sesuatu yang bukan dalam kecintaannya dan akhirnya menemukan sesuatu yang patut ditulis malah memberi impak tak kurang hebat kepada pembaca - menulis buku tentang orang-orang disebalik tabir sesutu bidang - tukang baiki/penyelengaraan rel kereta api, jambatan, dan kemudahan asas masyarakat, yang sama penting dengan orang-orang sebalik tabir pembikinan buku. 

Boleh baca butiran drama DI SINI.

Wednesday, June 17, 2020

Selepas Sehari Usia Bertambah



Menyebut tentang angka usia, bersyukurlah dikurniakan usia lagi setakah dan pada masa yang sama gelisah dan resah tidak dapat disembunyikan - tentang hayat yang semakin berkurang dan perjalanan diri yang akan tamat bila-bila masa sahaja.

Semalam ulang tahun kelahiran saya. Angka umur, 42. Sungguh, terasa amat diri semakin ke penghujung perjalanan. Sesiapa pun akan berfikir begini ketika memasuki tahun ke-40. Ini bermakna sedikit sahaja lagi usia berbaki. 

Hari ini saya berbahagia. Sungguh. terima kasih rakan-rakan yang meraikan saya.

Mahu Isi Apa?

Bagi sesetengah orang, memikirkan mahu isi hidup dengan apa pada usia 40-an, mungkin dikatakan terlewat. Maka, masing-masing pun tergesa-gesa mengejar dan mencapai apa sahaja yang sempat digapai sebelum menuju ke garisan penamat.

Pada usia begini juga kekesalan dan keresahan atas kealpaan lalu akan memakan diri dan sebahagian fikiran. Jika tidak dikawal, maka akan kenyanglah kita dengan memori dan hal-hal tak berguna.  Sedangkan setiap saat nafas harusnya diisi dengan hal yang utama (terpulang pada setiap orang mahu utamakan apa).

Ada orang berubah ketika usia belasan tahun, selepas melalui getir pahit kehidupan. Dia akan mendewasa dengan baik dan berhati-hati kerana awal-awal perjalanan sudah diuji dan kebal dengan cabaran.

Ada orang berubah ketika dewasa, setelah penat dalam jatuh bangun sandiwara dunia. 

Ada orang berubah ketika usia mencecah hujung hayat.

Tapi, berbahayalah mereka yang terus-menerus tidak berubah. Ramai juga dalam kategori ini.

Tentang Diri

Beberapa tahun ini saya mula mengubah persepsi terhadap diri sendiri dan orang keliling. Semakin fokus kepada diri sendiri (tetapi tidak pula mengabaikan hal-hal sekeliling yang penting). Juga semakin tenang dan sudah pandai mengabaikan hal-hal sampah. Tahniah Zalila. Belum terlewat mengisi sisa usia dengan ketenangan. 

Tapi hari ini...
Biar sekali ini saya bercerita tentang seseorang yang amat tidak mahu saya jumpa atau hiraukan. Tapi tidak mampu dielak selagi kami 'satu bumbung' dalam hal pekerjaan.

Saya tidak mahu bertanya apa dosa saya kepada dia apabila saya fikirkan untuk apa saya menyalahkan diri sendiri. Sedangkan dia berbangga dengan kebobrokan diri sendiri yang sejak dahulu tidak berubah. Kasihan sungguh.

Hari ini mendengar cerita tentang dia yang memburukkan saya di media sosial. Apa yang ditulis seluruhnya tidak benar. Hari indah saya hampir terganggu namun alhamdulillah, dikelilingi rakan-rakan yang baik hati dan ikhlas dalam perhubungan, maka saya sedikit demi sedikit melupakan kejadian hari ini.

"Biarlah. Saya tidak perlu membalas. Itu saya serahkan kepada Tuhan untuk menghukumnya kelak. Tapi, saya tidak akan memaafkan." 

Kasihan juga kepada dia yang hidup dalam kerosakan hati yang sendiri tidak menyedarinya. Kasihan sungguh. Kegagalan hidup dan pengurusan hati menatijahkan dia yang begini - tidak senang dengan senyuman orang lain. 

Ikutkan hati yang tergores, banyak juga perkataan yang dikarang dalam fikiran, tinggal masa mahu memuntahkan. Tapi untuk apa? Untuk apa saya merosakkan rasa, membuang waktu melayan hal sampah begini. 

Saya mengambil keputusan menutup suis fikiran untuk dia dan mendoakan diri saya agar dijauhi orang-orang begini. 

Tidak, saya tidak akan mendoakan untuk dia berubah. Saya hanya mahu mendoakan diri saya sendiri dan orang-orang sekeliling yang saya sayangi agar tidak menemui manusia sebegitu. 

Untuk dia, kata-kata akhir saya, pergi mati!

Tuesday, June 09, 2020

Menelusuri PKP....



Menjelang fasa akhir Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP), inilah dia, PKPP - Peraturan Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan. 

Rasanya seperti terlalu awal untuk menutup jendela kawalan ini kerana ada beberapa kawasan masih dalam zon merah, tetapi barangkali desakan ekonomi menjadikan langkah ini dilakukan.


Bermula 18 Mac fasa pertama PKP dijalankan, seluruh Malaysia begitu resah. Melalui hari-hari baharu, terkurung dan sebahagian besar sektor ekonomi dan perkhidmatan ditutup. 

Hidup seperti dalam gua tetapi tidaklah sengsara kerana bukan zaman peperangan dan bencana alam. Masyarakat masih boleh melakukan kerja pejabat di rumah, memesan makanan melalui penghantaran segera.

Saya dan PKP.

Sejak awal PKP saya mula menulis semula di blog ini. Lebih kepada mengisi ruang waktu yang terperap si rumah, mencabar minda mencari idea penulisan setiap hari dan cuba mendisiplinkan diri menulis.

Beberapa waktu, ada ketikanya ia menjadi sukar walaupun saya sudah mempelbagaikan corak penulisan - ulasan drama dan filem yang ditonton sepanjang PKP, buku-buku yang dibaca dan catatan biasa tentang diri. 


Yang sukar apabila saya tiada tenaga menulis. Ya, menulis memerlukan tenaga yang banyak. Perahan keringat tenaga dan otak melesukan tubuh. Ada ketikanya terpaksa menghabiskan bacaan buku dengan segera atau menonton drama laju-laju semata-mata mahu jadikan bahan penulisan. 


Hujung PKP lalu, saya mengalah. Apatah lagi sudah mula masuk ke pejabat dengan kerap (tiga hingga empat hari seminggu). Ini bermakna tenaga yang banyak dihabiskan dan untuk menulis dengan waras dan tenang saya tidak berdaya.

PKP memakan jadual harian, menjadi kucar kacir kerana saya sendiri tidak meletakkan jadual di tangga teratas. Banyak kali tidur lajak sehingga matahari terik. :(

Untuk diri saya, pencapaian sendiri sangat GAGAL. Apatah lagi banyak target yang tidak terlaksana terutama hal penulisan. Ya, penulisan memerlukan semangat, tenaga dan keinginan yang tidak dipaksa-paksa - untuk sayalah. Orang lain pasti berbeza. 

Apa pun, hari ini adalah hari terakhir PKPB dan esok bermulanya PKPP. Saya berharap suasana akan kembali kepada asal, tanpa melupakan SOP kesihatan. 

Banyak hikmah yang dapat dipelajari sepanjang PKP ini.

Sekadar salin tampal catatan ini yang berlegar di FB:

2020 YANG BERSEJARAH
PKP akan menjadi sejarah negara yang terpahat dalam kenangan. Penulisan ini tular tanpa kredit dan tahu siapa penulisnya.
la kenangan yang tak akan dilupakan. Bolehlah simpan untuk aku baca di tahun-tahun hadapan jika masih dipanjangkan umur 😢😢
Takkan sesekali aku lupa, setahun sekali FB akan mengingatkan.
FASA 1: 18 MAC - 31 MAC 2020
FASA 2: 01 APR - 14 APR 2020
FASA 3: 15 APR - 28 APR 2020
FASA 4: 29 APR - 12 MEI 2020
FASA 5: 13 MEI - 09 JUN 2020 (PKPB)
FASA 6: 10 JUN - 31 OGOS 2020 (PKPP)

*(PKPB) - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
*(PKPD) - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
*(PKPP) - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

Perintah Kawalan Pergerakan seluruh 🇲🇾
📌Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP
📌PKP dalam bulan puasa. Tiada bazar Ramadan, tiada terawih di masjid.
📌Tiada buffet Ramadan di hotel-hotel seperti tahun-tahun sebelumnya.
📌Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung mengunjung.
📌Tiada bunyi mercun, tiada yg cedera akibat mercun.
📍 Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
📍Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
📍Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dlm group what'sapp.
📍Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dgn meletak tgn di dada.
📍Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan. Beratur hingga berpuluh meter ke luar kedai.
📍 Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yg kantoi jual rokok seludup dan ketum.
📍Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
📍Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
📍Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah.
📍 Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan. Kawasan tumpuan di bukit bintang sunyi sepi yg sblm ini sesak dan padat 24 jam. Ibarat tiada waktu tidur.
📍Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan. Tp diganti dgn nikah online.
📍Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
📍Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu juga tidak dibenarkan.
📍Taman permainan kanak-kanak ditutup.
📍Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.

📍Kekurangan alat bantuan pernafasan
bagi pesakit kritikal.

📍Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
📍Rak-rak di kedai menjadi kosong.
📍Kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
📍Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
📍Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
📍Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
📍Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari jam 5 ptg.
📍 Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm.
📍Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
📍 Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
📍Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
📍 "Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang"
Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020 😭😭😭😭
Kenapa saya copy paste status ini?
Kerana, satu hari nanti, status ini akan muncul dipaparan ingatan FB saya dan ia memberikan peringatan kepada saya, supaya menghargai nyawa ini dan orang yang kita sayang.
Nikmat mana lagi yang kita dustai?
Lakukan kebaikan antara satu sama lain Sayangi antara satu sama lain
Sentiasa menyokong antara satu sama lain

Kita semua adalah satu ! ❤️🇲🇾❤️🇲🇾❤️

Tuesday, June 02, 2020

Aku Betul Tentang Kau

Photo by Ekrulila from Pexels

Keindahan menjadi milik usia muda, tapi keremajaan yang untuknya dunia ini diciptakan tidak lebih dari sekadar mimpi yang manisnya diperhamba oleh kebutaan yang menghilangkan kesedaran.

Akankah hari itu datang, ketika orang-orang bijak menyatukan kemanisan masa muda dan kenikmatan pengetahuan?
Sebab masing-masing hanyalah kosong bila hanya sendirian.


Akankah hari itu datang ketika alam menjadi guru yang mengajar manusia, dan kemanusiaan menjadi buku bacaan
sedangkan kehidupan adalah sekolah sehari-hari?


Hasrat masa muda akan kesenangan-kenikmatan tidak terlalu menuntut tanggung jawab -hanya akan terpenuhi bila fajar telah menyelak kegelapan hari.


Banyak lelaki yang tenggelam dalam keasyikan hari-hari masa muda yang mati dan  beku;
banyak perempuan yang menyesali dan mengutuk tahun-tahun tak berguna mereka seperti raungan singa betina yang kehilangan anak;
dan banyak para pemuda dan pemudi yang menggunakan hati mereka sekadar sebagai alat penggali kenangan pahit masa depan,
melukai diri melalui kebodohan dengan anak panah yang tajam dan beracun kerana kehilangan kebahagiaan.


Usia tua adalah permukaan kulit bumi;
ia harus, melalui cahaya dan kebenaran,
memberikan kehangatan bagi benih-benih masa muda yang
ada dibawahnya, melindungi dan memenuhi keperluan mereka
hingga nisan datang dan menyempurnakan kehidupan masa muda yang sedang tumbuh dengan kebangkitan baru


Kita berjalan terlalu lambat ke arah kebangkitan spiritual,
dan perjalanan itu seluas angkasa tanpa batas,
sebagai pemahaman keindahan kewujudan melalui
rasa kasih dan cinta kepada keindahan tersebut


Masa Muda Dan Keindahan ~ Khalil Gibran

____

Pengalaman tidak pernah menipuku tetapi aku yang membodohkan diri membiarkan pengalaman mati dalam angan-angan masa muda dan keindahan, ah, hanya sementara.

Terima kasih mengesahkan bahawa aku betul tentang kau.

Monday, May 25, 2020

Find Me in Your Memory



2 Syawal 1441H. Raya kedua, sudah tiada suasana hari raya di rumah ini. Kepenatan semalam memberi ingatan bahawa penatnya emak memasak tidak henti setiap kali hari raya. Lenguh sungguh kaki berada di dapur memasak dan menyediakan juadah. Pengalaman berharga ini akan saya kenang dan jadikan iktibar. Terima kasih Covid-19. Eh.

Semalam sambutan raya kami amat sederhana. Seawal pagi saya memasak, menggosok baju dan bersiap untuk bermaaf-maafan. Anak-anak solat pagi raya dengan babahnya. Khutbah ringkas dibacakan. Takbir raya dilontarkan.
Adik-adik datang beraya, berbual, bervideo 'call' dengan keluarga belah sana dan sini. Makan. Makan. Tidur. 

Menjelang malam semua sudah lesu. Saya buka lap top, buat sedikit kerja suntingan dan menyambung tontonan Kdrama ini, Find Me in Your Memory.

Antara mengingati dan melupakan...

Dalam jutaan manusia di dunia, katanya hanya 20 orang (lebih kurang) pesakit Hyperthymesia dan di Korea hanya seorang, Lee Jung Hoon. Demikian drama ini memulakan cerita. Jung Hoon kemudiannya menarik minat seorang doktor untuk melakukan kajian ke atasnya. Masa berlalu, Jung Hoon dewasa dengan baik, menjadi teraju utama dalam program penting (berita utama) di sebuah syarikat penyiaran dan mula menjalinkan hubungan dengan sorang wanita. 

Malang menimpa, kekasihnya mati dibunuh oleh seorang 'stalker' yang mental. Hari berganti hari, Jung Hoon meneruskan kehidupan dengan beban ingatan yang mendera perasaan. Setiap hal pedih, gembira tidak dapat dilupakan.

Suatu hari Jung Hoon ditugaskan menemubual seorang artis wanita, Yeo Ha Jin. Sesuatu berlaku semasa program berlangsung. Jung Hoon terdiam, terpelanting kepada ingatan bekas kekasihnya dan keadaan sangat mencemaskan (terdiam semasa bersiaran). 




Hal ini menjadi pemula kisah Jung Hoon dan Yeo Ha Jin yang masing-masing mempunyai sejarah yang berkaitan dalam situasi sakit yang berbeza - Jung Hoon tidak dapat melupakan, manakala Ha Jin melupakan dan harus melupai sejarah lampaunya. Cerita mereka berdua sangat berkait rapat dan akhirnya berlaga dalam satu konflik antara melupakan dan mengingati.

Ingatan

Drama ini menarik daripada aspek tema yang dibawa. Walaupun aspek hyperthymesia tidak kuat digambarkan (tidak mendalam), beberapa babak menceritakan penderitaan Jung Hoon hidup dalam memori yang penuh - tentang kematian kekasih ketika salji turun, tentang kegembiraan bersama ibunya, ketakutan kepada bapanya yang pernah mengurung dia dalam almari dan manfaat kepada kerjayanya - yang mengingati banyak peristiwa lalu membolehkan dia menguruskan hal kerja dengan cemerlang selain menghafal skrip!

Saya sangat suka babak-babak berkenaan ibunya.

1. Segala kenangan zaman kecil, berupa perkataan, perbuatan dan material (pensel, pen, batu, mainan) merupakan ingatan abadi seseorang tentang ibu yang dikasihi. 
2. Ketika ibu Jung Hoon meninggal, dia tidak mahu Jung Hoon tahu yang dirinya akan terlantar di hospital dan mati. Ibu Jung Hoon merayu kepada suaminya agar kematiannya tidak diberitahu kepada anaknya, Jong Hoon, agar anaknya itu tidak 'merakam' momen sedih perpisahan itu. 



Kita, bagaimana ingatan kita terhadap seseorang dan sesuatu? Bersyukurlah sel otak kita mampu melupakan sesuatu yang tak perlu kita ingati. 

Maklumat lengkap drama: 

Saturday, May 23, 2020

Menjelang Hari Raya 2020

Gambar Google

Demikian takdirnya, tahun 2020 bukan sahaja mengubah landskap sosial, ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia tetapi juga mengubah budaya dan norma biasa.

Tahun ini sungguh berbeza.

Mengajar banyak perkara.

Tidak balik raya.

Kerajaan telah menetapkan larangan merentas negeri untuk balik berhari raya. Namun ramai yang engkar dan akibatnya mereka diminta patah balik. Terbaharu, mereka yang degil terus dikompaun.

Kes positif juga tidak berkurang malah ada tempat yang dilaporkan zon merah semula. 

Bagaimana perasaan saya tidak balik ke kampung? Jujurnya saya tidak begitu sedih. Balik kampung boleh bila-bila masa sahaja. Raya kali ini mak dan abah ditemani anak-anaknya juga. Yaya, Kak Aja, Ita, Didi, Boboi, Wan. Okey kot. Saya dan beberapa adik lagi di KL sahaja. Bimbang kena kompaun dan juga bawa balik virus.

Sedih cuma kerana tidak dapat bersalaman dan berpelukan di pagi raya. Selainnya saya fikir okey sahaja tak balik. Mak dan abah ada orang jaga di kampung. 

Raya di KL

Tiada baju raya macam tahun lepas. Tipu! Saya sempat beli dua pasang baju. Anak-anak pun sudah dibelikan t-shirt. Baju Melayu, tapi itulah. Mana boleh beraya. pakai baju baharu untuk ambil gambar sahaja kot. :P

Persiapan raya ala kadar sahaja. Alhamdulillah. Tiada apa perlu dibesar-besarkan. Hidup ini sederhana sahaja sebenarnya.
Juadah raya, saya beli sahaja. Bukan sebab tidak pandai masak tapi malas. Beli rendang ayam, rendang daging deng deng, sambal kacang, kuih. Saya hanya masak ansi himpit dan kuah masak lodeh. Esok cadangnya nak masak sambal goreng jawa, nasi minyak dan acar.
Hari raya hanya pada raya pertama. Raikan sahaja seadanya. 

Tahun ini tahun yang luar biasa. Kita semua berada dalam situasi yang kita sendiri barangkali tidak terfikir perlu kita lalui.
Namun, bersyukurlah, negara masih aman, makanan masih banyak, tiada ancaman peperangan dan bencana alam. 

Kita hanya perlu ubah norma mengikut keadaan semasa. Dan manalah tahu ia akan menjadi amalan yang bermanfaat. 

Selamat hari raya semua.

Thursday, May 21, 2020

Yang Menangkap Pandangan



Oh, saya sudah muak dengan tajuk pengiraan hari PKP, maka saya ambil keputusan mahu menamatkannya dengan damai. Catatan di blog ini juga telah saya tetapkan ditulis kerana mahu menulis dan bukannya untuk berlatih atau mendisiplinkan diri menulis.

Saya selalu menasihati diri sendiri tentang menulis: Tulislah ketika engkau perlu dan mahu menulis, dan jangan dipaksa. Penulisan yang dipaksa akan menghasilkan nada yang kurang mesra. Tidak genuine.

Tapi, masih boleh dibahaskan - tentang disiplin menulis, tentang keperluan meletakkan jadual dan menulis mengikut tempoh yang ditetapkan. 

Dari Mata ...

Dalam ribuan orang yang kita temui akan ada seseorang atau beberapa orang menangkap pandangan kita - ketika berjalan, ketika menyaksikan sesuatu dan sebagainya. Seterusnya hati kita akan memaksa mata terus merenung, melihat dan memerhatikan lebih lama - mungkin wajahnya, bentuk tubuhnya, pakaian yang dikenakan, beg, kasut, cara tersenyum, cara bercakap, cara berjalan dan sebagainya. 

Mengapa begitu? Kerana 'dari mata turun ke hati' itu barangkali telah menyentuh naluri rasa kita, telah menyentuh kesukaan yang sama atau impian yang belum dicapai... atau telah menyentuh kenangan lalu yang mengingatkan kita pada seseorang yang lain.

Begitu juga dengan hal penulisan, karya dan buku yang kita hasilkan.

Karya kita menyentuh apa?

Apabila seseorang mempertikaikan mengapa karya yang memenangi sayembara tidak diperkatakan orang, saya tertawa kecil, tanpa sengaja. Pertama, yang bercakap itu penulis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Persetan jika dia orang luar bidang sastera. Sastera tak sastera, bidang apa pun latar kamu, menulis ialah menulis. 

Bagaimana mungkin kamu yang sudah lama berada dalam ranah sastera mempersoalkan hal-hal begini? Saya bukan mahu mencari gaduh, cuma aneh apabila seseorang yang sudah bergelumang dalam dunia sastera masih tidak tahu atau terpinga-pinga dengan hal seputar sastera yang subjektif sifatnya.

Jika sebelum ini kamu mempertikaikan tentang sukarnya penulis luar sastera (bidang lain) untuk menulis, atau kamu mengeluh sukarnya menulis bagi seseorang yang sibuk dengan hal rumah tangga, maka soalan baru kamu ini lebih membingungkan saya.

Kenapa orang tak membaca puisi itu, kenapa orang tak 'appreciate' karya yang menang itu ... haih!

Apatah lagi kamu kata 'pengkritik hanya membicarakan karya yang mereka suka sahaja."

Jika begitu, jadilah pengkritik. Kritiklah buku yang kamu suka dan berusahalah menaikkan karya-karya yang kamu rasa bagus itu. 

TAPI...

Tapi jangan jangka orang akan suka karya yang kamu suka. Jangan harap orang akan menyukai bentuk dan gaya bahasa puisi yang kamu agungkan.

Orang pegang buku dan membaca itu sudah menggembirakan para penulis. Selebihnya, berusahalah naikkan karya yang bagus dengan:

1. Menulis karya lebih baik, segar dan menjalar isu global.
2. Tulis kritikan karya lebih banyak agar orang kenal karya itu daripada sudut yang pelbagai.
3. Pelbagaikan medium karya - bentuk tulisan, visual, audio, dll
4. Sentiasa menghargai karya yang pelbagai dan jangan hanya membicarakan karya yang kita suka
5. Jangan prejudis dengan penulis lain, pengkritik atau pembaca.

Demikian. Usahlah mempersoalkan sesuatu yang bukan dalam kuasa kita (memaksa orang suka dengan apa yang kita suka) tapi kamu boleh mempengaruhi mereka untuk menyukai apa yang kamu suka. Caranya? Seperti hal lima perkara yang saya gariskan di atas.

Selamat berkarya. Jangan terlalu banyak mempersoalkan apabila tugas anda sebagai penulis ialah menjawab soalan.

Tuesday, May 19, 2020

PKPB 7: Sanggup, Sanggup, Sanggup!


Sepanjang malam saya terganggu oleh sesuatu. Rasa mual dan meluat. Entah kenapa. Tiba-tiba. Maafkan saya jika kata-kata saya dianggap 'tidak faham' situasi. Tapi saya tetap berpegang pada kata-kata saya:

Menulis ialah menulis. Ia merentasi pelbagai bidang. Ia melangkaui pelbagai kesanggupan. Menulis ialah kemahiran (dan bakat yang dipupuk). Sesiapa pun mampu menulis jika mahu menulis.
Tahun 2020, industri buku merundum! Dan penulis masih bergelut dengan hal-hal remeh. Dalam penulisan yang sepatutnya banyak ditunjukkan ialah tulisan (karya) dan bukannya suara-suara beralasan itu ini.

Menulis ialah kerja mengenal diri

Apabila engkau memilih untuk menjadi penulis, memilih untuk menulis, memilih untuk berperang dengan kata-kata demi melahirkan damai rasa, maka menulislah dengan bahagia dan rela kerana itulah pilihanmu. Tiada siapa memaksa.

Jadi, bagaimana mungkin ketika engkau sendiri memilih untuk menulis eh kemudian tiba-tiba engkau berperang dengan diri sendiri tentang pilihanmu untuk menulis.

Dan aku teringat tentang puisi Kahlil Gibran, tentang kerja... namun aku berkata bahwa hidup memang kegelapan kecuali: jika ada dorongan
dan semua dorongan buta belaka, kecuali: jika ada pengetahuan
dan segala pengetahuan adalah hampa, kecuali: jika ada pekerjaan
dan segenap pekerjaan adalah sia-sia, kecuali: jika ada kecintaan

jikalau kau bekerja dengan rasa cinta,
engkau menyatukan dirimu dengan dirimu,
kau satukan dirimu dengan orang lain, dan sebaliknya,
serta kau dekatkan dirimu kepada Tuhan

dan apakah yang dinamakan bekerja dengan rasa cinta?
laksana menenun kain dengan benang yang ditarik dari jantungmu,
seolah-olah kekasihmulah yang akan mengenakan kain itu

bagai membangun rumah dengan penuh kesayangan,
seolah-olah kekasihmulah yang akan mendiaminya dimasa depan.

seperti menyebar benih dengan kemesraan, dan memungut panen dengan kegirangan,
seolah-olah kekasihmulah yang akan makan buahnya kemudian.

Jadi, perlukah aku simpati dengan kata-katamu tentang dia dan dia yang menghalang perjalanan penulisanmu. tentang tanggungjawab dan rutin harian yang mencengkammu daripada terus menulis, tentang sukarnya engkau mahu mencari masa menulis...

Hey kawan, menulis itu kecintaan diri. Ketika engkau mengaku cintakan menulis, tentunya engkau tahu syarat utama dalam cinta itu - kemahuan dan kesanggupan.

Monday, May 18, 2020

PKPB 6: Dalam Hujan Lebat

SplitShire from Pexels

Isnin, dan lagi seminggu raya akan menjelang. Tiada persiapan, tiada bayangan, tiada apa-apa. Beginilah perasaannya orang yang sebatang kara dan hidup sendirian di kota yang asing? Baju raya, kuih raya dan kemeriahan raya tidak terasa. Begitu penangan virus yang sekecil kuman.

Tapi, manusia tidak insaf. Suasana benar-benar kembali kepada asalnya apabila Parlimen bersidang semula. Kemunculan watak-watak politik negara mula menjadi kebisingan dan sampah-sarap yang memualkan.

Ingatkan saudara/i beberapa bulan yang lepas ketika kita terkurung dalam PKP? Tiada kebodohan dan kemualan muka politik muncul. Segalanya aman dan baik-baik sahaja. Dan hari ini, mereka muncul lagi. 

Hujan lebat dan kita tidak akan ke mana-mana...

Begitulah perasaan menjelang hari raya dalam situasi PKPB. Suasana seperti mendung yang berat dan hujan yang melimpah selepasnya. Tak berhenti. Mebecakkan jalan, mengeruhkan sungai, melencunkan apa sahaja yang terterpa olehnya. 

Dari jendela, kita melihat titis-titis hujan. Satu-satu, dengan bunyinya yang penuh gemuruh.Kita pandang langit dan perlahan-lahan mengikuti perjalanan rintik hujan ke bawah - bumi. Pohon-pohon segar, menari bersama-sama hujan. 

Kita hanya duduk di rumah, menikmati makanan sedia ada. Menghitung detik dan waktu agar esok segera menjelma. Habiskan cepat hari ini. Hujanlah puas-puas hari ini. Bersihkan semua. 

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...