Friday, December 13, 2013

Kotak, Bulat dan Infiniti - BUKU kita?



Aktiviti perbukuan dan penerbitan di Malaysia semakin rancak. Itu pandangan saya. Mungkin sudah lama rancak, cuma saya tidak menyedarinya. Atau sekadar rancak kerana saya membaca perkembangannya setakat yang terjangkau oleh mata?

Setelah memasuki dunia perbukuan secara total, banyak perkara bermain di fikiran. Sudah pasti ia diikuti dengan harapan-harapan dan paling utama, impian diri sendiri untuk melakukan sesuatu - kononnya - demi dunia perbukuan yang dengan rela hati saya terjun ke dalamnya.

Bercakap mengenai buku, yang kita fikirkan dan bincangkan selalunya tentulah mengenai kualiti dan cerita yang dibukukan. Apa yang saudara/i nampak?

  • Bagaimana karya-karya kita setakat ini? 
  • Bagaimana dengan penulis-penulis kita sejauh ini? 
  • Bagaimana dengan pemasaran dan pembangunan serta aliran keluar masuk karya-karya tersebut selama ini?

Itu persoalan asas yang selalu bermain di benak penggiat buku - seperti penulis itu sendiri, editor yang menguruskan penerbitan buku, pereka bentuk kulit, ilustrator, pemasar dan penerbit.

KOTAK

"Dunia perbukuan seperti kotak." Kata seorang kawan. "Ruang lingkup penulisnya, karyanya dan pemasarannya setakat itu-itu sahaja."

"'Itu-itu' tu bagaimana?" Tanya saya yang benar-benar ingin tahu.

"Seperti filem, dan karya-karya seni yang lainnya termasuklah buku, setiap apa yang dihasilkan adalah melambangkan pemikiran bangsanya, pencapaian dan menunjukkan penanda aras ketamadunan negara dan bangsanya. Jika engkau lihat karya kita setakat ini - okey, aku ambil contoh filem - apa yang kita sogokkan kepada masyarakat sejak tahun selepas merdeka? "

Saya diam. Ini perbincangan yang serius.

Dia sambung  - "okey, kecualikan zaman karya P. Ramlee yang sememangnya genius - walaupun dia banyak meniru (nanti aku cerita hal ini di lain masa - kata dia dalam bisik), kita ketandusan filem yang mengangkat bangsa kita ke arah yang lebih baik. Kau perasan tak?"

Pertanyaan dia saya fikirkan sedalam-dalamnya.

"Lambat ... engkau kena berfikir lebih dari luar kotak engkau sekarang." Dia beri respon tidak sabarnya.

***

Sebenarnya hal itu sudah lama saya fikirkan. Saya juga banyak membaca dan meneliti perkembangan dunia seni, dunia pengkaryaan tanah air yang sepatutnya meriah - apatah lagi Malaysia merupakan negara yang maju, majmuk dan aman. Sepatutnyalah karya kita lebih bernuansa kehebatan bangsa dan bukannya masih memaparkan kisah-kisah bejat masyarakat  yang melalui filem-filemnya lebih menjadikan masyarakat Malaysia parah. Samseng, kongsi gelap, pelacuran, keruntuhan institusi rumahtangga dan keluarga dan ke'koya'an kelas sosial atasan - mendominasi filem-filem tanah air.

Belum lagi filem lawak tak bertempat dan bebalisme, juga kisah hantu yang tak berkesudahan.

Inilah kotak yang dimaksudkan oleh kawan saya.

"Aku harap dunia perbukuan tidak jadi seperti dunia perfileman kita. Haru ...

Saya mengerutkan wajah.


BULAT

"Balik-balik cerita begini ... cinta paksa, cinta terhalang, putus jumpa kembali...dihalang keluarga ... lelaki kaya, perempuan miskin, atau sebaliknya ... bla ... bla ...bla...." Bebel seorang kawan.

Apa? Saya bertanya dengan penuh rasa.

"Buku inilah. Bosan!" kata dia lagi sambil mencampakkan buku itu ke sisi.

Saya ambil. Sebuah novel cinta popular yang dramanya pun sudah ditayangkan di televisyen.

Siapa suruh beli? Tanya saya dengan nada menyindir - sudah tahu, sudah banyak buku yang sama nadanya, mengapa beli lagi? Bukankah ini menggalakkan lagi penulis 'cerita' di Malaysia tulis benda yang sama - bulat.

"Ingatkan lain. Rupanya semua sama. Tepu otak aku," katanya lagi.

Saya senyum. "Lain kali pilih bahan bacaan. Jangan terlalu ikut fenomena. Bila ceritanya keluar di tv, engkau pun beli bukunya seolah-olah engkau pembaca yang 'up to date'. Padahal cerita itu sudah lapuk. Kita masih banyak pilihan buku di pasaran. Jika kita asyik baca buku yang sama - malahan ceritanya tak berkembang asyik-asyik itu sahaja, maka, penulis cerita sebegitu pun naik lemaklah - tulis cerita yang sama sahaja sebab dia tahu pembaca seperti awak ada dan bukunya pasti dibeli."

Dia angguk - entah faham entah sebab tak mahu dengar saya bebel.

Betul! Sebagai pembaca, jika kamu bosan dengan apa yang kamu baca, komenlah buku sebegitu. Pembaca juga ada peranan dalam membangunkan buku-buku yang perlu ada di pasaran. Buat kritikan.  Itu peranan pembaca. Bukan sekadar beli, dan kemudian beli lagi. Pembaca juga ada peranan okey!


INFINITI

Inilah dunia perbukuan. Sepatutnya ia bersifat infiniti - dalam konteks masih punya sempadan agama dan kemanusiaan.

Infiniti dari aspek pemikiran dalam karya, corak karya, bentuk karya dan juga hal-hal lain yang merangkumi proses penerbitan dan pemasaran karya. Malah, cara buku dinikmati dan berada dalam tangan masyarakat juga sepatutnya lebih bersifat infiniti - iaitu bebas dan rencam - dan bukannya terikat dengan musim atau peraturan tertentu.

Saya suka melihat perkembangan penerbitan di Malaysia kini, dengan dana-dana dan peruntukan yang diberi oleh kerajaan, pertumbuhan rumah-rumah penerbitan yang indie dan tak indie (?), dan juga keterbukaan masyarakat dalam meraikan pesta-pesta yang melibatkan buku dan aktiviti perbukuannya.

Masing-masing yang wujud dengan tujuan utamanya - hasilkan buku - sudah tentu melengkapi antara satu sama lain.

Cumanya, dalam apa jua pengeluaran karya perlulah mempunyai satu sempadan atau garis agar negara kita tidak dilambakkan dengan karya yang merosakkan pemikiran mahupun merencatkan pertumbuhan akal pembaca.

Saya tidak mempertikaikan kewujudan syarikat perbukuan indie yang kita sedia maklum menyediakan buku-buku yang agak 'lari' dari garisan semasa - dari aspek tajuknya yang kadangkala bersifat 18sx, belum lagi isi kandungan dan gaya bahasanya -  sama ada dalam genre apapun ... novel, cerpen atau pun puisi yang sebelum ini dilihat "janggal" atau "tabu" seperti thriller, sai-fi, pulp fiction dan sebagainya .. (ah, banyak pula jenisnya). Malah kadangkala buku-buku 'inide' begini lebih saya cadangkan kepada kawan-kawan berbanding novel popular cinta yang melambak di kedai buku.

Cuma mengharapkan, sebagai 'pihak' yang sama-sama memeriahkan dunia buku tanah air, ingat satu pekara yang utama dalam hal ini - BUKU seharusnya membijaksanakan manusia dengan moraliti, pemikiran dan anjakan kepada kehidupan yang lebih baik.

Itu sahaja yang saya harapkan supaya dunia perbukuan kita semakin masyhur dan menjadi titik tolak kepada perubahan masyarakat ke arah yang lebih bertamadun. Ambil yang baik, jangan terbitkan yang boleh memudaratkan.


IKLAN


Celikhuruf.com merupakan sebuah komuniti pembaca-penulis yang mengutarakan seputar hal perbukuan dan penerbitan melibatkan pembaca dan penulis. Celikhuruf.com akan melaksanakan sebuah projek BUKU 50 Pembaca-Penulis yang akan memuatkan 50 buah karya kreatif pendek oleh 50 penulis pelbagai latar belakang (juga terbuka untuk mereka yang belum pernah menulis tetapi ada cerita), dengan pelbagai cerita dan kisah yang menginspirasikan. 

Projek ini sedang berjalan dan insya Allah akan dijayakan sebelum bulan April tahun 2014. Mari beri sokongan dan doa agar usaha komuniti 'baca' ini menjadi realiti dan berjaya membuka satu lagi lembaran perbukuan di negara kita.




Tuesday, November 19, 2013

Taufan Haiyan dan Misi Besar Seorang Penulis

Taufan Haiyan atau Taufan Yolanda melanda Filifina baru-baru ini. Surat khabar dan media, malah seluruh dunia memperkatakan tentangnya. Dalam masa yang sama juga, saya tertarik dengan dua buah buku terjemahan ITBM, Dunia Sama Rata dan Panas, Rata dan Sesak tulisan Thomas L. Friedman.


Antara perkara yang membuat saya berfikir banyak mengenai alam sekitar dan penulisan ialah kata-kata penulis ;

"...bagaimana krisis pasaran kewangan dam krisis alam sekitar sebenarnya berakar umbi daripada punca yang sama, iaitu kelamahan dari aspek perakaunan dan pengambilan risiko."

Maka, saya tanyakan di FB mengenai buku-buku yang pernah mengangkat isu alam sekitar.


Isu alam sekitar. Novel apa yang boleh saya baca?
Like · · Promote ·

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...