Thursday, April 30, 2020

PKP Hari Ke-44: Tentang Ibu...



Hari ke-44 PKP saya berhasrat masak sesuatu yang jarang saya masak. Ada dua pilihan; Siakap kukus dan ayam masak ungkep. maka, sepagi-pagi terus melayari YouTube melihat resipi dan cara membuatnya.

Siakap kukus dipilih kerana Umar amat menyukai menu ini. Beberapa kali makan di kedai dengan anak-anak, menu ini dipesan jika ada bajet lebih. Umar makan sangat banyak. Saya harap dengan belajar buat sendiri, saya boleh masak bila-bila dia mahu. Sebenarnya sebelum ini pun pernah masak siakap kukus tapi gagal. Tapi hari ini, jaya! Walaupun tanpa sos ikan (insiden kena ngurat dengan lelaki mana entah sampai tak sempat nak cari sos ikan).

Ayam ungkep pula akan dibuat pada hari lain sebab rindukan emak. Selalu balik kampung kalau emak masak menu ini saya hanya tahu makan. Paling tidak pun, tolong kisarkan bahan tanpa ambil tahu apa bahan-bahan masakannya yang lengkap. :P

Saya harap masakan-masakan dan kebersamaan saya dengan anak-anak akan menjadi ingatan yang paling dalam buat mereka.

Pesan ibu


Entah kenapa sejak semalam rindu betul kepada emak. Jika PKP berlanjutan, semakin lama la tempoh tidak bertemu dengan emak. Saya dan emak sebetulnya tidak begitu rapat. Tapi kami sangat menyayangi antara satu sama lain, seperti ibu dan anak yang lain. Kekuatan emak, menjadi kekuatan saya melalui pesan-pesannya tentang hidup. Tentang hal emak saya teringat sebuah drama Korea yang bertajuk Because This is My First Life. 

Sebuah drama yang sangat bagus ditonton. Membawa isu perumahan yang mahal di Korea sehingga mempertemukan watak lelaki (Se Hee) dan perempuan (Ji Ho) yang masing-masing memerlukan sebuah tempat perlindungan yang baik. Perwatakan setiap watak dalam drama ini semuanya kuat dengan masing-masing membawa isu berbeza.



Paling saya tidak boleh lupa babak semasa Ji Ho dan Se Hee berkahwin. Konfrontasi antara Ji Ho dan ibunya sangat dalam sehingga pada majlis perkahwinan pun mereka boleh bertegang urat. Ji Ho prejudis kepada ibunya. Dia menganggap si ibu tidak pernah memahami dirinya. Namun, semasa majlis perkahwinan itu, ibunya menitipkan surat buat menantunya, Se Hee. 


Surat itu mengandungi pesanan-pesanan yang menyedihkan. Berkali-kali tonton pun pasti menangis lagi.

Antara isi kandungan surat (boleh tonton drama ini nanti dengan subtittle): Memberitahu latar belakang Ji Ho sejak kecil, tentang harapan ibunya, tentang situasi Ji Ho dan permintaan ibunya terhadap dua hal. Pertama Se Hee diminta membenarkan Ji Ho menggapai cita-citanya sebagai penulis. Jika Urusan rumah tangga tidak mampu dilaksanakan, ibunya sanggup datang bantu uruskan. Kedua, Ji Ho tidak boleh dibiarkan menangis sendirian. Tangisnya tidak akan berhenti. Se Hee perlu berada di sisi Ji Ho untuk menemani. 



Entah kenapa saya snagat terkesan dengan babak ini. Mungkin suara hati ibu yang tulus berjaya digambarkan melalui babak ini.

Saya juga teringat tentang ikrar sakinah, perjanjian perkahwinan yang dilakukan di negeri Johor. Ibu/bapa pengantin perempuan akan membacakan perjanjian, menyerahkan anak mereka kepada menantu. Dan menantu juga akan membacakan ikrar sakinah berisi perjanjian akan menjaga isteri sebaik mungkin.

Drama ini sebetulnya sebuah drama romantik komedi yang sarat dengan isu-isu dalam perhubungan kekeluargaan.

Penerimaan keluarga Ji Ho berbeza dengan keluarga Se Hee. Ini jelas memberitahu masyarakat bahawa setiap keluarga mempunyai 'blue print' atau budaya tersendiri yang perlu diselami dan difahami sebelum seorang asing masuk ke dalam keluarga itu.


Melihat ibu Ji Ho, saya ingin menjadi ibu yang begini: garang dan tegas namun sangat menyayangi anaknya, yang tahu apa kehendak dan perangai anaknya, yang bimbang akan perjalanan kehidupan satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Dia juga tidak mahu anak perempuannya mengalami nasib yang sama sepertinya. Ah, post ini bukan mahu mengulas drama ini. :)

Haih... takutnya menanti saat anak-anak pergi meninggalkan saya  dan menuju ke rumah baharu mereka. :(





Wednesday, April 29, 2020

PKP Hari Ke-43: Hari-hari yang Dinanti...






Sudah 43 atau lebih daripada 45 hari kita tidak berjumpa kan? Jumpa siapa? Tanya seorang kawan melalui mesej di telefon. Saya senyum membaca mesej itu tanpa menjawabnya.

PKP hari ke-43, dengar khabar sudah ada sedikit kelonggaran. Setiap keluarga boleh mewakilkan dua orang untuk keluar menguruskan keperluan keluarga. 

Saya seperti biasa, ke pejabat jika perlu, ke pasar raya pula lebih suka bersendirian daripada berteman. Kalau dibenarkan berdua pun, saya tidak mungkin membawa anak-anak kerana saya masih ragu dengan keselamatan mereka berkenaan Covid-19.

Menanti

Membaca tajuk itu saya teringat sebuah buku terjemahan (Jepun - BM) yang saya baca pada tahun 2009. Entah kenapa buku ini tiba-tiba menggamit fikiran untuk saya kaitkan dengan hal penantian, menunggu.

Ulasan buku boleh dibaca di SINI. Tentang perempuan-perempuan yang setia, perempuan yang terseksa, perempuan yang terpenjara.

Apa yang menariknya, perihal menunggu ini dikaitkan dengan kesetiaan. Betul juga kan. Jika tidak setia, tidak bolehlah kata penat menunggu. 

Sebenarnua saya sendiri tidak pasti apa yang saya nantikan. Tentang hal masa depan, entah esok saya pun tiada. Berbual dengan seorang kawan, pun hal yang sama dikemukakan - tak sabar menanti PKP tamat. Hidup saya stuck di sini (rumah). Tidak mampu buat apa-apa. Saya down. Saya hanya mampu mengenang hal-hal lalu dan tidak larat mahu fikirkan masa depan bagaimana. 

Dia yang baru merangkak dan bangun pada tahun 2020 ini, tiba-tiba diserang PKP yang memakan banyak masa dan tenaganya. Banyak urusan tergendala, banyak peluang tertutup dan tergantung.

Ya, ada orang yang begitu semangatnya - hanya mampu menanti dan menunggu. 

Mengapa menanti? 

Sebetulnya dalam lelah menanti (entah apa) sepanjang PKP ini, saya berasa sedikit lega kerana rantaian normal terputus - tidak melakukan hal-hal rutin, tidak terperangkap dalam lingkaran perasaan dan pergulatan yang sama. 

Sedikit lega. 

Menikmati kesendirian, kelapangan dan melihat diri sendiri membuatkan saya berfikir ke hadapan dan ke hadapan. Saya lelah mengenang hal lalu, menanti keajaiban dan mengulang tayang siri-siri yang disukai tahun-tahun yang ditinggalkan.
Saya mahukan yang baharu, yang mendatang, yang mengisi sisa-sisa usia, yang ingin saya jangkau. 

Hari ke-43, sedikit lega, saya tidak lagi perlu menanti. Terima kasih.

Tuesday, April 28, 2020

PKP Hari Ke-42: When the Weather is Fine



Hari ke-42, kita berteka-teka dengan segala apa yang yang akan berlaku minggu hadapan, dua minggu lagi, bulan akan datang dan bagaimana seterusnya kita habiskan tahun 2020 yang keramat ini.

Hampir setengah tahun 2020 ini kita menjalani norma yang berbeza. Tentunya kita sendiri tidak menjangkan beginilah 2020 yang akan kita jalani berbanding dengan sangkaan-sangkaan 20 aatau 30 tahun lalu ketika wawasan 2020 dilaungkan sebagai tahun yang gemilang, puncak kemodenaan dan kemajuan negara.

Tiada siapa yang menduga, beginilah 'masa depan' yang kita bayangkan dahulu - terkurung, mengubah hampir 80 peratus kebiasaan harian, bergulat dengan masalah yang tidak diduga dan masing-masing bergelut dengan pergolakan politik dalaman. 

When the Weather is Fine, tentang kehidupan dan kehilangan


Apabila ada kehidupan, tentu ada kematian (kehilangan). Tidak kiralah kehilangan keluarga, cinta, kawan, kerja, kegembiraan, keinginan hidup dan sebagainya. 

Demikian drama 16 episod ini dilangsungkan. Cerita yang bergerak dengan perlahan tetapi menarik kerana setiap babak dilatari dengan musim sejuk dan musim bunga yang indah. Setiap watak memegang plot yang tersendiri dan merangkumi seluruh kehidupan manusia. Jadi bagaimana ia bermula? Tiada permulaan. Ia hanya menceritakan tentang manusia dan perjalanan hidup mereka sahaja.

Musim sejuk (winter), orang-orang berkumpul di rumah, mengurangkan aktiviti luar dan berjaga-jaga dengan kesihatan. Musim sejuk itu, Mok Hye Won mengambil keputusan meninggalkan Seoul dan pulang ke kampungnya, Bukhyeon. 

Kepulangan itu bukan sekadar cuti musim sejuk sahaja tetapi Hye Won patah hati dengan Seoul yang terlalu keras terhadap dirinya. Menetap di rumah tumpangan peninggalan neneknya, Hye Won menemani mak ciknya, Sim Myung Yeo, seorang penulis novel yang popular suatu ketika dulu. Sikap dingin mak ciknya membuatkan Hye Won berasa sangat sendiri sehinggalah dia singgah di kedai buku tidak jauh dengan rumahnya.

Goodnight Bookstore, sebuah kedai buku milik kawan sekolahnya Eun Soeb menjadi tempat Hye Won mengisi musim sejuknya. Beberapa hal tentang buku menarik minat Hye Won apatah lagi setiap minggu diadakan pertemuan ahli kelab buku yang penuh pengisian.



                                                                                                



Hari demi hari Hye Won menemui perkara baharu dalam dirinya, terutama tentang Eun Soeb yang kehaidrannya tidak disedari semasa mereka sekelas dahulu. Namun, tanpa disedari Eun Soeb telah lama memendam perasaan kepada Hye Won yang ditulis sebagai 'Irene' dalam blog rahsianya. Maka, setiap babak seterusnya menemukan serpihan-serpihan peristiwa lama yang menyambungkan 'puzzle' antara mereka. 

Dalam masa yang sama Hye Won mengetahui sedikit sebanyak latar belakang Eun Soeb yang berbeza daripada rakan-rakan lainnya dan ini mengingatkan Hye Won tentang dirinya yang turut mengalami peristiwa hitam dalam keluarganya. 

Musim sejuk itu, membuka banyak cerita silam dan membuatkan Hye Won belajar menemukan kehangatan dalam hatinya yang beku terhadap hidup selama ini. Kehadiran Hye Won juga memberi cerita yang indah buat Eun Soeb yang sememangnya telah lama jatuh cinta kepada gadis itu.

Cinta berputik. Adakah Hye Won mampu meneruskan perhubungan itu sedangkan dia hanya mahu mengisi musim sejuknya bersendirian. Kehadiran Bo Yong, rakan sekolahnya dahulu menggamit kembali kepedihan berada di tempat ini. Apa pula rahsia yang terbongkar tentang kematian bapanya yang diketahui dibunuh oleh ibunya sendiri. 

Musim sejuk berakhir, Hye Won seperti yang dijanjikan, dan semakin terluka dengan rahsia besar keluarganya, mengambil keputusan meninggalkan Bukhyeon dengan rasa cinta yang tidak pasti bagaimana pengakhirannya dan juga tercalar oleh persahabatan zaman sekolah yang dikhianati Bo Yong.

Hye Won meninggalkan Eun Soeb selepas tamatnya musim sejuk. 

Apa yang paling ditakuti oleh manusia?


1. Kehilangan - Setiap orang amat takut dengan kehilangan, serik dengan kehilangan dan bersedia dengan kehilangan. Eun Soeb, lahir daripada keluarga 'gunung', kehilangan ibu dan bapa sejak kecil lantas dijaga oleh sebuah keluarga yang sederhana. Eun Soeb terbiasa hidup sendirian dan bersedia dengan kehilangan-kehilangan dalam hidupnya.


2. Kekeluargaan - Apakah yang harus sebuah keluarga ada? Kebahagiaan, kebersamaan. Kekeluargaan yang ditunjukkan oleh keluarga angkat Eun Soeb sangat indah. Mereka menyayangi Eun Soeb melebihi anak sendiri. Banyak babak yang membuatkan air mata jatuh melihat besarnya kasih sayang keluarga kepada anak-anak. Namun, tidak semua keluarga bahagia. Keganasan rumah tangga menjadi isu besar dalam drama ini apabila bapa Hye Won dibunuh oleh ibunya sendiri. Namun, Hye Won tidak tahu di sebalik kesedihan kehilangan bapanya, ibunya berasa sedikit lega tidak lagi menjadi mangsa keganasan suaminya sendiri.


3. Percintaan - Cinta pandang pertama, siapa yang tidak percaya? Ada orang tidak mampu memiliki cinta pandang pertamanya, melupakan lalu diganti dengan cinta seterusnya. Namun, ada yang berpegang teguh kepada cinta pertama sehingga menjadi harapan untuk memiliki dan terus memiliki. Eun Soeb jatuh cinta dengan Hye Won dalam babak-babak yang tak tersangkakan - di stesen kereta api ketika mereka bertemu tanpa bersapa, dengan kekecewaan masing-masing dalam kehidupan. Cinta monyet zaman sekolah juga dipaparkan melalui watak Hwi yang periang dan optimis. Hwi, adik kepada Eun Sob menceriakan drama ini dengan tingkah lakunya yang sangat menyukai rakan sekolahnya. Cinta tidak menjadi ditunjukkan melalui watak Bo Yong, yang berusaha keras mendapatkan perhatian lelaki yang disukai sejak sekolah, Eun Soeb. 





4. Buku - Terlalu banyak babak buku yang saya sukai dalam drama ini. Buku bukan sahaja hadir sebagai penghias drama tetapi juga mengisi slot-slot yang berkaitan hidup manusia. Kedai buku Eun Soeb sangat menggamit rasa. Dengan sajian kopi yang aromanya seperti mengajak penonton masuk ke dalamnya. Paparan buku-buku menarik, aktiviti kelab buku yang membuatkan saya cemburu - ah, adakah orang kampung begitu berminat dengan buku? Budak kecil? Seorang penjual lampu? Seorang suri rumah? Semuanya berkumpul demi minat yang sama, buku. Babak pengumpul buku 'rare' juga diselitkan, disamping seidkit kritikan terhadap industri buku dan penulisan karya sastera di sana. Mak cik Hye Won, Sim Myung Yeo juga seorang penulis yang mempunyai pandangan-pandangan bernas tentang penulisan. Dan bagaimana kekasihnya menjadi editor sebuah penerbitan semata-mata kerana mahu tahu kegagalan cinta antara mereka, sungguh menarik.


5. Blog dan surat - sebagai ekspresi perasaan apabila kata-kata tidak mampu membantu menyelesaikan kemelut perasaan antara watak. Eun Soeb menulis diari dalam blognya, tentang cintanya kepada Hye Won, surat-menyurat antara ibu Hye Won di penjara dengan mak ciknya, dan bagaimana surat menjadi penyelamat kepada mereka yang tidak pandai menunjukkan perasaan kasih dalam bentuk perbuatan. 

6. Suasana yang cantik dan menarik dalam setiap babak amat berkesan di hati. Cantiknya musim sejuk. Cantiknya musim bunga, cantiknya suasana kampung dalam kerja bergotong royong menyudahkan tanaman, bersosial antara mereka dan bersikap sebagai masyarakat yang mengambil tahu hal setiap ahlinya.

7. Cerita berselang antara dua sudut pandangan watak. Di sebalik cerita, kita diberitahu tentang cerita disebaliknya daripada watak lain. Ini bermakna cerita secara penuh dipaparkan kepada penonton. Walaupun berulang babak yang sama, ia tetap menarik kerana diceritakan oleh dua watak berbeza. 

Butiran lanjut drama: 

Monday, April 27, 2020

PKP Hari Ke-41: Mahu Tahu?

Photo by Suzy Hazelwood from Pexels
Hari ke-41, kelihatan orang mula keluar dengan selesa - ke kedai, di jalan-jalan, stesen minyak, pasar raya dan di mana-mana. Virus Covid-19 katanya semakin reda di Malaysia. Beberapa negeri sudah mengisytiharkan kawasan 'hijau' bermakna kes positif semakin kurang.


Jika PKP ditamatkan 12 Mei, adakah saya akan berasa lega? Jujurnya tidak. Kita masih dalam fasa virus masih aktif di Malaysia dan tidak tahu siapa yang positif kerana yang disaring dan diperiksa hanyalah mereka yang berisiko dan terlibat dengan kluster-kluster tertentu. Bagaimana dengan yang tidak membuat saringan? 

Jika Malaysia diisytihar bebas pun, saya pasti keadaan benar-benar akan kembali normal selepas tiga bulan atau enam bulan seterusnya.

Ambil tahu.

Hari ini seorang rakan pejabat bertanya tentang beberapa patah perkataan yang menimbulkan kekeliruan. 'Mengemas kini' adakah satu perkataan atau dua perkataan? Sebut harga? Laman Web harus ditulis 'laman sesawang' atau okey sahaja dengan 'laman web'? Saya dengan separa yakin menyebut: Laman sesawang, yang kemudiannya saya buat carian di laman PRPM, 'laman web' diterima pakai.

Demikian kita dalam mencari tahu dan mahu tahu - akan melalui 'jalan' yang bersimpang sehingga akhirnya bertemu jalan yang betul. 

"Ah, DBP ni pun satu ..." ayat yang keluar dan membawa ingatan kepada buku Saharil, Teroris Bahasa yang saya baca beberapa hari lalu. Banyak hal bahasa yang patut kita ambil tahu dan ya, semua ini tanggungjawab mereka yang memegang 'badan bahasa' dalam menentukan kebolehan dan keluarbiasaan bahasa Melayu diangkat semula.

Mahu menulis tentang apa?

Masih dalam fasa menonton drama Korea berjudul 'When the Weather is Fine'. Drama yang agak perlahan tetapi plotnya laju (oh, saya terfikir ini: Saya selalu mengatakan peristiwa yang bergerak perlahan sebagai plot yang perlahan, tapi tidak.).


Dalam drama ini, selain hal saga kehidupan (banyak hal yang saya pelajari), paling membuatkan saya mahu meneruskannya ialah adanya hal-hal tentang buku - Kedai buku yang indah, aktiviti buku yang pelbagai, kelab buku yang membuatkan saya cemburu, buku-buku yang bagus. 


Dan tentunya saya sanggup melanggan Viu (dan kemudian batalkan) semata-mata mahu menonton drama ini tanpa iklan dan memecahkan dinding 'premium'. Kemudian baru tahu boleh menonton lebih nyaman di Kissasian.

Kenapa sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk drama Korea ini, kali ini (setelah meninggalkannya dalam tempoh dua minggu)? 

Kerana watak-wataknya menulis dengan bahasa dan teknik yang menarik. Eun Seob menulis blog rahsianya di tengah malam, tentang cinta pertamanya, Irene. Dan Sim Myeung-Yeo, penulis novel yang trauma dan mula menulis kisah dirinya sendiri.

Dalam satu babak, editor (bekas kekasih Sim Myeung mendesaknya menulis dengan tawaran yang lumayan jika dia mampu menyiapkan novelnya. Kenapa lelaki itu mendesaknya? Semata-mata mahu tahu kenapa perempuan itu (Sim Myeung) meninggalkannya tanpa sebab lebih 10 tahun lalu.

Hal ini memberi satu pengalaman baharu buat saya, kalaupun sebenarnya saya pernah mengatakannya - selain menulis hal-hal paling dekat dengan diri, satu hal lagi yang patut penulis ambil tahu ialah menulis apa yang orang mahu tahu. Kedengaran biasa sahaja kan? Tapi mengapa orang membaca? Orang membaca kerana mahu tahu.

Kepada diri, sudahkah saya mengenal pasti mengapa saya mahu menulis novel? Atas desakan dia, keinginan mahu menyampaikan sesuatu atau saya patut mula ambil tahu apa yang orang mahu tahu.





Sunday, April 26, 2020

PKP Hari Ke-40: Antara Sanggup dan Sempat...



Sudah masuk hari ke-40? Demikian lamanya kita mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bagaimana dengan awak? Sudah lupakan saya? 

Tiba-tiba saya teringat beberapa hal berkaitan dengan kesanggupan dan kesempatan. Hal ini banyak sekali 'kami' bincangkan, setujui dan laksanakan. 

"Jika ada kesanggupan, kita akan selalu memberi kesempatan." Dia berkata. 

Kebodohan hari ke-40

Banyak kebodohan yang kita lakukan sepanjang kehidupan. Sejak sekolah sehingga kini, dewasa dan tua. Jika dahulu mungkin boleh kita sebutkan kebodohan yang dilakukan sebagai proses belajar, proses menjadi matang. 

Namun, sehingga tua ini, masih juga kita sesekali melakukan kebodohan-kebodohan tertentu walaupun tidak sekerap dan seteruk dahulu. Tapi, bukankah itu fitrah manusia. Mana ada manusia yang terlalu pintar sehingga tidak melakukan kesilapan dan kebodohan tertentu. Malah, proses belajar itu mana ada had masa. Sehingga tua dan mati, kita belajar.

Sejak akhir-akhir ini, terkurung selama 40 hari barangkali memberi peluang untuk saya melihat diri sendiri - tentang hal-hal yang sudah berlalu, yang sedang berlaku dan tentukan yang akan datang.

Ada beberapa hal yang sungguh menghiris hati tetapi ia telah berlaku dan tak mungkin diputar semula. "Pride" dan keinginan menikmati hari-hari sedia ada seringkali bercanggah.
Hari ini entah kenapa bodoh sangat melanggan Viu semata-mata mahu menonton sehingga habis drama When the Weather is Fine. Drama itu sarat dengan perasaan yang mendalam disamping buku-buku yang diraikan.

Masalahnya, saya sudah membayar langganan tetapi masih tidak boleh akses ke drama premium. Walaupun tidak semahal mana, tetap berasa bodohnya melanggan sedangkan boleh sahaja menunggu  sehingga drama itu sedia untuk tontonan percuma. 

Dan kemudian, jumpa pula web yang menawarkan drama itu dengan percuma tanpa iklan lagi.
Rasa bodoh hari ini. Tapi bodoh sikit sahajalah.

Demikian, kerana sanggup, adakan sahaja kesempatan yang bagaimana pun untuk menikmatinya.

Dan kita ... nampaknya sudah lama tidak menyanggupi dan memperoleh kesempatan meraikan ruang-ruang yang kita senangi. Kan? Kerana PKP atau kerana sudah tiada kesanggupan?

Saturday, April 25, 2020

PKP Hari Ke-39: Tentang Hal Kecil yang Besar



Hari ke-39 PKP, 2 Ramadan, keluar ke pasar raya Hero untuk membeli sedikit barang keperluan dapur. Seorang rakan meminta bantuan namun keadaan saya juga tidak begitu baik. Saya serahkan kepada Tuhan, bantu rakan itu dan ... 

Terima kasih tuan atas pemberian. Sangat saya hargai.

Hal kecil yang besar

Barangkali kita tidak begitu mendalami keadaan orang. Kesusahan orang, kesulitan dan halangan-halangan yang dihadapi olehnya, maka beberapa situasi kita tidak ambil peduli. Kecil bagi kita, namun sebenarnya besar bagi orang lain. 

Kenyataan itu umum dan boleh dikaitan dengan pelbagai situasi. Sebagai contoh, kita meminta bantuan kewangan daripada rakan tetapi pemberian ditangguh-tangguhkan, sedangkan yang meminta menunggu saat demi saat bantuan itu. 

Saya bukan orang senang. Ada ketika meminjam-minjam (dan ada yang bertangguh dilunaskan). Dalam situasi ini saya dihadapkan dengan pelbagai jenis rakan - dan alhamdulillah kebanyakan mereka amat baik hati, memberi dan membantu tanpa syarat. 

Mungkin bagi kita ini hal kecil sahaja, membantu meringankan beban kawan, tapi percayalah bantuan itu amat besar bagi yang menerima dan memerlukannya. 

Semoga sekalian yang baik hati dalam rahmat Allah jua sentiasa. 

Hal besar yang dikecilkan

Sepanjang hari ini sebenarnya resah. Namun, saya tahu, itulah roda kehidupan. Tidak setiap waktu kita akan berasa bahagia dan senang. Tiba-tiba adik bongsu pula mesej, mengatakan dia ada di sekitar kawasan perumahan. Terus saya jemput datang ke rumah untuk berbuka sama-sama. 

Sebetulnya, berasa kasihan juga dengan adik. Hotel tempat dia bekerja sudah mula menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela. Sudah tentu ini banyak menimbulkan konflik kerana pekerja seperti adik mungkin dalam situasi dizalimi. Namun, saya tidak tahu mahu  bantu dalam bentuk apa. Buat masa ini adik menjadi 'runner' untuk syarikat penghantaran (Lalamove). Saya cuma berharap dia okey dan dapat kerja lebih baik selepas ini. Apatah lagi dia bakal mendirikan rumah tangga, tentulah banyak yang perlu difikirkan untuk majlis dan kelangsungan perkahwinan itu nanti. 

Setelah adik balik, fikiran saya masih tidak tersusun. Entah kenapa. Memang ada harinya kita akan mengalami situasi begini. Tak tahu nak buat apa walaupun ada kerja patut dilangsaikan. 

Saya melayari Internet, melihat FB yang semakin membosankan, melihat WhatsApp yang kurang aktif sehari dua ini (cuma Yaya rajin betul buat Videocall, dapatlah borak dengan Maira). Buka Viu dan satu per satu drama yang ditawarkan dibuka, tutup, buka, tutup. 

Sehinggalah saya terasa mahu menonton sebuah drama baharu 'When the Weather ia Fine'. Memang sejak awal drama ini diiklankan, saya mahu menontonnya kerana ia menyelitkan tentang buku dan plotnya yang nampak perlahan pastinya bermain dengan sinematografi yang cantik.

Baru menonton episod satu, perasaan sudah terasa nyaman. Kisah tentang dua watak yang merupakan teman satu sekolah 10 tahun lalu dan mengimbas pelbagai memori (yang terselindung) antara mereka.

Sekecil-kecil pandangan mata, dialog, gerak badan dalam drama ini (terutama di dalam kedai buku milik si lelaki), mempunyai emosi yang sarat.
Saya bertanya kepada diri sendiri. Bila kali terakhir saya merenung sesuatu atau perkara dengan sebenar-benar rasa dan sebesar-besar fikiran?

Bila kali terakhir saya mengambil tahu secara mendalam akan sesuatu hal yang bergelintar di sekeliling diri saya?

Bila kali terakhir saya bersemangat menulis dengan perasaan sedar, dan bukan terpaksa?

Bila kali terakhir saya mengkritik sesuatu dan berakhir dengan hanya percakapan?

Ah, melihat drama ini banyak perkara besar yang saya kecilkan dan tidak ambil peduli sejak ketuaan melanda. Tapi bukankah tua itu sepatutnya menjadikan saya lebih banyak bertenang dan mencatat sesuatu yang lebih bermanfaat?

Friday, April 24, 2020

PKP Hari Ke-38: Chef: Three Star School Lunch



Apa khabar semua? Seronok la tu puasa hari pertama tak perlu ke sekolah, ke pejabat dan seumpamanya. Semua di rumah. Tidak perlu terkocoh-kocoh memasak hidangan. Banyak masa fikir mahu sediakan apa pada hari pertama puasa ini.

PKP hari ke-38, apakah perkara yang terbaik kita buat?

No one in this world who will not finish my food

Semalam memilih drama Jepun ini untuk mengisi waktu. Drama tahun 2016 ini mengisahkan seorang cef, Hoshino Mitsuko, seorang cef berbakat besar di sebuah restoran makanan Perancis yang terkenal, yang sangat meraikan masakannya dan memebrikan yang terbaik dalam setiap hidangannya. Untuk merasai masakannya, tempahan sentiasa penuh sehingga tiga tahun perlu menunggu. 


Namun, sikap Mitsuko yang mengikut 'kepala' sendiri ketika menyediakan hidangan dan hanya memilih bahan dan ramuan terbaik, menjadikan pengurus restoran sentiasa dalam konflik kerana perlu menyeimbangkan kos dan keuntungan. Dengan sedikit komplot, Mitsuko dikhianati, dan difitnah menyediakan makanan yang tercemar sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada delegasi vip yang datang ke restoran itu. 



Hoshino amat terkejut kerana dia pasti hidangannya tidak akan menyebabkan keracunan. Bertambah kecewa apabila Shinoda (pengurus La Cuisine de La Reine) menghasut restoran lain agar tidak mengambil Mitsuko sebagai cef mereka sehinggalah suatu hari Mitsuko diberitahu bahawa dia memang sengaja disingkirkan kerana sikapnya yang tidak mempedulikan kehendak Shinoda.

Oleh kerana Mitsuko pernah memberi pendapat di stesyen televisyen tentang sebuah program makanan di sekolah, dia akhirnya dipelawa oleh penerbit program itu, Yaguchi Saki untuk berkhidmat sebagai tukang masak di sekolah.





Apa yang Mitsuko katakan? "Makanan di sekolah tidak habis kerana makanannya tidak sedap."

Mitsuko bukan sahaja berdepan dengan cabaran menyediakan makanan tengah hari untuk 300 pelajar secara 'live' setiap hari, malah dia juga berkonfrontasi dengan peraturan-peraturan penyediaan makanan yang ketat, kos yang kecil dan bahan yang terhad. 



Mampukah Mitsuko menyahut cabaran itu? Dalam masa yang sama, Takayama Haruko, anak perempuan yang pernah ditinggalkan ketika usianya 3 tahun muncul dan membawa konflik baharu. 

This is the best!

"Penyakit' Mitsuko bukan sahaja kagum pada diri sendiri, tetapi dia tidak akan berpuas hati jika pelanggan/pelajar hanya menyebut 'this is delicious'. Dia akan pastikan makanannya mencapai piawaian dirinya - sehingga orang yang menikmati masakannya menyebut 'this is the best'.

Drama ini sangat menarik pertamanya tentang kelainan pada plot cerita. Tidak seperti drama biasanya, Mitsuko tidak berlawan dengan sesiapa, walaupun restoran lamanya menggunakan resepi yang dihasilkannya, Mitsuko tidak peduli kerana dia percaya, hanya cef terbaik akan menghasilkan masakan terbaik. 

Setiap hari hidangan tengah hari untuk pelajar menemui cabaran-cabaran baharu. Namun Mitsuko mampu mengatasinya dengan kekreatifannya memanipulasi makanan sehingga makanan yang seringkali dibuang tidak akan bersisa di pinggan selepas Mitsuko mencari jalan menjadikan hidangan itu sesuai untuk pelajar dengan nutrisi yang ditetapkan dan kos yang disediakan.



Drama ini tentang perlawanan dengan diri sendiri untuk menghasilkan makanan terbaik kepada pelanggan. Sikap Mitsuko yang positif dan menerima pandangan (walaupun dalam nada sombong' begitu menghiburkan). 

Mujurlah hari ini saya cuti puasa. Melihat makanan yang dimasak dengan gaya yang bersemangat, sungguh membuatkan kita juga jadi teringin menikmati.

Thursday, April 23, 2020

PKP Hari Ke-37: Selamat Berpuasa, Mak, Abah!




Seperti tahun-tahun sebelum ini, Ramadan yang bakal dilalui bermula esok, hanya di sini sahaja. Jarang sebenarnya kami sekeluarga balik ke kampung meraikan Ramadan bersama keluarga. Jadi, tidaklah terasa apa-apa snagat apabila kerajaan mengumumkan hanya yang di kampung boleh bergerak ke KL (dengan surat izin). Yang berada di bandar, jangan balik ke kampung.

PKP hari ke-37, tiba-tiba merasai rindunya masakan mak menjelang sambutan puasa. Biasanya mak akan masak rendang daging, ayam masak merah, nasi minyak atau ketupat dan lemang yang sedap. Sup tulang jika abah ada membeli lembu.

Saya berhasrat ingin buat rendang juga, tapi belum ada keyakinan di samping perlu mencari bahan-bahannya yang banyak. Ada beli pes rendang, tapi tak sama dengan yang mak buat. 

Puasa dalam kawalan pergerakan begini rasanya tidak begitu membebankan. Pergi ke pejabat seminggu sekali dua sahaja (harapnya). Tiada bazar pun satu kelebihan juga. Jimat duit, kan. Konon. Entah-entah setiap hari order Foodpanda. Masak simple sahaja dah kalau betul nak berjimat dan didik diri serta keluarga menghayati Ramadan melebihi masak dan makan-makan.

Raya? Aduh, tak boleh nak fikir. Kalu ditakdirkan tidak boleh beraya juga di kampung, terima sahajalah. Sayu memang sayu.
Apa yang boleh kita harapkan ialah keselamatan dan kesihatan ahli keluarga yang tidak dapat berkumpul bersama-sama. Semoga semuanya jaga diri dan terhindar daripada Covid-19.

Selamat berpuasa, mak abah. Jaga diri. Insya-Allah panjang umur kita jumpa nanti.

Wednesday, April 22, 2020

PKP Hari Ke-36: Memilih Sibuk atau Sunyi?


It’s good that everyone’s busy with their own lives but I hope we’re not lonely
They say no news is good news, but the world’s grown too dangerous for that
Whenever something’s up, just call me
More precious than my dreams were my friends
When our town was our whole entire world
(Epik High - Us Againts the world)

Hari ke-36 PKP, kawan-kawan. Saya terbaca tentang 'new normal' yang saya sebutkan semalam. Saya silap sedikit. Hari ini membaca berita ini:

“Kriteria pertama ialah kawalan sempadan yang penting untuk mengelakkan kes import berlaku dan perkara ini kita belajar daripada negara lain.
“Kriteria kedua, kawalan pergerakan untuk memastikan tiada rakyat tempatan dijangkiti dan pentingnya untuk rakyat berada di rumah.
“Kriteria ketiga pula adalah berkenaan peningkatan fasiliti kesihatan, manakala kriteria keempat ialah keperluan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kriteria kelima pula adalah mengenai mengadaptasi normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai pelindung muka yang perlu dilakukan masyarakat hari ini.


“Kriteria keenam ialah pemerkasaan komuniti yang penting untuk menjaga kawasan yang tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu,” katanya.
Begitulah, budaya masyarakat akan berubah, bukan sahaja kerana trend semasa dunia, tetapi juga bencana dan penyakit.

Kita bagaimana?

Sedikit sebanyak tentunya budaya hidup kita juga berubah. Sebagaimana kehidupan semasa zaman sekolah, tentunya berbeza apabila menjelang remaja. Ramai kawan-kawan yang kita tinggalkan dalam menempuh dimensi baharu kehidupan. Begitu juga ketika menjejak dewasa, zaman tua dan hari menunggu mati.

Setiap dimensi kehidupan akan menempuhi 'new normal' (ah, kalau new norma pun ok kan?)

Ketika ramai (dalam satu kelompok), kita terpaksa menerima budaya yang paling dominan. Hendak tidak hendak, terpaksa ikut. Ia banyak berlaku ketika zaman sekolah. Kita terpaksa berkawan dengan orang itu atau ini untuk diterima dalam kelompok besar mereka.

Entah mengapa, dalam situasi sekarang saya berasa sedikit aman kerana kesibukan saya bukanlah kesunyian. Dan kesunyian saya tiada siapa sibukkan.

(Tiada idea nak tulis apa hari ini. Nantilah sambung)

Tuesday, April 21, 2020

PKP Hari Ke-35: Letih, Rehatlah



Hari ke-35 PKP, sebenarnya saya sudah letih dengan 'new norma' ini. Tapi nyawa lebih penting kan? Beberapa kerja nampaknya kurang lancar. Ruang rumah, lap top yang kurang efisien serta SOP kerja yang berubah sedikit memungkinkan mood menjadi tidak keruan. 


Saya tidak pasti berapa lama lagi keadaan ini akan berlangsung. Ada yang kata sehingga puasa. Ada yang kata raya pun masih PKP. Ada yang kata sehingga hujung tahun. 

Di Malaysia, situasi terkawal walaupun kes dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kluster yang baruy muncul - kluster pelajar yang pulang dari Indonesia, kluster Selayang (warga asing di pasar borong) dan kluster pelajar-pelajar tempatan yang akan dibenarkan pulang ke kampung masing-masing.


Sementara itu, keadaan negara masih perlahan. Banyak industri memperlahankan kegiatan ekonomi. Bermakna ramai yang kehilangan kerja, dibayar gaji separuh dan kehilangan punca pendapatan bagi yang bekerja sendiri.

Cabaran yang besar ini dihadapi dalam tempoh sehingga sekurang-kurangnya bulan Ogos. 

Demikianlah. Seletih-letih kita menangani kehidupan yang membosankan di rumah, ada orang bertungkus-lumus menyediakan nasi untuk keluarganya makan.

Tadi, dalam group whatsApp keluarga, sengaja saya bergurau apabila adik bongsu menunjukkan menu makan malamnya - nasi dan telur serta sedikit sayur. Saya sebutkan: Penat mak hantar sampai kolej belajar jadi chef.

Dia menjawab, "Nak buat macam mana. Tiada duit, tiada kerja."

Kemudian dia memecahkan rahsia, hotel tempat dia bekerja tutup sementara. Bermakna tiada kerja dan gaji untuk mereka. Saya terus jadi sedih. Berharap gaji segera masuk untuk saya bantu dia mana yang boleh.

Tadi juga, Syikin (adik ipar) telefon. Sekadar mahu berbual itu ini. Saya sebutkan, rindu dengan pau yang abah Tampin buat. Beli pau sejuk beku di sini, tak sama dengan keenakan pau abah. Rasa nak berniaga pau sejuk beku lepas PKP ni.

Jika raya pun tak dapat balik, saya sudah kena rancang mahu raikan raya di KL dengan cara bagaimana. Mungkin hanya masak sedap-sedap dan duduk sepanjang hari di rumah. Apa lagi kan?
Segalanya berubah. Ini new norma katanya. Kita beradaptasi dengan kehendak alam takdir Tuhan.

Jika letih, berehatlah. Jangan paksa diri melawan sesuatu yang kita tak mampu ubah. Tapi selagi nyawa masih ada, berusahalah.
Hari ini saya sedikit letih. 




Monday, April 20, 2020

PKP Hari Ke-34: Natsuko Kira; Cinderella yang Melawan Raksasa




Hari ke-34, Isnin, saya mendapat e-mel. Ada pembetulan perlu dilakukan. Hari yang baru bermula, ah, sebenarnya bangun lewat, terus menjadi laju. Bangun, bersihkan diri dan segera ke dapur. Membuka peti sejuk, melihat apakah makanan yang boleh dihidangkan pagi sehingga petang. Saya lihat dinding, jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. 

Ada beberapa biji pisang tanduk dalam almari, sudah mula masak. Segera ambil, bancuh tepung dan panaskan kuali. Ketika memasak pisang goreng, teringat pula makanan untuk tengah hari memandangkan saya akan ke pejabat sebelum pukul 12 tengah hari bagi menyiapkan dokumen yang diperlukan. 


"Adli, pergi kedai, beli kurtiau, tauge, sawi ... bla bla..." Adli dengan lemaunya terpaksa pergi. Siapa lagi, kan? 

Semua siap di masak - semangkuk besar kuetiau goreng dan sepinggan penuh pisang goreng. Harap cukup untuk mereka di rumah ini. Saya ambil baju, gosok dan segera bersiap.

Dan ketika tiba di pejabat, baru teringat. Tak sempat makan apa pun yang di masak tadi. Oh ya, hanya seketul pisang goreng.

Melihat Ibu Bekerja

Wah, tajuk macam buku puisi Aan Mansyur - Melihat Api Bekerja. Ya, begitulah. Melihat ibu bekerja seumpama melihat api bekerja. Ada yang masak elok, ada yang hangus terbakar. Mungkinkah?

Sebetulnya saya teringat drama Jepun yang ditonton sejak semalam. Dan episodnya yang sedikit, hanya 10 episod dengan durasi tidak sampai sejam setiap episod, saya jangkakan boleh menyudahkan tontonan lebih awal. 

Sebetulnya saya menonton drama ini hanya kerana Nanako Matsushima. Pelakon Jepun yang comel ini kali terakhir saya tonton dramanya sekitar 1998 kalau tak silap melalui drama popular ketika itu Great Teacher Onizuka (GTO). Bagusnya drama bertemakan pendidikan dan perguruan itu, membuatkan saya membeli VCDnya walaupun mahal. Tapi sayang entah mana VCD itu hilang. 

Apa pun, saya tidak berharap yang hebat dalam drama Natsuko Kira (2016) ini. Sekadar mahu menikmati temanya yang berkaitan dengan ibu yang bekerja. Adakah cabarannya sama di Malaysia?

Natsuko Kira, Cinderella yang kehilangan Istana

Cerita mengisahkan Natsuko Kira, seorang wanita berkerjaya yang memegang jawatan ketua bahagian kreativ dalam sebuah syarikat pengiklanan yang popular, Toho Advertising. Perwatakannya yang kuat bekerja, tegas seiring dengan stereotaip wanita berkerjaya - sombong, tidak mahu mengalah dan memandang rendah keupayaan orang bawahannya.

Sehinggalah suatu hari, Natsuko pengsan kerana terlalu kuat bekerja. Dia diselamatkan oleh seorang lelaki, Kotaro Koyama yang akhirnya menjadi suami dan bapa kepada anak mereka, Sota. Dalam tempoh cuti bersalin selama tiga tahun, 'cinderella' itu bergelumang dengan urusan rumah tangga menguruskan anak dan suami.



Sehinggalah tempoh cuti itu tamat dan dia, Natsuko Kira, Cinderella itu kembali ke istana yang lama ditinggalkannya dengan izin sang suami.

Natsuko menghantar anaknya ke pusat jagaan kanak-kanak dan menuju ke 'istana' lamanya dengan bersemangat seperti dulu. Dia tidak menjangkakan sesuatu berlaku. Dalam tempoh ketiadaannya, syarikat mengalamai perubahan bukan sahaja dari aspek pengurusan malah hala tuju. 



Natsuko yang berharapan mendapat semula jawatan lamanya, ketua bahagian kreatif, terkejut apabila yang dijanjikan oleh pengarahnya berbeza sama sekali. Dia bukan sahaja tidak mendapat tempat di bahagian lama, tetapi hanya dijadikan 'decoration' di bahagian perniagaanuntuk menjaga imej syarikat yang kurang baik kebelakangan ini.

Cinderella yang melawan Raksasa

Maka bermulalah cabaran Natsuko menangani bahagian yang paling corot dengan staf yang kurang motivasi. Bukan sahaja aspek kepercayaan antara mereka gagal, malah cara kerja juga berbeza. Natsuko yang terbawa-bawa gaya lamanya dalam bidang kreatif sering kali bertentangan dengan staf senior bahagian perniagaan, Yoneda. Malah, setiap usaha mereka gagal akibat persaingan dalaman syarikat sendiri yang mengejar pelanggan yang sama.
Kerugian demi kerugian merapatkan hubungan Natsuko dengan staf bawahannya yang dulu diabaikan, Takagi. Walaupun Tagaki tidak menyukai Natsuko pada waktu itu, namun dia mengagumi beberapa sikap Natsuko apatah lagi dia sudah menggantikan tempat Natsuko sekarang.

Konflik juga berlaku dalam rumah tangga apabila Natsuko terpaksa menyerahkan tugas mengambil anak di taska kepada suaminya yang turut sibuk. Sehinggalah muncul Miyuki Sakabe, penjaga kanak-kanak profesional yang cemburu dengan kehidupan sempurna Natsuko. Sakabe mula memasang rancangan menggoda Koyama dan rumah tangga Natsuko mula bergoyah.


Tekanan di tempat kerja dan rumah tangga membuatkan Natsuko mula rapuh. Antara terkejar-kejar kerana perlu balik tepat jam 6 untuk mengambil anak, dan menguruskan projek-projek  syarikat yang bakal menentukan masa depan staf bawahannya.

Bahagian perniagaan akan ditutup! Ini bermaknaNatsuko akan kehilangan kerja. Walaupun dari awal dia tahu, dia sekadar 'decoration' di syarikat itu, namun Natsuko tidak menjadikan itu sebagai alasan sambil lewa. Kerja ialah kerja. Mereka diberi cabaran yang besar, untuk mendapatkan kontrak pengiklanan dengan amaun yang besar.
Mampukah Natsuko menyahut cabaran itu, dengan sekelilingnya yang penuh tikaman dan rumah tangga yang hampir runtuh?

Ibu bekerja dan cabarannya

Natsuko Kira membawa tema cabaran ibu bekerja di Jepun. Adakah situasinya sama dengan di Malaysia? Saya kira tak jauh beza apabila melihat diri sendiri.



Walaupun tidak berjawatan tinggi seperti Natsuko, perit getir ibu bekerja telah saya rasai sejak dulu. Bagaimana Sabtu Ahad yang terpaksa digadaikan demi tugasan di pejabat (ketika menjadi wartawan dahulu). 

Kini, walaupun tidak melibatkan banyak kerja di luar, tetap ada caran tersendiri. Menguruskan anak-anak ke sekolah, mengambil tahu soal pelajarannya dan menguruskan masa antara kerja pejabat dengan rumah.

Apatah lagi melibatkan soal emosi - kepenatan bekerja, mood yang tibak baik dari rumah atau dari pejabat dan banyak lagi. 

Saya? Saya sendiri masih gagal menguruskan semuanya dengan baik. Sangat banyak kelompongan yang saya sedari dan terlepas pandang. 

Begitulah cabarannya. Dan kita bukan suka-suka mahu bekerja meninggalkan anak begitu begini. 

Namun, apa pilihan kita, kan. 












Sunday, April 19, 2020

PKP Hari Ke-33: Menjadi Jujur

Photo by Suzy Hazelwood from Pexels
Hari ke-33 PKP, bagaimanakah kita jujur kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling tentang susahnya kita menjadi diri sendiri apabila berada di media sosial - sering kali tulisan kita dicemari persepsi dengan keadaan sekeliling.


Entah kenapa persoalan jujur tidak jujur ini muncul. Mungkin kerana terasa bosan dengan penulisan-penulisan yang tidak jujur termasuklah diri sendiri.

Jujur untuk siapa?

Membaca buku seseorang, apa yang kita cari? Cerita? Keseronokan plotnya? Perwatakan? Gaya bahaya penulisnya?

Saya pernah menyatakan betapa seronoknya membaca buku yang tulisannya jujur. Jujur bagaimana? Yang menulis kerana dia mahu menulis. Mahu bercerita. Mahu perkenalkan watak-watak yang unik dan menarik, mahu memberi pengajaran di sebalik kisah?

Yang tidak jujur, bagaimana?

Ia subjektif. Saya tahu. Sukar meletakkan nilai jujur tidak jujur dalam tulisan orang, sesukar kita mengatakan perbuatan seseorang itu jujur atau berselindung di sebalik sesuatu.

Pengalaman sebagai editor sangat kecil jika mahu mengatakan karya itu jujur dan karya ini tidak jujur.

Tetapi apabila mengikuti cerita di FB sejak semalam, ia boleh saya gambarkan sebegini:

Sebuah group masakan dibuat untuk berkongsi masakan yang tidak jadi. Dalam tempoh sehari sahaja group berkenaan menjadi 'page' dengan bilangan ahli ratus ribu (hampir mencecah 500k ahli).

Ini mengingatkan saya tentang group/page masakan satu lagi yang dibina untuk berkongsi apa sahaja masakan dan resipi untuk pengunjungnya.

Apa persamaan kedua-duanya?

Pengunjung berlumba-lumba berkongsi masakan (yang jadi dan tak jadi) dengan pelbagai tujuan dan sudah tentunya untuk meraih like dan komen yang banyak. Akhirnya medan perkongsian menjadi negatif dengan komen-komen pengunjung lain. 

Kerana takutkan atau elakkan komen negatif, seseorang yang berkongsi masakan akan menulis, 'jangan kecam'. Dari situ niat berkongsi demi kebaikan bersama sudah menjadi lain - takutkan pandangan orang. Ada juga yang berkongsi resipi dengan gambar palsu (gambar yang diambil di Google atau masakan orang lain)

Begitu juga dengan page baharu masakan tak jadi tu. Demi meraih 'like' dan perhatian orang lain, ada yang dikatakan 'fake' dalam memaparkan masakan yang tak jadi. Sengaja buat tak jadi, sengaja 'create' cerita itu ini.

Dalam hal penulisan buku juga sebenarnya ia berlaku.
Seseorang yang awalnya menulis untuk diri sendiri, kepuasan sendiri, akan mula berubah perspektif dan gaya jika tulisan itu mula didedahkan kepada umum. Pandangan orang, komen memuji atau mengeji sedikit sebanyak akan mempengaruhi gaya penulisannya. 

Saya pernah mengikuti beberapa penulis kreatif di media sosial yang pada awalnya menulis kerana meraikan penulisan itu sepenuhnya. Daripada tiada like sehinggalah banyak like dan share, dia terus menulis, lebih galak. Tapi tulisannya sudah hambar. Terasa dipaksa-paksa. 

Tapi ini tidak berlaku kepada penulis yang tidak popular di media sosial. Dia menulis kerana dia mahu menulis, dan bukannya kerana jangkaan orang sekeliling. 

Sebenarnya ini pandangan peribadi sahaja. 

Tulisan yang jujur pada zaman ini sudah semakin sukar dicari. Orang menulis untuk pelbagai tujuan - buat duit, kemasyhuran, dapatkan sesuatu, perhatian dan banyak lagi.

Sudah kurang karya yang memberi kepuasan kerana kurangnya penulis yang menulis hanya kerana kegilaan menulis.

Dan saya mengambil keputusan untuk tidak berkongsi beberapa catatan di sini di FB kerana saya mahu ia tersimpan di sini sebagai catatan peribadi. Lagipun siapa sahaja yang datang ke blog ini, kan?

Bagaimana mahu meraih semula kejujuran dalam berkarya? 

Saturday, April 18, 2020

PKP Hari Ke-32: Life Finds a Way: Pergelutan dengan Siapa?



I wanna start over from age 12,
Now I know for sure what I'm good at
I can be more honest with myself
I wanna start over from age 12,
A wasted day
A meaningless week,
A messed up year,
A pointless decade
I would never ever ruin it again
If I can start over...
(Triplefire)

PKP hari ke-32, Sabtu dan kemurungan melanda tiba-tiba. Mungkin kerana memikirkan adakah PKP akan dilanjutkan lagi pada ketika umat Islam akan menyambut bulan puasa minggu hadapan? Tentang puasa, okey lagi. Eloklah duduk di rumah sahaja. Bagaimana dengan raya? Adakah raya tahun ini akan menjadi raya yang paling aneh dalam hidup saya?

Sepanjang hari kepanasan berada di dalam rumah (Oh Tuhan, berilah rezeki lebih baik untuk saya menyewa atau beli rumah yang lebih selesa untuk diri dan anak-anak). Sebetulnya rumah ini okey sahaja sebagai tempat perlindungan. Ada orang yang tiada rumah pun kan? Yang terpaksa berhimpit-himpit dan sebagainya. Bukan saya mengeluh, tapi jika saya mampu, saya mahu cari lebih baik. Bukankah itu fitrah dalam diri manusia yang normal - menginginkan sesuatu yang lebih baik untuk masa depannya?

Alhamdulillah, petang tadi hujan agak lebat. Sempatlah Umar bermain hujan dan keluar menghirup udara lebih bersih setelah sepanjang hari belengas dan rusuh bergelut dengan ibunya yang mula memaksa dia belajar itu ini.

Life Finds a Way: Tentang Pergaduhan dengan Diri Sendiri

Adakah kita ditakdirkan menjadi apa yang kita lakukan dan wujud hari ini? Mengapa jadi editor? Mengapa jadi penulis. mengapa kerja ini, kerja itu, tidak bekerja ... bla bla bla...

Setiap sesuatu ada puncanya, gagal atau jaya.

Begitulah Hirofumi Watanabe wujud. Ditakdirkan dia menyukai filem, menyukai kebebasan, menyukai hal-hal yang tidak mengikat.

Apabila filem-filemnya tidak berjaya malah mendapat kritikan yang hebat, dikutuk serta tidak mendapat apa-apa dana atau keuntungan, Watanabe mula kecewa dan hidupnya menjadi tidak terurus.
Babak dalam kereta bersama kawan baiknya sejak kecil, Kurosaki, Watanabe mula memperkatakan segenap hal tentang perfileman. ia bermula dengan mengkritik masyarakat Jepun yang mempunyai budaya yang menjengkelkan - terlalu kuat bekerja dan terikat dengan peraturan.

Babak dalam kereta ini juga mengandungi simbolisme yang dekat dengan dirinya - masih bergerak, berjalan dan melalui banyak tempat serta orang.

Sepanjang berada dalam kereta yang bergerak itu, Watanabe menyatakan masyarakat Jepun sinonim dengan semut (ant) yang diketahui umum kuat bekerja dalam sistem yang ditentukan berbanding masyarakat Perancis yang boleh disamakan dengan grasshopper (cicadas - riang-riang, sebenarnya).

"Grasshopper memberi hiburan dengan muziknya (bunyi) ketika musim sejuk di Perancis." Kata Watanabe.



Masyarakat Jepun tidak pandai menilai filem, tidak memberi kebebasan kepada pembuat filem malah tidak pandai menikmati apa itu filem. Ini amat mengecewakan Watanabe yang kononnya sudah sedaya upaya menghasilkan filem untuk masyarakatnya. Dia juga berbangga dapat ke Perancis bergaul dengan pembikin-pembikin filem yang lebih besar.

Rutin harian Watanabe menjadi bosan apabila tiada satu pun skrip dapat ditulis. Dia hanya melepak di kedai kopi kesukaannya (oh cantiknya kedai itu), minum kopi berjam-jam dan balik. Sampai di rumah, hanya baring, termenung dan sesekali berjalan mengitari sawah padi untuk ambil angin (menangkap ikan? Udang?).




Suatu hari dia mengalami kesakitan di seluruh badannya, lalu ke hospital. Keadaannya agak teruk, demikian menurut doktor kerana rutin hariannya yang tidak sihat - stres, pemakanan tidak seimbang dan tidak bersenam. 

Dia tidak menghiraukan hal itu, sehinggalah suatu hari dia mendapat sepucuk surat daripada peminatnya. Sayangnya surat itu tidak langsung memuji filemnya tetapi mendesak dia agar tidak membuat filem lagi. 



Watanabe sangat kecewa dengan keadaan itu. Namun dia percaya dia masih punya waktu untuk memperbaik situasi setelah hampir banyak masa, tenaga dan ruang dibazirkan begitu sahaja.

Bagaimana akhirnya? Adakah minat dan kepercayaan kepada diri yang mendalam mampu membantu Watanabe mengisi semula hatinya dengan kesukaannya itu? 

Bagai Melawan Bayang-bayang Sendiri ...

Watanabe dalam filem ini yang juga merupakan pengarahnya membawa mesej tentang perfileman di Jepun yang mula dilihat kelam. Pada babak akhir, dinyatakan beberapa soalan kepada umum tentang apa itu filem, filem apa yang diminati, pengarah dan pelakon kesukaan dan pelbagai soalan lagi (babak 'interview' ini menarik)

Apa sebenar masalah perfileman di Jepun? Siapa yang ambil peduli? Apa peranan penggiatnya?



Menurut Hirofumi:

Life Finds a Way' is a comedy set in a Kitakanto country town,which depicts the life of a film maker struggling in a little corner of the Japanese film industry. I hope you have a laugh, check out the music by Triplefire and enjoy the film.

Demikian filem ini dihasilkan atas kerjasama dengan Moosic Lab yang bergabung dengan Japanese Film Festival dalam membawa persoalan tentang dunia filem dan muzik di Jepun. 

Sebetulnya ini filem ketiga yang saya tonton dalam projek ini. Memang kesemua filem gabungan pembikin filem dan pembuat muzik. Saya fikir di Malaysia, kita patut buat begini bagi menyokong sesama industri. 

Untuk dunia buku terutamanya, yang bukan industri menguntungkan (walau di mana-mana negara), kerjasama dengan pelbagai pihak berlainan industri amat perlu. Buku seharusnya wujud dalam industri seni, pelancongan, kebudayaan, industri tani dan banyak lagi.

Tapi mengapa buku amat peribadi sifatnya, sendiri dan terbiar?

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...