Wednesday, January 13, 2021

PKP 2.0 & MASTER IN THE HOUSE



Perasaan berbaur. Kita belum menang. Tahun 2021 yang kita harapkan boleh bermula dengan ketiadaan Covid, nampaknya hanya bayangan. Masih samar. Masih perlu SOP, penjarakan sosial, masih perlu memakai pelitup wajah. Masih perlu kurangkan kesesakan. 

Permulaan yang tertangguh. Kata seorang rakan penulis. Ah, menulis sahajalah kawan. Seorang rakan penerbit pula mengeluh kecil. Segala aktiviti penerbitan dan percetakan sedikit terganggu. Perancangan untuk tahun ini sedikit 'pause'.

Tapi saya percaya, setiap yang berlaku, bukan... bukan tentang hikmah semata-mata (jika kau kata itu klise), setiap yang berlaku akan menemukan kita dengan sesuatu yang lain. Hikmah la tu kan. Pedih bagaimana pun perjalanan menentang Covid ini, kena teruskan.

Hari pertama PKP 2.0 ini sudah tidak gelabah apa. Beli keperluan dapur semalam di pasar raya Hero pun sekadarnya (sebab poket pun kosong). Tapi orang lain, tetap sama. Barang di rak hampir kosong. Ayam ikan, sayur. 

Work From Home (WFH) berkuatkuasa kembali. Saya gembira dengan WFH tapi dalam masa yang sama perit juga kerana setiap hari ada submission. Jadi, kena pi pejabat jugalah sekejap untuk urusan cetak dan cap. 

Beberapa hal juga membimbangkan apabila memikirkan emak dan abah di kampung yang katanya sudah ada kes positif di sana rentetan kenduri kendara akhir tahun lalu. Dahlah keluarga kami memang ada buat bisnes sewa khemah dan masak-masak untuk kenduri. Bimbang juga dengan perancangan majlis kahwin adik bongsu yang akan diadakan akhir bulan dua. PKP ni, tak mungkin hanya 14 hari memandangkan kesnya sangat banyak dan seluruh KL dan Selangor merupakan zon merah.

Master In The House (MITH) 2017


Perkataan-perkataan mereka mengandungi perjalanan masa. Perbuatan, tingkahlaku juga melambangkan pengalaman yang banyak dan panjang - suka suka, perit pilu perjalanan kerjaya sebagai seseorang yang pakar dalam bidangnya. 

Saya temui kata-kata ini dalam program Realiti TV Master In The House (MITH) atau dikenali juga sebagai The Butlers atau Jibsabu yang dihoskan oleh (tentulah) Lee Seung Gi, Yang Se-Hyung, Lee Sang-Yoon dan Yook Sung-Jae.

"Membaca buku atau catatan tentang mereka tidak cukup untuk kita ambil pengajaran dan mencontohi keberjayaan mereka." Kata-kata Lee Seung Gi dalam episod pertama MITH ini terus menarik minat saya menonton setiap episod dengan paparan 'master' yang hebat dalam setiap episod.

Bagi saya, rancangan ini sangat menarik dan memberi nilai tambah kepada penonton umumnya dan hos tentunya mengenai kepakaran, kemahiran, keistimewaan, kelebihan dan keunikan setiap orang dalam bidang amsing-masing.

BoA (dalam episod ini yang saya tonton hari ini) contohnya, tidak bersekolah biasa sejak umurnya 14 tahun kerana fokus kepada bidang nyanyian dan tarian. Tentulah BoA yang pada hari ini walaupun masih dalam lingkungan 30-an mempunyai pengalaman yang sangat besar dan luas dalam bidangnya.

Setiap episod menawarkan pengalaman yang berbeza dengan setiap 'master'. Sungguh mengesankan bagi kita yang selalu terumbang-ambing mencari arah dan kelebihan sendiri.

Thursday, January 07, 2021

6/2021: CINTA


https://www.pexels.com/photo/white-and-pink-flowerson-a-book-beside-eyeglasses-545042/


"laksana layang-layang dalam pusaran angin

aku terkenangkanmu
laksana pusaran angin tanpa layang-layang
kau kehilanganku."

— T. Alias Taib (Seberkas Kunci)

Demikian, tiba-tiba teringatkan puisi ini tatkala mahu bercakap soal cinta. Tentang cinta, kata-kata dan abjad pun tidak mencukupi untuk menyatakan segala rasa.


Dari mana saya mahu mulakan? Dari kisah cinta kali pertama sehingga kisah cinta yang datang berkali-kali, tanpa dipinta, tanpa diduga? Setiap orang ada kisahnya yang tersendiri, kan? Sebab itu tema cinta amat popular dalam apa juga genre - baik penulisan (novel, puisi, cerpen dll), juga filem, drama dan apa jua.

Cinta ditafsirkan dengan pelbagai tanggapan, pelbagai rasa, pelbagai kemahuan.

Hari ini terkoyak sehelai kertas di kalendar,
yang muda sehari lebih tua
yang tua setapak lebih dekat ke pusara,
aku tidak bimbang menghadapi kematian
atau bakat yang berkurangan.
Daun-daun pun lekang di dahan
kupu-kupu pun sementara di cahaya pelita.
Aku tidak akan berduka,
kita para kekasih akan mati,
tapi cinta tidak reput di bumi,
cinta bukan milik kulit, daging dan tulang,
ia kepunyaan ingatan dan kesetiaan.

~Baha Zain. Surat ke Semenanjung dari Benua Jauh.

Pedihnya apabila cinta tidak direstui keluarga kerana diri masih muda dan mentah. Lukanya hati apabila cinta hanya berlandaskan nafsu dan cinta luaran sahaja. Tersiksanya menanggung rindu bertahun, hanya surat sebagai pengganti diri, dan kemudian cinta tak menjadi. Cinta pandang pertama, wujudkah? Jadi selepasnya, pandang kedua dan ketiga bukan cintakah?

Usia yang semakin banyak ini menenggelamkan saya kepada pencarian cinta. Debar rasa dan tidur tak lena juga semakin jarang dirasai. Mungkin kerana saya sudah lama memiliki, menikmati suka duka cuka gerahnya rasa atau semakin bosan dengan rasa yang datang menyesakkan dada ketika mata tiba-tiba terpanah pada seseorang yang entah siapa.

Jadi, untuk topik cinta, saya tidak tahu mahu menuliskan apa. Setiap yang merasai pasti tahu dan tidak mampu menggambarkannya dengan kata-kata. 
Ada waktu-waktunya
manusia menempuh saat-saat aneh:
ada cinta dan rindu sewaktu pagi
ada kesepian dan kesedihan menjelang senja
dan mimpi-mimpi ngeri sebelum fajar tiba.
Bertahun-tahun dahulu segalanya terjadi
kini aku hanya terkenang dengan tiba-tiba
tak sengaja mengeja namamu di atas meja
aku hanya senyum, tak ada apa-apa lagi antara kita
hanya mengenang keterlanjuran zaman muda.
Adakah apa yang dikatakan keindahan
hanya dalam ingatan dan bayangan
yang membikin kita senyum sendirian
seperti tidak siuman?
Kita bukan hanya jasad,
ada sebuah dunia di dalamnya
berlegar seperti bintang-bintang
dalam cakerawala yang gelap dan ghaib.
Kita hanya tahu dunia itu ada
meskipun tak bersuara dan ghaib di mata
yang kita namakan kenangan.
Apakah engkau masih mengingati namaku juga
walaupun tidak lagi menulisnya setiap hari di dalam diari ?
~Termangu Dalam Arus Waktu. Baha Zain

Tuesday, January 05, 2021

5/2021: PRANK



Suatu petang ketika saya sedang tekun menyunting manuskrip, telefon di meja berbunyi. Saya angkat dan suara staf bahagian sumber manusia menerpa pendengaran. Saya diminta segera ke pejabat sumber manusia. Ketika sampai, saya diminta masuk ke bilik pengurus sumber manusia. Dalam debar yang bukan sedikit, saya masuk perlahan-lahan. Di dalam bilik itu, kelihatan ketua jabatan saya, ketua sumber manusia dan staf bahagian itu.

Sebetulnya saya lupa apa yang terjadi, namun situasinya lebih kurang begini: Mereka bertanya sesuatu yang serius, yang menuntut pegakuan saya. Saya terkaku dengan soalan itu tapi sebelum sempat saya berfikir lebih jauh, mereka pun tertawa dan mengatakan sekadar mempermainkan saya. Saya menjerit kecil dan menangis.

Begitulah saya dipermainkan oleh pakatan bos dan staf sumber manusia. Saya tidak marah kerana sebetulnya saya dapat duit (entah sebab apa) dalam peristiwa itu. 

Namun, ada beberapa hal lain, seseorang yang saya tidak sukai, melakukan 'prank' yang mencalarkan kredibiliti saya. 

Menyimpulkan hal 'prank' yang saya alami, saya membuat kesimpulan sendiri bahawa saya bukanlah orang yang sesuai untuk dijadikan mangsa 'prank'.

Mengingat hal ini, saya juga teringat beberapa program 'prank' yang dilakukan di televisyen dan radio. Kebanyakan mangsa, ya, ketawa dan mungkin terhibur tetapi kelukaan, kekecewaan dan aib yang dilakukan secara visual dan audio, bagaimana diselesaikan?

Syukur alhamdulillah program-program seperti itu sudah tiada (barangkali, kerana saya jarang menonton TV dan mendengar radio berkenaan). Begitu juga dengan rancangan lawak yang ada di negara ini. Bukan kesukaan saya apabila sesekali tertonton, lawak yang dipersembahkan kebanyakannya sejenis merendahkan, memperlekeh dan mempermainkan orang lain. 

Saya seorang yang serius. Garang. Tak kena waktu, saya akan menunjukkan sikap tidak suka. Wajah saya, kata orang-orang terdekat, wajah yang tidak pandai berpura. Jadi, untuk hal ini saya selalu berdoa agar tiada sesiapa - sama ada orang yang saya kenali atau tidak cuba-cuba untuk mengenakan atau mempermainkan saya (prank).

Catatan hari kelima ini menjawab prompt yang bertajuk:

A popular TV show you don’t like and why. Make it as controversial as possible, for funzies and explain fully what made you dislike it.

Monday, January 04, 2021

4/2021: JIKA PUNYA KUASA



You’re in total control of the world for a year and can decide what to do, irrespective of the cost or any political woes that may arise. What things are you going to implement? Why?

Ah, tersenyum sekejap dengan tajuk kali ini. Jika ... jika aku kaya, jika aku punya tanah berekar, jika aku punya kuasa mengawal dunia....

Saya percaya, setiap orang pernah terfikir atau membayangkan jika mereka berjaya berada tempat yang mereka inginkan. Dan saya percaya ramai juga yang telah mencapainya dengan susah payah dan getir usaha.

Dalam banyak-banyak angan atau keinginan, menjadi pemimpin atau orang yang paling berkuasa di dunia rasanya tidak pernah saya bayangkan atau inginkan. Mungkin kerana kehendak dan cita-cita saya tidak besar. 

Namun, bayangkan sahaja jika saya memegang kuasa dunia untuk tempoh tertentu, rasanya apa yang saya mahu lakukan?

1. Menjadikan bumi ini lebih banyak 'hijau'. Membangunkan tanah-tanah terbiar untuk menjadi taman yang bermanfaat - taman untuk istirahat, taman untuk meluangkan masa bersama keluarga, taman yang memberi ruang kepada warganya untuk mengekpresikan daya kreatif, taman sayur-sayuran, taman buah-buahan.

2. Membina lebih banyak perpustakaan, membina budaya membaca yang tinggi, menyokong segala aktiviti perbukuan.

3. Mengurangkan kos sara hidup setiap manusia dengan apa cara sekalipun. Hidup untuk dinikmati dan bukan bekerja setengah mati.

4. Menghentikan segala peperangan di dunia. Ah, idealistik sangat tapi saya percaya, pemimpin atau sesiapa sahaja yang punya jiwa dan perikemanusiaan yang tinggi akan mengelakkan peperangan.

5. Membina sebuah pulau di hujung dunia khas untuk orang-orang jahat - antivaksin, rasis, orang yang menyelewengkan akidah, Islamophobia, pemimpin yang gila kuasa, perasuah, orang yang tak memasang signal ketika menukar arah pemanduan, guru-guru yang tidak ikhlas mengajar, editor jadian, orang yang melipat halaman buku ketika membaca... eh.

Demikian. Saya pun tidak tahu jika saya mampu mengawal dunia ini, entah bagaimana saya nantinya...

Akhirnya, saya cuma mahu mengisi kehidupan ini dengan hal-hal yang baik dan tentunya mahu membantu dan hidup bahagia dengan mereka yang saya kasihi. Sebab itu saya sertakan poster Mary Kay di atas. 



Sunday, January 03, 2021

3/2021: YANG MENAKUTKAN DAN MEMBERI PENGAJARAN




Apakah yang menakutkan dalam kehidupan manusia? Kemiskinan, keputusasaan, kehilangan, kelaparan, kematian. Demikian segalanya mungkin dialami ketika pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020. 

Sungguh. Itulah detik yang amat menakutkan bagi saya ketika itu. Saya, dan mungkin sebahagian besar manusia di dunia ini berasa bimbang dan takut apabila pada awal kemunculan virus ini di Wuhan, China meragut ratusan ribu nyawa. Setiap hari bilangan yang terkorban amat tinggi dengan paparan wabak yang sangat menakutkan.

Salah sebuah video oleh Malaysia Gazette tentang mangsa kematian amat mengharukan dan dalam masa yang sama menakutkan. Bayangkan, seseiapa yang terkena jangkitan ini, tidak dapat dilawati oleh sesiapa pun dan jika mati, juga mati sendirian - tiada orang tersayang yang menemani. 



Saya ingat ketika awal-awal PKP, bagaimana setiap orang begitu menjaga SOP yang ditetapkan sehingga sesiapa yang keluar rumah untuk beli barang, sebelum masuk ke rumah siap mandi dan cuci semua pakaian yang dipakai ketika keluar. Begitu sekali virus itu menakutkan kita. 

Ketika keluar rumah juga, kita sentiasa menjaga penjarakan sosial seolah-olah setiap yang di sekeliling kita pembawa virus atau pembunuh.

Namun, yang menakutkan ketika itu, semakin sirna dan tidak lagi menakutkan kini. Adakah kerana vaksin yang dijanjikan sudah sedia digunakan?

Apa pun, perasaan takut seperti berada dalam peperangan itu masih saya ingati dan akan kekal dalam lipatan sejarah mereka yang mengalaminya. Semoga virus ini tidak lagi menakutkan dan dunia kembali pulih seperti asalnya...

Ia amat mengajar saya tentang banyak perkara:

  1. SOP yang sebetulnya amat penting dalam aspek kebersihan - pakai mask, basuh tangan dengan air atau sanitizer, penjarakan sosial, elak tempat sesak.
  2. Perancangan kewangan ketika keadaan mendesak
  3. Perancangan masa ketika terkurung di rumah
  4. Pengurusan emosi
  5. Menghargai mereka yang disayangi

*Tulisan ini menjawab persoaan tentang: Something the horrors of 2020 taught you

Saturday, January 02, 2021

2/2021: 2020 - MENGENANG KEHILANGAN SETAHUN LALU

by pexels


Melihat kenangan lalu dalam rakaman Facebook, tentang hari ini pada tahun 2020, kesayuan kembali mendatang. Sudah setahun, kawan ...

Demikian 2020 memulakan acaranya. Sebahagian rasa hilang. Sebahagian rasa lagi mula sedar, tiada apa yang kekal di dunia ini. Tiada siapa menyangka, barangkali. Sebuah organisasi yang telah lama berkukuh di negara ini, dengan sokongan kuat kerajaan, turut terkena tamparan ekonomi. 

Ia merupakan hari yang sangats edih bagi saya. Pertama, kerana secara rasminya hal-hal berkaitan penerbitan buku sastera terhenti pada tahun 2020. Kedua, tentunya kehilangan kawan-kawan sama bidang (penerbitan) yang amat memilukan. 

Namun, itulah takdir. Itulah kehidupan. 

Dan selepas setahun, saya masih tidak putus mendoakan semoga kehidupan mereka baik-baik sahaja, luka diubati dan memperoleh rezeki lebih baik di luar sana.

Ah, masih jelas bunyi kotak dan kertas, buni resah dan sedih ketika mereka mengemas barang di meja kerja amsing-masing.



***

Demikian saya mengenang kisah ini apabila melihat tajuk Your first memory and what you think it says about you untuk bulan Januari ini. Terima kasih kerana mengingatkan.



Friday, January 01, 2021

1/2021: 10 LAGU TERBAIK MENGISI TAHUN 2020

Permulaan tahun baharu yang produktif. Alhamdulillah, selesai temu bual dengan seorang pelajar UITM, Ain, yang perlu menyelesaikan kerja kursusnya mengenai kerja editorial dan penulisan. Beberapa persoalan mengenai keterlibatan saya dalam bidang editorial, cabaran dan tugas serta soalan-soalan tentang penulisan.

Kemudian, menyambung perbualan dengan rakan-rakan blog di dalam WhatsApp mengenai perancangan kembara kami tahun hadapan. Tahniah Kak Emila untuk peluang dan ruang (rezeki) pemulaan tahun yang membahagiakan. Semoga program berjalan lancar dan terus memberi semangat kepada yang lain. 

Kemudian, Norsa'adah berkongsi sebuah blog untuk idea penulisan konsisten. Prompt. Saya membaca blog ini, dan menarik ya 'prompt' yang disediakan untuk kita menulis blog khususnya sepanjang bulan Januari ini. 


Jadi, untuk memenuhi keazaman 'rajin menulis' tahun ini, saya menyahut cabaran untuk diri sendiri, menulis berdasarkan prompt ini. 

Ten songs that made your 2020 and why
alternatively, you can write about an album that made your 2020 if it’s easier.

2020, banyak memerap di rumah akibat PKP, maka boleh dikatakan saya banyak menghabiskan masa dengan melayan Youtube dan drama Korea. Jadi, saya akan kongsikan 10 buah lagu yang memenuhi tahun 2020 ini.

1. Sakit - Zynakal & Yonnyboii



Lagu yang diluncurkan akhir tahun 2019 ini baru saya hayati tahun 2020 ketika awal-awal PKP. Sebuah lagu tentang individu yang mengalami depresi. Dan muziknya yang sedap menjadi terapi kala diri dilanda kemurungan akibat terkurung. Lagu ini katanya sebagai penjelasan terhadap peristiwa 'hitam' yang melanda Zynakal yang menjadi isu tahun sebelumnya. Boleh baca di SINI.

2. Kelabu - Yonnyboii ft Azlan 


Selepas keasyikan dengan lagu Sakit oleh Yonnyboii tadi, saya terjumpa pula lagu ini. Pun bercerita tentang depresi. Sungguh, saya jadi peminat penyanyi ini Yonnyboii yang menyanyi penuh penghayatan dengan suaranya yang tersendiri. Ditambah pula suara Azlan yang bernada tinggi. Menariknya saya terperasan dalam video lagu ini terdapat buku terbitan kawan saya, Masih Ada yang Sayang (terbitan Dua Penulis) iaitu himpunan kisah tentang pesakit mental. Maka, saya segera memaklumkan dalam 'group' WhatsApp kami. Video ini menjadi lebih menarik dengan adanya promosi buku itu. 

3. Holo - Lee Hi


Juga mengenai depresi, Lee Hi yang mengalami jatuh bangun dalam kerjaya seninya sejak berusia 18 tahun, pada tahun ini telah bertukar syarikat rakaman (AOMG) dan melahirkan lagu terbaharunya, Holo (Alone). Lagu ini katanya mengenai semangat yang merudum dalam diri seseorang yang perlu dipulihkan. Boleh baca tentang Lee Hi di SINI.

4. Cute (Stop Lah Being So Cute) - Harith Zazman, MFMF., LOCA B 



Pada awalnya tidak begitu menangkap dengan lagu ini kerana mungkin saya tidak begitu suka dengan lagu yang campur-campur bahasa Melayu + bahasa Inggeris. Namun saya suka suara Loca B yng halus lembut merdu. Saya cuba menonton muzik videonya. Memang cute. Apatah lagi dengan watak-watak sampingan (geng Sterk dan MFMF). Haritz Zazman bukanlah penyanyi yang pro. Beliau merupakan salah seorang ahli Sterk Production yang banyak buat video kelakar. Menariknya lagu ini bermula dengan 'suka-suka' apabila Haritz Zazman dalam tempoh PKP terasa bosan dan merindui 'crush'-nya. Dia mencipta lagu pendek dan memuatkan ke dalam tik tok (kalau tak silap). MFMF merasakan lagu itu sangat catchy lalu mempelawa Haritz untuk merakamkannya dalam versi panjang dengan kolaborasi Loca B. Lagu ini mendapat reaksi positif dari pelbagai negara kerana muziknya yang catchy.

5. The Ordinary Man - Lee Seung Gi


Ya, ya. Tahun 2020 saya dipenuhi dengan Lee Seung Gi. Selepas menonton hampir kesemua dramanya, baru saya tahu Lee Seung Gi merupakan penyanyi sejak awal kemunculannya sebagai artis pada usia 18 tahun. Bergelar 'Prince Ballad' Lee Seung Gi pernah popular pada awal-awal kemunculannya sehingga sedikit tenggelam pada tahun 2016. Pada tahun itu corak hiburan di Korea Selatan mula mengalami revolusi dengan kemunculan artis kpop seperti BTS, Blackpink dan lain-lain yang menenggelamkan sedikit genre balada. Lee Seung Gi kemudiannya berkhidmat dalam 'military' dan tahun 2020 beliau mengambil keputusan untuk menyanyi semula kerana itulah passion yang dia ada selain berlakon dan mengacara program realiti. Melihat usianya yang masih muda (33 tahun), cukup mengkagumkan dengan pencapaian dan penampilannya dalam pelbagai program TV, drama serta filem. Ini katanya album ke-7 yang bakal menguji semula kemampuan Seung Gi sebagai penyanyi balada. Oh, saya terus jadi fangirl Lee Seung Gi. :) Boleh baca di SINI.

6. Munajat - Daqmi


Suara Daqmi yang nyaring dan bergetar ini saya nikmati pertama kali ketika mendengar lagunya Tangis Sebatang Tamar yang menang dalam Anugerah Nasyid IKIM fm tahun 2014. Tidak ramai penyanyi nasyid/lagu keagamaan di Malaysia yang suaranya sedap begini. Lahir dengan album terbaharu, Daqmi membawakan lagu Munajat yang mengisi tahun 2020 yang penuh dengan ujian.

7. Spring Day - Song So He (Immortal Song)


Menyanyikan semula lagu Spring Day nyanyian BTS (tahun 2017) ini dalam Immortal Song 2 merupakan satu cabaran baharu buat penyanyi ini. Terkenal dengan genre atau stail 'pansori' iaitu seni nyanyian tradisional di Korea, Song So Hee membawakan lagu ini dengan sedap sekali. Menelusuri lagu ini, saya mendapat tahu BTS menyanyikannya dengan nada yang sama - kepiluan. Lagu ini katanya tentang tragedi Feri Sewol yang mengorbankan 300 pelajar di Korea Selatan dan mendapat kritikan hebat masyarakat kerana kecuaian pengendaliannya. Boleh baca di SINI.

8. 7 Nasihat - Dato' Siti Nurhaliza ft Kmy Kmo & Luca Sickta


Ah, siapa tidak kenal Dato' Siti Nurhaliza, kan. Muncul dengan genre irama tradisional + rap tentunya mengembalikan kerinduan kepada suara emas penyanyi kesayangan ramai ini. Sebuah lagu yang menarik dengan lirik memuatkan pantun nasihat kepada umum. Menariknya irama tradisional (joget) ini popular di Tik Tok dengan masing-masing mempamerkan bakat menari rentak tradisional. Oh, mujurlah saya sudah tua, jika tidak mahu juga join menari... :P

9. Sing [LOVE]+[I Give You My Heart] - IU & Lee Seung Gi


Seperti yang saya sebutkan, tahun 2020 ialah tahun saya dipenuhi Lee Seung Gi. :P maka, pilihan lagu ini termasuk dalam senarai. Semasa dalam perkhidmatan ketenteraan (military), IU menerima jemputan Lee Seung Gi untuk mengadakan persembahan dalam kem. Seung Gi berbesar hati apabila IU menerima pelawaan itu walaupun jadualnya sibuk. Kemudian Seung Gi membalas jasa IU dengan menghantar selori kopi (Coffee Truck) ke lokasi penggambaran drama IU. Dalam program live 'Naver Now', Seung Gi menghubungi IU melalui telefon untuk berbual. Mereka saling bertukar pandangan mengenai lagu dan saling memberi dorongan untuk melalui 2020 dengan tabah. Dalam perbualan itu juga, IU mengajak Seung Gi ke program live-nya, Pallete. Dalam Pallete, mereka menyanyikan lagu ini (bertukar lagu) dan saya merasakan mereka pasangan duet yang bagus. Semoga mereka berdua disatukan dalam sebuah drama/filem. 

10. Rose - Lee Hi


Selepas mendengar lagu Holo, saya terjumpa video 'live' ini. Lagu lama Lee Hi, Rose (2013) yang dinyanyikan secara akustik ini sangatlah sedap dan semakin matang. Lebih sedap daripada versi asalnya. Maka nikmati sahaja!

***
Sebenarnya banyak lagi lagu sedap yang mengisi tahun 2020 saya. Cukuplah ini yang dipaparkan. Semoga terhibur.

PKP 2.0 & MASTER IN THE HOUSE

Perasaan berbaur. Kita belum menang. Tahun 2021 yang kita harapkan boleh bermula dengan ketiadaan Covid, nampaknya hanya bayangan. Masih sam...