Friday, May 15, 2015

Menulis - 2015

Alhamdulillah, setelah disindir-sindir, ditanya-tanya, dicabar-cabar oleh rakan sekeliling tentang aktiviti penulisan saya, maka awal tahun ini dua buah buku saya keluar. Walaupun hanyalah antologi, masih saya gembira dan hal ini menjadi penanda aras saya perlu menulis lebih kerap.

Antologi Kapur Kasut vs Kapur Tulis dan Antologi Epistolari (50 Pucuk Surat Kepada ...) merupakan dua buah buku terbitan Metromedia yang dilaksanakan atas dasar muafakat komuniti Celikhuruf (sebuah komuniti pembaca-penulis-penggiat buku). Walaupun hanya 4 muka surat untuk setiap karya, masih ia beri sumbangan kepada 49 karya yang lain. Saya suka projek begini. Memeriahkan dunia buku.






Awal tahun lalu, cerpen saya tersiar di Tunas Cipta, saya gembira dan komentar pengkritik tetap Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka amat positif. Terima kasih tuan.

Apa lagi?

Setakat ini saya memang tidak konsisten menulis kerana ketidakcukupan masa (alasan. Alasan. Alasan). Malahan kerja-kerja penyuntingan buku orang lain juga banyak beri pengaruh kepada keupayaan saya untuk menulis.

Saya, akan terus menulis walaupun sehari sebaris ayat. Saya tahu saya boleh. Bukan untuk kagumkan sesiapa, tetapi mahu tinggalkan 'diri' saya untuk anak-anak 'baca' siapakah ibunya jika saya pergi meninggalkan mereka kelak.

Jadi, apa yang saya mahu tulis, tak lebih tak kurang untuk anak-anak saya, untuk mereka yang saya sayang dan untuk generasi yang akan datang. Saya tak mengejar nama atau piala kemenangan. Cukup hanya mahu meninggalkan yang baik-baik untuk mereka yang masih hidup nanti.

#Mahutulissenyapsenyapdandudukdiamdiam

RAHIMIDIN ZAHARI 1968-2015



Hari ini 15/5/15, seluruh warga sastera dan seni budaya berasa duka. Muram dan suram mewarnai ruang media sosial, perbualan dan wajah setiap rakan dan kenalan.

Sebetulnya semalam, jam 4.15 petang, Rahimidin Zahari dipanggil ilahi (14/5/15). Saya yang demam, berada dalam situasi tak mengizinkan, menerima berita itu dengan sebak. Mengikuti perkembangan beliau sejak mula dimasukkan ke dalam wad, dibedah dan sebagainya mebuatkan saya berfikir, 'jika ini yang terbaik buatnya, kami reda Ya Allah. Ambillah dia. Tempatkan dia dalam kalangan kekasih-Mu. Semoga segala karyanya, ilmunya, amal bakti, budi pekerti dan tutur katanya yang baik-baik menjadi bekalnya di sana.'

http://rahimidinzahari.blogspot.com/?m=1

http://ms.wikipedia.org/wiki/Rahimidin_Zahari

 http://www.bharian.com.my/node/54802

Apalagi yang perlu saya catat untuk tuan yang budiman ini?










Berehatlah tuan di sana. Kami akan menyusul. Al-FATIHAH.

Friday, May 08, 2015

Kawan, dan Sebenarnya Tentang Abah.



Abah, kenal tak Pak Cik Arman? Dia baru meninggal. Ila baca di FB anaknya tapi tak cam anaknya yang mana satu.

Ha ah. Baru meninggal. Dia tinggal di Blok Q. Macam mana nak cam, jarang balik kampung jumpa kawan-kawan. Jawab abah.

Dua persoalan;

  1. Mahu telefon abah, selalu akan cari topik seolah-olah telefon hanya untuk tanya fasal benda lain tapi sebenarnya memang sungguh-sungguh mahu berbual dengan abah. Cuma, tidak tahu mahu cari topik apa. Dan biasanya juga perbualan tanpa topik akan mendiamkan kami lalu abah akan pas telefon kepada emak. :(
  2. Memang mahu tahu tentang kawan yang ini kerana saya memang tak ingat sangat mana-mana kawan. Mungkin kerana perpisahan yang lama selepas melanjutkan pelajaran di ibu kota atau sememangnya saya ini tidak suka berkawan. 
**

Seorang kawan kami, penulis, penyair yang budiman sedang diuji dan bertarung nyawa dengan penyakitnya. Sungguh, saya pengagum beliau. Rahimidin Zahari. Sejak dimasukkan wad, ribuan ucapan dan doa mengiringi perjalanan sukar beliau. Saya berkesempatan menziarahinya di Hospital Selayang. Sekejap namun beri kesan yang bukan sedikit kepada saya. Menggelisah sepanjang siang dan malam, mendoakan dan mendoakan beliau segera sembuh, dengan izin-Nya.

Keadaan beliau begitu kritikal apatah lagi selepas pembedahan dilakukan bagi membuang darah beku dalam kepalanya. Dengar khabar darah terus mengalir dan memenuhi ruang kepala. Sungguh, saya tidak tahu begitu besar keadaan pesakit darah tinggi.

Dalam kegelisahan yang pasang surut membaca dan menerima perkhabaran teman-teman yang masih berkampung di hospital, saya menelusuri perkenalan dengan penyair hebat ini sejak beberapa tahun lalu melalui aktiviti dan acara-acara penulisan.Mungkin ada beberapa perkara saya tidak setuju malah bercakap-cakap pula tentang beliau.

Semalam, sebenarnya dalam tangis, saya menaip mesej kepada rakan yang ke sana di tengah malam Jumaat. Memohon agar membisikkan kata memohon ampun dan maaf. Entah kenapa, saya enggan memikirkan yang bukan-bukan tetapi tidak termampu berbuat apa-apa jika saya memang tak berkesempatan bertemu beliau lagi.

Dia, bukanlah seakrab mana dengan saya, tapi masa menguji keikhlasan silaturrahim itu.

**

Masa, kawan. Masa selalu memerangkap kita.
Tapi, kita berjaya melepasinya seperti kita menahan rasa saat kulit terbakar dek mentari, dan penuh gembira menunggu malam - bukan sahaja untuk menikmati dingin udaranya tetapi juga mahu menikmati indahnya bulan di dada malam.

Itulah cerita mengenai saya dan kawan-kawan walaupun sebenarnya saya mahu lebih berkawan dengan abah. Abah, kawan terbaik - yang terpisah tapi terikat sampai bila-bila.

Tuan Rahimidin Zahari yang budiman. Cekalkan hati tuan....

Wednesday, May 06, 2015

Tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015

Tahun demi tahun. Sebetulnya banyak cerita mengenai pesta buku yang terbesar di Malaysia ini. Sejak saya bergelar wartawan sebelum menjadi editor, buku dan pesta-pestanya, kedai dan acara-acaranya, dan apa sahaja yang berkaitan buku menjadikan diri saya terlontar dalam kelompok ini, walaupun tidaklah 'segila' penggila buku.

Seawalnya, kehadiran saya dalam dunia buku disebabkan keperluan kerja. Wartawan perlu banyak membaca. Terpaksa pula merujuk buku yang berkaitan untuk menyudahkan tugasannya. Sungguh, pada waktu itu saya mengenali buku hanya untuk mengutip maklumat-maklumat yang saya perlukan. Malahan, ada juga buku yang saya beli hanya untuk kajian dan data di dalamnya.

Kini, setelah dua tahun bergelumang dalam dua penyuntingan dan bergelar editor (penyunting), pemahaman, kecintaan dan pandangan terhadap makhluk bernama BUKU ini sungguh berbeza - semakin banyak perkara yang saya tahu dan mahu tahu.













PBAKL 2015

Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini saya menggeluti PBAKL sebagai petugas. Dua hari bertugas penuh dan lapan hari ke pesta buku untuk meraikan acara dan penulis di reruai ITBM. Berbeza. Amat berbeza perasaan yang saya alami.

Jika dahulu, saya bebas ke mana-mana reruai, berlepak-lepak dengan rakan penulis dan kenalan serta bebas membelek mana-mana buku dari mana-mana rumah penerbitan.

Tahun ini saya lebih fokus kepada perjalanan reruai ITBM, melalui 'welcoming' kepada pengunjung, melayani penulis yang datang, memastikan buku-buku dan rak-raknya, menawarkan keistimewaan-keistimewaan dan diskaun yang kami beri, serta beramah mesra dengan sesiapa sahaja di reruai kami.

Tidak banyak buku yang saya beli tahun ini. Juga tidak banyak reruai yang saya kunjungi (eh, saya perasan, memang tak banyak reruai yang buat pameran dan jualan tahun ini).

Apa yang pasti, saya gembira kerana masih punya banyak keistimewaan dan peluang yang luas dalam mendakapi buku-buku yang banyak mendewasakan saya.

Terima kasih semua yang datang dan menyapa saya. Jumpa lagi tahun hadapan.

Tentang Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH 2















TAHNIAH KEPADA PEMENANG! 
KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH 2

KATEGORI NOVEL:
Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil)
Jong Chian Lai
Ah Fook
Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Hasanuddin Md Isa
Sarjana Bangsa
Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Asari Ismail
Embargo
Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Neor Razak Neor Hashim ( Berjalan di Negeri Suhad)
• Ruhaini Matdarin (Trivia)
• Amer Hmzah L. Kadir (Bedar Tanpa Laut)
• Nazri Hussein ( S.P.I.D.E.R Teori Sang Labah-Labah)
• Norhisham Mustaffa (Guran)
• Hafizah Iszahanid (Bukan Orang-Orang)
• Budiman Mahamood ( Galau)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy
Pascasejarah
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Syahidatul Munirah Badrul Munir
Lela Rentaka
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Pembunuh Anarki
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Abang Median Abang Said (Cacing di Dahi)
• Siti Salbiah Raduan (Segara Lazuardi)
• Hafizah Iszahanid ( Perempuan Berambut Merah)
• Nazri Hussein (Cahaya Pelita Nurani)
• Ruhaini Matdarin (Jenaka Si Darah Lagenda)
• Mohd Ali Salim (Kapal Perang)
• Haizir Othman (Siaran Radio Lewat Pagi)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Muhammad Lutfi Ishak
Dondang Pembukaan
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Mohd Rosli Nik Mat
Matahari Itu Jauh
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Dongeng Perkebunan
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Ramli Selamat (Malam Hujan dan Oksimoron)
• Lim Kim Hui (Metamorfosis Kimchi)
• Zainal Abidin Suhaili (Merdeka Burung)
• Ramzah Dambul (Dari Cinta kepada CInta)
• Hamir Habeed Mohd Abdul Settar (Ceritera Dari Daerah Luruh)
• Sholihin Osman ( Sangkar Alam)
• Rahimidin Zahari (Sehelai Daun Kenangan)

Alhamdulillah, berakhir sudah sayembara ini. Ia sebuah perjalanan yang pendek tetapi penuh dengan segala macam kerenahnya. Yang baik dan tidak baik, dikisar menjadi sebuah hasil yang diharapkan dapat memberi pulangan kepada masyarakat dan memaknakan dunia perbukuan dan sastera (khasnya).

Seperti tahun lepas, kejutan yang dibuat ialah penulis diperlihatkan dengan kesemua pemenang yang terpilih (30 pemenang) tanpa mengetahui siapakah pemenang utamanya. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin di pentas utama memberi debaran yang bukan sedikit kepada penulis apabila nama rakan-rakan semeja disebut satu per satu mengikut turutan dari belakang - hadiah sagu hati sehingga ke tempat pertama. Debaran itu bukan sahaja berlaku kepada penulis tetapi juga kepada sang editor yang bertungkus-lumus mengerjakan naskhah pemenang sehingga habis dalam tempoh maha singkat. Ya, hanya beberapa orang tahu kedudukan pemenang, dan bukannya editor.

Kepuasan tergambar pada wajah setiap pemenang sesudah acara. Sudah pasti sayembara kali kedua ini mencipta sejarah baharu terutama kepada pemenang yang baru pertama kali menyertai sayembara ini dan juga mencipta sejarah serta analisa daripada pemerhati sastera di luar sana termasuk rakan penulis yang menghantar naskhah tetapi tidak terpilih, juga kepada penulis yang tidak menyertainya.

Bagi seorang editor, tidak banyak yang mahu diperkatakan selain meraikan usaha para penulis yang menyertai sayembara ini dan berlumba 'dalam diam' membawa pemikiran mereka untuk dinilai dan diuji oleh panel penilai.

Terima kasih kepada semua yang terlibat. Jumpa lagi pada masa akan datang (insya Allah jika ada lagi sayembara ini). Saya gembira berada dalam sayembara ini walaupun bukan untuk berlumba ke garisan penamatnya.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...