Pages

Friday, December 05, 2014

BUKU : Wilayah Ekaterina - Mohamad Zakri Zakaria



        


  “Hidup yang dipandu oleh sebuah buku.” Memang benar kata-kata Dollah, begitulah kenyataan hidup Hasnawi kini. Tentang bagaimana buku itu begitu mempengaruhinya, dia tidak menerangkan kepada Dollah. Sekadar memberitahu buku itu terlalu penting, selain membumbui dengan kata-kata yang menyenangkan halwa telinga Dollah. “Tidakkah kau menyukai perkembangan rakan baikmu mula membaca karya penulis lain?” Kata-kata itu memang melegakan Dollah yang melihat dengan tidak membaca karya orang lain, Hasnawi semakin terpisah daripada masyarakat.

            Apakah yang tertulis di dalam buku itu sehingga menarik perhatian seorang yang berikrar tidak mahu membaca karya penulis lain sepanjang hayat? Kewujudan buku itu telah dikhabarkan kepada Hasnawi oleh seorang lelaki misteri lewat e-mel. Lelaki misteri itu memberitahu; buku itu adalah satu-satunya buku yang melakukan pekerjaan itu; mendedahkan realiti diri Hasnawi; penulis yang sedang diagungkan, yang difikirkan secara berlebihan oleh ramai orang sebagai penulis yang maksum dan bermukjizat. Buku itu juga menurut lelaki misteri itu, mencatat perkataan-perkataan yang memprovokasi. Antaranya; Hasnawi sekadar seorang penulis biasa dan yang paling mencambuk; Hasnawi dan setompok tahi adalah wujud yang sama. Tiada perbezaan. Malah, keaslian yang dibanggai Hasnawi turut disinggung sebagai kepura-puraan. Cita-cita Hasnawi ditafsir oleh buku itu sebagai gerakan lebih ekstrem untuk meniadakan Tuhan, sekaligus menegaskan eksistensi diri.
            Buku itu memancing emosi terburuk Hasnawi sehingga dia tidak mampu lagi menulis. Dia hanya ingin mencari buku itu dan jika bernasib baik, si penulisnya. Andai ditakdirkan bertemu kelak, dia mahu memberitahu penulis itu bahawa tiada siapa yang memahami manusia lain dengan lebih baik melainkan orang itu sendiri. Kerana buku itu juga, Hasnawi meninggalkan rumah yang menjadi tempatnya menyendiri selama ini di Sarawak. 


* Petikan cerpen EKSISTENSI, salah sebuah cerpen yang menarik dan mencabar minda, karya penulis muda Mohammad Zakri Zakaria melalui Kumpulan Cerpen Wilayah Ekaterina, Terbitan ITBM, 2015. (Cerpen ini enak dihadam baris demi baris ayat).

**************
Ini pasti tentang kebudayaan setempat. Terka saya ketika mendapat (sebetulnya saya yang meminta) naskhah penulis muda ini. 10 buah cerpen yang terkumpul di dalam naskhah Wilayah Ekaterina ini memberi gambaran yang tipikal kepada saya. Menangani cerpen-cerpen penulis dari negeri yang kaya dengan pelbagai budaya dan etnik itu seterusnya membawa saya kepada pengalaman-pengalaman menangani naskhah yang sama daripada penulis yang berbeza sebelum ini - yang berasal dari sana, Sarawak.

10 buah cerpen. Ternyata telahan saya silap. Saya tidak memperolehi apa yang saya bayangkan sebelum ini. Tiada istilah-istilah aneh yang diselitkan. Adat budaya etnik di Sarawak yang saya teruja mahu mengetahuinya (Ya, saya suka membaca cerpen yang banyak ilmunya, iaitu memaparkan adat-adat yang tidak semua orang tahu). Okey, saya bersabar. Baca satu demi satu cerpen yang ada. Nyata, penulis mengambil sikap membawa ceritanya kepada semua kelompok pembaca dengan cara yang berbeza.

Wilayah Ekaterina merupakan percubaan pertama penulisnya mengumpulkan 10 buah karya yang digarap dari sisi pandang sastera kota - iaitu mengambil latar permasalahan yang bergerak dalam pemikiran generasi muda yang membesar dalam kepesatan urbanisasi yang menggaulkan realiti dan non-realiti sebagai wacana hibriditi mereka. Setiap cerita mempunyai gaya yang berbeza dan sudut pandang pemikiran yang unik sehingga membawa pembaca menyelami diri sendiri.
 

Dengan menggunakan bahasa yang komunikatif sifatnya, juga pengolahan pemikiran yang segar dalam ruang kehidupan hari ini, penulis memberikan kesan dan pemahaman yang berbeza kepada pembaca. Ternyata, percubaan Wilayah Ekaterina tidak sia-sia. 

*Ingatkan 10 buah cerpen sikit dan mudah untuk dihadam. Rupa-rupanya tidak, kerana penulis mengajak pembaca 'bermain-main;' dengan falsafah yang dikemukakan dalam setiap cerpen. Syabas.


Wednesday, December 03, 2014

Nyiru yang Ditadahkan ...


Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Saya menyangka ini adalah salah sebuah peribahasa Melayu yang menyatakan 'kebesaran hati' seseorang menerima sesuatu. Hati yang gembira menerima sesuatu yang seringkali juga dimodenkan menjadi - kecil tapak tangan, stadium bola saya tadahkan.

Saya silap. Kalaupun kali ini memang silap.

****

Hari ini, pagi ini menghadiri  sebuah syarahan penyelidikan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kertas kerja dibentangkan oleh Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

Saya akui, sudah banyak, memang banyak kuliah sebegini saya hadiri sejak menuntut di Universiti Malaya dahulu, sejak memegang tanggungjawab sebagai wartawan dan sehinggalah menjadi editor kini.

Terkesima juga dengan pertanyaan pensyarah ini, selepas menghadiri kuliah begini, apa tindakan kita? Simpan ilmu atau sebarkan? Maka, saya berazam untuk tahun-tahun mendatang, akan cuba banyakkan menulis sama ada di blog ini atau akan menghantar ke majalah atau akhbar yang berkaitan.

Berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan, memang agak banyak dapatan yang saya perolehi. Menambahkan ilmu sedia ada tentang kekuatan pantun dan peribahasa serta kekuatan BM sendiri sejak berzaman sebelum kedatangan penjajah. Dikongsikan beberapa kajian oleh orang barat tentang BM dan orang Melayu yang kebanyakannya berat sebelah dan secara harfiah. Namun, kajian-kajian itu sedikit sebanyak perlu diambil berat oleh pengkaji tempatan untuk memperkaya khazanah dan dokumentasi yang kita sendiri abaikan. Ya, dokumentasi penting tentang sejarah orang melayu dan naskhah-naskhah lama kita ada di simpan dengan baik di luar negara.

Selain komunikasi lisan (pantun, peribahasa, gurindam dll) yang dibincangkan, pensyarah ini juga membincangkan perihal dialek yang wujud di Malaysia (kajian beliau di negeri Perak). Dialek-dialek ini perlu dikaji bukan sahaja untuk kelangsungan hayat dialek itu sendiri tetapi juga, berbalik ke belakang, sejarah dapat digambarkan dan dibayangkan. Juga menilik kembali buku-buku sejarah yang ditulis oleh orang barat tentang Tanah Melayu. Sudah tiba masanya - memang perlu kita melihat kembali khazanah lama yang suatu waktu dahulu memperkenalkan kita sebagai orang Melayu, penduduk tanah Melayu yang cukup unik dan istimewa.

Kuliah pagi tadi, memugar rasa terutama tentang 'kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan'. Betapa, saya sendiri salah faham tentang maksud sebenar peribahasa itu. Jelas, maknanya bukanlah 'berbesar hati menerima sesuatu'. Tetapi ada makna lain yang memperlihatkan sifat dan sikap orang Melayu yang tersembunyi di sebalik peribahasa indah itu.

Apakah maknanya?

Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan. Menampakkan kerendahan hati dan berbudinya orang Melayu ketika menerima pemberian seseorang. Namun, dalam kerendahan dan kebesaran hati itu, terselit sikap berhati-hati orang Melayu - Menerima semuanya dengan sepenuh hati (tapak tangan), tetapi Nyiru yang ditadahkan memberi makna lain iaitu, walaupun semuanya diterima namun, nyiru yang ditadahkan bermakna ada penapisan dilakukan. Tidak semua pemberian mampu 'membeli' hati Melayu.

Umum tahu bagaimana dekatnya masyarakat Melayu dengan nyiru yang merupakan alat untuk menampi beras. Dengan nyiru, beras yang ditampi dapat diasingkan beras yang berisi dengan beras yang hampa (kosong).

Jelas. Bagaimana bijaknya orang Melayu bersosial. Dengan budi bahasa, adab sopan terjaga. Namun ada juga peribahasa yang menyatakan sisi negatif sikap orang Melayu seperti 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' dan banyak lagi. Boleh google.

Sekian untuk kali ini. Sekadar menulis apa yang mahu dikongsikan. Semoga kita, sebagai orang Melayu, kenal hati budi sendiri. :)

Tuesday, December 02, 2014

Menulis Untuk Menang


"Sebenarnya untuk apa kita menulis?" Saya tanyakan soalan itu kepadanya selepas dia bertanya soalan ini kepada saya, "Mahu tulis apa?"

UNTUK MENANG.

Itu jawapan dia. Saya pula yang terdiam sambil dalam fikiran membayangkan beberapa buah pertandingan penulisan dan sayembara yang besar di negara ini - yang sering menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan tentang siapa menang siapa kalah.

"Saya menulis untuk menang. Semua orang pun menulis untuk menang hatta menulis status FB, blog atau apa-apa jua catatan yang terkeluar dari minda."

Kata dia lagi. Saya diam kerana mahu mengetahui selanjutnya apa. Jika dia mahu berpolemik tentang siapa menang siapa kalah, siapa layak siapa tak layak, maka saya tidak akan menyampuk kerana berpolemik tentang itu bukanlah bidang kepakaran saya, atau lebih mudah, saya sudah malas mahu bertekak tentang siapa paling hebat sebenarnya dalam arena kemanusiaan di dunia ini.

"Awak pun menulis untuk menang dalam setiap status-status awak. Kan?" Dia menjelaskan lagi setelah saya diam tak berkutik.

"Ya, barangkali."

Berbual dengan dia, orang yang tak penting dalam dunia penulisan, tetapi memberi sedikit makna dan pencerahan dalam definisi penulisan. Saya yang pernah menjadi wartawan selama 7 tahun pun tak menganggap hal yang disebut-sebutkan itu sebagai suatu perkara yang penting - yang menjadi intipati dalam setiap penulisan saya. MENULIS UNTUK MENANG. sebut saya lagi, dalam hati. Berkali-kali. Cuba mencari setiap butir makna yang tersirat - walaupun pada pandangan kawan itu, mudah sahaja;

"Kita semua menulis untuk memenangkan diri sendiri. Memenangkan apa yang kita rasa. Memenangkan apa yang kita fikir dan duga. Memenangkan apa yang kita mahu sampaikan kepada umum seterusnya kita akan lihat, pembaca setuju atau tidak itu tidak penting tetapi kita berjaya dan menang mengeluarkan apa-apa yang terbuku dalam fikiran kita. Kerana kita sudah keluarkan dalam bentuk tulisan, hendak tak hendak kita perlu menangkan apa yang kita tulis."

"Jika tidak, mengaku sahaja kita khilaf dan menulis ketika fikiran diresapi dadah atau mabuk arak. Tetapi itu paling sukar untuk kita lakukan dalam masyarakat hari ini. Minta maaf." Katanya lagi sambil ketawa.

Baiklah. Saya rasa awak sudah menang, kawan.

Semudah itu. Kan?



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...