Pages

Thursday, September 11, 2014

Buku, Bukan Produk Percuma.





Sengaja kemukakan status ini di FB sejurus membaca komen seorang penulis veteran tentang kepayahannya menjual buku sendiri kerana beliau bukan seorang pensyarah yang boleh menjual buku-buku kepada pelajar. Bukan juga seorang penulis hebat yang punya ramai khalayak. Ramai yang mengaku peminat, katanya ... tapi buku minta percuma.

Hati saya pedih membaca kata-kata itu. Bukan kerana penulis itu saya kenali dan bukunya diterbitkan oleh syarikat tempat saya bekerja. Tidak. Hati saya pedih sejak lama, sejak saya mula mengenali nilai sebuah buku, sejak saya mula cuba-cuba menulis, cuba menjadi penulis dan sejak saya saya tahu nilai sebuah buku amat besar - yang sebetulnya harga yang diletakkan pun belum mampu menyamai perih penatnya menulis sebuah buku.

Hampir semua komen (setakat ini lebih kurang 56 komen) pada status ini, mengatakan setuju dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai penulis, yang mengalami situasi serupa - pembeli (yang kebanyakan rakan-rakan sekeliling), minta percuma.

Bagaimana caranya untuk kita didik mereka agar memahami buku bukanlah barang terpakai atau barang yang murah. Buku dihasilkan dengan kesungguhan yang tinggi. Ditulis dengan harapan. Dihasilkan dengan kudrat yang banyak dan melibatkan pelbagai pihak pula. Dan kesemua masa dan peluh yang terhasil dalam menerbitkan sebuah buku perlu dibayar dengan harga yang telah ditetapkan.

Tergamak kamu minta percuma?

Tuesday, September 09, 2014

Perkara kecil Sahaja!

Seorang kawan baik, amat baik, mungkin dalam fasa ini - menyatakan ; Itu bukan masalah. Itu cabaran.

Bukankah masalah dan cabaran itu sama sahaja?

Tak sama!

Masalah sering kita lihat sebagai perkara yang menghentikan segala rasa sehingga kadangkala kita tak berdaya untuk mendepaninya. Cabaran pula, akan menjadikan diri kita bangun untuk menentang atau menyelesaikannya. Dua perkataan yang sama konotasinya, tapi berbeza cara tanganinya. Kata dia.

Ah, semakin saya buntu.

****

 Semalam adalah hari yang agak panjang. Saya lapar. Ketika jam mencecah ke angka 10 malam, saya bertekad memasak lempeng dan memanaskan sambal ikan bilis. Itu sahaja yang menyelerakan. Setelah siap memasak, Umar, kekasih kecil saya, menangis dan meminta susu. Saya susukan dia sehingga tertidur jam 3 pagi. Dengan perasaan mendongkol (mungkin marahkan suami yang tak kejutkan saya padahal dia tahu saya lapar), saya sambung tidur sehingga jam 6 pagi sebelum bangun untuk bersiap ke pejabat.

Dalam keadaan mendongkol juga saya tinggalkan rumah dan meneruskan perjalanan ke pejabat. Talian internet pula bermasalah. Ini menyebabkan beberapa perkara yang perlu dan selalu saya buat dalam perjalanan ke pejabat, tidak dapat dilakukan.

Setibanya di pejabat, saya berfikir-fikir - dengan sedikit rasa manis - kerana Umar tidak menangis ketika dihantar ke taskanya, maka saya meletakkan dua hal yang menjadi cabaran kepada saya malam tadi - kelaparan dan pagi ini, talian internet di telefon bimbit.

Lapar - nafsu. Talian internet - nafsu. Dan kedua-duanya okey sahaja jika tidak dipenuhi.

Sehingga saat ini, selepas Ika memberitahu mesyuarat bulanan jabatan dibatalkan kerana bos ada hal yang tak terelakkan, maka saya berfikir lagi.

Segala rasa yang menghambat selama ini hanya nafsu yang membuahkan lebih banyak masalah.

Sebaiknya, tenang-tenang sahaja menerima segala takdir-Nya. Allah lebih tahu kenapa saya tak perlu makan malam tadi. Dan Allah lebih tahu, saya memang perlu hentikan tabiat bermesej dan berinternet ketika memandu.

Lihat, masalah besar tadi sudah menjadi kecil dan bertukar keadaannya menjadi cabaran.

Ya, kawan. Ini semua perkara kecil sahaja. Kenapa kita biarkan diri terheret dengan hal-hal kecil begini?

Sekarang masa untuk memikirkan hal penulis pula. Masalahkah? Tak. Cabaran kecil sahaja apabila menjadi editor. Beginilah.

Friday, September 05, 2014

Menulis Resah


Seperti kata-kata teman penulisnya, “Sangat sukar menjadi penulis yang tidak menulis. Otak seolah-olah sedang membusuk di dalam tengkorak.” - Wilayah Ekaterina. Zakri Zakaria.

Pada waktu ini ada semacam penyakit melanda diri saya. Dalam perjalanan ke pejabat, sejak pagi, sehingga kini - menukangi beberapa naskhah penulis, saya masih resah. Resah yang tiada ubatnya buat masa ini - sudah makan dengan banyak. Buat kopi yang paling sedap. Makan kacang. Dengar lagu Hindustan. Berdoa dengan banyak. Termenung. Pergi tandas. Bergurau senda dengan rakan sekerja. Telefon emak.

Masih. Resah itu berkemuncup dalam hati. 


Cari. Cari. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke perkara yang paling besar dalam hidup. Resah apakah yang membanjiri hati sehingga hari ini terasa begitu serba tak kena.

Hujan turun dengan lebat sebentar tadi. Rintiknya bersilang siur mengikut tiupan angin. Hujan dan angin. Datang bersama-sama dari langit. Dan membentuk paduan yang kuat, indah dan memberi kesan besar kepada bumi dan manusianya. 

Memasang 'head-phone' tetapi tiada lagu yang dimainkan. Yang terdengar hanya bunyi sepi dan mula berfikir lagi - kenapa resah ini menempel kuat di dinding diri.

Saya tinggalkan catatan ini begini sahaja.

Ada perkara yang sukar untuk dituliskan. Lain kali sahaja. Atau barangkali sekejap lagi. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...