Pages

Wednesday, January 28, 2015

28 Januari yang lalu

Hari ini 28 Januari 2015. Bukan apa-apa, sekadar bertanya kepada diri, hari ini cerita apa yang ingin saya catatkan. Saya juga bertanya, pada tarikh yang sama tahun-tahun sudah, apa yang saya lakukan. Teringat blog lama yang mungkin ada mencatat tentangnya. Ya, memang ada.



28 Januari 2008 : https://psittacula.wordpress.com/2008/01/28/dapatkan-tiket-ke-syurga-di-stesen-komuter/

28 Januari 2009 : Tiada catatan (mungkin ada dalam buku nota yang entah di mana.
28 Januari 2010 : https://psittacula.wordpress.com/2010/01/28/bahasa-bukan-untuk-di-catat/

28 Januari 2011, 2012 dan 2013, dan 2014 tiada catatan.

Dan hari ini, 28 Januari 2015 saya ingin mencatat sesuatu. Apa-apa sahaja.

Mengimbas.

Apa pentingnya mengimbas catatan-catatan lama? Tanya saya kepada diri sendiri. Tiada apa-apa yang serius dan besar pun. Sekadar melihat diri pada tahun-tahun sebelumnya pada tarikh yang sama dan merancang-rancang diri untuk tahun seterusnya.

Nampak agak bercita-cita tinggi kan?

Tapi memang perlu. Hidup hanya sekali, dan bagaimana coraknya mungkin ditentukan oleh satu hari yang penting. Kerana kita pun tak tahu hidup selama mana dan adakah ini tarikh akhirnya?

Hari ini.

Di pejabat, meneruskan rutin harian, menguruskan buku-buku yang belum diproses. Agak kalut kerana selitan beberapa projek khas dan acara mengejut membuatkan jadual tak seimbang. Atau sebenarnya banyak sangat leka dengan hal-hal tak penting.

Sudah hampir memasuki bulan Februari sedangkan terasa baru semalam menyambut tahun baharu 2015. Tahun ini banyak sungguh cita-cita saya tetapi cara yang sama masih saya gunakan dan kelekaan masih terus menyelubungi diri.

Ada beberapa buku yang saya tangani memberi beberapa kesedaran - bahawa menulis buku tidaklah sesusah mana jika kita mampu manipulasi pengalaman, kematangan dan ilmu yang kita ada. Buku-buku yang saya tangani, alhamdulillah tidaklah memeningkan kerana setiap penulis yang menghantar naskhah ke sini, tahu aliran yang perlu digunakan. Saya tak tahu bagaimana keadaan saya jika saya bekerja di syarikat penerbitan novel popular. Entah. Tidak mahu mengutuk atau merendah-rendahkan mereka.

 Saya fikir, saya cukup itu semua - pengalaman, kematangan dan ilmu. Insya Allah. Jadi, apa masalah saya sehingga kini masih belum mampu siapkan buku sendiri?

Masih saya menyalahkan masa?

"Hidup saya hanya ada beberapa perkara yang perlu saya fokus. Keluarga, kerja dan awak." Kata dia - Dia seorang kawan yang paling baik. Paling baik. Seperti bayang-bayang akrabnya. Seperti antara nafas pertama dan kedua, dekatnya.

Ya, kami bercakap soal masa. Setelah beberapa fasa 'masa' yang lalu kami terkhilaf. Semoga kita berani menelusuri hari, kawan. Ini catatan saya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...