Wednesday, July 10, 2019

MATAHARI

Dengarlah matahariku,
suara tangisanku,
ku bersedih,
karena panah cinta menusuk jantungku.
Ucapkan matahariku,
puisi tentang hidupku,
tentangku,
yang tak mampu,
menaklukkan waktu.
(Matahariku - Agnes Monica) 

Rakaman senja di Parangritis, Jogja

****

Matahari.

Ah, bercakap soal matahari, akulah yang paling gila agaknya. Sekali lagi, GILA. Ya, selain hujan dan buku (oh, ada juga cabaran entri buku ... haih).

Dulu, semasa tangan ini memegang pen dan kamera (DSLR), perkara yang ingin saya buat ialah mengambil gambar matahari bangun (pagi) dan matahari terbenam (senja) setiap hari. 
Jalan menuju ke pejabat.


"Sama je kan matahari. Matahari satu tu je." Dia berkata.

"Lain!" tegas saya.

Dan saya mula membidik matahari - pagi dan petang, ketika kesempatan ada dan selalunya mengada-adakan kesempatan. Sanggup berhentikan kereta di tepi lebuh raya jika ternampak momen mentari pagi dan senja dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke rumah.

Dan saya buktikan kepada dia, dengan memaparkan gambar-gambar mentari pagi dan senja hampir setiap hari (kerana ada harinya, hujan turun dan mentari tentunya tiada).

"Berbeza, kan?" kata saya. 

Sebahagian kecil gambar


Nikmati hidup ini, kawan!
Dia diam. Melihat sejumlah gambar-gambar matahari yang terakam.

Sungguh. Mentari pagi atau senja, adalah peneman terbaik dalam kehidupan seharian. Pagi yang dimulakan dengan sinaran matahari, menjadi ingatan, berbaktilah dengan baik untuk seluruh alam. Senja pula sering menyedarkan, sesuatu yang bermula pasti ada akhirnya. Bagaimana kita mengakhiri hidup ini? Pergilah dengan indah, seperti senja. 

Terlalu banyak catatan peristiwa yang saya tuliskan bersekali dengan gambar mentari pagi ataupun senja. Ingin bukukan, ingin cetak dan jadikan album, dan macam-macam lagi. Banyak cita-cita juga ingin direalisasikan tapi apalah daya manusia, sering berkejaran dengan masa ....

Ah, matahari, jadi rindu.

#julyblogposts #july2019entries






Monday, July 08, 2019

MELANCONG


"Traveling – it leaves you speechless, then turns you into a storyteller.” – Ibn Battuta
Melancong? Siapa tidak mahu kan? Jika diberi kesempatan, semua orang ingin melancong, menjengah setiap pelosok bumi, mengenali bangsa-bangsanya, menikmati indah ciptaan-Nya. 

Namun, tidak semua orang diberi kesempatan sama ada dari sudut kewangan dan juga ruang masa.

Jangan putus asa, merancanglah. Bukankah dengan merancang kita berusaha mencapai apa yang diinginkan. 



JOGJA


Gunung Merapi yang membawa kepada erti persahabatan dengan alam

Jogja mengajarku erti kesungguhan erti kesusahan, erti kepuasan. Semuanya amat sukar dicapai tetapi apabila sudah dalam genggaman, hanya Tuhan yang tahu nikmatnya. 
Seperti pesanmu, "Biar ia berlama-lama dalam hati. Masanya akan tiba. Detiknya pasti ada."
Demikian catatan saya pada 22 September 2017. Sebuah perjalanan yang cukup mengajarkan sesuatu. Bermula 18-22 September 2017, kami melalui sebuah perjalanan yang menarik. Perancangannya, lima bulan sebelum tarikh perjalanan. Jika tidak dirancang (beli tiket awal), tentulah tidak ke mana-mana angan pergi melancong itu.

Bercakap mengenai Jogja, tentulah ia berbeza dengan perjalanan saya yang lainnya. Walaupun pernah ke Pekan Baru, Riau dan juga Jakarta, Myanmar serta satu Malaysia sudah saya tawan, tapi ia bukanlah bermakna benar-benar melancong kerana pada waktu itu perjalanan lebih kepada berjalan dalam 'bekerja'. 


Apabila rakan-rakan di pejabat lama mempelawa saya mengikuti trip mereka ke Jogja, saya terus bersetuju. Terujanya lain macam kerana persediaan dilakukan dengan rapi dan teliti lima bulan awalnya - beli tiket, rancang perjalanan, rangka aktiviti dan sebagainya. 

Terlalu banyak ingin diceritakan jika bercakap soal melancong. Akhirnya apa yang kita dapat daripada perjalanan itu?

Apa yang pasti, selain menikmati makanan dan meneliti budayanya yang tidak jauh beza dari Malaysia, Jogja juga mengajar saya erti sabar dan perit mendapatkan sesuatu. Setiap tempatnya yang indah dan mengasyikkan tidak boleh diterjah sekelip mata atau dengan petik jari sahaja. 


Perlu melalui dan menempuh perjalanan yang panjang dan memenatkan. Ke Kalibiru misalnya, sebuah hutan yang indah dan layak menjadi tempat wisata yang menarik untuk memotret diri. Namun, jika mahu ke sana perjalanannya tidak mudah (jika dari tempat sewaan - bandar, memakan masa yang agak lama sekitar 30 minit sehingga ke sejam lebih). Bukan sahaja perjalanan lama tetapi juga menempuh jalan yang berliku, mendaki, berbatu-batu dan menyakitkan seluruh badan. Ini terpakai juga untuk ke Pantai Timang, Hutan Pinus, Parangritis, Pantai Pasir Gumuk, gereja Ayam, Borobodur, Parambanan, Tubing Pindul dan banyak lagi. 



Terlalu banyak yang seharusnya saya catat. Mungkin masih ada dalam kepala, hanya perlu keluarkan ketika merenung gambar-gambar yang pernah dirakam. Banyak hal boleh dicatat dan diambil iktibar. 

Bukan sahaja keindahan alamnya semata-mata. Benarlah kata Fiersa Besari, seorang penulis, karyawan dan pendaki gunung yang aktif di Indonesia, bahawa Indonesia merupakan tempat paling indah di dunia. Barangkali ya. :) Bolehlah lihat kebenaran kata-kata Fiersa melalui video-videonya yang mengasyikkan di Youtube.

Selain melihat keramah-tamahan penduduknya, kesabaran mereka menghadapi hiruk pikuk jem yang anehnya lebih mendamaikan daripada Malaysia, juga tentang 'struggle' dan 'survival' yang tentunya memberi perspektif berbeza kepada saya. 

Terlalu banyak tempat di Jogja yang perlu anda lawati. Dan ia menjadi sebuah perjalanan yang bermakna buat saya. Termasuklah beberapa kafe kopi dan kedai makan yang popular seperti Sellie Coffee, Kedai Losbter pap Sis Pantai Timang, Warung Makan Bu Ageng, Tirtodipuran, Jogja. dan banyak lagi.

Ya, kami pergi banyak tempat. :) Gambar-gambarnya sahaja mencecah ribuan.




Sayangnya, begitulah, masih juga ia sekadar melancong. Tiada catatan bernas sempat saya tuliskan kerana menikmati setiap perjalanan sendiri-sendiri sahaja selain catatan-catatan ringkas di media sosial. 
Jika diberi kesempatan, saya ingin melancong sendirian. Menikmati dan mencatat dengan aman. Berdiam dan berdiskusi dengan diri sehingga memperoleh sesuatu yang bermakna dan diabadikan dalam bentuk tulisan. 

Itu hanya impian. 

Tapi, saya tetap berdoa masanya akan tiba. Dan saya akan bersedia dengan jaya.

Hutan Pinus.


 Borong buku. :P



Dan paling utama, mengembaralah dengan niat yang betul dan tujuan yang membawa diri kepada penciptaan-Nya seperti dalam Surah Ar-Rum, ayat 9 ini:

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-Rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Terima kasih Norsaadah Ahmad yang menimbulkan semula keinginan untuk melancong dan menulis tentangnya.
#julyblogposts #july2019entries






Friday, July 05, 2019

MIMPI

"Saya bersemangat pagi ini. Awak tahu, malam tadi saya mimpikan awak. Kita ...."
Ada apa dengan mimpi? 

Beberapa perkara menerjah fikiran apabila bercerita tentang mimpi. Saya Google dan tertarik dengan ini yang dipetik daripada laman IluvIslam.

Melalui buku yang berjudul “Fail Sulit Mimpi” yang ditulis oleh Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim Al-Hafiz, saya kongsikan sedikit huraian beliau tentang maksud mimpi. 
Maksud mimpi ada 3 jenis. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya ialah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam ialah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian. Mimpi itu tiga jenis: (1) Mimpi yang benar ialah perkhabaran gembira daripada Allah, (2) mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia.” (Hadith riwayat Muslim)
Cerita tentang mimpi ada banyak. dan mimpi menurut Islam, jika buruk banyakkan istighfar dan berdoa. Jika baik, jangan pula cepat terpesona. 

Cepat juga fikiran menangkap kepada Surah Yusuf, kisah paling indah yang diceritakan dalam Quran. Melalui Suraf Yusuf, ayat 4-6, diceritakan:

(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". 
Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. 
Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana". 

Demikian mimpi tidak pernah terlepas daripada perbincangan semesta. Tafsiran mimpi juga perlu dilakukan dengan cermat dan merujuk kepada orang yang berilmu agar kebimbangan kita berasas dan mendapat iktibar daripadanya.


 a

Mimpi bagi saya, seperti manusia lainnya. Adakala terkesan, adakala tidak dihiraukan. Namun, ada dua mimpi setakat ini yang mengganggu saya sehingga akhirnya saya ikat mimpi itu dalam bentuk cerpen. 

Cerpen pertama yang terhasil daripada mimpi ialah cerpen Pada Hari Buku Hilang Dari Raknya. Ia bermula dengan mimpi yang aneh dan kemudian apabila bangun pada keesokan harinya, sebahagian buku saya hilang dari rak. Kegusaran itu saya tumpahkan dalam karya ini. 



Cerpen kedua juga terbit hasil daripada mimpi yang aneh juga. Pada Hari Bibirnya Kehilangan Warna Merah.


Nampaknya saya perlu menunggu mimpi demi mimpi untuk menjadi ilham dan inspirasi menulis cerpen. Demikian. 
Selamat membaca. 
#julyblogposts #july2019entries

HUJAN


Ah, kau tahu, seperti senja, hujan adalah hal yang tak mampu aku endahkan.
HUJAN!

Hujan antara topik yang paling digemari selepas senja. Semasa menjadi wartawan merangkap jurufoto sejak tahun 2006, subjek yang paling gemar saya rakam melalui DSLR jenama Nikon 80 (kemudian hilang dirompak, dan beli Nikon D90) ialah HUJAN dan senja.

Setiap orang ada kesukaan masing-masing. Bagi saya, hujan selalu mendamaikan (juga bagi kebanyakan orang, kan).

Ada cerita menarik tentang hujan semasa zaman kecil saya. 

Sekitar usia 6-15 tahun (dan semakin berkurang selepasnya sehingga usia 18 tahun) ialah trauma kepada hujan. 

Ada sejenis perasaan tidak selesa, rimas dan menyakitkan kepala sehingga ketika hujan saya sengaja membekukan diri - berpura-pura tidak melihat hujan, tidak mendengar titis-titisnya, dan sengaja menahan dingin beku kehadirannya. 

Keadaan ini semakin teruk apabila tiba musim kenduri. Lebih pantang apabila hujan hadir ketika suasana di rumah sedang ribut dengan suara mak cik-pak cik berkenduri, api marak menyala, asap, lampu kalimantang, jerit pekik kanak-kanak dan bau lauk-pauk yang terkepung dalam rumah.

Keadaan ini biasanya akan memaksa saya menyendiri di dalam bilik. Menekup wajah dan telinga dengan bantal atau bersembunyi di bawah katil (katil ini hasil tangan abah dan kakinya sedikit tinggi).

Pernah juga saya tanyakan kepada guru tentang penyakit ini. Namun sang guru juga tiada jawapan. Hanya menyuruh saya bertemu dengan doktor.

Oh, bingung. 

Paling teruk yang pernah saya lakukan ialah semasa kenduri di rumah saudara. Hujan turun, tidak lebat. Saya lihat suasana sudah mula merimaskan apabila terlihat saudara mara semakin sibuk mengemas itu ini, memasak itu ini. Bau dan rasa aneh itu meruap kembali sehingga tanpa sedar saya sudah berlari ke jalan raya (jalan kecil di hadapan rumah saudara) menyusuri parit dan tiba di hujung kampung.

Berteleku di tepi titi melihat air parit yang jernih.

Itu dulu. 



Selepasnya, yang saya sendiri tidak perasan bila waktunya, perasaan aneh dengan hujan itu pun hilang. Berganti obses yang sangat banyak.

Sebahagian catatan di blog lama juga banyak tentang hujan. 

Bayan. Hujan

Belum lagi lihat puluhan ribu gambar yang tersimpan sejak memegang DSLR ... hujan menguasai sebahagiannya.


a

Obses saya kepada hujan menarik minat seorang penulis mapan. Pada 8 Mei 2010, beliau Tuan Imran Yusuf (al-Fatihah) menyunting saya untuk berkolaborasi bersamanya menulis sebuah novel remaja Islamik berkaitan dengan hujan. Menurut Almarhum;


Dalam sinopsis ini, perkara yang amat menarik adalah doa makbul sewaktu hujan lebat! Mesej dakwahnya amat mengesankan. Diusulkan supaya babak-babak yang mengiringi  doa makbul sewaktu hujan lebat ini diberikan tumpuan utama.

Tanpa berlengah, dengan sedikit keyakinan, saya tukangi novel itu sehingga tamat pada awal Februari 2011. Namun, takdir Tuhan tidak mampu diduga. Tuan Imran pergi tiba-tiba, akibat kanser hati. Novel tergantung seketika sebelum saya menghantarnya ke sebuah syarikat penerbitan seperti amanat almarhum.

Entah apa ujiannya pula, sesuatu berlaku sehingga menyinggung perasaan saya. Novel tersebut tidak jadi diterbitkan. Saya tarik balik demi menjaga maruahnya. 

Dan sehingga kini novel itu masih tersimpan dengan seribu kelukaan.

Maafkan saya, Tuan Imran. Saya gagal.

BLURB novel tersebut:
Hujan turun lagi. Setitis demi setitis sehingga tidak terkira jumlahnya – jatuhnya di mana-mana dan menyatu dengan alam. Terlalu banyak persoalan yang dibawa oleh hujan. Sebanyak titisnya setiap kali turun. Membawa bising yang deras dan menyembunyi pelbagai cerita di sebalik dingin dan kelamnya. Kalbu berbisik, mengapa hujan turun ketika hati sedang galau? 
Arwah ibu selalu bicara. Katanya, hujan itu rahmat. Hujan itu bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya. Ibu juga sering menyamakan hujan dengan penulis. Penulis umpama hujan. Barangkali, ibu berharap agar aku terus menjadi penulis yang seperti hujan – mendinginkan, cantik dan sekata dengan melodi yang mengindah sukma, membersihkan alam yang kotor dan akhirnya memberi lega kepada bumi yang tandus. 
Namun, untuk menjadi penulis, aku menempuh perjalanan yang bukan mudah. Dalam diam, hujan memberi tanda dan cerita untuk membentuk hati dan tubuh akal yang kental.
Aku akan terus menulis seperti janjiku kepada ibu. Aku cuba, demi ibu yang paling kukasihi. Juga untuk ayah yang tetap di hati. Al-Fatihah untuk mereka yang damai di sana.

 a



Hujan akan selalu saya ingati sebagai hal paling terindah ciptaan Tuhan. Kini, keindahan itu dikongsikan dengan anakanda kesayangan saya, Umar yang juga sangat obses dengan hujan. 

Terima kasih, Hujan!

*nanti-nanti saya buat kolaj gambar-gambar hujan yang saya miliki ya. 

#julyblogposts #july2019entries



SURAT

Surat?

Berapa pucuk surat yang saudara/i terima pada hari ini? Tahun ini?

Bila kali terakhir saudara/i terima surat? Maksud saya surat tidak rasmi. Surat kenalan bertanya khabar. Surat ayah bonda menitip pesan. Surat kekasih merindu dendam.



a

Saya lahir pada tahun 1978. Generasi Y (the Echo of Baby Boom, lahir antara 1977-1997). Zaman Internet baru diperkenalkan dan tidak meluas. Telefon pun muncul ketika usia saya 12 tahun, dan penggunaannya amat terhad. 

Ini bermakna saya merasai zaman surat-menyurat yang penuh seni dan cerita yang menarik. 

Ah, siapa yang tidak gembira menerima perutusan surat bertanya khabar, ingin berkenalan dan menyampaikan hasrat hati. Seingat saya, sejak sekolah menengah hal surat-menyurat menjadi 'larangan' sesama pelajar dan saya terlibat dalam kancah itu. 

Ketika Tingkatan 6, paling banyak surat diterima. :) Sehinggalah menjelangi kehidupan di universiti. Surat-surat bukan sahaja berbentuk sapaan perkenalan tetapi juga lanjutan keinginan melalui titipan puisi-puisi yang mengheret saya ke dunia sastera yang indah. Saya masih ingat surat berisi puisi Usman Awang pemberian seorang pelajar senior. Oh, sungguh jatuh cinta - bukan kepada pemberinya - tetapi kepada puisi-puisi Usman Awang. Saya kongsikan dua buah puisi yang sangat saya ingati ini;

Api dari matamu
Hutan rasaku terbakar tujuh tanjung
Burung tak bernyanyi sungai terhenti mengalir
Sengketa berlangsung di hujung bulan purnama

Tapi tak menghanguskan api dan jantung
yang terbina dari zat-zat aneh teragung
Maha perkasa menggoncang alam laksana taufan
maha indah memancar dari menara kasih sayang

Sengketa tidak wujud antara dua manusia
Jika antara kita tak ada pihak ketiga
yang bisiknya membara memanggang rasa
untuk kita saling menghancurkan
semua yang telah terbina

Hanya zat-zat aneh teraguung
berdiri di antara kekuatan seribu gunung
menatang kasih yang kita pahatkan
denyutnya mengalir ke sungai hati
ke tasik senyum.

Konfrontasi, KL, 1963


Jika rasa ini seperti angin malam
bertiup dari laut dan gunung
melampaui tanah-tanah subur dan ladang menghijau
hati ini akan menghembuskan bahagia yang melimpah
bergetar bagai riak di tasek hati bulan cherah
kepada setiap benda supaya semua sama menchechah.
ambillah sebahagian dari rasa ini, terimalah
seperti hati yang kini mengerdip terserlah
keringkan air matamu, setitis jangan tumpah
biar kolam derita kering dan tak seorang pun
meski pengemis di bawah jambatan dan lorong
merasa sepi dan menatap dunia serba kosong.
dari sekuntum bibir dan sepasang mata hitam
bertunjang arti rasa; pedih-luka bahagiaria
itulah alam hati yang menumbuhkan pohon rasa
kelopak demi kelopak menjelma meniti musimnya.
bahagia, anugerah keramat alangkah manisnya pagi ini
datang mendakapku dan biarlah ia selamanya menyanyi
pada setiap bibir dan hati
dengan megahnya mengukir kehalusan rasa
Kelopak Rasa
Kuala Lumpur, April, 1964



a

Saudara/i,

Beruntungnya saya lahir pada zaman kegiatan surat-menyurat masih subur. Surat, merupakan pertalian halus antara manusia menyatakan hasrat. Seluruh rasa tertumpah di dalamnya.

Sehingga kini, saya masih suka menekuni surat. Bukan sahaja surat sesama rakan, ibu bapa atau kekasih tetapi juga surat-menyurat antara pemerintah dan banyak lagi.

Dalam buku atau karya yang saya baca, jika ada babak surat-menyurat, saya akan baca berulang kali. 

Sebagai contoh, novel Gadis Oren, karya Joestin Gaarder, sebuah karya terjemahan terbitan ITBM. Melalui novel itu, sang ayah yang sudah meninggal mengutus surat kepada anaknya ... pelbagai hal yang ingin disampaikan, dibaca ketika dirinya sudah tiada. Saya pernah mengulas novel ini dan memenangi hadiah ulasan. :) 


Begitu juga dengan buku Kontrak Sosial, Perlembagaan Persekutuan 1957 dan Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia yang memperlihatkan hubungan Tanah Melayu dengan serantau - apa yang berlaku dan mengapa berlaku. Dua buah buku itu dipenuhi surat-surat dan dokumen yang sepatutnya memberi banyak pengajaran kepada kita tentang pembinaan negara yang bukan mudah ...







Kerana seni menyurat itu amat tinggi nilainya. Begitu juga dalam filem atau drama yang memaparkan babak surat. Sangat banyak. Perasaan jadi intim dan sangat dekat. Sehingga saya mengambil keputusan menguruskan sebuah projek buku bertajuk EPISTOLARI: 50 Pucuk Surat Kepada ... yang memuatkan 50 surat oleh penulis pelbagai latar belakang. Ia sebuah himpunan surat yang amat besar ertinya kepada saya. 



a

Assalamualaikum, 
Semoga surat dari budak yang kau benci ini tidak mengganggu keceriaan kau pada hari ini. Pertama sekali aku ucapkan terima kasih kerana kesudian kau memberi surat yang ketiga kepadaku walaupun ketiga-tiga surat tersebut banyak mengandungi unsur-unsur sindiran kepadaku. Namun aku mengakui surat yang terakhir itu serba sedikit menyentuh perasaanku. Nampaknya kau benar-benar benci pada aku ye!! Memang benar aku tidak layak berkawan dengan kau. Sebenarnya cara yang aku lakukan kepada kau merupakan satu cara untuk aku mendekati diri kau. Namun kau tidak boleh menerimanya. Tak apalah, mungkin aku bukan lelaki yang kau idam-idamkan.....

Saudara, 


Surat saudara masih saya simpan. Masih saya baca. Walaupun ia berada dalam simpanan sejak tahun 1997.



a


Ah, mengapalah emak membakar sebahagian surat-surat saya dahulu. Ia menjadi dokumentasi perjalanan hidup saya. Sangat banyak sebenarnya. Dia dan dia, dia dan dia. Mendewasakan saya melalui surat-surat yang ditulis dari hati. 


Terima kasih Norsaadah yang mengembalikan saya kepada hal bernama surat.


#julyblogposts #july2019entries









Wednesday, July 03, 2019

NAMA



#julyblogposts #july2019entries

DOA


Percayalah pada doa!

Suara ustazah puluhan tahun lepas semasa sekolah dahulu kembali menerpa. Sejauh mana kita percaya kepada doa orang lain dan doa diri sendiri?

___

Apabila saya membaca hantaran seorang rakan penulis, Norsaadah melalui link blognya http://norsaadah.com/31-perkataan-sebagai-pencetus-idea-writing-prompts-untuk-menulis-entri-di-blog-anda-dalam-bulan-julai-2019/?fbclid=IwAR26vizRUXUvHdhcy0x4EbHVmnCpfcROhANa0-SOGpNwxLhU9HAR5gMIvPs mengenai cabaran menghidupkan blog bersawang di samping melatih diri lebih rajin menulis, mencatat, dan cabaran perkataan pertamanya (prompts) pula ialah DOA, maka saya pun teringat doa saya semasa menghantar penyertaan ke sebuah pertandingan menulis puisi kemanusiaan pada bulan Mei lepas.

"Ya Allah, jika puisi ini menang, saya mahu terus tekal menulis, mahu orang baca, mahu orang ambil manfaat daripada tulisan-tulisan saya."

Dan kemudian selepas menyambut raya, saya dikejutkan dengan berita kemenangan puisi itu yang diletakkan pada tangga kedua. Naib Juara!

Kebetulan juga, puisi yang ditulis berkenaan dengan doa. Terinspirasi daripada doa khatam Quran yang dilagukan oleh anak ketika balik daripada sekolahnya, maka saya pun mengupas makna sebenar doa tersebut. 




MENGHUJAH KEMANUSIAAN

Kelmarin di sudut menunggu
kitab ditutup santun
suara halus anak-anak
berkumandang menusuk gegendang;
 Allahummar hamna bil Quran
waj’alhu lana imaamau wa nuurau wa hudaw wa rahmah...
Oh, anak!
berpeganglah kepada ayat-ayat-Nya
dengan doa maha tinggi;
“Ya Allah kasih sayangilah daku
dengan sebab al-Quran ini
dan jadikanlah al-Quran ini
sebagai pemimpin, sebagai cahaya
sebagai petunjuk dan sebagai rahmat bagiku.”

Sepanjang jalan menuju ke rumah
Anakku mengulang cerita gurunya
tentang Uhud dan Hunain
pelajaran bagi orang-orang yang berfikir
lalu aku terlontar ke Palestin dan Syria
percikan darah dan air mata tidak terkira
nuraniku berperang di Uyghur dan Rohignya
terlupa khabar Bosnia dan Herzegovina
Tuhan, aku masih alpa di sini;
Allahumma dzakkirna minhu maa nasiina
wa ’allimna minhumaa jahiilna ...
“Ya Allah ingatkanlah daku
apa-apa yang aku lupa dalam al-Quran
yang telah Kau jelaskan
dan ajarilah apa-apa yang aku belum mengetahui.”


Di rumahku yang tersergam indah dan aman
aku masih terheret –
Tentang kepedulian dan kemanusiaan
kelaparan dan kemiskinan
peperangan dan kehilangan
yang ditimpa bencana dan melarat jiwa
yang tertinggal dan terlantar sendirian.
Di sana dan di sini di mana-mana sudut bumi
wajah-wajah saudaraku penuh penanggungan.

Ya Allah,
sejak Adam dan Hawa tercampak ke sini
akulah lautan manusia selepasnya
yang semakin lupa janji kepada-Mu
untuk menjadi lebih baik, lebih adil
demi semesta.

warzuqna tilaawatahu
aana al laili wa athrofannahar…
waj’alhu lana hujjatan ... Yaaa rabbal ‘alamiin
“Dan kurniakanlah daku
selalu sempat membaca al-Quran pada malam dan siang hari.”
Dan jadikanlah al-Quran ini sebagai hujah bagiku.

Zalila Isa


Sungguh, saya kurang yakin sebenarnya. Puisi sederhana itu saya tulis dalam keadaan tergesa juga kerana tarikh akhirnya pada hari yang sama saya tahu tentang pertandingan itu. Alhamdulillah, puisi itu dipilih daripada lebih 200 penyertaan.



Ini anugerah kedua selepas Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU) untuk tahun ini. Kira ini hadiah ketiga kerana HSKU, saya dianugerahkan dua kemenangan untuk puisi dan cerpen. :)

Dan sekarang tanggungjawab saya ialah mengingat semula doa saya itu dan cuba terus menulis dengan baik kalaupun bukan untuk kemenangan.


DOA.

Apabila melihat kembali senarai 31 perkataan itu, dan DOA menjadi perkataan pertama memulakan cabaran penulisan, ia merupakan suatu yang sangat tepat. Doa harus didahulukan dalam apa juga keadaan. Terima kasih Norsaadah kerana ingatan itu.

Sebagai Muslim, tentunya kita sudah dibekalkan dengan ingatan, bacalah doa sebelum memulakan sesuatu apa pun. Islam yang cukup indah sentiasa memberi panduan hidup kepada umatnya. Tinggal kita mahu beramal atau tidak.

Tidak dinafikan, kita sebagai manusia juga sering lupa tentang tatacara hidup yang sederhana ini - mulakan hari dengan doa yang baik-baik. Kita lupa. Lalu Allah ingatkan dengan pelbagai cara - urusan yang tergendala, kesukaran di sana sini, ujian dan cabaran merungsingkan hati.

Lalu kita pun hanya berdoa ketika sukar, ketika sedih, ketika menangis.

Padahal doa perlu disebutkan ketika kita dalam apa juga situasi. Bacalah doa sebelum memulakan sesuatu. Ia akan menjadi pelindung, penguat semangat dan menunjukkan ketaatan kita pada Ilahi.

Ia mudah, tapi kita yang alpa. 

"Dan Tuhanmu berfirman, 'Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan  diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina'." (Al-Mukminun: 60)

Berazamlah dari sekarang, untuk sentiasa BERDOA dalam melakukan apa-apa sahaja. Betulkan niat dan berdoalah sungguh-sungguh agar segala apa yang kita lakukan diberkati dan dalam perlindungan Tuhan.

Kalaupun apa yang didoakan kurang jaya, atau ditimpa ujian yang mencabar, sekurang-kurangnya kekecewaan itu tidaklah sampai membunuh jiwa kita untuk terus bangkit dan memulakan langkah kembali.

Selamat berdoa, kawan-kawan, untuk segala urusanmu!





#julyblogposts #july2019entries



Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...