Monday, November 04, 2013

Buku Yang Cantik






Cantik itu subjektif. Benar. Kecantikan merupakan satu ruang katarsis yang subjektif sifatnya. Cukup dengan mengatakan, setiap manusia ada citarasa tersendiri.

Berkaitan dengan buku, apakah yang dimaksudkan dengan buku yang cantik? Kita tanya kepada pembaca;


  • Ilustrasi kulitnya yang menawan?
  • Tajuk yang menarik?
  • Penggunaan font yang menyenangkan pembacaan?
  • Warna-warna dan elemen yang digunakan?
  • Cerita yang menarik dan beri kesan mendalam sehingga beri pengaruh yang baik kepada pembaca?
  • Ceritanya tentang hal yang cantik-cantik sahaja?
  • Penulisnya yang cantik atau kacak?
  • Gaya penerbitan yang kemas?
  • Tiada kesalahan ejaan?
Dan ... nyatakanlah seberapa banyak definisi 'buku yang cantik' pada pandangan pembaca.


*****


Untuk penulis pula, sudah tentulah masing-masing mengimpikan 'buku yang cantik' hasil tulisannya. Setiap penulis mahukan kulit buku yang cantik, suntingan yang kemas tanpa mengganggu hasil karyanya yang asal, cetakan yang terbaik dan sudah tentu yang menjadi keutamaan, bukunya laris 'cantik' di pasaran.

Namun, untuk menghasilkan buku yang cantik mengikut pandangan pembaca atau menurut kehendak penulis bukanlah suatu hal yang mudah dicapai, kalaupun tidak mustahil.

Caranya, penulis terbit sendiri - dan segala kehendak hatinya dapat dipenuhi.

Atau hantar kepada syarikat penerbitan, dengan syarat, penulis tahu haknya, dan mengerti hak syarikat penerbitan yang sudi menerbitkan bukunya.

Ada beberapa hal yang perlu diteliti dengan mendalam, ketika proses penerbitan dengan syarikat yang dipilih dan hal ini bakal menghasilkan buku yang bagaimana yang diingini oleh penulis itu sendiri tanpa mengenepikan hak-hak dan polisi syarikat penerbitan.

Kunci kepada buku yang cantik ialah komunikasi yang cantik antara penulis dengan editor/ syarikat penerbitan itu sendiri. Dengan ini, segala hal yang diimpikan, baik dari pihak penulis mahupun syarikat penerbitan akan terlaksana.

Namun, tidak semua penulis akur dengan syarat itu. Masing-masing, ada yang menganggap karyanya adalah hak miliknya yang mutlak sehingga sebarang perbincangan tidak diambil kira, malah menuduh syarikat penerbitan tidak cekap.

Begitu juga halnya dengan syarikat penerbitan yang menganggap karya penulis yang sudah dihantar kepada mereka, perlu mengikut segala polisi dan gaya yang ditetapkan.

Ini salah!

Buku sepatutnya menjadi unsur yang sangat penting dalam pertembungan antara penulis dengan syarikat penerbitan. Jangan kerana ego, penulis menidakkan kejahilannya dalam sesetengah perkara - contohnya, ejaan yang diragui, isi kandungan buku yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat apatah lagi agama, dan sebagainya. Jangan juga kerana angkuh, syarikat penerbitan sesuka hati 'menggayakan' karya tanpa merujuk penulisnya dahulu.

Buku akan menjadi buruk dengan sikap-sikap begini.

Masih banyak cara untuk kita lahirkan buku-buku yang cantik. Mari berusaha - penulis dan penerbit!


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...