Pages

Friday, December 05, 2014

BUKU : Wilayah Ekaterina - Mohamad Zakri Zakaria



        


  “Hidup yang dipandu oleh sebuah buku.” Memang benar kata-kata Dollah, begitulah kenyataan hidup Hasnawi kini. Tentang bagaimana buku itu begitu mempengaruhinya, dia tidak menerangkan kepada Dollah. Sekadar memberitahu buku itu terlalu penting, selain membumbui dengan kata-kata yang menyenangkan halwa telinga Dollah. “Tidakkah kau menyukai perkembangan rakan baikmu mula membaca karya penulis lain?” Kata-kata itu memang melegakan Dollah yang melihat dengan tidak membaca karya orang lain, Hasnawi semakin terpisah daripada masyarakat.

            Apakah yang tertulis di dalam buku itu sehingga menarik perhatian seorang yang berikrar tidak mahu membaca karya penulis lain sepanjang hayat? Kewujudan buku itu telah dikhabarkan kepada Hasnawi oleh seorang lelaki misteri lewat e-mel. Lelaki misteri itu memberitahu; buku itu adalah satu-satunya buku yang melakukan pekerjaan itu; mendedahkan realiti diri Hasnawi; penulis yang sedang diagungkan, yang difikirkan secara berlebihan oleh ramai orang sebagai penulis yang maksum dan bermukjizat. Buku itu juga menurut lelaki misteri itu, mencatat perkataan-perkataan yang memprovokasi. Antaranya; Hasnawi sekadar seorang penulis biasa dan yang paling mencambuk; Hasnawi dan setompok tahi adalah wujud yang sama. Tiada perbezaan. Malah, keaslian yang dibanggai Hasnawi turut disinggung sebagai kepura-puraan. Cita-cita Hasnawi ditafsir oleh buku itu sebagai gerakan lebih ekstrem untuk meniadakan Tuhan, sekaligus menegaskan eksistensi diri.
            Buku itu memancing emosi terburuk Hasnawi sehingga dia tidak mampu lagi menulis. Dia hanya ingin mencari buku itu dan jika bernasib baik, si penulisnya. Andai ditakdirkan bertemu kelak, dia mahu memberitahu penulis itu bahawa tiada siapa yang memahami manusia lain dengan lebih baik melainkan orang itu sendiri. Kerana buku itu juga, Hasnawi meninggalkan rumah yang menjadi tempatnya menyendiri selama ini di Sarawak. 


* Petikan cerpen EKSISTENSI, salah sebuah cerpen yang menarik dan mencabar minda, karya penulis muda Mohammad Zakri Zakaria melalui Kumpulan Cerpen Wilayah Ekaterina, Terbitan ITBM, 2015. (Cerpen ini enak dihadam baris demi baris ayat).

**************
Ini pasti tentang kebudayaan setempat. Terka saya ketika mendapat (sebetulnya saya yang meminta) naskhah penulis muda ini. 10 buah cerpen yang terkumpul di dalam naskhah Wilayah Ekaterina ini memberi gambaran yang tipikal kepada saya. Menangani cerpen-cerpen penulis dari negeri yang kaya dengan pelbagai budaya dan etnik itu seterusnya membawa saya kepada pengalaman-pengalaman menangani naskhah yang sama daripada penulis yang berbeza sebelum ini - yang berasal dari sana, Sarawak.

10 buah cerpen. Ternyata telahan saya silap. Saya tidak memperolehi apa yang saya bayangkan sebelum ini. Tiada istilah-istilah aneh yang diselitkan. Adat budaya etnik di Sarawak yang saya teruja mahu mengetahuinya (Ya, saya suka membaca cerpen yang banyak ilmunya, iaitu memaparkan adat-adat yang tidak semua orang tahu). Okey, saya bersabar. Baca satu demi satu cerpen yang ada. Nyata, penulis mengambil sikap membawa ceritanya kepada semua kelompok pembaca dengan cara yang berbeza.

Wilayah Ekaterina merupakan percubaan pertama penulisnya mengumpulkan 10 buah karya yang digarap dari sisi pandang sastera kota - iaitu mengambil latar permasalahan yang bergerak dalam pemikiran generasi muda yang membesar dalam kepesatan urbanisasi yang menggaulkan realiti dan non-realiti sebagai wacana hibriditi mereka. Setiap cerita mempunyai gaya yang berbeza dan sudut pandang pemikiran yang unik sehingga membawa pembaca menyelami diri sendiri.
 

Dengan menggunakan bahasa yang komunikatif sifatnya, juga pengolahan pemikiran yang segar dalam ruang kehidupan hari ini, penulis memberikan kesan dan pemahaman yang berbeza kepada pembaca. Ternyata, percubaan Wilayah Ekaterina tidak sia-sia. 

*Ingatkan 10 buah cerpen sikit dan mudah untuk dihadam. Rupa-rupanya tidak, kerana penulis mengajak pembaca 'bermain-main;' dengan falsafah yang dikemukakan dalam setiap cerpen. Syabas.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...