Pages

Friday, May 08, 2015

Kawan, dan Sebenarnya Tentang Abah.



Abah, kenal tak Pak Cik Arman? Dia baru meninggal. Ila baca di FB anaknya tapi tak cam anaknya yang mana satu.

Ha ah. Baru meninggal. Dia tinggal di Blok Q. Macam mana nak cam, jarang balik kampung jumpa kawan-kawan. Jawab abah.

Dua persoalan;

  1. Mahu telefon abah, selalu akan cari topik seolah-olah telefon hanya untuk tanya fasal benda lain tapi sebenarnya memang sungguh-sungguh mahu berbual dengan abah. Cuma, tidak tahu mahu cari topik apa. Dan biasanya juga perbualan tanpa topik akan mendiamkan kami lalu abah akan pas telefon kepada emak. :(
  2. Memang mahu tahu tentang kawan yang ini kerana saya memang tak ingat sangat mana-mana kawan. Mungkin kerana perpisahan yang lama selepas melanjutkan pelajaran di ibu kota atau sememangnya saya ini tidak suka berkawan. 
**

Seorang kawan kami, penulis, penyair yang budiman sedang diuji dan bertarung nyawa dengan penyakitnya. Sungguh, saya pengagum beliau. Rahimidin Zahari. Sejak dimasukkan wad, ribuan ucapan dan doa mengiringi perjalanan sukar beliau. Saya berkesempatan menziarahinya di Hospital Selayang. Sekejap namun beri kesan yang bukan sedikit kepada saya. Menggelisah sepanjang siang dan malam, mendoakan dan mendoakan beliau segera sembuh, dengan izin-Nya.

Keadaan beliau begitu kritikal apatah lagi selepas pembedahan dilakukan bagi membuang darah beku dalam kepalanya. Dengar khabar darah terus mengalir dan memenuhi ruang kepala. Sungguh, saya tidak tahu begitu besar keadaan pesakit darah tinggi.

Dalam kegelisahan yang pasang surut membaca dan menerima perkhabaran teman-teman yang masih berkampung di hospital, saya menelusuri perkenalan dengan penyair hebat ini sejak beberapa tahun lalu melalui aktiviti dan acara-acara penulisan.Mungkin ada beberapa perkara saya tidak setuju malah bercakap-cakap pula tentang beliau.

Semalam, sebenarnya dalam tangis, saya menaip mesej kepada rakan yang ke sana di tengah malam Jumaat. Memohon agar membisikkan kata memohon ampun dan maaf. Entah kenapa, saya enggan memikirkan yang bukan-bukan tetapi tidak termampu berbuat apa-apa jika saya memang tak berkesempatan bertemu beliau lagi.

Dia, bukanlah seakrab mana dengan saya, tapi masa menguji keikhlasan silaturrahim itu.

**

Masa, kawan. Masa selalu memerangkap kita.
Tapi, kita berjaya melepasinya seperti kita menahan rasa saat kulit terbakar dek mentari, dan penuh gembira menunggu malam - bukan sahaja untuk menikmati dingin udaranya tetapi juga mahu menikmati indahnya bulan di dada malam.

Itulah cerita mengenai saya dan kawan-kawan walaupun sebenarnya saya mahu lebih berkawan dengan abah. Abah, kawan terbaik - yang terpisah tapi terikat sampai bila-bila.

Tuan Rahimidin Zahari yang budiman. Cekalkan hati tuan....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...