Thursday, January 16, 2020

Dia, "Semberani" Paling Berbudi.



"Saya ingin memohon kerja di ITBM." Itulah kata-kata saya kepada beliau pada awal tahun 2013 ketika melihat tawaran jawatan kosong di ITBM: Editor Jabatan Buku Malaysia.

"Betul? Silakan hantar resume." Jawab dia, ringkas.

Saya pun menghantar resume dan surat permohonan. Dalam masa yang sama kalut dengan tugasan di organisasi lama, menulis surat berhenti, tidak diendahkan oleh bos di sana (tak izinkan saya berhenti), dan tertekan dengan beberapa hal yang berkaitan tugasan sebagai wartawan di situ.

Ketika surat memanggil temu duga di ITBM, saya masih belum diberi kata putus sama ada permohonan berhenti saya diluluskan atau tidak. Namun saya pergi juga ke sesi temu duga. Ada empat orang panel yang bertanya macam-macam soalan biasa. Selesai temu duga itu, saya menunggu keputusan dengan redha. Ketika sesi kedua temu duga oleh CEO ITBM, Encik Khair Ngadiron, surat pemberhentian saya masih belum mendapat respon ketua di organisasi lama. Rusuh, tapi saya tekad jika dapat kerja di ITBM, saya tetap akan tinggalkan organisasi lama.

Belum sampai rumah selepas temu duga kedua, saya menerima panggilan telefon daripada HR mengatakan saya berjaya mendapat tempat di ITBM. Syukur yang banyak sehingga air mata mengalir dalam perjalanan pulang.

Surat pemberhentian masih belum dipedulikan. Entah kenapa mereka enggan lepaskan saya. Akhirnya saya mendesak. Walaupun gaji bulan itu tidak diberi, saya akan tetap meninggalkan organisasi lama dan melaporkan diri ke ITBM pada hari isnin, 11 Mac 2013.


Semberani: Antara Kuda dan Besi.

Ketika melaporkan diri, barulah saya tahu, Encik Rozlan akan menjadi bos saya - gementar dan gembira berbaur kerana beliau ialah kawan yang saya kenali sebelum masuk ke ITBM lagi, yang saya tahu sangat baik dan  berbudi, serta pengalaman yang luas dalam bidang penerbitan, sedangkan saya masuk dengan ilmu yang kosong.

Kali pertama bergandingan (bertemu) dengan beliau ialah ketika acara Utusan, dan kemudian bekerjasama dengan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dalam program Umbara Sastera, kembara sasterawan bersama Utusan.

Dan kemudian persahabatan itu menjadi lebih akrab dengan pertemuan demi pertemuan dalam banyak acara sastera terutama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang membuka fikiran saya untuk berkarya dan menerima galakan demi galakan. Walaupun memakan masa yang lama untuk menyahut cabaran beliau, tempoh itu sangat mendidik saya menjadi sebahagian orang yang bergulat dalam dunia buku, dunia penulisan, dunia sastera.

Tahun demi tahun, saya belajar dan belajar. Pahit getir dibantu, suka duka dikongsi dan kami hadapi bersama-sama sebagai satu pasukan.

Antara 'kuda semberani dan 'besi semberani', dialah kedua-duanya itu - yang kental dan gagah walau tercampak ke mana dan dalam kancah apa pun. Dialah 'besi berani' yang kukuh dengan pendirian dan kuat berpegang dengan percaya diri.

Jika kita tidak berdaya menjadi pohon beringin
yang tegak di puncak bukit,
kita akan menjadi belukar,
tetapi belukar merimbun hijau
yang tumbuhnya di tepi danau.


Jika kita tak sanggup menjadi belukar
kita akan menjadi rumput,
tetapi rumput yang memperkukuh batas pinggiran jalan.


Dan jika kita tak mampu menjadi jalan
kita akan menjadi lorong
tetapi lorong yang lurus biarpun kecil
yang membawa orang ke arah mata air.


~Ingatan Kepada Kawan XXXIII. Zaen Kasturi. Kumpulan Puisi 77 Tuju.

Saya minta maaf jika selama saya berada di bawah pengawasan Encik Rozlan, saya melakukan banyak kesilapan, mendatangkan kesusahan dan menyinggung perasaan.

Semoga silaturahim ini berkekalan. Semoga segala jasa dan budi menjadi pahala yang besar buat tuan.

TERIMA KASIH!

NOTA: Post ini menggunakan cetusan idea menulis oleh Norsa'adah Ahmad.




No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...