Tuesday, September 09, 2014

Perkara kecil Sahaja!

Seorang kawan baik, amat baik, mungkin dalam fasa ini - menyatakan ; Itu bukan masalah. Itu cabaran.

Bukankah masalah dan cabaran itu sama sahaja?

Tak sama!

Masalah sering kita lihat sebagai perkara yang menghentikan segala rasa sehingga kadangkala kita tak berdaya untuk mendepaninya. Cabaran pula, akan menjadikan diri kita bangun untuk menentang atau menyelesaikannya. Dua perkataan yang sama konotasinya, tapi berbeza cara tanganinya. Kata dia.

Ah, semakin saya buntu.

****

 Semalam adalah hari yang agak panjang. Saya lapar. Ketika jam mencecah ke angka 10 malam, saya bertekad memasak lempeng dan memanaskan sambal ikan bilis. Itu sahaja yang menyelerakan. Setelah siap memasak, Umar, kekasih kecil saya, menangis dan meminta susu. Saya susukan dia sehingga tertidur jam 3 pagi. Dengan perasaan mendongkol (mungkin marahkan suami yang tak kejutkan saya padahal dia tahu saya lapar), saya sambung tidur sehingga jam 6 pagi sebelum bangun untuk bersiap ke pejabat.

Dalam keadaan mendongkol juga saya tinggalkan rumah dan meneruskan perjalanan ke pejabat. Talian internet pula bermasalah. Ini menyebabkan beberapa perkara yang perlu dan selalu saya buat dalam perjalanan ke pejabat, tidak dapat dilakukan.

Setibanya di pejabat, saya berfikir-fikir - dengan sedikit rasa manis - kerana Umar tidak menangis ketika dihantar ke taskanya, maka saya meletakkan dua hal yang menjadi cabaran kepada saya malam tadi - kelaparan dan pagi ini, talian internet di telefon bimbit.

Lapar - nafsu. Talian internet - nafsu. Dan kedua-duanya okey sahaja jika tidak dipenuhi.

Sehingga saat ini, selepas Ika memberitahu mesyuarat bulanan jabatan dibatalkan kerana bos ada hal yang tak terelakkan, maka saya berfikir lagi.

Segala rasa yang menghambat selama ini hanya nafsu yang membuahkan lebih banyak masalah.

Sebaiknya, tenang-tenang sahaja menerima segala takdir-Nya. Allah lebih tahu kenapa saya tak perlu makan malam tadi. Dan Allah lebih tahu, saya memang perlu hentikan tabiat bermesej dan berinternet ketika memandu.

Lihat, masalah besar tadi sudah menjadi kecil dan bertukar keadaannya menjadi cabaran.

Ya, kawan. Ini semua perkara kecil sahaja. Kenapa kita biarkan diri terheret dengan hal-hal kecil begini?

Sekarang masa untuk memikirkan hal penulis pula. Masalahkah? Tak. Cabaran kecil sahaja apabila menjadi editor. Beginilah.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...