Friday, July 12, 2019

BUKU


Melihat perkataan ini - BUKU - berulang kali, terasa seluruh dunia ini, sebesar dunia, ingin diceritakan dalam serangkap dua. Mampukah?

Sejak pertama kali membaca senarai 31 perkataan sepanjang Julai ini yang menjadi cabaran untuk mengemaskini blog dan mungkin jadi kaedah terbaik untuk penulis 'rajin' menulis/memulakan penulisannya. Hanya kata kunci, banyak cerita mampu dinikmati. Begitulah.

Tentang buku, bagaimanalah mampu entri ini disekat-sekat kepanjangannya. 

Ingin cerita pengalaman kali pertama dipanah cinta oleh buku, kisah pahit tentang buku, kisah manis bersama-sama buku, buku yang mempengaruhi, buku yang mengeruhi, buku yang sentiasa dekat dengan diri, buku yang sengaja dijauhi, apa ada dengan buku, mengapa buku menjadi ciptaan paling genius oleh manusia... dan banyak lagi. 

Jadi, mahu tulis apa? Entah. 

Saya dan Buku

Saya diam di sebalik dinding bilik. Perlahan-lahan tanpa rasa bersalah saya keluarkan buku yang tersorok di bawah bantal yang diambil daripada beg kakak pagi tadi. Saya baca tajuknya. Sedikit mencemik. ‘Mesti bosan buku ini. Tapi kakak baca dengan asyik. Sebab ini buku teks sekolah? Terpaksa baca?’ Bisik hati saya sambil berfikir, alang-alang sudah ‘cilok’, baik saya baca sahaja.Sepanjang petang – tak menghiraukan panggilan emak meminta tolong itu ini (berpura-pura demam dengan berselubung), juga menahan godaan kawan-kawan mengajak bermain getah dan galah panjang, saya membaca dan membaca buku itu. Selepas makan malam, segera saya masuk ke bilik dan menyambung bacaan. Ternyata, buku itu benar-benar memerangkap saya.

Bagaimana pada awalnya buku mempengaruhi saya? Kisah bagaimana buku memerangkap saya, telah saya ceritakan dalam sebuah catatan yang pendek, dan dimuatkan dalam buku Kertas-kertas yang Merubah Fikir, terbitan Jejak Tarbiah.

                         

Dan selepas peristiwa yang diceritakan dalam buku ini, saya menjadi diri saya yang kini, seorang perempuan biasa, yang tiba-tiba terlalu memilih kawan, lalu memilih buku sebagai teman. 

Dan kemudian begitu banyak buku ditemukan, digulati dan dimasuki. 

Wartawan vs Editor





Apabila ditanya soalan, mana yang best, jadi wartawan atau editor?
Jawapan saya mudah. Kerja apapun, jika kau suka melakukannya, ia akan jadi pekerjaan yang paling seronok dan mungkin menjadi penggerak engkau untuk terus hidup. Apabila hobi dan kerjaya seiring - menulis, membaca - maka nikmat mana mana lagi yang engkau mahu dustakan?

Menjadi wartawan memperkenalkan saya dengan banyak cerita, menulis, merakam dan kemudian mengajak masyarakat sama-sama memperbaik lompong yang wujud.

Menjadi editor, saya lebih kenal manusianya - manusia yang menulis dan kisah yang mereka bawa. 

Kedua-dua kerjaya ini semakin mengakrabkan saya dengan buku. 

Apa lagi yang mahu saya katakan? Semuanya terangkum dalam tempoh yang panjang dan memaknakan jiwa ini. 

Dunia Buku




Buku adalah dunia yang paling indah. Kau boleh memasukinya untuk tahu banyak perkara, dan kemudian tidak mengapa meninggalkannya apabila dalam kepalamu sudah banyak yang engkau dapatkan. 

Buku tetap di situ. Setia. Datang dan pergilah, ketika bahagia, ketika duka, ketika tiada apa-apa. Buku memang diciptakan untuk menemani apa sahaja, sesiapa sahaja.  Dan saya akan terus berada di dalamnya - sebagai penulis, pembaca atau sebahagian buku itu sendiri.

Demikian. Memang kena tahan-tahan kalau cerita bab buku sebab banyak sangat nak dikisahkan. Mungkin dalam bentuk vlog?

Eh. 


#julyblogposts #july2019entries


No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...