Tuesday, October 29, 2013

Keperluan Bengkel Penulisan?




Gambar sekadar hiasan

 
Baru-baru ini saya dijemput sebagai penceramah oleh sebuah bengkel penulisan untuk bercakap mengenai ruang dan peluang penerbitan (yang mewakili organisasi saya bekerja). Dalam keengganan kerana keterlibatan diri dalam bidang penerbitan amat sikit dan baru, saya diyakinkan bahawa pengalaman yang sedikit tetaplah pengalaman diri sendiri dan orang lain tidak tahu. Saya terfikir-fikir lagi keperluan bengkel begini kepada penulis memandangkan ini zaman teknologi maklumat di hujung jari. Ramai juga penulis yang berjaya tanpa menghadiri bengkel pun. 

Tetapi akhirnya saya sedar, bengkel sebegini ada keperluan tersendiri apatah lagi sesi perbincangan secara terus memungkinkan semangat peserta akan lebih mencanak.

Maka, saya katakan saya bersedia untuk memberi sedikit pendedahan kepada penulis tentang bidang penerbitan dan peluang mereka untuk menghantar karya.

Pesediaan yang agak teliti saya lakukan sedari menyediakan bahan berbentuk powerpoint dengan gambar-gambar berkaitan. Saya bahagikan kandungan ceramah kepada tiga bahagian kecil;

  1. Pra penghantaran karya - persediaan asas penulis sebelum karyanya dihantar, meliputi semakan terakhir bahan, membuat penyelidikan mengenai syarikat penerbitan yang dipilih dan tatacara menghantar karya.
  2. Penghantaran karya - Menggunakan e-mel, pos atau hantar terus kepada penerbit - ada borang tertentu dan tatacara tertentu. 
  3. Proses penerbitan karya - penilaian, pemakluman lulus/tolak karya, pengurusan penyuntingan sehingga ke percetakan.
Alhamdulillah, bengkel berjalan seperti adanya walaupun ada beberapa kelemahan yang mengganggu proses perkongsian maklumat yang ingin saya sampaikan dengan fikiran bahawa cabaran itu membuatkan manusia lebih kreatif, tabah dan berhati-hati selepas ini.

Apa yang menarik perhatian saya pada waktu ini ialah kekaguman kepada peserta yang mahu karyanya siap, diterbitkan dan menjadi karya 'bestseller' atau masyarakat menyukainya. Peserta sanggup datang dari jauh, membayar sekian-sekian harga dan meluangkan masa berharga mereka. 

Sudah tentulah jika bengkel yang dihadiri tidak menepati sasaran/objektif, malah, peserta juga merasakan tiada nilai tambah melalui bengkel tersebut, ia menjadi satu kerugian yang besar. Saya juga seorang penulis, dan saya tahu harapan-harapan besar penulis di luar sana (terutama penulis baharu), supaya karyanya terbit dan laku.

Namun, saya berharap, perkongsian kali pertama ini memberi input kepada peserta untuk bertindak sebagaimana sepatutnya setelah karyanya siap di tulis.

Jika ada sebuah bengkel dengan yuran yang lebih tinggi, dengan jaminan karya AKAN diterbitkan, rasanya adakah peserta yang berminat?

Sekadar pertanyaan rambang apabila memikirkan perolehan karya yang bermutu semakin kurang walaupun teknologi semakin baik di negara ini. Kita cari puncanya, kita perbaiki kualitinya. Mahu? Angkat tangan!
 

2 comments:

  1. Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya pula ya. Terima kasih.

    Perkongsian yang sangat baik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wah, seorang penulis juga ya. Teruskan berkarya. Terima kasih sudi baca.

      Delete

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...