Friday, August 23, 2013

Rasa Semasa Menulis

Dengan tidak memandang cermin kita berfikir ; Oh, rupanya aku silap. Silap yang paling silap. Sangat silap.

~ Surat Kepada Kesilapan


Pandang cermin lagi dan berkata : kenapa air mata keluar padahal tidaklah sesedih mana.

Hidung, sila jangan kembang kempis.

*ini surat kepada siapa?


 Pandang cermin lagi dan berkata kepada diri sendiri : kita sangka kita ada ramai kawan, rupanya yang bising-bising meriuhkan hari kita hanya suara unggas dan bunyian alam. Tiba masa semuanya pergi. Kita, hanya ada suara hati.

*at least ada suara hati. Kalau hati pun mati?


 Cari cermin paling besar dan cakap kepada diri sendiri - gembira perlu dikongsi. Sedih, simpan kejap-kejap dalam hati.

*padan muka sendiri.

Catatan FB semalam yang mengundang beberapa tanya kepada kawan-kawan. Terima kasih yang bertanya. Ada dua persoalan besar yang mengganggu rasa semalam. Masalah peribadi yang kononnya mahu dikongsi kepada seorang kawan, tetapi kawan itu pula tidak mengendah. Oh. Mungkin dia ada masalah yang lagi besar daripada masalah saya (pujuk hati sendiri la kan).

Saya jadi kecil hati dengan sikapnya. Adakah saya hanya boleh berkongsi gembira dengan dia? Adakah segala masalah saya menyusahkan dia jika hanya dia mendengar sahaja pun?

Tidak mengapa kawan, saya masih ada ramai kawan lain yang boleh menadah telinga apatah lagi yang memberi bahu. Alhamdulillah, masalah selesai. 



KOMA

Ia tentang rasa. Dengan rasa yang ada, saya menulis. Ketika itu juga. Ketika rasa kecewa meruntun kalbu, saya curahkan ia dalam bentuk tulisan. Kawan yang prihatin, pasti dapat menebak emosi saya walaupun saya menggunakan bahasa yang sama setiap hari.

Begitulah juga dengan aktiviti penulisan. Sebab itu penulis selalu berkepit dengan pen dan kertas untuk mencatat segala rasa yang wujud. Kerana ia rakaman terbaik untuk kita menghasilkan penulisan yang penuh dengan rasa, hidup dan segar.

Lihat sahaja Sasterawan Negara Pak Samad lewat karyanya Warkah Eropah (Terbitan DBP). Melalui Warkah Eropah, Pak Samad mencatat setiap rasa dalam perjalanannya. Menulis surat dan catatan-catatan penting yang bukan sahaja berguna sebagai pengalaman yang paling segar tetapi juga berguna untuk bahan-bahan penulisan.

Kerana kita manusia yang selalu lupa, mencatat adalah perbuatan yang banyak manfaatnya. Percayalah. Mencatat dengan menggunakan pena dan kertas lebih besar rasanya daripada mencatat di dalam gajet moden masa kini. Saya pernah cuba. Rasa yang wujud tak sama. Ada beberapa catatan kecil saya di atas kertas yang apabila di baca semula ia mengembalikan rasa lama ke dalam diri. bentuk tulisan dan cara menulis melalui pen dan kertas ini membawa cerita yang sama seperti mula-mula ia dicatat.

Pen dan kertas, catatan rasa - elemen penting dalam penulisan. Ia takkan pupus walaupun ada teknologi canggih yang berfungsi mencatat dan menyimpan catatan.

Kelemahan saya pula ialah terlalu gemar mencatat menggunakan pen dan buku nota. Malangnya catatan itu bersepah di sana-sini. Saya mempunyai banyak buku nota yang di dalamnya terisi cebisan catatan-catatan saya tentang apa sahaja - bukankah dahulu saya bekerja sebagai wartawan...kan...

Dan sekarang, kena rajin kumpulkan semula catatan. Juga pastikan hanya ada satu buku yang digunakan untuk menyimpan segala catatan. Buku itu tidak boleh saya tinggalkan di mana-mana. Bawa!

2 comments:

  1. salam-alaik. sama juga dengan saya, kak! buku bersepah -,- huhuhu.

    apa pun, suka dengan catatan 'surat kepada...' akak di facebook.

    bila nak dibukukan? hihihi.

    selamat menulis ya!

    hingga lain kali.

    wassalam.

    ReplyDelete
  2. Insya Allah...doakan Surat Kepada...akan sampai kepada awak. :)

    ReplyDelete

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...