Saturday, April 04, 2020

PKP Hari Ke-18: Bila Mahu Menulis Semula?



PKP hari ke-18 dan saya kecewa dengan diri sendiri.

Lihat gambar di atas. Setiap orang ada cerita.  Percayalah. Lihat sahaja media sosial. Ada sahaja ceritanya. Biasa dan luar biasa.

Takkan nak jadi penulis tiada langsung cerita?

Dalam situasi berkurung di rumah (tak perlu ke pejabat), sepatutnya saya punya banyak masa untuk menulis. Bila kali terakhir saya menulis cerpen dan puisi? Bagaimana dengan hasrat mahu menyertai sebuah sayembara penulisan yang mensyaratkan sebuah novel? Sudah bab berapa saya tulis? Cerita tentang apa?

Punya masa, punya kemudahan (komputer riba) dan ruang, tetapi karya masih nihil! Apa alasan lagi yang mahu saya berikan?

Akhirnya, berkarya, menulis atau berkreativiti bukan tentang soal masa dan ruang tetapi keinginan dan usaha sendiri.

Bila Mahu Mulakan?

Menonton beberapa 'trailer' Masterclass Writing membuatkan semangat sedikit menggugah.

Mendengar bicara pengajarnya yang merupakan penulis-penulis terkenal dunia ini, sememangnya memberi semangat.



Pertama kali menemui video-video ini, saya seperti disuntik kembali untuk menulis. Selain Joyce Carol, terdapat pengajar lain seperti Dan Brown, James Patterson dan ramai lagi yang akan memberi tunjuk ajar tentang penulisan kreatif. Tapi yurannya boleh tahan....

Kenapa saya malas betul menulis dua tahun kebelakangan ini? Sebab saya ada pekerjaan tetap? Sebab saya asyik kepenatan? Sebab saya malas?

Ya, jawapannya yang ketiga itu. MALAS!

Menonton drama itu ini, berceramah sana sini, memberi nasihat kepada orang tetapi diri sendiri tidak berjaya dalam penulisan. Setakat menang dua tiga anugerah tak payahlah bega sangat.

Penulisan atau kerja menulis bukan untuk mendapatkan anugerah semata-mata. Itu cuma bonus sahaja. Paling utama ialah ada tujuan.

Rasanya tidak perlu saya mencatatkan tip-tip penulisan di sini kerana saya sendiri tidak mengamalkannya.

Dan malam ini, selepas kepenatan menyunting sebuah tesis PhD seorang kenalan, saya fikir, saya perlu menulis. Sebab apa? Sebab tidak selamanya saya perlu menjadi editor. Kepuasan menyunting karya orang tentu berbeza dengan menyunting karya sendiri.

Berlatih, jangan fikirkan bagaimana mahu bermula, menulis, menulis, menulis.

(Selepas menulis ini, Zalila terus ambil bantal dan pok pok nak tidur. Menulis? Esoklah!")

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...