Monday, April 13, 2020

PKP Hari Ke-27: Leap Day; Melawan Takdir dan Masa?




Hari ini hari Isnin, hari ke-27 PKP. Keluar dari rumah pada pukul 10 pagi, menuju ke pejabat pos kerana beberapa barang yang perlu dipos telah tertangguh agak lama. Sampai di hadapan pejabat pos di Setapak, nampak kereta padat kiri kanan. Seperti yang diduga, orang beratur sampai ke pagar masuk.

Ah, kalaulah saya tidak bertangguh sebelum ini, tidaklah beban perasaan seberat ini kerana tidak menghantar pesanan orang.

Andai dapat undurkan masa?

Saya tidak pernah berharap (jika ada keajaiban pun) untuk mengundurkan masa atau ke masa hadapan, kerana ia memang di luar kepercayaan saya. 

Tapi, drama ini sedikit sebanyakmembuatkan saya berfikir panjang tentang konsep masa dan takdir.

Leap Day, tentang melawan takdir.

Semasa menatal laman Viu, saya terpandang drama ini dalam kategori Viu Original. Episod pertama dibuka tanpa melihat butiran drama. Apabila ternampak tulisan, ah, cerita Cina ke? dalam hati saya yang memang sudah lama tidak menonton drama atau filem daripada China (Hong Kong) itu. Kali terakhir semasa zaman sekolah dulu.


Namun, paparan drama ini sangat menarik. Penggunaan kamera yang baik, sinematografi dan sudut yang cantik, saya terus terpaku.

Kisah tentang Yeesa, seorang gadis yang lahir pada tahun lompat, (29 Februari) dan sering bernasib malang sejak kecil. Sehinggalah dia terjumpa satu bungkusan kecil (tangkal) dalam kotak peninggalan ibunya. 


Keesokannya, nasib Yeesa berubah. Dia mendapat pekerjaan sekali gus ruang membuat kerja-kerja design yang nyaman di sebuah kedai buku kepunyaan kawannya. Kerja-kerja Yeesa juga menjadi lancar. Tibalah hari lahirnya pada tahun 2017, sesuatu yang aneh berlaku - Yeesa terpelanting ke lohong masa 2020 dan muncul di Hokkaido ketika menutup mata sebelum meniup lilin kek hari ulang tahunnya.



Ketika jarum saat bergerak ke pukul 12.01 minit, Yeesa kembali semula ke tahun 2017 dengan penuh tanda tanya. Yeesa dipertemukan dengan sebuah kumpulan bernama Sacred Geometry Association, sekumpulan anak muda yang menyiasat tentang hal-hal paranormal termasuklah tentang pengembaraan masa (time travel). Dari situ mereka mula mengkaji tentang Yeesa dan merancang untuk lebih bersedia untuk pengembaraan masa tahun-tahun berikutnya 28 Februari -1 Mac 2018, 2019 sehingga 2020 di mana peristiwa utama perlu diubah - menyelamatkan Yeesa daripada mati dalam sebuah kemalangan.



Melalui pengembaraan masa itu Yeesa dipertemukan dengan Ryan, seorang chef master sushi dan ka Cung, presiden kumpulan SGA. Apakah perkaitan antara mereka bertiga? Dapatkan Yeesa dan kumpulan SGA mengubah takdir itu? 

Apa yang kau akan lakukan kali ini? 

Menariknya drama genre 'time travel' ini berbeza daripada drama-drama yang saya lihat sebelum ini kerana sekumpulan anak muda yang berkepakaran dalam bidang Geometri, fizik, hipnoterapi, pengkaji dimensi dan ketuanya, Ka Chung seorang yang bergelar Doktor dalam bidang falsafah yang bernaung dalam sebuah kumpulan pemikir, cuba untuk merungkai tentang pengembaraan masa dari sudut pengajian sains, fizik dan falsafah.






Dari sini, penonton sedikit sebanyak bersandar kepada fakta atas beberapa kejadian yang tidak masuk akal ini - tentang sebab akibat sesuatu hal. Sebagai contoh, Yeesa sangat percaya nasib baiknya dibantu oleh tangkal ibunya itu. Ka Chung mendedahkan beberapa hal yang berlaku adalah sebab prihatinnya orang sekeliling dengan Yeesa. Pendek kata Yeesa di kelilingi orang yang sayang kepadanya, maka dia beroleh kerja di kedai buku (sebenarnya milik Ka Ka, kawan baiknya).


Drama ini sangat kuat dengan nilai kasih sayang. Seputar hal percintaan yang matang dan sederhana, sehinggalah tentang kasih sayang bapa kepada anak dan kawan-kawan. Sebagai contoh, tahun berikutnya Yeesa dapat tahu kawannya akan mati. Lalu dia berusaha memujuk kawannya untuk membuat pemeriksaan sebelum tarikh kematian itu. Akhirnya Fiona dapat diselamatkan. 


Melalui peristiwa itu juga, beberapa babak lain turut menyampaikan amanat-amanat tertentu yang berkaitan kehidupan manusia - tentang melepaskan yang disayangi, membuang rasa bersalah, dan memandang ke hadapan yang perlu ditempuhi.

Penulisan vs Media Sosial

Aduh, saya memang lemah kalau drama ada babak buku. Ini menunjukkan bangsa yang maju dan berilmu. Demikian ketika Yeesa diberi kerja di kedai buku, rasa cemburu menusuk hati saya. :P



Drama ini juga menyentuh hal buku sebagai sebuah perniagaan yang tidak menguntungkan. Tapi, ah, cantiknya suasana Yeesa tenang di kedai buku tersebut.

Selain itu, turut dibawa isu tentang penulisan (kekasih Ka Ka seorang jurnalis sejati) yang menolak media sosial senbagai saluran maklumat terkini. beberapa prinsip boleh dipelajari oleh pentonton sama ada pemegang mazhab media konvensional atau media moden.





Apa pun, drama ini benar-benar memikat hati saya untuk menyelongkar kerja-kerja kreatif dan pemikiran drama dari Hong Kong ini walaupun ada beberapa persoalan yang mengelirukan - tentang kewujudan Ka Cung. Mungkin saya memang tiada ilmu sains dan fizik sehingga terlepoas pandang perkara ini. Apa pun, drama ini sangat disarankan kepada semua, apatah lagi tiada babak cium seperti klise drama Korea terkini! :) 

Maklumat drama:
https://mydramalist.com/57863-leap-day



No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...