Thursday, May 21, 2020

Yang Menangkap Pandangan



Oh, saya sudah muak dengan tajuk pengiraan hari PKP, maka saya ambil keputusan mahu menamatkannya dengan damai. Catatan di blog ini juga telah saya tetapkan ditulis kerana mahu menulis dan bukannya untuk berlatih atau mendisiplinkan diri menulis.

Saya selalu menasihati diri sendiri tentang menulis: Tulislah ketika engkau perlu dan mahu menulis, dan jangan dipaksa. Penulisan yang dipaksa akan menghasilkan nada yang kurang mesra. Tidak genuine.

Tapi, masih boleh dibahaskan - tentang disiplin menulis, tentang keperluan meletakkan jadual dan menulis mengikut tempoh yang ditetapkan. 

Dari Mata ...

Dalam ribuan orang yang kita temui akan ada seseorang atau beberapa orang menangkap pandangan kita - ketika berjalan, ketika menyaksikan sesuatu dan sebagainya. Seterusnya hati kita akan memaksa mata terus merenung, melihat dan memerhatikan lebih lama - mungkin wajahnya, bentuk tubuhnya, pakaian yang dikenakan, beg, kasut, cara tersenyum, cara bercakap, cara berjalan dan sebagainya. 

Mengapa begitu? Kerana 'dari mata turun ke hati' itu barangkali telah menyentuh naluri rasa kita, telah menyentuh kesukaan yang sama atau impian yang belum dicapai... atau telah menyentuh kenangan lalu yang mengingatkan kita pada seseorang yang lain.

Begitu juga dengan hal penulisan, karya dan buku yang kita hasilkan.

Karya kita menyentuh apa?

Apabila seseorang mempertikaikan mengapa karya yang memenangi sayembara tidak diperkatakan orang, saya tertawa kecil, tanpa sengaja. Pertama, yang bercakap itu penulis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Persetan jika dia orang luar bidang sastera. Sastera tak sastera, bidang apa pun latar kamu, menulis ialah menulis. 

Bagaimana mungkin kamu yang sudah lama berada dalam ranah sastera mempersoalkan hal-hal begini? Saya bukan mahu mencari gaduh, cuma aneh apabila seseorang yang sudah bergelumang dalam dunia sastera masih tidak tahu atau terpinga-pinga dengan hal seputar sastera yang subjektif sifatnya.

Jika sebelum ini kamu mempertikaikan tentang sukarnya penulis luar sastera (bidang lain) untuk menulis, atau kamu mengeluh sukarnya menulis bagi seseorang yang sibuk dengan hal rumah tangga, maka soalan baru kamu ini lebih membingungkan saya.

Kenapa orang tak membaca puisi itu, kenapa orang tak 'appreciate' karya yang menang itu ... haih!

Apatah lagi kamu kata 'pengkritik hanya membicarakan karya yang mereka suka sahaja."

Jika begitu, jadilah pengkritik. Kritiklah buku yang kamu suka dan berusahalah menaikkan karya-karya yang kamu rasa bagus itu. 

TAPI...

Tapi jangan jangka orang akan suka karya yang kamu suka. Jangan harap orang akan menyukai bentuk dan gaya bahasa puisi yang kamu agungkan.

Orang pegang buku dan membaca itu sudah menggembirakan para penulis. Selebihnya, berusahalah naikkan karya yang bagus dengan:

1. Menulis karya lebih baik, segar dan menjalar isu global.
2. Tulis kritikan karya lebih banyak agar orang kenal karya itu daripada sudut yang pelbagai.
3. Pelbagaikan medium karya - bentuk tulisan, visual, audio, dll
4. Sentiasa menghargai karya yang pelbagai dan jangan hanya membicarakan karya yang kita suka
5. Jangan prejudis dengan penulis lain, pengkritik atau pembaca.

Demikian. Usahlah mempersoalkan sesuatu yang bukan dalam kuasa kita (memaksa orang suka dengan apa yang kita suka) tapi kamu boleh mempengaruhi mereka untuk menyukai apa yang kamu suka. Caranya? Seperti hal lima perkara yang saya gariskan di atas.

Selamat berkarya. Jangan terlalu banyak mempersoalkan apabila tugas anda sebagai penulis ialah menjawab soalan.

No comments:

Post a Comment

Find Me in Your Memory

2 Syawal 1441H. Raya kedua, sudah tiada suasana hari raya di rumah ini. Kepenatan semalam memberi ingatan bahawa penatnya emak memasa...