Friday, May 08, 2020

PKP Hari Ke-52: Inner Loop Couple



Hari ini hari ke-52 PKP. Nampaknya negara telah benar-benar tidak berasa bimbang apabila ada kalangan ahli polit(a)ik mula bercakaran kembali mengenai kuasa itu ini. Bergulat dan bergulat dengan pergaduhan yang sama sehingga mengabaikan negara. Lihat sahaja bagaimana kerajaan sebelum ini (yang berkuasa hanya selama 22 bulan) merampas kuasa melalui permainan yang jelek. Mereka diangkat dalam keadaan tidak bersedia malah menjadikan negara lebih porak-peranda. 

Dan kini masing-masing mahu kembali berkuasa? Setelah meranapkan harapan rakyat? Bodohlah siapa yang masih terperangkap dalam 'inner loop' jahat itu. 

Inner Loop Couple: Berpusing mengenali diri

Bermula di dalam sebuah kereta api, lelaki itu terpandang seorang perempuan yang dikenalinya. Ingatan lalu dan sifat ingin tahu membuatkan dia mengambil keputusan mengekori wanita itu. Mereka berhenti di stesen terakhir. Dan perbualan sepanjang malam melingkungi 'inner loop' stesen kereta api itu bermula. 

Mereka adalah dua watak yang terperangkap dalam 'inner loop' masing-masing. Si lelaki, terperangkap dalam rutin kerja yang berulang-ulang. Tiada 'goal', tiada jangkaan. Hanya melakukan kerja berkaitan akaun, mengira, memeriksa resit dan ia sepertinya tiada kesudahan. Balik kerja, makan dan tidur.

Manakala perempuan itu, seorang 'Negative-Idol' bernama Akane Hoshino pula terperangkap dalam keperibadian sendiri yang super negatif. Dia tidak mampu keluar daripada rasa itu kerana itulah kekuatannya. Dia melayan sifat-sifat negatif dalam dirinya (pemalu, kurang yakin) dengan cuba mencari hal-hal baharu dalam dirinya melalui nyanyian. Tapi dia putus asa.




Malam itu Akane tidak tahu yang dia sudah melakukan satu pusingan penuh laluan kereta api Yamanote Loop Line. Dia fikirkan stesen kereta api itu tiada perhentian akhir kerana sememangnaya dia tidak mahu mengakhiri perjalanannya terlalu cepat. Dia tidak mahu balik ke rumah. 

Maka, kedua-dua mereka pun melangkah mengelilingi bandar dengan percakapan-percakapan yang membangkitkan semangat antara kedua-duanya. Antara hal yang dibualkan kedua-duanya:




  1. Percakapan yang baik akan memberi semangat kepada orang walaupun kita mengucapkannya tanpa niat yang tulus. Dan percakapan itu juga sebenarnya akan menaikkan semangat kita sendiri yang pudar.
  2. Lakukan yang terbaik dalam hidup melalui apa yang kita percaya dan yakin dengan diri
  3. Gagal bukan bermakna kalah
  4. Tidak mengapa jika takut melangkah ke hadapan
  5. Sesekali perlu menoleh ke belakang mengenang hal-hal yang baik.
Kereta api dan perjalanan hidup melahirkan 'inner loop' tersendiri.

Filem pendek ini hanya berdurasi 30 minit namun saya menontonnya hampir sejam. Mengulang-ulang babak dan menghadam setiap dialognya. Dalam tidak sedar saya terperangkap dalam 'inner loop' yang dicipta oleh pengarah filem ini. 


Saya ingin tahu apakah makna 'Inner Loop' dan terjumpa LINK ini. Inner Loop ialah istilah perkomputeran yang bermain dengan data, kod dan sebagainya. Ah, izinkan saya tidak menuliskannya kerana saya sendiri kurang faham keadaan sebenarnya. Yang saya tahu sikit-sikit ialah Inner loop merupakan hasil daripada perbuatan-perbuatan (kod, database dll) yang melalui proses berulang-ulang dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Boleh baca link tersebut untuk kefahaman anda. 

Falsafahnya amat besar jika dikaitkan dengan stesen kereta api dalam filem ini. Stesen permulaan yang menjadi stesen akhir menghasilkan 'inner loop' dalam bentuk pusingan penuh. Apakah yang ada di dalam pusingan-pusingan kereta api tersebut?
Perulangan hidup manusia!

Dalam perulangan itu, manusia barangkali akan membetulkan kesilapan lalu, melihat dengan teliti sekeliling yang berulang-ulang lalu akhirnya (jika kuat) mengambil keputusan untuk keluar daripada lingkungan itu untuk mencuba pengalaman baharu lain. Jika lemah, manusia akan tetap mengulang-ulang persekitarannya sehingga dia sedar kekuatannya sendiri.

Begitu juga dalam filem ini. Akhirnya mereka perasan bahawa bandar Shibuya sudah banyak berubah melalui pengalaman semalaman berjalan kaki mengelilingi 'inner loop' stesen kereta api itu. 



Bak kata pengarahnya:

I made this film with a wish to record within a fictional story, the city of Shibuya that is changing with constructions for 2020. Check out the pop idol song featured in this fim.
Taro Shibano / DIRECTOR

No comments:

Post a Comment

Selepas Sehari Usia Bertambah

Menyebut tentang angka usia, bersyukurlah dikurniakan usia lagi setakah dan pada masa yang sama gelisah dan resah tidak dapat disembu...