Friday, August 02, 2019

SESAT MENCARI ARAH

SESAT I

Cermin kereta diketuk dari luar. Segera saya mengangkat wajah. Tangan masih di stereng kereta. Sebelah lagi, menyeka air mata yang masih mengalir laju.

Saya turunkan cermin kereta. Segera suara lelaki itu menyapa, "Kenapa dik? Sakit ke?"

Saya menggeleng dan segera menjawab, "Saya sesat."

Lelaki itu tampak terkejut. Mungkin jawapan itu tidak terlintas di benaknya.

"Mahu ke mana?" Dia bertanya, tenang.

"KL." Saya jawab, pendek. Kepenatan.

Lelaki itu memandang keliling dengan aneh. "Ini nak masuk KL la ni. Tu, papan tanda depan tu kan tulis KL?"

Saya memanjangkan leher, memicingkan pandangan. Ternampak papan tanda berwarna biru tertulis Kuala Lumpur, dengan jelas.

Tidak tahu mahu beri reaksi apa, saya tersengih kecil, angguk ucap terima kasih dan tarik gear ke D.

Demikian, secebis pengalaman pertama sesat ketika kali pertama memandu kereta setelah mendapat lesen. Waktu itu, tiada kemudahan petunjuk jalan elektronik (waze, Google map dll).

Sungguh, apabila memandu kereta di Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar yang lain untuk kali pertama, anda akan merasai 'nikmatnya' sesat.

Sekarang pun, akibat terlalu bergantung kepada peta elektronik, makanya sesat-sesat dan hilang arah akan berlaku juga apatah lagi jika ke tempat yang asing dan aplikasi peta di telefon pintar tidak dikemas kini.

Malah, kerana kebergantungan yang tinggi kepada teknologi (yang katanya memudahkan), manusia (saya) juga masih sesat. Tidak mengenal alam sekeliling. Kurang berfikir. Hanya bergantung kepada 'benda' ciptaan manusia!

Teringat lagu dan filem ini - Kembara Seniman Jalanan :P





Sesat di Kuala Lumpur


Dosa dan pahala bercampur

Tapi kita perlu hidup

Kita perlu terus hidup.....


SESAT II

Pagi ini membaca hantaran seorang kawan tentang sebuah drama (lagi) yang mengetengahkan pelajar tahfiz sebagai peliwat.


Kemudian, saya komen:

Realistik? Di tangan seniman, realistik itu perlu disertakan dengan punca yang kuat - secara individu mengapa watak itu wujud. Dan bukannya mencalarkan dan menghukum institusi yang menaunginya. 
Itu yang masih gagal dilakukan oleh pengkarya tempatan. Jika mahu kritik seorang ustaz misalnya, habis semua dilibatkan - masjid, agama, Islam dll. Padahal yang bermasalah ialah individu berkenaan yang menjadi virus dalam ruang mulia itu. 
Banyak contoh drama luar negara yang berjaya memberi pengajaran melalui watak itu sendiri tanpa mengganggu gugat institusi tempat watak bergerak.

Sebetulnya baru menyiapkan sebuah esei tentang hal yang sama - menjual agama dalam karya. Antara yang saya sebutkan:


Inilah tugas hakiki yang perlu dipikul oleh karyawan dalam melahirkan drama-drama yang lebih berkualiti, berimpak tinggi dan paling utama memberi kesedaran tentang kehidupan dan kemanusiaan yang lebih baik dan luas. Hal ini tentunya menuntut kreativiti lebih tinggi dan disiplin dan tahap ilmu lebih baik daripada semua tenaga produksi. 
Drama tempatan perlu ditafsirkan semula mengikut kerangka masyarakat dan keperluan zaman yang semakin tipis nilai jati diri dan kemanusiaannya. Tanggungjawab pengkarya melahirkan karya lebih baik, teliti dan faham khalayak penontonnya – tentang apa yang perlu disuguhkan dan bukannya mengikut kehendak masyarakat semata-mata.

Jangan menyesatkan masyarakat dengan karya yang kurang matang. Kaji semula arah perjalanan karya yang dihasilkan. Bukan sekadar paparan secara umum dan mengkritik membabi buta. 

Watak seorang pelajar tahfiz, liwat, kepincangan institusi - mengapa melibatkan seluruh maruah agama?

Sepatutnya yang diselesaikan oleh pengkarya (penulis skrip/pengarah) ialah mengapa watak itu muncul dan selesaikan akar umbinya. 


Mengapa menimbulkan kegusaran seluruh masyarakat hanya kerana seorang watak yang gagal atau berada di tempat yang salah?


Kita (sebagai pengkarya) yang sesat atau watak yang dibangunkan itu sesat?



SESAT III




Dalam kehidupan, manusia sering sesat mencari arah, tujuan sehingga sampai ke destinasi terakhir. 

sesat (سست)


  • 1. tidak mengikut jalan yg betul, tersalah (tersilap) jalan: ~ di jalan; 2. ki tersalah, terkeliru (perbuatan, kepercayaan, dll), menyimpang dr jalan yg benar: lama-kelamaan mereka menjadi ~ lalu menyembah berhala; ~ akal tidak siuman, gila; ~ barat salah sekali (jalan yg diikuti); ~ fikiran salah pegangan (pendirian, pendapat); ~ lalu mengikut jalan yg salah; ~ langkah a) melakukan perbuatan yg salah; b) mendapat bencana (sial) dlm perjalanan; ~ pusat bingung; ~ di hujung jalan, balik ke pangkal jalan prb jika tidak boleh dicapai persetujuan dlm sesuatu mesyuarat, hendaklah diselidiki kembali pokok persoalannya; ~ surut, terlangkah kembali prb membaiki kesalahan yg telah dilakukan; kelarai ~ taja prb sesuatu kesilapan yg memang salah dr mulanya lagi; (sumber: Kamus Dewan Edisi Empat)

Tarik nafas, berhenti seketika. Lihat semula definisi sesat dalam erti kata secara harfiahnya dan juga melihat diri; segala kelemahan yang ada, kesilapan yang dilakukan dan punca-puncanya. Susun semula langkah. Proses kembali ke pangkal jalan, atau memperbaik kesilapan yang dilakukan akan menjadikan seseorang lebih kuat dan yakin selepasnya.





Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - "Tulis kisah tentang watak yang bermasalah dengan arah dan sering sesat....” bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...