Thursday, August 01, 2019

TENTANG TULIS BACA




Pada suatu hari, beberapa tahun lalu, selepas kelas zumba, kami dihidangkan dengan pemandangan senja yang cantik ini di dewan tingkat 6 bangunan pejabat. Melihat senja ini, saya ingin bercerita tentang kecantikannya, tentang kebesaran-Nya, tentang terujanya saya dengan senja.

Tapi kemudian .... kata-kata hanya terakam dalam bentuk gambar sahaja.



Pada suatu hari bernama hari Rabu.

"Harganya RM15.30. Mahal kan?"

Saya menoleh. Melihat botol syampu di tangannya - seorang wanita berusia yang masih berseri wajahnya, dengan tudung elok terletak berona ungu. Dialek Kelantannya pekat sungguh.

"Hmm ... biasa je kot harga begitu." Saya jawab pendek.

"Itu di kedai sebelah sana, mahal tak?" Dia bertanya lagi sambil matanya masih meneliti label pada botol.

Saya menghampirinya, bertanya dengan lebih mesra, "Kedai mana?"

"Kedai sebelah kedai dobi tu."

Membayangkan seketika. Mujur memang biasa di kawasan ini. "Oh, Wat*** tu ke? Hmm rasanya kat sini lagi murah sikit."

"Oh? Hmm... ini bukan syampu kan? Ini apa?" Dia menyuakan botol berwarna hijau itu kepada saya.

"Ini conditioner, cik (kependekan mak cik)."

Dia menyahut, "Oh, pelembab ya? Pakai lepas syampu rambut kan?"

Saya angguk. Senyum.

Dia bertanya lagi, "Awak pakai yang mana? Tak tahulah nak beli yang jenis apa."

Saya diam sebentar. Lihat label. Anti Dandruf. Hair Fall Control ... dan banyak lagi. "Acik ada masalah rambut apa? kena tengok nak yang macam mana. Saya jenis rambut mudah gugur, saya beli yang itu." sambil tunjuk rak hujung, jenama lain yang biasa saya pakai.

"Rambut acik jenis yang kering."

Saya pandang kepala dia, yang bertudung ungu.
Dia pandang kepala saya, yang bertudung coklat.

Gelak dalam hati.

Rambut dia tersimpan kemas dalam tudung.
Rambut saya tersimpan kemas diserkup tudung.

Bagaimana saya atau dia mahu tahu jenis rambut masing-masing?


Mengingat peristiwa ini yang berlaku semalam, membawa saya kepada situasi penulisan. Gaya penulisan. Cara penulisan. Bagaimana penulis memilih perkataan, memilih ayat, memilih sudut pandang - untuk menjelaskan sesuatu dengan baik, tanpa gambar atau nada suara, sehingga pembaca mampu menghadam apa yang disampaikan.

Hal ini juga membawa saya kepada catatan lama di blog lama dulu, CERITA YANG INGIN SAYA CITRAKAN, tentang kepayahan menjelaskan sesuatu kepada khalayak pembaca, apatah lagi jika pembaca berkenaan tidak mengenali saya atau mempunyai prejudis yang tinggi kepada saya.

Tetapi hal seperti ini - berusaha menggambarkan sesuatu yang dilihat/dirasa dalam bentuk perkataan dan cerita agar pembaca faham - bukanlah tujuan utama penulisan.

Bukan menafikan kepentingan memahami audien/pembaca, seorang penulis juga mempunyai tanggungjawab lain yang tidak kurang besar usahanya iaitu:

1. Memberitahu sesuatu yang belum pembaca tahu - jadi, pembaca yang harus bersedia sebelum membaca sesuatu karya. Punya pengetahuan asas tentang subjek yang ingin dibaca pun memadai. Contoh, jika mahu baca karya berbentuk sejarah, carilah maklumat asas sejarah subjek itu.

2. Mencetuskan pertanyaan dalam diri pembaca, agar pembaca bukan sekadar membaca tetapi membuat carian maklumat selepasnya.

3. Mencabar persepsi pembaca. Ini berkaitan dengan sesuatu tindakan yang sedang berlaku dalam masyarakat dan cuba ingin diubah oleh penulis.

Kita tulis, dengan tujuan tertentu. Mereka baca dengan pemikiran dan persepsi tersendiri, mengikut welstanchauung (sudut pandangan hidup) masing-masing.

Bukankah hal 'tulis baca' ini merupakan 'tingkah laku' memberi dan menerima?

Biar tiga ini dulu. Nanti sambung.



*Sedang mengerjakan naskhah terbitan semula (Edisi ke-3) buku Membaca; Kaedah & Motivasi karya Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. (Tajuk asal, Kaedah & Motivasi Membaca). Sebuah buku tentang hal membaca yang harus dimiliki setiap orang yang mahu membaca.


------



Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' Mulakan kisah dengan “Pada suatu hari…”
bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...