Sunday, August 23, 2020

JIMI NI SUGOI!

Apabila salah seorang rakan dalam 'group' Goodreads Malaysia mencadangkan cerita ini, dan selepas pertemuan dengan Norziati ke pejabat saya Jumaat lalu, keinginan menggulati semula hal-hal berkaitan editorial menjadi kuat apatah lagi selepas hampir setahun meninggalkan jabatan buku dan kerja-kerja hakiki berkenaan buku.

Kata Noorjihan, 

"Ada satu drama yang saya nak rekomen kat sini - Jimi ni Sugoi! Drama ni berkenaan karier sebagai proofreader.  Dia tunjuk bagaimana watak utama yang temuduga untuk jadi editor majalah fesyen tapi  dapat kerja sebagai proofreader, dan kisah bagaimana dia cari fakta dan perbendaharaan kata dengan meneliti latarbelakang penulis dsb."

Maka sejak seminggu lepas saya mengambil keputusan meladeni drama Jepun, Jimi Ni Sugoi (2016) ini dengan keterujaan ...

Jimi Ni Sugoi (Jdrama, 2016)


Etsuko Kono berusia 28 tahun apabila lulus temu duga di sebuah penerbitan terkenal Keibonsha. Setelah 10 tahun mencuba jawatan editor di majalah Lassy, majalah fesyen yang terkenal di Keibonsha, berita lulus temuduga itu merupakan sesuatu yang amat menggembirakan Etsuko. Namun, apabila tiba di Keibonsha, Etsuko dikejutkan dengan berita bahwa dia sebenarnya ditawarkan kerja sebagai proofreader. Apa itu Proofreader (pembaca pruf)?

Kecewa, namun setelah dipujuk oleh ketua bahagiannya, Etsuko meneruskan perjalanan baharu itu dengan keyakinan dalam tempoh tiga bulan dia akan ditawarkan pula menjadi editor untuk majalah fesyen kesukaannya, Lassy. 

Waktu berganti, Etsuko menemukan hal-hal baharu dan menyeronokkan dalam kerjaya sebagai pembaca pruf walaupun impian utamanya untuk menjadi editor tidak pernah terlupakan. Tidak lupa, penonton dihadapkan dengan kerja-kerja pembacaan pruf yang tidak terfikirkan dan melangkaui apa yang dilakukan oleh penulis sendiri. Isu-isu biasa dipaparkan - tentang fakta dan logik dalam pengkaryaan, soal mengejar masa, salah cetak, perselisihan antara editor dan pembaca pruf, juga tentang plagiat yang menjadi virus dalam dunia penulisan.







Dalam satu kejadian yang tidak tersangka, Etsuko mendapat peluang itu. Adakah dia merebut peluang yang ada setelah hatinya benar-benar jatuh cinta dengan kerja-kerja membaca pruf?

Editor vs Pembaca Pruf





Menonton drama ini membawa saya ke tempoh enam tahun ke belakang (2013-2018) ketika saya menjadi editor buku di Jabatan Buku Malaysia, ITBM. Ia merupakan tempoh paling membahagiakan dalam kehidupan kerjaya saya. Siapa yang tidak bahagia mendapat pekerjaan yang selari dengan minat sendiri -BUKU! Seolah-olah menikmati hobi yang menyenangkan dan dibayar gaji pula melalui hobi itu.

Dalam tempoh itu saya bukan sahaja berkenalan dengan penulis-penulis yang mapan dan baru bertatih, tetapi juga dibawa mengembara ke pelbagai arena dan lapangan, fiksyen dan bukan fiksyen dalam dunia buku. Membaca karya penulis sebelum dibukukan merupakan satu nikmat yang tidak terkatakan. Bersama-sama penulis membina dan memperbaik karyanya sehingga terbit menjadi buku pun sebuah pengalaman yang sangat enak untuk dikenang malah memperkaya pengalaman saya sebagai editor. ia satu proses yang mematangkan - emosi dan ilmu pengetahuan. 

Dalam proses ini, tentunya ada watak pembaca pruf yang sama-sama merencahkan pengalaman saya sebagai editor. Bergaduh dengan pembaca pruf, tidak bersetuju, berkejar-kejar dengan masa - itu semua mengajar erti kenikmatan dalam kerjaya yang kita sukai.

Apa yang terpapar dalam drama ini sungguh-sungguh meletakkan saya dalam watak-watak yang memainkan peranan sebagai orang-orang di balik tabir penerbitan sesebuah buku. 

Ah, saya teringatkan Aina Juslida, antara pembaca pruf yang teliti, Saadah, juga pembaca pruf merangkap QC yang selalu bertelagah dengan saya soal sempadan kerja dan pelanggaran peranan.

Itu semua jika didramakan dalam versi Malaysia, entah bagaimana penerimaan penulis dan masyarakat sekeliling tentang peranan sebalik tabir editor dan pembaca pruf yang amat penting. 

Saya amat berharap drama kerja di sebalik tabir begini dalam diperbanyak agar masyarakat kita tahu banyak kerja yang boleh dibuka peluangnya jika setiap kerjaya dijelaskan dalam bentuk drama begini. 

Oh, saya juga suka falsafah penulisan yang diselitkan dalam drama ini dan bagaimana akhirnya seorang penulis yang biasa-biasa menjadi luar biasa dengan campur tangan editor dan pembaca pruf yang jujur memberi pendapat tentang karya mereka. 

Saya suka Yukito akhirnya berhenti menulis sesuatu yang bukan dalam kecintaannya dan akhirnya menemukan sesuatu yang patut ditulis malah memberi impak tak kurang hebat kepada pembaca - menulis buku tentang orang-orang disebalik tabir sesutu bidang - tukang baiki/penyelengaraan rel kereta api, jambatan, dan kemudahan asas masyarakat, yang sama penting dengan orang-orang sebalik tabir pembikinan buku. 

Boleh baca butiran drama DI SINI.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...