Sunday, June 06, 2021

BILLU dan Persahabatan

 



"Siapakah sahabat yang paling tidak dapat saya lupakan kerana kebaikan budinya?" Itulah soalan kepada diri sendiri, terutama ketika pandemik menghurung dunia - siapakah teman yang sama-sama dalam susah payah saya?

Sempat menonton Billu Barber (2009) hari ini, dan kemudian babak akhir, air mata keluar tanpa sedar. Haih! Budi yang baik, akan memberi kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja! Itulah kesimpulan saya terhadap watak Billu yang diperankan oleh Irrfan Khan ini.

Cerita dimulakan dengan surat Billu kepada pegawai kerajaan (Bahagian Pembangunan Industri Kecil di Budbuda (sempat Google lokasinya. Jika filem Highway meneroka India Utara, barangkali Billu meneroka bahagian Timur India berdekatan India pusat).

Suratnya berbunyi: 

To the civil officer, I'am Billas Pardesi alias Billu. I'm from Budbuda Village... have you ever been there? Did you see the Billu Hair Salon there?... the condition of my salon resembles the goverment schemes - the present is miserable and the future is bleak...

Dan kemudian Billu menceritakan tentang kedaifan kedai salonnya dan ekonomi setempat yang miskin. Saya fikirkan filem ini akan memaparkan perjuangan Billu menentang kerajaan yang korupsi, sebab dalam surat itu Billu menyatakan terus terang bahawa dia tahu suratnya tidak akan dilayan kerana tidak disertakan dengan duit  dan dia tidak mampu memberi rasuah kepada pegawai berkenaan kerana memang tiada duit. 

Kemudian cerita dibawa menelusuri kehidupan Billu yang kais pagi makan pagi namun tidak memandang ringan pendidikan anak-anaknya. Billu sanggup berbuat apa sahaja supaya anaknya tidak keciciran. Isterinya, Bindiya juga diperlihatkan tidak mampu membantu apa-apa selain turut bekerja menjaga kambing dan asyik meminjam tepung daripada jirannya.

Suatu hari bandar kecil yang miskin itu heboh dengan berita kedatangan Sahir Khan, seorang pelakon yang sangat popular. Dalam babak ini, kelihatan bahawa hiburan menjadi satu-satunya pengubat derita kemiskinan orang kampung. Mereka mendewa-dewakan artis. 

Entah bagaimana, Billu menyatakan bahawa Sahir Khan adalah sahabat lamanya. Berita itu menggemparkan kampung sehingga Billu menerima desakan demi desakan agar menjadi orang tengah untuk mereka bertemu dengan Sahir Khan. Billu yang berpendirian rendah diri dan tidak mahu ambil kesempatan atas kepopularan kawannya, Sahir Khan, mengambil langkah tidak mahu terlibat membantu orang kampung bertemu Sahir. 

Desakan demi desakan, bukan sahaja dari orang kampung malah anak-anak dan isterinya. Dalam situasi itu keluarga Billu mendapat pelbagai layanan - dapat peralatan baharu untuk salonnya, makanan dan layanan baik pihak sekolah terhadap anak-anaknya, semata-mata mahu menjadikan Billu sebagai batu loncatan bagi mereka bertemu Sahir. 

Billu tidak dapat bertemu Sahir (kerana tidak mahu dan berasa malu atas kemiskinan dirinya). Orang kampung mula memandang serong dengan mengatakan Billu penipu malah laporan polis dibuat agar Billu ditangkap kononnya menjadi scammer dengan mengambil manfaat yang orang kampung beri.

Dalam situasi tegang begitu, Sahir Khan menerima pelawaan sekolah untuk hadir beri ucapan. Sahir turut hadir melihat dari kejauhan bersama isterinya. Dalam ucapan itu, tanpa disangka nama Billu disebut sebagai kawan yang paling diingati Sahir. 

Air mata saya terus laju dan goosebumps!

Bagimana kesudahannya? 

Budi baik seseorang tak mungkin dilupakan. Walau semiskin mana kita, tetaplah berbudi tinggi dan bermaruah. Itulah yang mhu disampaikan dalam filem ini. 


HIGHWAY dan Cerita Perjalanan yang Beku

 


Ya, entah siapa yang harus dipersalahkan, maka Covid mengepung Malaysia kembali - lebih kuat, lebih sakti. PKP 3.0 ini bukan sahaja menyaksikan lebih banyak kes positif dan kematian, tetapi juga pelaksanaan kuncitara atau lockdown yang meresahkan dan merusuhkan.

Apa lagi yang mampu kita lakukan selain berserah pada doa, agar pandemik segera menghilang dan kita kembali dapat menakluk dunia dengan bebasnya. 

Mengisi ruang kurungan dengan menonton filem yang memasukkan babak 'kembara' memang mengasyikkan. memberi harapan dan inspirasi untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. 

Antara filem yang memancing perhatian saya ialah filem Highway (2014) ini. Lakonan Alia Bhatt dan Randeep Hooda. Cerita dimulakan dengan Veera keluar dari rumah untuk mengambil angin bersama-sama tunangnya. Ketika singgah di sebuah stesen minyak yang sunyi, Veera keluar dan menikmati udara malam yang nyaman sebelum melihat rompakan di kedai stesen minyak tersebut. Tidak sempat berbuat apa-apa, Veera dijadikan tebusan dan dibawa lari.

Di markas penculik, mereka bertelagah apabila mengetahui bahawa gadis yang diculik adalah anak Tripati, orang terkaya dan berpengaruh di Delhi. Untuk mengelakkan kejadian buruk, mereka berpakat membawa Veera jauh dari situ dan akan melepaskannya di suatu tempat terasing kelak sebelum menyembunyikan diri. 

Namun, apa yang berlaku, Veera tidak mahu ditinggalkan atau balik ke rumah. Dia mahu mengikut si penculik, Mahabir untuk ke mana sahaja. Mahabir keliru dan dalam masa yang sama bimbang kerana membawa Veera bermaksud menyediakan dirinya kepada maut. Perjalanan merentas lima negeri (Haryana, Rajashtan, Punjab, Himachal Pradesh dan Kashmir) ini membuka mata Veera dan memujuk jiwanya yang parah akibat sejarah hitam dalam keluarganya.
Filem ini memaparkan keindahan dan budaya setempat yang membuka mata Veera dan tentunya penonton. Indah sungguh Himachal tu...

Namun, isu besar dalam filem ini ialah tentang persepsi orang jahat dan orang baik yang digambarkan begitu jelas. Veera yang diperlakukan dengan jahatnya oleh pak cik sendiri dan dilayan dengan bermaruah oleh penculiknya memberi pengajaran bahawa jangan menilai sesuatu dari luaran.
Dan soal sumbang mahram memang banyak terjadi di mana-mana sahaja. Kesan emosi dan jiwa yang trauma, hanya mangsa mengetahuinya. Walaupun pengakhirannya menyedihkan, dan plot juga agak longgar, saya tetap menyukai filem ini. Semangat mahu kembara semakin kuat. Saya berharap selepas pandemik, saya dimurahkan rezeki untuk pergi ke tempat-tempat indah di seluruh dunia bersama anak-anak.




Nightbooks dan Seruan 'La Tahzan'

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Janganlah kamu lemah dan bersedih.” (Surah al-Imran: 139). Kesedihan ialah kegelapan yang menutup jiwa yang...