Showing posts with label penerbitan. Show all posts
Showing posts with label penerbitan. Show all posts

Monday, November 04, 2013

Buku Yang Cantik






Cantik itu subjektif. Benar. Kecantikan merupakan satu ruang katarsis yang subjektif sifatnya. Cukup dengan mengatakan, setiap manusia ada citarasa tersendiri.

Berkaitan dengan buku, apakah yang dimaksudkan dengan buku yang cantik? Kita tanya kepada pembaca;


  • Ilustrasi kulitnya yang menawan?
  • Tajuk yang menarik?
  • Penggunaan font yang menyenangkan pembacaan?
  • Warna-warna dan elemen yang digunakan?
  • Cerita yang menarik dan beri kesan mendalam sehingga beri pengaruh yang baik kepada pembaca?
  • Ceritanya tentang hal yang cantik-cantik sahaja?
  • Penulisnya yang cantik atau kacak?
  • Gaya penerbitan yang kemas?
  • Tiada kesalahan ejaan?
Dan ... nyatakanlah seberapa banyak definisi 'buku yang cantik' pada pandangan pembaca.


*****


Untuk penulis pula, sudah tentulah masing-masing mengimpikan 'buku yang cantik' hasil tulisannya. Setiap penulis mahukan kulit buku yang cantik, suntingan yang kemas tanpa mengganggu hasil karyanya yang asal, cetakan yang terbaik dan sudah tentu yang menjadi keutamaan, bukunya laris 'cantik' di pasaran.

Namun, untuk menghasilkan buku yang cantik mengikut pandangan pembaca atau menurut kehendak penulis bukanlah suatu hal yang mudah dicapai, kalaupun tidak mustahil.

Caranya, penulis terbit sendiri - dan segala kehendak hatinya dapat dipenuhi.

Atau hantar kepada syarikat penerbitan, dengan syarat, penulis tahu haknya, dan mengerti hak syarikat penerbitan yang sudi menerbitkan bukunya.

Ada beberapa hal yang perlu diteliti dengan mendalam, ketika proses penerbitan dengan syarikat yang dipilih dan hal ini bakal menghasilkan buku yang bagaimana yang diingini oleh penulis itu sendiri tanpa mengenepikan hak-hak dan polisi syarikat penerbitan.

Kunci kepada buku yang cantik ialah komunikasi yang cantik antara penulis dengan editor/ syarikat penerbitan itu sendiri. Dengan ini, segala hal yang diimpikan, baik dari pihak penulis mahupun syarikat penerbitan akan terlaksana.

Namun, tidak semua penulis akur dengan syarat itu. Masing-masing, ada yang menganggap karyanya adalah hak miliknya yang mutlak sehingga sebarang perbincangan tidak diambil kira, malah menuduh syarikat penerbitan tidak cekap.

Begitu juga halnya dengan syarikat penerbitan yang menganggap karya penulis yang sudah dihantar kepada mereka, perlu mengikut segala polisi dan gaya yang ditetapkan.

Ini salah!

Buku sepatutnya menjadi unsur yang sangat penting dalam pertembungan antara penulis dengan syarikat penerbitan. Jangan kerana ego, penulis menidakkan kejahilannya dalam sesetengah perkara - contohnya, ejaan yang diragui, isi kandungan buku yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat apatah lagi agama, dan sebagainya. Jangan juga kerana angkuh, syarikat penerbitan sesuka hati 'menggayakan' karya tanpa merujuk penulisnya dahulu.

Buku akan menjadi buruk dengan sikap-sikap begini.

Masih banyak cara untuk kita lahirkan buku-buku yang cantik. Mari berusaha - penulis dan penerbit!


Wednesday, August 21, 2013

PENULIS : MAHU dan SANGGUP

"Tak perlu kau buatku mengerti
Tersenyumlah karena ku sanggup"

~ Agnes Monica - Karena Ku Sanggup

Mendengar bait-bait kata dalam lagu ini, mengertilah saya, antara mahu dengan sanggup mempunyai takah pengertian dan pemahaman berbeza. Seringkali kita kata, ya kita mahu, tetapi adakah kita sanggup?

Ambil contoh, kita mahu berkahwin. Tetapi, pernahkah kita berfikir, sanggupkah kita kahwin?

Juga, kita mahu menulis. Sanggupkah kita menulis?

Serta banyak contoh lain.

KOMA

Meredahi dunia penerbitan, penyuntingan dan hal-hal berkaitan buku, membawa saya kepada satu pengalaman yang besar mengenai MAHU dan SANGGUP.

Kita bercakap soal memulakan sesuatu dan proses sesuatu itu dilakukan. Juga hal-hal selepasnya yang perlu kita tanggung dan tangani.

Ramai orang mahu menulis dengan tanggapan-tanggapan tertentu mengikut niat masing-masing. Menulis kerana minat, bakat, mahu berdakwah, menyebar maklumat, melepaskan tekanan, kerana imbalan, popular dan sebagainya.

Maka, mereka menulis. Saya juga begitu. Menulis kerana mahu - dengan sebab-sebab tertentu yang disebutkan di atas atau sebab tersendiri yang tidak akan diberitahu kepada sesiapapun.

Selepasnya?

Sanggupkah kita mengambil tahu apa yang mahu kita tulis? Sanggupkah kita mencari maklumat dan melakukan kajian terhadap apa yang mahu ditulis? Sanggupkah kita membuat sedikit penyelidikan terhadap cara tulisan kita diterbitkan, disebarkan dan akhirnya sampai kepada masyarakat?

Sejauh mana kita mahu dan sejauh mana pula kita sanggup melakukan itu semua.

Ternyata MAHU sahaja tidak mencukupi untuk kita MENYANGGUPI hal-hal sesudahnya.

Dan itulah kelemahan penulis-penulis di Malaysia mengenai dunia penulisan mereka. Tidak ramai yang mahu dan sanggup menyeluruhi dunia penulisan yang akhirnya membawa kepada pelbagai masalah sama ada di peringkat penulisan lagi, ataupun sehingga ke peringkat penerbitan yang akhirnya menjadikan proses penerbitan buku menjadi lembab dan bermasalah.

Dan jika diperingkat penerbitan, editor juga tidak sanggup menanganinya, ia akan menjadi lebih bermasalah di peringkat khalayak pembaca.

Buku bagaimanakah yang ingin tuan/puan hasilkan hanya berbekalkan MAHU dan buku bagaimanakah yang tuan/puan ingin persembahkan jika ada rasa SANGGUP dalam menghasilkannya?

KOMA

Kepada mereka yang MAHU dan SANGGUP menjadi penulis, sebuah bengkel akan dijalankan pada bulan Oktober ini sebagaimana ketetapan berikut. Melalui bengkel ini, tuan/puan akan mendengar sendiri pengalaman penulis menghasilkan karya (yang banyak) dan juga pendedahan oleh editor mengenai proses penerbitan yang akan memudahkan lagi perjalanan manuskrip tuan/puan untuk diterbitkan.





Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...