Friday, January 29, 2016

Timah vs Ramlee






Saya selalu kongsikan peristiwa yang menarik dalam kehidupan dalam bentuk yang pelbagai. Kadang, apa jua yang berlaku secara benar/realiti yang membawa pengajaran bagi saya, saya akan kongsikan . Menukar watak, jika perlu dan jika ia boleh mengaibkan orang lain. terutama kisah suami isteri yang banyak sensitifnya. Boleh memalukan pasangan pun iya. Kena hati-hati.

Ini kisah Timah dan Ramlee. Ia tercipta daripada babak-babak antara saya dan suami, antara saya dengan anak-anak, dan juga kebanyakannya, antara saya dengan watak-watak lain dalam hidup. Tak mustahil juga ada antara babak Timah vs Ramlee ini, tercetus antara diri saya dengan diri saya sendiri.

Kenapa Timah? Kenapa Ramlee?

Jawapannya, entah. Mungkin sebab ia klasik. Nama Timah dan Ramlee itu sendiri mewakili kelompok kecil masyarakat Melayu, tipikal dan sesekali luar biasa. Watak biasa yang boleh orang bayangkan bagaimana rupanya, bagaimana situasi dan keadaa ketika babak diceritakan.

Sejak tahun 2009 saya menulis babak Timah vs Ramlee ini. Saya tak bercadang mahu bukukan sebagaimana tindakan ramai penulis masa kini. Ya, ramai penulis dan banyak buku yang diterbitkan berdasarkan catatan-catatan begini - antaranya Matlutfi yang membukukan catatannya di twitter. Rafi Harumin yang membukukan kisah-kisah kerjayanya di kaunter. Hamka (Kereta Mayat) yang mencatatkan kisah laki bini. Dan banyak lagi.  Sungguh. Banyak. Banyak buku hari ini terbit hasil daripada kerja mencatat-catat di FB, Twitter, Blog dan sebagainya. Tak salah pun.

Saya tak bercadang nak bukukan.  Tapi ramai yang mendesak. Saya cuma suka menulis tentangnya. Saya suka. Saya belum tahu cara atau malas nak fikir cara bagaimana mahu bukukannya. Mungkin dalam bentuk komik. Atau sekadar paparan dialog. Eh. Nantilah.

__________



"Ini kisah benarkah?" tanya seorang rakan FB.
"Kenapa?" tanya saya semula.
"Sebab ia sangat menarik, real dan best." Jawab dia.

Entah. Saya cuma mahu bercerita. Dan ia memang benar. Saya tak akan cerita sesuatu yang saya tak alami, yang saya tak rasa. Nanti hasilnya tak genuine. Seperti dibuat-buat.

Saya cuma harap orang suka baca dan mengambil iktibar, kalau pun ada. Jika tiada, cukup sekadar tertawa sama-sama meraikan indahnya dunia dengan pelbagai ragam. Setakat ini ada lebih kurang 30-40 kisah. Entahlah.

Thursday, January 28, 2016

Penulis vs Penulisan

Hari ini, terbawa meneroka blog lama saya,  https://psittacula.wordpress.com/

Entah kenapa, rindu menerpa. Saya belum mampu menulis setulus hati dalam blog ini berbanding blog lama. Mungkin kerana blog lama itu, saya kurang dikenali melalui tulisan. Yang diraikan ialah tulisan sahaja. Saya juga senang hati berselindung di sebalik nama Bayan. Segala tulisan ditulis tanpa ragu dan tanpa memikirkan imbalan-imbalan lainnya. Sekadar suka menulis dan melayan komen kawan-kawan.

Tapi, ia berbeza dengan blog ini. Entah kenapa segala rasa tak sampai. Mungkin kerana usia, dan kematangan, membataskan apa yang perlu dan tak perlu dituliskan. Mungkin. 

Tapi saya masih rindu tulisan-tulisan lama dahulu. Mahu cari semula diri. Mungkin mengurangkan aktiviti FB yang terlalu terbuka, menumpahkan segala rasa wajar dan tak wajar menjadikan saya kurang sensitif dan kurang rasa taakulan dalam banyak hal. 

_____

Begitu juga dengan semua penulis di luar sana. Kadang kala saya dapat rasakan bagaimana sesebuah tulisan atau karya benar-benar menangkap rasa - dan saya kaji latar belakang penulisnya. Yang sekadar mahu menunjukkan 'dia' ada, maka tulisannya ala kadar. Yang mahu menunjukkan 'tulisannya' ada, maka ia begitu mendebarkan sukma.

Entah. Mungkin lebih baik tonjolkan pemikiran berbanding menonjolkan diri sendiri. Sebenarnya tak ada apa yang istimewa pada diri penulis jika bukan kerana penulisannya. Penulis digelarkan penulis kerana dia menulis. Maka, kuatkan, tonjolkan dan pengaruhi orang dengan tulisan itu. Selepasnya, ya, mungkin boleh keluar daripada tempat persembunyianmu... jika tulisanmu sudah benar-benar kuat!

____________

(entah kenapa, tiba-tiba pula teringat salah satu cerpen Eka Kurniawan dalam bukunya, Perempuan Patah Hati yang Kembali Menemukan Cinta Melalui Mimpi - cerpennya bertajuk, Jangan Kencing di Sini - dan engkau akan faham bagaimana perasaan menyimpan sesuatu, tahan, dan tiba waktu yang sesuai engkau lepaskan)

Mungkin, saya perlu belajar semula menahan rasa dan tumpahkannya pada tempat yang betul dan pada masa yang tepat.

Saya akan sentiasa berlatih untuk itu. Bukan untuk menjadi penulis yang terkenal, tetapi sekadar mahu menjadi penyampai yang berkesan. 

*skil kewartawanan pun dah karat!

Tuesday, January 26, 2016

Pertama Kali


Sebenarnya hal ini telah saya azamkan sejak tahun pertama (Bulan ketiga) saya bekerja sebagai editor. Saya mahu buat buku dengan damai. Tak mahu tertekan atau kelam kabut.

Itu normal apabila bulan pertama atau ketika melakukan tugasan pertama, kita akan kalut. Saya masih ingat, buku pertama yang saya tangani ialah buku Cantuman Mimpi dan Retrospeksi (dua buah buku projek khas bersama Legasi Oakheart).




Betapa kalutnya saya. Pertama, sebab saya tak pernah uruskan buku dari awal sehingga akhir. Saya hanya pengalaman menyunting. Dan itu hanya menyumbang 1 peratus dalam kerja-kerja editor eksekutif.

Di syarikat lain mungkin lain caranya. Setiap editor juga bertugas mengikut polisi dan sistem yang ditentukan. Ia berbeza dengan syarikat lain. Di sini, editor menguruskan segala hal daria wal sehingga akhir - terima buku, bincang dengan penulis hal tajuk (sesuai atau tak), kandungan (kemaskini), prakata, dedikasi, sunting, cari bahan untuk kulit buku (elemen muka depan dan blurb), hantar ke bahagian atur huruf, semakan demi semakan, penentuan bagaimana bentuk dan rupa buku (saiz, jenis font, gambar atau tak, warna, dll).

Sungguh. Saya fikir kerja saya hanya menyunting (copy editor). Rupa-rupanya di sini saya perlu lakukan hampir 70% kerja-kerja penerbitan. Selebihnya tugas bahagian penerbitan (atur huruf, semak teknikal, pruf, hak cipta, barkod dan imprint dll).

Buku ini (Cantuman Mimpi dan Retrospeksi) terlahir dengan cantik kerana kerjasama yang kuat antara semua bahagian terutama pereka bentuk kulit yang memahami dan cekap. Walaupun teksnya mungkin ada kecacatan akibat tiada pengalaman dan tidak biasa dengan stail rumah penerbitan, juga kekangan masa (siapkan dalam tempoh sebulan kerana buku ini dilancarkan pada bulan April), saya masih bersyukur dikurniakan pengalaman yang cukup banyak. 

_______

Kini, sudah memasuki naskhah yang ke-72 naskhah-naskhah yang saya kerjakan. Buku-buku yang saya tangani, ada pelbagai ragam. Ada pelbagai cerita dan cara menanganinya. Tak takut saya katakan, saya lebih banyak belajar menangani penulis berbanding buku dan karya-karya mereka. Berhadapan dengan manusia, memberi banyak pengalaman manis dan pahit. Saya telan dan hadam untuk terus cekal dan bersemangat mengerjakan lebih banyak buku. Insya Allah.

____

Kisah lain, buku saya, maksud saya karya saya ada terselit dalam buku projek 50; Sedetik.doc (tajuk asalnya Kali Pertama). Di dalam projek ini, saya menulis tentang kali pertama saya jatuh cinta pada dua hal berbeza pada masa yang sama. 








Monday, January 25, 2016

Antara Perang dan Damai


Tak puas-puas memandang gambar ini. Diambil ketika berkunjung ke Tasik Chini beberapa tahun dahulu kerana tugasan. Gambar yang mendamaikan. Gambar yang menginspirasikan. Hanya itu. Damai dan inspirasi. 

Seperti duduk di balkoni, membelakangi mentari. Angin bertiup kencang. redup dan mendamaikan. Engkau ditemani kopi dan sebuah buku. Ada sepohon pokok bunga yang baru belajar mahu hidup. Itu cukup.

Jadi selepasnya apa?

Damai tidak menggerakkan engkau ke mana-mana. Kata seorang penulis yang saya minta nasihat daripadanya tentang penulisan.

"Jika engkau mahu menulis, keluar dari kedamaian itu. Hentak kepalamu dengan sesuatu. Biar ia sakit.  Biar kepala itu sedar banyak perkara perlu dibereskan. Jangan hanya tahu berdamai dengan alam sehingga engkau tidur lena tak berbuat apa."

Ah, keras sekali nasihatnya. Seperti sahaja berbual dengan Pramoedya. Haha...

Ya, begitulah. Seorang penulis, katanya harus keluar dari lingkungan keselesaan. cabar diri dan otak untuk menulis sesuatu. Berhijrahlah. Pergilah kembara.

Tapi, salahkah menikmati kedamaian? Mungkin dengan kedamaian itu akan tercetus fikiran-fikiran yang jernih tentang sesuatu.

Tak salah. Jawabnya. Cuma, masa damai itu gunakanlah untuk menyunting karyamu. Itu bukan masa yang baik untuk menulis sesuatu secara tajam.

Tapi.... 

_____

Mengenali ramai penulis melalui karya-karya mereka, amat membahagiakan saya sebagai seorang editor. Berperang dengan hal-hal teknikal tidak sama beratnya dengan mempertikaikan apa yang ditulis. 

Tugas editor hanya menyunting!

Tak mahu. Saya tak mahu hanya menyunting. Saya berhak mempertikaikan fakta. Saya berhak menidakkan yang tak perlu. Saya berhak meminta lebih daripada apa yang dihidangkan. 

Melalui karya-karya itu, saya seolah-olah mengembara ke alam rohani dan pemikiran penulis. Saya mampu teka, bagaimana emosi dan keadaan si penulis ketika cerita terlakar. 

Tapi, kata-kata ini semua, hanya secara peribadi saya rasakan dalam diri dan tak mahu saya kecoh-kecohkan. Mempertikaikan penulisan orang lain bukanlah aktiviti yang bagus terutama di Malaysia. 

______

Selepas membaca karya seorang penulis ini, benar-benar ia merenggut kedamaian saya petang ini. Menghadap ke luar balkoni, menikmati bebasnya angin bertiup, masih menyangkutkan saya pada persoalan yang dikemukakan tadi.

Benarkah kita menulis buku takdir kita sendiri?

____

Saya perlukah mencipta situasi untuk menulis? Tak bolehkah saya menulis ketika damai begini?

Boleh. Tulis blog!


Sunday, January 24, 2016

Antara Pengalaman, Kematangan dan Keberanian - Apa lagi?

Setahun lalu, seorang kawan berkata, buku terbaik ditulis melalui pengalaman. Saya terdiam lama sebelum berkata, buku terbaik ditulis melalui kematangan.

Dan pagi ini, saya merasakan satu hal lagi, buku terbaik ditulis melalui keberanian - dan merangkumkan pengalaman dan kematangan.

Sebab itulah, penting untuk penulis menulis dengan kewarasan dan kewajaran yang tinggi. Berfikir sebelum tulis. Bertekad sebelum bercerita panjang. Kerana tulisan ialah tanggungjawab. Sampai selepas mati pun, tulisan itu akan kita bawa ke akhirat - menjadi manfaat atau sebaliknya.

______



Saya gagal lagi, di peringkat permulaan. Berazam mahu menulis lebih kerap di blog ini. Menulis apa sahaja dengan segala pengalaman yang dikutip setiap hari. Mencatat segala kematangan yang diperolehi setiap hari dan bertindak melaporkan dengan penuh keberanian, terutama hal-hal yang melibatkan kerja harian - supaya menjadi panduan dan rakaman sejarah yang bermakna buat diri.

Tapi saya gagal. 

Pengalaman, kematangan dan keberanian rupa-rupanya masih belum cukup untuk kita konsisten dengan apa yang ingin dibuat. 

Saya sedar hal itu. Mungkin ini terjadi pada diri saya sahaja - belum matang, belum berani atau belum berpengalaman (tak akan tercapai segala tahap ini sampai bila-bila - kata seorang kawan)

Beberapa minggu ini saya mengalami konflik diri yang besar. Ia menguasai perasaan dan tindakan. Dan nyatakan untuk menulis perlu punya RASA. Perasaan mahu menulis akan memungkin segala keupayaan. Jika tidak mahu, maka tidak akan ada satu perkataan pun tertulis. Tiada mood. 

Jagalah perasaan. 

Atau sebenarnya kena tambah lagi satu ciri? TEKAD! Menulislah, gagahkan diri, tekad, kena tulis walaupun perasaan tak best. Ke macam mana?

______




Bangun awal pagi. Dan mulalah menulis!

Ada banyak tips mula saya hadam dan jadikan amalan sejak awal-awal dahulu - sejak kononnya mahu jadi penulis.

Antara tipsnya, bangun awal pagi, dalam jam 4.30. Mandi. Solat sunat. Dan mulalah menulis. Tunggu Subuh, dan sambung menulis sehingga larat. Dari sudut saintifiknya, pagi atau lebih tepat awal pagi memang membekalkan daya fikir dan kesegaran minda tahap paling tinggi.

Ia tidak dinafikan oleh sesiapa pun.

Dan saya membuka lap top, menials entri ini, pada pagi yang indah ini - bunyi motor yang memekak, bersilang bunyi burung yang mencari makan, angin yang menyusup melalui celah jendela, dan bunyi damai yang tidak kedapatan pada waktu-waktu selainnya. Allah Maha besar. Menjadikan sesuatu tidak sia-sia, malah punya 'rasa' tersendiri.

Berusahalah. Tidak kira untuk pekerjaan apa pun.

Saturday, January 23, 2016

Membaca ialah Kelaparan tanpa Kekenyangan







Demikian kata dia.

Kita membaca-membaca-membaca seperti lapar sesuatu. Namun tidak pernah kenyang. Itulah kuasa membaca. Mengisi nafsu rohani dan jiwa yang fitrahnya mahukan sesuatu yang bernama ilmu (kalaupun membaca itu sebuah bentuk hiburan bagi sesetengah orang).

Namun, tidak ramai pula yang sanggup membeli buku sebagaimana menghabiskan banyak duit untuk makanan.

Benarkah buku boleh diumpamakan sebagai makanan?

Tentulah. Banyak juga rencana dan catatan yang menyamakan buku sebagai makanan. Makanan rohani. Buku ialah makanan yang membentuk rohani dan jiwa manusia. Hati-hati dengan apa yang dibaca. :) Dan hati-hati juga dengan apa yang ditulis.

*sebenarnya tiada apa yang hendak ditulis. Sekadar memujuk hati yang kecewa dengan azam sendiri - mahu buat catatan dalam blog setiap hari. Namun, itupun sukar terpenuh entah sebab apa. Bagaimanalah mahu berjaya jika 'menyediakan makanan' pun malas?

Monday, January 18, 2016

Tentang Apa yang Kita Baca


Tadi, semasa bersembang-sembang dengan seorang rakan, ternampak sesuatu yang menggoncang fikiran (ketika itu beliau memegang telefon bimbitnya dan paparan tertulis tajuk sebuah artikel)

Dalam hati pun berfikir, 'Eh, kenapa dia baca artikel itu? Dia ada masalahkah?

Begitulah, apa yang kita baca selalunya sering dikaitkan dengan diri kita. Tak boleh tidak.

Setiap apa yang kita baca, itulah diri kita. Lebih kurang, "apa yang kamu baca, itulah diri kamu."

Tapi, paling tak boleh lupa pengalaman semasa kembara ke Hatyai menaiki kereta api, saya dan kawan saya (dua orang) asyik membaca. Anehnya, perbuatan kami dianggap pelik. Ya, kami kelihatan pelik kerana membaca.

Novel Popular dan buku indie

Kehadiran novel popular, yang sering dilabelkan sebagai novel tidal berkualiti dari aspek gaya bahasa dan jalan cerita yang sangat klise, masih bersemarak dalam ranah industri buku negara.

Pertelingkahan masih berlaku - novel popular masih dikategorikan sebagai novel picisan, sampah dan paling teruk sebagai perosak minda generasi muda.

Selain novel popular yang menggunakan tajuk yang cacamerba, terdapat juga buku-buku indie (kononnya indie), yang menguasai pasaran perdana di negara ini. Bersepah-sepah buku indie dengan muka depan kulitnya yang bernuansa liar, tidak berselindung serta berunsur provokasi berada bebas di tangan anak-anak muda pelbagai latar belakang.

Ya, dari sudut positif dan jangka masa pendek, kita suka melihat masyarakat mula membaca di sana-sini.

Namun, dari sudut lain, betapa kebebasan menerbitkan buku menjadikan kebebasan membeli dan membaca juga tiada kawalan.

Apakah perasaan kita jika keluar dengan anak-anak menggunakan kenderaan awam, di kiri kanan kita kelihatan remaja atau orang dewasa membaca buku-buku indie dan novel popular?

Pertama, tentulah fikiran kita akan cepat menerjah sikap-sifat pembaca tersebut. Menakutkan juga jika duduk di sebelah remaja yang membaca novel tragis - pembunuhan - liar - lucah. Tidak selesa juga apabila melihat remaja kita membaca penuh khusyuk novel-novel cinta bertajuk - Aku Sayang Pak Cik Guard, Suamiku Playboy, Isteriku Kaki makan Luar (contohnya - tapi itulah hakikat sebenar tajuk-tajuk novel popular masa kini).

Benar. Ada beberapa peratus pendapat (tidak secara psikologi) mengatakan tak semestinya apa yang dibaca itulah dirinya - tapi saya tetap mengatakan itulah dirinya!

Atau apakah perasaan kita sendiri, membaca novel-novel bernuansa begitu di hadapan awam? Bagaimana perasaan kita apabila anak-anak membaca novel dan bahan bacaan sebegitu? Tidakkah dihati kita berasa sedikit gerun, bimbang dan resah melihat bahan bacaan anak-anak kita?

Isunya apa?

Masyarakat semakin terbuka dalam segala hal. Barangkali.

Teringat zaman sekolah dan remaja. Sanggup balut buku dengan kertas bunga jika tajuknya menggelikan dan boleh menimbulkan salah faham.

Jagalah air muka sendiri, dan keluarga, melalui apa yang kita baca.

*Mungkin bahan-bahan bacaan sebegitu, jika mahu dibaca pun, bacalah dalam bilik. Bacalah di tempat yang orang tak boleh menilai siapa diri kita.


Sunday, January 17, 2016

Perpustakaan


Antara gambar perpustakaan tercantik di dunia. Boleh google untuk gambar yang lebih banyak.



 Artikel atau persepsi lama yang tak patut diulang-ulang. 




Hari ini kami mendiami perpustakaan. Kami pilih Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) yang terletak di Shah Alam walaupun berdekatan kediaman kami ada Perpustakaan Negara. Tapi entah kenapa PPAS begitu dekat dengan hati kami. Segala maklumat boleh dibaca di sini:

http://www.ppas.gov.my/index.php

Ini adalah antara perpustakaan tercantik, produktif, sistematik dan mesra pengguna di Malaysia. Mungkin saya tak banyak meneroka perpustakaan di Malaysia jika ada yang mengatakan ada perpustakaan lain yang lebih baik. Tak apa, anak-anak, kita akan jadikan aktiviti mengunjungi perpustakaan sebagai hal yang wajib jika ke mana-mana pun. Insya Allah.

Saya teringat beberapa filem dan beberapa karya yang mengangkat perpustakaan sebagai taman ilmu. Namun, tidak banyak karya di Malaysia sama ada berbentuk tulisan atau filem dan drama yang berbuat demikian. Sama ada perpustakaan kita tak cantik dan tak popular ataupun penggiat karya tidak mesra perpustakaan. Wallahualam.

Apapun, hal-hal mengenai perpustakaan sejah zaman dahulu hingga kini boleh digoogle sahaja. Ia menarik.

Antaranya:

http://www.kompasiana.com/nidaulhaq/menelusuri-sejarah-perpustakaan-dari-masa-sebelum-masehi-hingga-yunani-dan-arab_552849c7f17e614e378b45bd

Paling penting, apa yang dipelajari mengenai perpustakaan ialah, ia terbina daripada kesedaran ilmu yang tinggi, dipelihara dan dimeriahkan oleh mereka yang berilmu. dan menjadi pusat pengembangan ilmu yang paling utuh.

Perpustakaan juga dimusnahkan oleh mereka yang sedar kepentingan ilmu yang boleh membangunkan dan meruntuhkan sesebuah negara, bangsa dan tamadun.

Marilah ke perpustakaan.

http://kfein.blogspot.my/2012/09/perpustakaan-paling-cantik-di-dunia.html

Thursday, January 14, 2016

Menulis Jurnal



Terbaca dalam salah satu iklan bergambar, ciri-ciri orang berjaya ialah yang menulis jurnal. Menulis catatan. Atau istilah klasiknya, 'tulis diari'.

Dalam kehidupan orang biasa, menulis jurnal mungkin bukan ciri-ciri orang yang berjaya kerana dalam bidang dan keupayaan mereka, banyak hal lain perlu dibuat selain menulis jurnal.

Budaya mencatat, menulis jurnal tidak begitu besar dalam masyarakat kita. Apatah lagi kesedaran dokumentasi hal-hal penting tentang diri.

Di Jepun, budaya menulis catatan tentang kehidupan atau lebih dkenali sebagai jibunsyi, telah lama diamalkan. Tujuannya, menurunkan kepakaran ahli keluarga, kisah-kisah pembangkit semangat dan hal-hal yang perlu diketahui generasi seterusnya yang mungkin melibatkan budaya dan adat lama.

Tentulah catatan berbentuk jibunsyi ini penting terutamanya kepada pakar-pakar bidang. Kita kekurangan pakar bidang yang tradisional seperti tukang kayu, tukang buat sampan, tukang rumah tradisional, tukang keris, parang dan persenjataan lainnya serta banyak lagi kepakaran orang Melayu dilupakan zaman kerana tiada catatan dibuat.

Menilai pantun lama pun boleh menimbulkan banyak persepsi dan salah faham kerana catatan itu hanya dibuat oleh orang tertentu dan dikaji sekadarnya. Ruginya ilmu-ilmu lama yang amat bermanfaat, tertinggal oleh masa tanpa apa-apa catatan bertulis.

Bagi seorang penulis, atau catatan amat penting. Selalu juga penulis digesa membawa nota dan pen ke mana sahaja hatta ke bilik air. Kalau boleh buat tali pinggang kecil, siap uncang, untuk letak buku nota dan pen. Haha...Namun, kepesatan teknologi membolehkan catatan disimpan segera dalam telefon bimbit atau alatan gajet yang lain.

Masih, paling utama, catatan itu amat perlu untuk merakam apa sahaja yang dilihat, didengar dan dirasai ketika berhadapan dengan realiti masyarakat.

Wednesday, January 13, 2016

Bajirao Mastani - Mengajar Erti Cinta

http://www.dailymotion.com/video/x2yzf7w_bajirao-mastani-official-teaser-trailer-ranveer-singh-deepika-padukone-priyanka-chopra_shortfilms

Berbaur-baur ketika selesai menonton filem ini. Sungguh.

Dengan jangkaan begitu begini (google dan baca latar belakang filem ini dan tahu 'arah tuju' pengarahnya, Sanjay Leela Bhansali yang memang terkenal dengan kisah 'cinta tak kesampaian), maka saya menghadam cerita ini dengan perasaan yang bersedia.

 http://www.dailymotion.com/video/x3c3na4_deewani-mastani-video-song-bajirao-mastani-deepika-padukone-ranveer-singh-priyanka_shortfilms

Ini kisah sejarah. Peperangan dalam mengekalkan/merampas wilayah jajahan. Dari aspek visual ia tidaklah begitu mengagumkan. Dalam beberapa babak dan sudut sinematografi, terbayang-bayang filem perang barat yang lain. Namun, masih ia usaha yang bersungguh apabila dilihat pada skripnya.

Bajirao, pahlawan India berperang dengan cintanya. Nampak remeh kan. Tapi ia bukan cinta sembarangan. Kisah cinta melangkaui adat dan agama. Mastani, seorang puteri Muslim, mengejar dan akhirnya meraih cinta Bajirao - ah, perempuan memang selalu menyihir. Mereka bersumpah untuk hadapi apa sahaja  halangan agama dan adat budaya dengan kepercayaan cinta lebih besar daripada itu semua. Persoalan adat dan budaya jelas dipaparkan melalui kata-kata yang indah dalam sinis dan kias.

Bagaimanakah akhirnya? Apa tindakan ibu (Radhabai) dan isterinya (Kashibai)? Bagaimanakah reaksi orang kuatnya, orang agama dan masyarakat sekeliling? Mampukah cinta mengatasi segala hal-hal yang disebutkan? Mampukah cinta bertahan?

Menonton filem ini, saya teringatkan filem dan novel Tenggelamnya Kapal van Der Wijck. Persoalan cinta dalam novel itu bertitik tolak daripada konflik antara adat dan agama. Cinta dalam novel ini, tetap menang walaupun tidak diraikan dalam bentuk fizikal (Haryati yang menjadi simbol adat mati tenggelam).

Apapun, persoalan paling utama, Bajirao Mastani mengajarkan saya satu hal lagi tentang cinta. Tak perlu menunggu 15 tahun untuk menikmati cinta (akibat salah faham - ini konflik dalam bercinta yang sangat klise)






Bajirao Mastani, memperlihatkan cinta itu begitu besar pengaruhnya dalam setiap rasa orang yang terkena virus cinta. Bagaimana cinta menyebabkan kita hilang punca, hilang kewarasan. Dalam sudut lain memberi kekuatan dan semangat luar biasa. Yakin dan akhirnya pasrah apa juga yang berlaku. Cinta tak akan mati walaupun kekasih mati (ini tagline dalam filem Mohabbatein. :P)

Cinta seorang lelaki kepada perempuan - kita ini, perempuan, sebagai apakah dalam pandangan dan hatis eorang lelaki? Pelengkap? Bayang-bayang? Kekuatan?

Cinta seorang ibu kepada anaknya - sebesar mana?

Cinta seorang isteri.

Cinta seorang kekasih.

Tidak mahu lagi membandingkan Bajirao Mastani dengan filem-filem cinta lain, maka, nikmatilah buah tangan Sanjay Leela Bhansali yang selalu memberi harapan walaupun 'dia' tak akan beri kamu senyum ketika keluar dari panggung wayang.


Tuesday, January 12, 2016

Minyak dan Air






Industri buku merundum. Demikian desas-desus yang bertebar dalam ruang tahun 2015. Isu-isu politik, dasar-dasar kerajaan yang tak munasabah serta kenaikan nilai mata wang dunia memberi kesan kepada industri buku yang sememangnya 'struggle' di Malaysia. Sudahlah kita ini kecil, bergaduh-gaduh pula. :P

Kenapa nak bergaduh ya? Kan lebih baik bergabung. Aku dapat bayangkan sebuah toko buku, sebuah rumah penerbitan besar yang di dalamnya ada buku pelbagai genre dihasilkan. Indie pun join sekali. Bayangkan ada jabatan buku kanak-kanak, jabatan buku sastera, jabatan buku popular, jabatan buku indie, jabatan buku agama, jabatan buku umum, bla bla bla....kata seorang kawan.

Saya tergelak mendengarkannya. "Macam air dengan minyak tau," jawab saya.

Kenapa? Tak boleh bersama? Bergaduh. Eh, kau tengok ek, kita memasak guna minyak. Kemudian campur air. Jadilah sup. Jadilah masakan-masakan yang lazat. Bukankah percampuran itu boleh menghasilkan sesuatu yang lebih ummph? Bebel dia lagi.

Saya diam. Ada kebenaran khas di situ. Tapi saya tak maksudkan minyak dan air akan 'bergaduh'. Saya maksudkan, minyak dan air punya fungsi tersendiri. Jadi, biarlah air memegang tanggungjawabnya sebagai air dan begitu juga minyak, menjalankan peranannya seperti sifatnya.

Lebih daripada itu, saya ingin juga menjawab, percampuran antara minyak dan air - seperti yang dia maksudkan, hasilkan makanan yang lazat dan pelbagai - mungkin juga boleh mengundang penyakit dan kesan-kesan lain.

Jadi, biarkan minyak dan air, 'dalam industri buku' terasing-asing? Kita mahu maju kan? Kita mahu industri buku kita berkembang dan luas sasarannya kan? Why not try!

Saya serahkan kepada anda menilaikannya. Boleh beri pendapat.

Monday, January 11, 2016

Sekadar Hiasan

Gambar sekadar hiasan

Mungkin boleh dikatakan gambar di atas sekadar gambar hiasan untuk post ini. Atau biasa juga kita baca dalam mana-mana surat khabar atau bahan penulisan, kapsyen di bawah gambar ditulis begini; gambar sekadar hiasan.

Cuba perhati betul-betul. Adakah benar gambar tersebut sebagai hiasan? Okey, lihat kembali ayat ini; 'Sekadar Gambar Hiasan' - apa maksudnya? Sekadar menghias? Sekadar tempelan untuk mencantikkan tulisan? Sekadar letak sebab ruang untuk gambar perlu dipenuhi?

Semasa jadi wartawan dahulu, banyak juga gambar yang saya tempelkan pada artikel diletak label; 'sekadar gambar hiasan' walaupun hakikatnya ada beberapa elemen pada gambar yang memang berkaitan dengan artikel. - Dalam bidang kewartawanan - sekadar gambar hiasan - ditakrifkan sebagai 'hal-hal selamat' (play safe) untuk kita tidak mengaibkan atau memalukan pihak yang kita perkatakan dalam artikel. Itu sahaja. Mudah kan?

BUKU

Salah satu ciri atau pertimbangan untuk saya membeli buku ialah kerana kulit bukunya yang cantik dan cantik jika diletakkan di rak. - bunyinya agak janggal untuk orang yang bergiat dalam bidang buku, tapi begitulah. Memang kebanyakan buku (yang saya tak tahu latar belakangnya), saya beli kerana warnanya cantik, gambar muka depannya cantik dan ia cantik jika berada di rak buku saya.

Jadi, baca tak? 

Jangan risau, saya memang baca buku-buku saya. :P

****
Dan akhirnya, hal 'sekadar hiasan' bukanlah hiasan semata-mata dalam banyak perkara. Hiasan pada kek, hiasan pada baju, hiasan pada wajah dan sebagainya. Memang tujuannya mahu menghias. Bukan sekadarnya.

*Sebenarnya, ini post bukan sekadar hiasan. saya sedang mencari pereka bentuk kulit buku (designer buku) yang kreatif menggabungjalinkan seni dan sains. Siapa? Boleh hubungi saya....



Sunday, January 10, 2016

Buku Apa di Rak Anda?

Itu soalan seorang rakan kepada saya. Saya beritahu serba sedikit. Buku-bukunya - tajuk, penulis, penerbit, genre dan serba sedikit kecenderungan saya. Dia diam sejenak sebelum menjawab, "Patutlah. Saya nampak karakter kamu dipengaruhi oleh buku-buku yang kamu baca dan simpan di rumah."

Saya senyum pendek. Betullah agaknya. Seperti yang selalu saya kata, buku seperti makanan rohani. Apa yang kita baca sama seperti apa yang kita makan. Ia membentuk diri-sikap-sifat kita. Malah, orang juga boleh mentafsir kita dengan mudah hanya melihat buku apa yang kita baca. Berhati-hatilah.

Beberapa status rakan-rakan penggiat buku saya baca sejak akhir-akhir ini mengecam 'pelabelan' buku dan mengutuk 'kritikan' buku. Ada benar. Ada yang tak benar dalam setiap kata-katanya. Mungkin. Dan kebanyakannya tak mungkin.

Kritikan buku amat penting dalam membina jalur buku yang patut ada dan patut tiada dalam masyarakat.

Pelabelan buku pula memudahkan kita menilai buku mana yang sesuai dengan tahap umur dan latar belakang seseorang. Ya, ya, pasti ramai yang tak setuju lalu mengatakan buku bukan untuk dibeza-bezakan. tapi saya ada alasan tersendiri dalam hal ini terutama yang melibatkan tahap umur.

Tentang penulisan, penulis tidak boleh sebebas-bebasnya menulis. Boleh, jika ia tak diterbitkan. Sempadan dan batas tetap ada.

Ada yang berkata, jangan senang-senang melabel pembaca dan penulis novel sekian-sekian begini perangainya, hanya dengan menulis atau membaca buku-buku tersebut.

Hal ini panjang jika mahu didebatkan. Nasihat saya, menulislah yang baik-baik. Fundamentalnya kena jelas - untuk apa?

Jika tuan puan menulis cerita yang lucah, buruk bahasanya, terus ceritanya, menyinggung sensitiviti serta boleh menggugah institusi masyarakat, apa akan jadi kepada pembacanya? Bayangkan pula yang membacanya anak-anak anda.

Menulis bukan kerja main-main.

Sejak kerja sebagai editor saya mungkin sedikit tolak ansur kerana tumpuan bacaan saya perlu diluaskan. Namun, saya tetap menolak dan akan mengkritik buku-buku yang boleh merosakkan institusi masyarakat dan pembinaan jati diri insan, menggunakan tajuk yang cacamerba dan merosakkan bahasa serta mengandungi cerita yang tak wajar dipaparkan.

Ini bukan soal menutup periuk nasi orang lain. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu saya lakukan untuk menghalang anak-anak saya, anak-anak orang lain dan generasi muda membaca bahan yang boleh merosakkan jati diri mereka.

Kamu yang menulis tanpa ilmu, tanpa waras, apa tujuan kamu?




Saturday, January 09, 2016

Kita Berusaha, kan?



Berehat, dan kemudian berbincang mengenai perjalanan yang masih jauh - entah jauh entah tidak, memberi seribu rasa seperti tunas-tunas baharu yang segar.

Dalam setiap perkara di dunia ini, pembaharuan dan penyegaran amat perlu agar sesuatu yang bermula itu tidak mati - terus hidup malar segar.

Bagaimana caranya?

Carilah kawan yang mahu bersama-sama kita dalam melakukan setiap perancangan yang dibuat. Senaraikan segala pembahaguan atau rancangan-rancangan baharu - tak apa, rancang dahulu - berjaya atau tidak belakang kira.

Sastera

Setahun dua kebelakangan ini, dunia sastera meriah, bukan sahaja kerana banyaknya terbitan buku-buku sastera, malahan acara-acara sastera sentiasa ada, hampir setiap minggu setiap hari. Ada juga yang mengeluh sebab terlalu banyak dan tak mampu hadiri semua. Tak apa, buat sahaja.

Tidak kurang kalah juga, isu-isu yang melingkungi dunia sastera sedari penerbitan buku-buku sastera, isu bahasa, polemik yang dibincangkan di dalam akhbar dan isu-isu global yang melingkungi atau berkait rapat dengannya.

Malaysia, pada pendapat saya masih terkekang dengan blok-blok tertentu yang menjadikan sastera tanah air tidak bergerak banyak. Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, namun pembaharuan perlu dilakukan dan bersifat holistik, konsisiten dan realistik.

Apa yang perlu dilakukan? teruskan menulis, perbanyakkan acara, banyakkan membaca karya-karya luar dan mengadakan acara yang bersifat global dan sebagainya. hal-hal begini sebetulnya telah dilakukan sejak dahulu - gagal? Tidak juga. Kita sentiasa berusaha. Yang tua mati, yang muda akan menggantikannya.

Begitulah.


Friday, January 08, 2016

Rakaman Cerita

Sejak pagi, apabila dikejutkan oleh Iyad, bahawa langit pagi tadi amat indah. Bulan sabit dengan bintang kejora membentuk pandangan dari bumi seperti mata mengenyit dan bibir yang tersenyum, seolah-olah memberi harapan baharu.

Setiap pagi, tatkala mata terbuka, itulah harapan baharu buat manusia. Nafas masih dikurniakan. Melihat meja kerja. Melihat buku-buku dan melihat catatan-catatan lama pada tarikh yang sama, tahun berbeza, amat membawa diri kepada masa yang cepat bergerak.

Entah apa yang perlu dicatatkan lagi. Bersyukurlah sahaja dengan segala kurnia.




Thursday, January 07, 2016

Kerana Cinta ....


Membaca mesej seorang rakan, tentang kekagumannya terhadap sebuah buku antologi yang memuatkan 50 orang penulis-pembaca - bercerita tentang buku-buku yang mereka suka dan kisah disebaliknya.

 "Bagus design keseluruhannya.Gambar kecil, sedikit penerangan tentang penulis dan nota kecil pada setiap akhir tulisan, just brilliant!"

Saya tersenyum. Saya memiliki buku itu dan berkawan-kawan dengan hampir separuh daripada penulis-penulis di dalamnya. Saya juga lihat fenomena yang berlaku saat buku ini berada di Pesta Buku Antarabangsa KL 2014.

Buku yang cantik. Buku yang baik. Buku yang 'wow' bagi saya. Menyelidiki latar belakang buku ini memang memberi banyak inspirasi. Pendek kata, bukan sahaja tatacara dan proses pembuatannya penuh dengan banyak kisah inspirasi, malahan, setiap seni yang terkumpul, membentuk buku ini, amat mengagumkan. Isi kandungannya, tak payah ceritalah. memang bagus.




Ia tentang cinta. Kata editornya.



Kerana buku selalu menginspirasikan, maka kami mengambil keputusan untuk membuat buku tentang buku yang menginspirasikan pembaca. Uniknya buku ini ialah setiap kisah menceritakan tentang pengalaman masing-masing dan mengaitkan dengan buku yang pernah mereka baca atau apa-apa sahaja hal yang menyumbang kepada ‘mereka’ hari ini.  Harapan saya, sebagai salah seorang editornya ialah, buku ini bukan sahaja menjadi kapsul nurani kepada mereka yang memerlukan ‘ubat’ jiwa, tetapi juga menyemarakkan pemikiran pembaca dengan buku-buku yang bagus, yang dicadangkan sendiri oleh penulis yang menulis kisah mereka dalam buku ini.


Ini buku Projek 50 pembaca-penulis yang pada awalnya hanya cakap-cakap ‘kopi’ antara kami. Kini, ia telah terbit dengan kesungguhan setiap orang yang terlibat. TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT. Dan kini, kami sedang ‘mengopi’ sambil tersenyum memandang buku ini, serta meneliti projek-projek seterusnya yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat. Antaranya, projek buku travelog, buku epistolari – surat kepada mereka, buku tentang buku (kritik dan puji) dan banyak lagi.

Siapa yang mahu bersama kami dalam perjalanan gila ini?

Demikian yang diperkatakan oleh editornya dan catatan ini boleh dibaca melalui ruang pascakata dalam buku tersebut.

Ini adalah contoh buku yang dibuat dengan cinta, sepenuh percaya bahawa setiap yang diingini akan berjaya dihasilkan dengan usaha yang bersungguh.

Untuk mendapatkan buku ini bolehlah hubungi Celikhuruf melalui page FB; https://www.facebook.com/celikhuruf/?fref=ts




Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...