Monday, May 25, 2020

Find Me in Your Memory



2 Syawal 1441H. Raya kedua, sudah tiada suasana hari raya di rumah ini. Kepenatan semalam memberi ingatan bahawa penatnya emak memasak tidak henti setiap kali hari raya. Lenguh sungguh kaki berada di dapur memasak dan menyediakan juadah. Pengalaman berharga ini akan saya kenang dan jadikan iktibar. Terima kasih Covid-19. Eh.

Semalam sambutan raya kami amat sederhana. Seawal pagi saya memasak, menggosok baju dan bersiap untuk bermaaf-maafan. Anak-anak solat pagi raya dengan babahnya. Khutbah ringkas dibacakan. Takbir raya dilontarkan.
Adik-adik datang beraya, berbual, bervideo 'call' dengan keluarga belah sana dan sini. Makan. Makan. Tidur. 

Menjelang malam semua sudah lesu. Saya buka lap top, buat sedikit kerja suntingan dan menyambung tontonan Kdrama ini, Find Me in Your Memory.

Antara mengingati dan melupakan...

Dalam jutaan manusia di dunia, katanya hanya 20 orang (lebih kurang) pesakit Hyperthymesia dan di Korea hanya seorang, Lee Jung Hoon. Demikian drama ini memulakan cerita. Jung Hoon kemudiannya menarik minat seorang doktor untuk melakukan kajian ke atasnya. Masa berlalu, Jung Hoon dewasa dengan baik, menjadi teraju utama dalam program penting (berita utama) di sebuah syarikat penyiaran dan mula menjalinkan hubungan dengan sorang wanita. 

Malang menimpa, kekasihnya mati dibunuh oleh seorang 'stalker' yang mental. Hari berganti hari, Jung Hoon meneruskan kehidupan dengan beban ingatan yang mendera perasaan. Setiap hal pedih, gembira tidak dapat dilupakan.

Suatu hari Jung Hoon ditugaskan menemubual seorang artis wanita, Yeo Ha Jin. Sesuatu berlaku semasa program berlangsung. Jung Hoon terdiam, terpelanting kepada ingatan bekas kekasihnya dan keadaan sangat mencemaskan (terdiam semasa bersiaran). 




Hal ini menjadi pemula kisah Jung Hoon dan Yeo Ha Jin yang masing-masing mempunyai sejarah yang berkaitan dalam situasi sakit yang berbeza - Jung Hoon tidak dapat melupakan, manakala Ha Jin melupakan dan harus melupai sejarah lampaunya. Cerita mereka berdua sangat berkait rapat dan akhirnya berlaga dalam satu konflik antara melupakan dan mengingati.

Ingatan

Drama ini menarik daripada aspek tema yang dibawa. Walaupun aspek hyperthymesia tidak kuat digambarkan (tidak mendalam), beberapa babak menceritakan penderitaan Jung Hoon hidup dalam memori yang penuh - tentang kematian kekasih ketika salji turun, tentang kegembiraan bersama ibunya, ketakutan kepada bapanya yang pernah mengurung dia dalam almari dan manfaat kepada kerjayanya - yang mengingati banyak peristiwa lalu membolehkan dia menguruskan hal kerja dengan cemerlang selain menghafal skrip!

Saya sangat suka babak-babak berkenaan ibunya.

1. Segala kenangan zaman kecil, berupa perkataan, perbuatan dan material (pensel, pen, batu, mainan) merupakan ingatan abadi seseorang tentang ibu yang dikasihi. 
2. Ketika ibu Jung Hoon meninggal, dia tidak mahu Jung Hoon tahu yang dirinya akan terlantar di hospital dan mati. Ibu Jung Hoon merayu kepada suaminya agar kematiannya tidak diberitahu kepada anaknya, Jong Hoon, agar anaknya itu tidak 'merakam' momen sedih perpisahan itu. 



Kita, bagaimana ingatan kita terhadap seseorang dan sesuatu? Bersyukurlah sel otak kita mampu melupakan sesuatu yang tak perlu kita ingati. 

Maklumat lengkap drama: 

Saturday, May 23, 2020

Menjelang Hari Raya 2020

Gambar Google

Demikian takdirnya, tahun 2020 bukan sahaja mengubah landskap sosial, ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia tetapi juga mengubah budaya dan norma biasa.

Tahun ini sungguh berbeza.

Mengajar banyak perkara.

Tidak balik raya.

Kerajaan telah menetapkan larangan merentas negeri untuk balik berhari raya. Namun ramai yang engkar dan akibatnya mereka diminta patah balik. Terbaharu, mereka yang degil terus dikompaun.

Kes positif juga tidak berkurang malah ada tempat yang dilaporkan zon merah semula. 

Bagaimana perasaan saya tidak balik ke kampung? Jujurnya saya tidak begitu sedih. Balik kampung boleh bila-bila masa sahaja. Raya kali ini mak dan abah ditemani anak-anaknya juga. Yaya, Kak Aja, Ita, Didi, Boboi, Wan. Okey kot. Saya dan beberapa adik lagi di KL sahaja. Bimbang kena kompaun dan juga bawa balik virus.

Sedih cuma kerana tidak dapat bersalaman dan berpelukan di pagi raya. Selainnya saya fikir okey sahaja tak balik. Mak dan abah ada orang jaga di kampung. 

Raya di KL

Tiada baju raya macam tahun lepas. Tipu! Saya sempat beli dua pasang baju. Anak-anak pun sudah dibelikan t-shirt. Baju Melayu, tapi itulah. Mana boleh beraya. pakai baju baharu untuk ambil gambar sahaja kot. :P

Persiapan raya ala kadar sahaja. Alhamdulillah. Tiada apa perlu dibesar-besarkan. Hidup ini sederhana sahaja sebenarnya.
Juadah raya, saya beli sahaja. Bukan sebab tidak pandai masak tapi malas. Beli rendang ayam, rendang daging deng deng, sambal kacang, kuih. Saya hanya masak ansi himpit dan kuah masak lodeh. Esok cadangnya nak masak sambal goreng jawa, nasi minyak dan acar.
Hari raya hanya pada raya pertama. Raikan sahaja seadanya. 

Tahun ini tahun yang luar biasa. Kita semua berada dalam situasi yang kita sendiri barangkali tidak terfikir perlu kita lalui.
Namun, bersyukurlah, negara masih aman, makanan masih banyak, tiada ancaman peperangan dan bencana alam. 

Kita hanya perlu ubah norma mengikut keadaan semasa. Dan manalah tahu ia akan menjadi amalan yang bermanfaat. 

Selamat hari raya semua.

Thursday, May 21, 2020

Yang Menangkap Pandangan



Oh, saya sudah muak dengan tajuk pengiraan hari PKP, maka saya ambil keputusan mahu menamatkannya dengan damai. Catatan di blog ini juga telah saya tetapkan ditulis kerana mahu menulis dan bukannya untuk berlatih atau mendisiplinkan diri menulis.

Saya selalu menasihati diri sendiri tentang menulis: Tulislah ketika engkau perlu dan mahu menulis, dan jangan dipaksa. Penulisan yang dipaksa akan menghasilkan nada yang kurang mesra. Tidak genuine.

Tapi, masih boleh dibahaskan - tentang disiplin menulis, tentang keperluan meletakkan jadual dan menulis mengikut tempoh yang ditetapkan. 

Dari Mata ...

Dalam ribuan orang yang kita temui akan ada seseorang atau beberapa orang menangkap pandangan kita - ketika berjalan, ketika menyaksikan sesuatu dan sebagainya. Seterusnya hati kita akan memaksa mata terus merenung, melihat dan memerhatikan lebih lama - mungkin wajahnya, bentuk tubuhnya, pakaian yang dikenakan, beg, kasut, cara tersenyum, cara bercakap, cara berjalan dan sebagainya. 

Mengapa begitu? Kerana 'dari mata turun ke hati' itu barangkali telah menyentuh naluri rasa kita, telah menyentuh kesukaan yang sama atau impian yang belum dicapai... atau telah menyentuh kenangan lalu yang mengingatkan kita pada seseorang yang lain.

Begitu juga dengan hal penulisan, karya dan buku yang kita hasilkan.

Karya kita menyentuh apa?

Apabila seseorang mempertikaikan mengapa karya yang memenangi sayembara tidak diperkatakan orang, saya tertawa kecil, tanpa sengaja. Pertama, yang bercakap itu penulis yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Persetan jika dia orang luar bidang sastera. Sastera tak sastera, bidang apa pun latar kamu, menulis ialah menulis. 

Bagaimana mungkin kamu yang sudah lama berada dalam ranah sastera mempersoalkan hal-hal begini? Saya bukan mahu mencari gaduh, cuma aneh apabila seseorang yang sudah bergelumang dalam dunia sastera masih tidak tahu atau terpinga-pinga dengan hal seputar sastera yang subjektif sifatnya.

Jika sebelum ini kamu mempertikaikan tentang sukarnya penulis luar sastera (bidang lain) untuk menulis, atau kamu mengeluh sukarnya menulis bagi seseorang yang sibuk dengan hal rumah tangga, maka soalan baru kamu ini lebih membingungkan saya.

Kenapa orang tak membaca puisi itu, kenapa orang tak 'appreciate' karya yang menang itu ... haih!

Apatah lagi kamu kata 'pengkritik hanya membicarakan karya yang mereka suka sahaja."

Jika begitu, jadilah pengkritik. Kritiklah buku yang kamu suka dan berusahalah menaikkan karya-karya yang kamu rasa bagus itu. 

TAPI...

Tapi jangan jangka orang akan suka karya yang kamu suka. Jangan harap orang akan menyukai bentuk dan gaya bahasa puisi yang kamu agungkan.

Orang pegang buku dan membaca itu sudah menggembirakan para penulis. Selebihnya, berusahalah naikkan karya yang bagus dengan:

1. Menulis karya lebih baik, segar dan menjalar isu global.
2. Tulis kritikan karya lebih banyak agar orang kenal karya itu daripada sudut yang pelbagai.
3. Pelbagaikan medium karya - bentuk tulisan, visual, audio, dll
4. Sentiasa menghargai karya yang pelbagai dan jangan hanya membicarakan karya yang kita suka
5. Jangan prejudis dengan penulis lain, pengkritik atau pembaca.

Demikian. Usahlah mempersoalkan sesuatu yang bukan dalam kuasa kita (memaksa orang suka dengan apa yang kita suka) tapi kamu boleh mempengaruhi mereka untuk menyukai apa yang kamu suka. Caranya? Seperti hal lima perkara yang saya gariskan di atas.

Selamat berkarya. Jangan terlalu banyak mempersoalkan apabila tugas anda sebagai penulis ialah menjawab soalan.

Tuesday, May 19, 2020

PKPB 7: Sanggup, Sanggup, Sanggup!


Sepanjang malam saya terganggu oleh sesuatu. Rasa mual dan meluat. Entah kenapa. Tiba-tiba. Maafkan saya jika kata-kata saya dianggap 'tidak faham' situasi. Tapi saya tetap berpegang pada kata-kata saya:

Menulis ialah menulis. Ia merentasi pelbagai bidang. Ia melangkaui pelbagai kesanggupan. Menulis ialah kemahiran (dan bakat yang dipupuk). Sesiapa pun mampu menulis jika mahu menulis.
Tahun 2020, industri buku merundum! Dan penulis masih bergelut dengan hal-hal remeh. Dalam penulisan yang sepatutnya banyak ditunjukkan ialah tulisan (karya) dan bukannya suara-suara beralasan itu ini.

Menulis ialah kerja mengenal diri

Apabila engkau memilih untuk menjadi penulis, memilih untuk menulis, memilih untuk berperang dengan kata-kata demi melahirkan damai rasa, maka menulislah dengan bahagia dan rela kerana itulah pilihanmu. Tiada siapa memaksa.

Jadi, bagaimana mungkin ketika engkau sendiri memilih untuk menulis eh kemudian tiba-tiba engkau berperang dengan diri sendiri tentang pilihanmu untuk menulis.

Dan aku teringat tentang puisi Kahlil Gibran, tentang kerja... namun aku berkata bahwa hidup memang kegelapan kecuali: jika ada dorongan
dan semua dorongan buta belaka, kecuali: jika ada pengetahuan
dan segala pengetahuan adalah hampa, kecuali: jika ada pekerjaan
dan segenap pekerjaan adalah sia-sia, kecuali: jika ada kecintaan

jikalau kau bekerja dengan rasa cinta,
engkau menyatukan dirimu dengan dirimu,
kau satukan dirimu dengan orang lain, dan sebaliknya,
serta kau dekatkan dirimu kepada Tuhan

dan apakah yang dinamakan bekerja dengan rasa cinta?
laksana menenun kain dengan benang yang ditarik dari jantungmu,
seolah-olah kekasihmulah yang akan mengenakan kain itu

bagai membangun rumah dengan penuh kesayangan,
seolah-olah kekasihmulah yang akan mendiaminya dimasa depan.

seperti menyebar benih dengan kemesraan, dan memungut panen dengan kegirangan,
seolah-olah kekasihmulah yang akan makan buahnya kemudian.

Jadi, perlukah aku simpati dengan kata-katamu tentang dia dan dia yang menghalang perjalanan penulisanmu. tentang tanggungjawab dan rutin harian yang mencengkammu daripada terus menulis, tentang sukarnya engkau mahu mencari masa menulis...

Hey kawan, menulis itu kecintaan diri. Ketika engkau mengaku cintakan menulis, tentunya engkau tahu syarat utama dalam cinta itu - kemahuan dan kesanggupan.

Monday, May 18, 2020

PKPB 6: Dalam Hujan Lebat

SplitShire from Pexels

Isnin, dan lagi seminggu raya akan menjelang. Tiada persiapan, tiada bayangan, tiada apa-apa. Beginilah perasaannya orang yang sebatang kara dan hidup sendirian di kota yang asing? Baju raya, kuih raya dan kemeriahan raya tidak terasa. Begitu penangan virus yang sekecil kuman.

Tapi, manusia tidak insaf. Suasana benar-benar kembali kepada asalnya apabila Parlimen bersidang semula. Kemunculan watak-watak politik negara mula menjadi kebisingan dan sampah-sarap yang memualkan.

Ingatkan saudara/i beberapa bulan yang lepas ketika kita terkurung dalam PKP? Tiada kebodohan dan kemualan muka politik muncul. Segalanya aman dan baik-baik sahaja. Dan hari ini, mereka muncul lagi. 

Hujan lebat dan kita tidak akan ke mana-mana...

Begitulah perasaan menjelang hari raya dalam situasi PKPB. Suasana seperti mendung yang berat dan hujan yang melimpah selepasnya. Tak berhenti. Mebecakkan jalan, mengeruhkan sungai, melencunkan apa sahaja yang terterpa olehnya. 

Dari jendela, kita melihat titis-titis hujan. Satu-satu, dengan bunyinya yang penuh gemuruh.Kita pandang langit dan perlahan-lahan mengikuti perjalanan rintik hujan ke bawah - bumi. Pohon-pohon segar, menari bersama-sama hujan. 

Kita hanya duduk di rumah, menikmati makanan sedia ada. Menghitung detik dan waktu agar esok segera menjelma. Habiskan cepat hari ini. Hujanlah puas-puas hari ini. Bersihkan semua. 

Sunday, May 17, 2020

PKPB 5: Gila!

drama Itaewon Class


Hari Ahad, orang 'gomen' dapat gaji awal, dapat bonus, maka terimalah hakikat hari ini semua tempat sesak. Saya memang berhasrat beli keperluan dapur kerana adik bongsu akan datang berbuka puasa di rumah saya. Maka, hadaplah!

Ada beberapa dokumen perlu disiapkan segera. Saya ke pejabat awal pagi untuk menyambung Teamviewer lagi. Kemudian ke dobi dan dalam perjalanan balik mahu singgah di pasar raya Hero. Bukan main panjang orang beratur. Saya beritahu Umar, "Kita balik dululah." 

Sebetulnya memang mahu hantar dia balik. Tak mahu saya bawa dia ke sana sini dengan kerap. Bimbang virus mengikut tanpa sedar.

Kegilaan

Saya tidak mahu bercakap tentang orang tidak waras (gila). Yang saya mahu ulas ialah tentang 'kegilaan' (craziness) seseorang terhadaps sesuatu. 

Yang pertama - kegilaan manusia terhadap manusia. Saya sebetulnya asyik teringat watak Jo Yi Seo (Kim Da Mi) yang sangat menjadi dalam drama Itaewon Class yang baru habis ditonton semalam.

JYS seorang gadis muda yangs sejak kecil dididik untuk meraih kemenangan dengan apa jua cara. Babak yang dipaparkan, dia menolak kawannya dalam perlumbaan lari. Ibunya menggalakkan dia menjadi juara dalam kehidupan rentetan kehidupannya yang gagal (ibu tunggal). JYS membesars ebagai remaja yang keras kehendaknya. Kegilaannya terhadap sesuatu tidak boleh disekat. Dia akan dapatkan apa yang dia mahu.

Dalam drama ini, dia seorang yang genius, mampu atasi apa juga masalah dan akhirnya terjumpa lelaki yang menyedarkan dia tentang prinsip hidup yang bertujuan. JYS akhirnya memutuskan jalan hidupnya tanpa persetujuan ibunya - dia meninggalkan kolej dan mula menjadi pengurus Pub di DamBam bagi membantu lelaki pujaanya Park Se Ro Yi. 

Kegilaan JSY sangat jelas - kepada PSRY sehingga menjejaskan kesihatannya dalam membantu membangunkan DamBam dan IC Co. JSY sanggup berbuat apa sahaja demi membahagiakan kekasihnya walaupun pada awalnya dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dia amat yakin dan percaya PSRY akhirnya akan jatuh cinta kepadanya. 

Akhirnya JSY berjaya membantu PSRY menggapai cita-citanya - "Aku mahu menjadi seseorang yang merawat duka dia. Seseorang yang membantu dia mencapai cita-citanya."

Watak JSY amat saya minati. Teringin membangunkan watak dalam karya saya yang sama dengan JSY - Wanita yang keras dan gigih menjayakan keinginan dan hidup.

Kedua - kegilaan manusia kepada material. Ini juga banyak contoh di sekeliling. Manusia yang gilakan harta, duit, pakaian cantik, perhatian, pengikut (follower) dan gilakan kebebasan. Ada sisi negatif dan positif dalam hal ini. Gilakan buku, misalnya, sesuatu yang baik juga kan? Gilakan harta? Baik juga jika harta tersebut akhirnya menjadi manfaat kepada orang lain yang dibantu.

Namun, bagaimana dengan kegilaan yang sekadar mementingkan diri sendiri? Manusia-manusia begini akan punya kesanggupan luar biasa juga untuk memenuhi keinginan dan nafsu terhadap sesuatu itu. Kita boleh lihat contohnya yang ketara di media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan sebagainya.

Berapa ramai yang sanggup memakai topeng menutup diri sendiri demi meraih like dan mengumpul pengikut? Kegilaan menarik perhatian umum untuk tujuan pelbagai begini sudah menjadi virus yang tak terkawal dalam masyarakat. Setiap hari ada sahaja perkara 'aneh' yang dilakukan tanpa menghiraukan maruah dan nama baik.

Yang penting masyarakat beri perhatian terhadap apa yang dipaparkan - dan populariti ini seterusnya digunakan untuk menjual prosuk tertentu.

Pemasaran bentuk begini memberi laba yang besar bagi mereka yang berani melakukannya. Namun keberanian dan kegilaan itu berbaloikah dilakukan hanya untuk mendapatkan sedikit laba?

Demikian, cerita tentang kegilaan yang positif dan negatif yang boleh kita ambil iktibar.

Saturday, May 16, 2020

PKPB 4: Itaewon Class



Kelelahan semalam menatijahkan hari ini yang perlukan rehat secukupnya. Hasrat untuk ke pejabat menyambung semula Teamviewer yang terputus, dibatalkan. Cuaca panas. Dikhabarkan juga di sana sini kes covid-19 bertambah walaupun bilangannya sikit. Mungkin kerana PKPB yang dilaksanakan sejak seminggu lepas membuatkan orang alpa tentang penjarakan sosial, mask dan kebersihan.

Ada beberapa kerja yang 'segera' tetapi saya tiada daya mahu menghadapnya. Kemas baju yang menyendatkan almari - memilih beberapa pasang baju kurung yang tamat perkhidmatannya dan memikirkan tentang raya yang entah macam mana. Akhirnya, saya mengambil keputusan menyambung tontonan drama 'kekerasan hidup' ini: Itaewon Class (2020)

Itaewon Class: Perjuangan menebus maruah


I’m a rock. Go ahead and sear me. I won’t budge an inch because I’m a rock. Go ahead and beat me up. I’m a solid rock. Go ahead and leave me in the darkness. I’m a rock that will shine all alone. I don’t break, I don’t burn, nor do I decay, as I go against nature’s way. I survive. I’m a diamond.
— Gwang Jin

Drama 16 episod ini merupakan adaptasi daripada Webtoon. Itaewon Class bermula dengan babak yang keras - Park Se Ro Yi menumbuk seorang pembuli, Jang Geu Won, anak seorang kaya (Jangga.Co) dan anak kepada majikan bapanya. Seperti drama biasa, orang kaya membuli si miskin, begitulah drama ini bermula.

Park Se Ro Yi (PSRY) diminta meminta maaf dan berlutut (bersujud - tanda minta maaf) kepada Jang Geu Won. Kerana didikan bapanya, PSRY enggan malah mempertahankan kewajarannya menumbuk anak orang kaya ini. Kesannya, PSRY dibuang sekolah dan bapanya meletakkan jawatan kerana bangga dengan prinsip yang dia dan anaknya pegang.

Hidup diteruskan. PSRY dan bapanya berhasrat membuka sebuah restoran makanan apatah lagi bapa PSRY merupakan orang kuat dalam syarikat besar Jangga Co. yang terkenal dalam industri makanan. Hasratnya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan dan maut. Lebih Menyayat hati, kemalangan itu disebabkan oleh Jang Geu Won (JGW). Walaupun JGW tidak sengaja (memandu dalam keadaan mabuk), tindakan Jang Dae Hee (bapa JGW) menyembunyikan kesalahan anaknya tidak dapat diterima oleh PSRY, lalu dia menyerang JGW di hospital. Akibatnya dia dipenjarakan tiga tahun. 

Dalam penjara, PSRY tidak berputus asa. Atas sokongan kawan baiknya, So Ah (yang disukainya), dia berazam mahu bangkit mengalahkan dan menghancurkan Jangga Co. apabila keluar daripada penjara kelak. Dalam penjara dia menghabiskan masa menelaah autobiografi Jang Dae Hee dan mula belajar selok belok pemasaran indusri makanan. 



Keluar dari penjara, PSRY mula mengatur langkah, bekerja sebagai nelayan di laut dalam selama tujuh tahun dan kemudian membuka sebuah Pub kecil bernama DamBam. Di situlah dia bertemu dengan 'orang-orang' yang dipercayai dan dijaga dengan baik. Menariknya setiap pekerjanya ini terdiri daripada manusia yang aneh tetapi atas jagaan yang baik mereka menjadi sebuah pasukan yang kuat. Kegagalan Dambam pada peringkat awal membuatkan mereka bangkit dan menamakan pasukan mereka Itaewon Class.



Seperti drama biasa, jatuh bangun perniagaan menjalari plot sehingga akhir. PSRY yang membangunkan Itaewon Class menjadi syarikat yang besar mula berlawan dengan Jangga Co. Pengkhianatan, persahabatan, kekeluargaan menjadi teras drama ini. 



Secara jujurnya saya tidak nampak kekuatan tajuk Itaewon Class untuk drama ini kerana sepanjang babak menceritakan cita-cita PSRY mendendami Jangga Co. Tapi ia bukan isu yang besar kerana drama ini memang mengesankan.

Tentang beri dan terima

PSRY tersepit antara dua wanita yang sangat bererti dalam hidupnya mengejar cita-cita - mahu jatuhkan Jangga dan mahu jadikan Itaewon Class (IC Co.) sebagai syarikat peneraju industri makanan Korea.

So Ah, rakan sejak zaman sekolah yang tahu segala sejarah hidupnya dan sanggup berkorban untuk bekerja di Jangga kerana mahu menyelamatkan PSRY. Sejak awal dia dan PSRY menyukai antara satu sama lain dan terikat dengan janji - hanya akan bersama PSRY jika PSRY sudah kaya, akan menyelesaikan semua dendam, membebaskan So Ah daripada ikatan Jangga.

Manakala Jo Yi Seo, seorang gadis muda dengan IQ luar biasa tetapi liar dan bebas. Dibesarkan dengan keinginan sendiri, seorang 'influencer' blogger dan hidup dalam kekosongan. Dia mula temui erti hidup apabila bertemu dengan PSRY dan menyanggupi apa sahaja untuk membantu PSRY memenuhi cita-citanya. Dia mengetahui kisah perit lelaki yang berusia 10 tahun daripada usianya dan berazam menjadikan lelaki itu kepada 'somebody'.

Antara cinta yang menuntut macam-macam pengorbanan dengan cinta yang mendorong, membantu, sedia ada susah dan senang - yang mana satukah pilihan PSRY?

Saya suka dialog Yi Seo ketika mendapatkan bukti pembunuhan bapa PSRY - "Aku sanggup berbuat apa sahaja untuk orang yang aku cintai. Aku boleh jadi gila berhadapan dengan orang yang menyusahkan PSRY."

Akhirnya, drama ini mengajar tentang maruah diri, tentang integriti, kepercayaan kepada orang-orang dalam pasukan dan menghargai setiap peluang yang ada dengan semangat yang tinggi. 



"Hidup tidak pernah berakhir walaupun kau seorang banduan. Hidup sentiasa perlu dimulai walaupun jatuh seteruk mana."

Selain kisah perjalanan hidup dan cinta, Itaewon Class sebetulnya mengangkat isu ekonomi dan sosial dengan baik. Banyak hal dipelajari melalui industri makanan, politik syarikat dan amalan pemasaran, serta kelas sosial yang berlaku di mana-mana. Beraninya Itaewon Class juga apabila mengangkat isu 'rasis' orang kulit hitam (Toni) dan transgender (Hyun Yi).
Maklumat lengkap:







Friday, May 15, 2020

PKPB 3: Hectic Day!

by me.

Ketika menuliskan tajuk ini, mata saya hampir tertutup kerana kepenatan amat. Hari ini memang hari yang 'hectic'. Saya terfikir, sebagai orang sastera dan orang buku, saya sepatutnya meletakkan tajuk yang lebih sesuai - lebih sastera, lebih simbolik dan puitis. Ah.

PKPKB hari ketiga, beginilah. Segalanya sudah mula kembali kepada kebiasaan lama. Orang ramai berpusu-pusu keluar -bekerja dan melunaskan keperluan harian. Keadaan kembalis esak. Udara kembali kotor, bumi kembali 'semak'.

Minggu depan juga jadual baharu kerja sudah keluar. Baguslah. Cuma kasihan anak-anak masih terperap di rumah. Apa boleh buat.

Bagaimana ia bermula...

Kita selalu ingin tahu bagaimana sesuatu itu bermula. Sama ada ia bergerak secara kronologi, atau jungkar balik. Bercakap soal plot, saya suka membaca catatan Dr. Fatimah Busu tentang PLOT. Setiap cerita terdapat pelbagai cara mengisahkannya. Mahu bermula dari mana? Kitalah yang memilih dan bertanggungjawab mengisinya.

Setiap kisah, menarik atau tidak bergantung bagaimana cara kita memulakannya, mengisi ceritanya dan mengakhirinya. Sebetulnya saya sangat letih ketika menulis blog ini. Namun saya perlu tinggalkan cerita hari ini di sini. Bukanlah bermakna cerita saya menarik. Sekadar mahu berlatih menulis sahaja.

Hari ini cerita saya bermula dengan indah. Bangun sahur tepat pada waktunya, memasak lauk-lauk baharu (yang bukan dipanaskan) dan Umar berkali-kali mengucapkan terima kasih kerana lauk sedap. Entah kepenatan apa, selepas sahur saya tertidur sebentar sebelum terjaga dan jam menunjukkan pukul 7.30 pagi. Kelam kabut bersiap kerana hari ini saya sudah memulakan hari bekerja mengikut waktu pejabat yang biasa - 8.00 pagi-4.30 petang.

Sampai di pejabat, memulakan kerja dengan menyisihkan dokumen yang perlu dihantar hari ini sebelum menyemak dan memproses dokumen baharu - cetak, hubungi penterjemah. Entah bagaimana, hari bekerja bermula agak kalut. Dengan selitan e-mel itu ini, urusan itu ini, menjawab mesej peribadi, menyemak hal-hal lain dan ketika jam menunjukkan pulul 10.30 pagi barulah saya perasan ada tiga dokumen baharu yang saya fikir 'deadline' pada minggu depan rupa-rupanya perlu dihantar kepada pelanggan hari ini juga dengan tandaan 'ambil sendiri'. Bermakna pelanggan akan datang ambil bahan terjemahan sendiri!

Pergelutan bermula!

Saya hubungi penterjemah semula. Jika sejam sebelum ini saya baru menghantar e-mel melantik mereka menjadi penterjemah, maka jam ini saya hubungi mereka, memohon bahan dihantar sebelum pukul 2 petang. Mujurlah bahan semua ringan sahaja; Sijil akademik, 1 halaman. Selepas penterjemah menghantar bahan (paling lewat jam 2 petang), saya segera menghantar bahan tersebut kepada penyunting. Alhamdulillah, Sufian sekali lagi menyelamatkan saya. Tidak sampai 15 minit semua bahan selesai disemak dan saya segera menghantarnya.

Kecuaian saya apabila melihat dokumen masuk semalam (hari Khamis saya ke pejabat untuk memuat turun dan buat sambungan Teamviewer antara PC pejabat dengan lap top) ialah tidak menyemak dokumen tersebut dengan teliti. "Ah, tak apalah. Esok (Jumaat, hari ini) saya akan datang juga ke pajabat. Padahal dokumen itu sudah dimasukkan dalam senarai tugas saya sejak hari Selasa! Silapnya Teamviewer bermasalah dan saya tidak menyangka akan jadi kekalutan begini, hari ini.

Selesai segala tugas dokumen itu, saya segera berkemas. Hasrat hati mahu membuat pesanan makanan dalam talian juga jadi lemau melihat kelewatan begini tentunya tidak banyak tawaran makanan yang dibuka.

Melihat kedai-kedai makan yang dibuka pula. punyalah ramai orang beratur. Jam menunjukkan pukul lima petang ketika saya sampai di rumah. Segera memanggil Umar, mengajak dia keluar mencari juadah berbuka. 

Selesai semua. Balik. Berbuka. Dan rasa amat letih. Tapi lega, kerana kekalutan yang disebabkan kecuaian diri dapat diatasi. Saya menggambarkan hari ini seperti:

Jika mahu digambarkan bagaimana hari ini, mungkin boleh dilihat seperti kekalutan PM7 letak jawatan, Langkah Sheraton dan akhirnya kerajaan baharu dibentuk dengan aman.




Thursday, May 14, 2020

PKPB 2: Nilai

Drama Because This is My First Life


Melihat beberapa tahun lalu, tentang sesuatu yang dilaburkan. Kami menggeleng. "Dulu kita kaya. Bayangkan sebulan ..."

Kepala saya mengira-ngira jumlah yang kami habiskan. Tidak terkira. 


"Tapi, disebaliknya, kita dapat apa yang kita mahukan. Kebebasan melakukan apa yang kita suka. Dan hasilnya.. kau pun tahu."

Nilai hidup

Belajar dari kecil sehingga masuk ke universiti, tetapi kerja biasa-biasa sahaja.

Mahalnya harga sepasang baju, tidak berbaloi untuk engkau. 

Belajar sehingga universiti, habiskan master dan PhD, jadi suri rumah? 

Kita sudah gagal. Kita kalah!

Apa lagi yang kita boleh buat? Kita miskin. Tak akan kaya sampai bila-bila.

Kita ini banduan. Hidup kita habis. Kita takkan dapat kerja yang kita impikan.

I live my life


Demikian satu per satu penghakiman kita tentang kehidupan. Kita ialah hidup kita. Setiap sesuatu yang kita alami mungkin perit dan sangat 'kasihan' tapi ada nilai di sebaliknya. Nilai itu hanya orang yang melaluinya merasa. 

Orang lain tak berhak memberi penghakiman. Kita ialah kita. Hidup kita ialah kita. Hari ini menonton drama Korea bertajuk Itaewon Class. Cerita yang penuh 'struggle' bagi orang yang takdirnya memeritkan. Tapi dia kuat. Nilai hidupnya tinggi. Tentang ini nanti saya ulas apabila kesemua episod habis ditonton.

Begitu juga hari ini. Apabila dia, kawan baik saya bercerita tentang pelaburan yang kami buat terhadap sesuatu, ya memang kami kerugian banyak dari aspek kewangan tetapi dari aspek nilai, kami menang. Kami bahagia dengan apa yang kami buat kerana itulah pilihan kami.

Jadi apa masalahnya kalau belajar tinggi-tinggi tapi hanya jadi suri rumah? Jangan kesal atau pandang rendah. Keluarga yang bakal ditangani nanti pastinya berlandaskan kepakaran dan ilmu yang tinggi.
Jadi apa masalahnya jika dia belajar tinggi-tinggi tapi hanya kerja di kampung? Sekurang-kurangnya dia berpeluang menjaga ibu bapanya, berbakti kepada tanah dan orang-orang sekitarnya?

Jadi apa masalahnya kita benarkan orang hidup dengan cara mereka dan kita fokus kepada hidup kita.

Hari ini juga saya beratur panjang membeli makanan yang sudah lama kami tidak nikmati. Hampir sejam. Kepenatan bekerja belum surut, beratur lagi...tapi apabila melihat anak-anak makan dengan selera, apa lagi yang ingin kita kesalkan?

Begitu juga dengan hal Covid-19. Berkorbanlah kita dengan PKPB, tidak dibenarkan merentas negeri untuk beraya, tidak dapat bertemu keluarga, kerja yang agak menyulitkan apabila dibuat dari rumah, kekangan itu ini, tidak selesa memakai mask ke sana sini dan macam-macam lagi.

Tapi kemudian, kita bahagia apabila Malaysia menjadi salah sebuah negara utama yang mampu menangani Covid dengan sistematik dan terbaik.

Dan kita berharap semuanya selesai untuk kita kembali menikmati kebebasan lalu.

Wednesday, May 13, 2020

PKPB 1: Menjelang ...

Photo by luizclas from Pexels

Saya namakan hari ini sebagai PKPB 1 memandangkan ini hari pertama bermulanya fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Covid-19 nampaknya masih gemarkan Malaysia apatah lagi rakyatnya sudah mula lupa tentang penjarakan sosial, lupa tentang mask, tentang sanitizer.

Beberapa kawasan mencatatkan peningkatan kes dan hasrat untuk melihat negara ini bebas dalam masa yang terdekat memang sukar.

Menjelang ....

Saya resah. Raya ini memang sah kami akan beraya di KL dengan sambutan biasa-biasa, tanpa solat sunat Hari Raya, makanan yang enak-enak, kunjungan ke sana sini ...

Yang meresahkan tentunya kesendirian di sini, tak dapat bermaafan dengan emak dan abah, memeluk mereka, merasai air tangan emak dan menikmati kemeriahan hari raya. Namun, inilah hakikat yang harus dilalui. 

Bukankah saya pernah berimpian agar hari raya dan segala cuti-cuti ini semua dipercepatkan? Ya, sejak kecil entah sebab apa saya antara orang yang kurang menyukai raya, sebenarnya. Sebabnya biarlah rahsia dan tidak relevan pun untuk dicatatkan di sini. Nah, sekarang Tuhan bagi, beraya di kejauhan dan bersendirian.

Saya lesu...

Tuesday, May 12, 2020

PKP Hari Ke-56: Crush

Photo by Marina Sirazetdinova from Pexels

Beberapa hari lalu seorang rakan menjemput saya menyertai sebuah 'group' bernama "Kisah Crush Tak Jadi Awek/Pakwe". Saya tidak menghiraukan jemputan itu kerana saya fikir tiada keperluan untuk saya berada di dalamnya.

Hari ke-56 PKP saya tiba-tiba memilih untuk bercakap soal ini - soal group ini, selepas membaca beberapa catatan kawan-kawan di sana.

Ya, saya masih boleh membacanya dalam tempoh 'jemputan' walaupun tidak menekan butang 'join' pada group yang diset sebagai 'secret' itu.

Kisah kita, dia dan mereka

Sebetulnya saya tidak mahu ambil peduli tentang 'group' itu. Terpulanglah nak cerita atau mahu melepaskan beban yang ditanggung oleh diri pelaku selama ini tapi setelah membaca catatan seorang rakan, yang berbalas catatan dengan 'crush' yang dimaksudkan, saya terus jadi rasa tak enak kerana kedua-duanya rakan saya.

Salahkah meluahkan rahsia dan rasa di media sosial?

Bagi saya tidak salah selagi awak pandai mengatur huruf menyusun aksara agar inti pati tulisan sampai. Yang salah apabila memberi bayangan yang jelas kepada pembaca tentang siapa yang dimaksudkan. Tidakkah perasaan akan kembali sakit dan terluka apabila rakan-rakan yang membaca dapat meneka lalu menokok tambah cerita dan membesarkan hal itu lagi? Bukankah awak dan dia pun sudah berpunya, ada pasangan masing-masing? Apa perasaan pasangan awak jika terbaca catatan itu?

Hal yang tak jadi, tak berlaku seperti apa yang kita mahukan elok diselesaikan dengan orang yang dimaksudkan, atau disimpan dalam lipatan kenangan. Bimbang jadi fitnah.

Apabila membaca catatan si A, saya sebetulnya tidak dapat meneka siapakah gerangan 'crush' yang dimaksudnya, kerana saya pun bukan jenis yang suka bergosip atau membawang hal orang. Membaca komen-komen pada catatan A, menunjukkan ramai yang tahu siapakah gerangan 'crush' yang dimaksudkan dan mula 'provoke' si 'crush' untuk menulis catatan balasan.

Menggeleng juga baca komen rakan-rakan A mengenai luahan hatinya tentang 'crush' tak jadi tu. Saya tinggalkan bacaan dan sehinggalah pagi ini terbaca pula catatan balasan si 'crush' yang dimaksudkan. Catatannya agak tegas dan 'detail' sehingga jelas menjawab setiap kata-kata A tentang mengapa mereka tidak berjodoh, tentang apa yang menjadi pengahlang dan segalanya.

Saya kira situasi ini tidak menambahbaik pun hubungan mereka berdua. Malah mungkin akan menjadi rasa sakit hati yang lain ditambah lagi kawan-kawan dan bukan kawan pun jadi tahu hal tersebut.

Rahsia 

Habis bab A dan 'crush' itu, saya berharap catatan itu akan dipadam oleh mereka berdua nanti walaupun saya tak mahu ambil peduli pun. Kemudian, saya bertemu pula hal lain. Tentang orang luar yang boleh membaca catatan dalam 'group' tersebut (ya, boleh baca selagi ada tempoh jemputan walaupun tak 'join'), dan rahsia-rahsia dalam 'group' yang tidak patut disebarkan. Hal dalam 'group 'jangan bawa keluar, jangan 'screen shot', jangan kongsikan dengan orang luar. Ahli 'group' jangan jadi pengkhianat, pentadbir 'group' harus buat siasatan kepada setiap ahli. 

Oh, kamon la. Ini dunia Internet kot. Dunia maya. Kenapa mesti berharap sesuatu yang absurd begitu? Jika tidak percayakan orang atau bimbang rahsia pecah, PLEASE jangan sebarkan rahsia sendiri.

Sendiri dok cerita tentang hal yang tersimpan dalam hati (dan mungkin memalukan kerana kena 'reject'), lepas tu sibuk suruh orang jaga kerahsiaan.

Saya tidak berhasrat mengkritik. Cuma saya harap 'group' ini tidak akan menyebabkan banyak hati lain terluka atau lebih tepat 'memalukan' diri sendiri yang awalnya sekadar ingin berkongsi rahsia diri akhirnya akan memakan diri. 


Monday, May 11, 2020

PKP Hari Ke-55: Debaran Semusim di Cotabato



Hari ini hari ke-55 PKP dan esok hari terakhir untuk PKP sebelum menyambung PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat selama sebulan sehingga 9 Jun. Saya tidak tahu sama ada mahu menyambung tajuk entri bermula dengan PKP atau terus kepada tajuk. Tengok mood bagaimana.
Hari ke-55, perasaan berbaur. Antara gembira kerana kes positif Covid-19 semakin berkurang dan banyak sektor mula beroperasi kembali, dengan gusarnya hati kerana virus ini masih berlegar-legar di sekitar.

Dalam situasi begini, saya masih bersyukur walaupun berasa janggal dengan normal baharu ini. Bersyukur kerana Malaysia masih aman terutama selepas membaca buku ini: Debaran Semusim di Cotabato oleh Muhaymin Wahab.

Misi Damai di Mindanao

Mengenali Muhaymin melalui beberapa projek penulisan sebelum ini masih belum mengakrabkan kami untuk mengenali lebih jauh latar belakang beliau. Memilih untuk membeli bukunya ini pun, saya berada dalam pertimbangan 50/50 dengan pelbagai persoalan: Berbaloikah saya membeli buku ini walaupun harganya hanya RM20? Adakah saya mampu menghabiskan bacaan? Adakah ceritanya sekadar pengalaman bekerja yang biasa-biasa dengan gaya penceritaan yang klise?

Muhaymin merupakan petugas dalam Pasukan pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (IMT M-13) yang menghabiskan masa selama setahun di bumi bergolak dan penuh konflik, Mindanao. Beliau bukan sahaja membawa nama Malaysia dalam misi menjadi pihak tengah antara kumpulan-kumpulan yang bergolak di sana (Filipina), tetapi juga menaruhkan keselamatan dan nyawa sepanjang berada di sana.

Ketika memulakan bacaan buku ini, saya baru habis menonton drama Korea bertajuk Crash Landing on You. Sedikit sebanyak pergolakan antara Korea Selatan dengan Korea Utara melatari pembacaan buku ini - di samping catatan-catatan berunsur humor, debaran dan gambaran indah tempat-tempat menarik di Manila. 

Muhaymin memulakan catatan dengan sedikit sejarah ringkas menggambarkan situasi yang melanda bumi Mindanao sejak ratusan tahun lalu sehingga hari ini. Jujurnya saya kurang mengamati sejarah yang bersifat geografikal begini. Sambil membaca, sambil Google peta. Ha ha ha...

Penceritaan bersifat kronologi - tentang hari pertama tiba di sana, persepsi awal dan kelainan-kelainan yang ada di tempat mereka ditugaskan. Ini banyak membantu pembaca seperti saya mengenali latar tempat dan budaya di sana dengan lebih jelas. 

Kemudian peristiwa demi peristiwa diceritakan yang bersifat penuh debaran, kelakar, sedih, mengenali hal-hal baharu, memberi pengajaran betapa bertuahnya kita berada di negara yang aman dan maju serta catatan-catatan kembara Muhaymin di beberapa tempat menarik di sana.

Melalui buku ini kita diperkenalkan dengan bandar Cotabato yang menjadi sarang pengganas dan nyawa begitu mudah melayang di sana. Diperkenalkan lebih dekat dengan 'Bangsamoro', Intelligent Officer, MILF, Kerajaan Sulu dan beberapa istilah lain yang selama ini hanya diketahui melalui berita di media massa sahaja.

Di samping keadaan persekitaran yang mundur 20 tahun ke belakang berbanding Malaysia membuatkan kita sedar tentang negara-negara kecil dan terpinggir yang masih wujud di mana-mana. Cerita tentang puak-puak yang bertelagah, anak-anak yang miskin, pembunuhan demi pembunuhan dan cerita-cerita santai berbentuk kebudayaan benar-benar melengkapkan kembara imaginasi saya ke bumi Mindanao itu.

Dengan gaya bahasa yang tidak meleret dan penerangan istilah tertentu yang jelas, pembacaan lebih mudah dan lancar. 

Selesainya pembacaan buku ini, saya fikir harga RM20 terlalu kecil berbanding pengalaman yang dikongsikan oleh Muhaymin kepada pembaca. Pengalaman berharga ini tentunya menjadi salah satu pintu kesedaran kepada pembaca tentang dunia dan kerenah-kerenah manusianya yang ada antaranya tak terjangkau dek akal yang logik.

Sunday, May 10, 2020

PKP Hari Ke-54: Menyambung Perjalanan ...

pexels


Hari ke-54 dan menerima perutusan Perdana Menteri bahawa PKP akan disambung sehingga 9 Jun 2020. Tambah lagi sebulan, gaiss... bukan dua minggu lagi dah. Terus 4 minggu! 

Walaupun sudah ada kelonggaran sedikit - boleh keluar sekeluarga 4 orang sekereta, sektor ekonomi sudah boleh beroperasi dan perjalanan merentas daerah dibenarkan, masih, keadaan sedikit sukar sebenarnya. Kita hanya kembali 50% seperti dahulu. Selebihnya masih disekat, masih ada kekangan.

Perjalanan merentas negeri untuk pulang berhari raya juga tidak dibenarkan. Ini bermakna tahun ini kali pertama kami sekeluarga akan beraya di KL. Entah bagaimana situasinya, saya pun tidak tahu. Persiapan raya barangkali ala kadar sahaja tetapi keperluan dapur perlu penuh. Bimbang ada tetamu datang berkunjung walaupun saya berharap janganlah sesiapa datang.

Berharap emak dan abah di kampung terpelihara dan sejahtera sentiasa, tidak bersedih dan Tuhan panjangkan umur kami untuk bertemu kelak pada waktu yang dibenarkan.

Banyak situasi lain yang lebih menyukarkan berbanding diri saya yang hanya tidak boleh balik kampung dan bawa anak-anak berlibur seperti dahulu. 

Ada orang barangkali sudah merancang bernikah pada tempoh PKP, tetapi terpaksa dibatalkan walaupun boleh buat secara dalam talian. Ada orang yang sudah bernikah, tetapi tidak sempat mengadakan majlis kenduri. Ada orang yang ekonominya digerakkan oleh kerja sendiri dan PKP ini pastinya menyukarkan gerak kerja. 

Saya percaya setiap kesusahan pasti akan ada jalan penyelesaian jika dapat berbincang dengan pihak polis. 

Segeralah virus ini dihapuskan. Anak-anak sangat tertekan terkurung di rumah dan tidak dapat meneruskan persekolahan. 

Saya sendiri sangat letih dengan kerja-kerja di rumah dan di pejabat yang tidak dapat dilakukan sebebas dahulu.


Saturday, May 09, 2020

PKP Hari Ke-53: Kitul

Photo by Jhefferson Santos from Pexels

Malaysia sedang berperang menentang Covid-19. Hari ini masuk hari ke-53 pelaksanaan PKP, dan hari ini paling serius. Kluster tua bangka gila isim gila kuasa muncul. Ini lebih bahaya daripada covid-19.

Kenapa saya marah sangat? 

Kerana puak gila ini secara terang-terangan bukanlah pemimpin yang baik dan prihatin dengan rakyat. Tidak cukupkah bukti 22 bulan memerintah dengan teruk, maka mahu mengusulkan undi tidak percaya pula kepada PM baharu? Untuk apa? 

Orang sedang 'sakit' menghadap virus, menelan pahit pedih ekonomi merundum (puncanya kau jugaklah kitul), boleh pula pada fasa genting ini mahu berpolitik itu ini. Jadah!

Malas nak cakap panjang. Nanti banyak makian ...

Friday, May 08, 2020

PKP Hari Ke-52: Inner Loop Couple



Hari ini hari ke-52 PKP. Nampaknya negara telah benar-benar tidak berasa bimbang apabila ada kalangan ahli polit(a)ik mula bercakaran kembali mengenai kuasa itu ini. Bergulat dan bergulat dengan pergaduhan yang sama sehingga mengabaikan negara. Lihat sahaja bagaimana kerajaan sebelum ini (yang berkuasa hanya selama 22 bulan) merampas kuasa melalui permainan yang jelek. Mereka diangkat dalam keadaan tidak bersedia malah menjadikan negara lebih porak-peranda. 

Dan kini masing-masing mahu kembali berkuasa? Setelah meranapkan harapan rakyat? Bodohlah siapa yang masih terperangkap dalam 'inner loop' jahat itu. 

Inner Loop Couple: Berpusing mengenali diri

Bermula di dalam sebuah kereta api, lelaki itu terpandang seorang perempuan yang dikenalinya. Ingatan lalu dan sifat ingin tahu membuatkan dia mengambil keputusan mengekori wanita itu. Mereka berhenti di stesen terakhir. Dan perbualan sepanjang malam melingkungi 'inner loop' stesen kereta api itu bermula. 

Mereka adalah dua watak yang terperangkap dalam 'inner loop' masing-masing. Si lelaki, terperangkap dalam rutin kerja yang berulang-ulang. Tiada 'goal', tiada jangkaan. Hanya melakukan kerja berkaitan akaun, mengira, memeriksa resit dan ia sepertinya tiada kesudahan. Balik kerja, makan dan tidur.

Manakala perempuan itu, seorang 'Negative-Idol' bernama Akane Hoshino pula terperangkap dalam keperibadian sendiri yang super negatif. Dia tidak mampu keluar daripada rasa itu kerana itulah kekuatannya. Dia melayan sifat-sifat negatif dalam dirinya (pemalu, kurang yakin) dengan cuba mencari hal-hal baharu dalam dirinya melalui nyanyian. Tapi dia putus asa.




Malam itu Akane tidak tahu yang dia sudah melakukan satu pusingan penuh laluan kereta api Yamanote Loop Line. Dia fikirkan stesen kereta api itu tiada perhentian akhir kerana sememangnaya dia tidak mahu mengakhiri perjalanannya terlalu cepat. Dia tidak mahu balik ke rumah. 

Maka, kedua-dua mereka pun melangkah mengelilingi bandar dengan percakapan-percakapan yang membangkitkan semangat antara kedua-duanya. Antara hal yang dibualkan kedua-duanya:




  1. Percakapan yang baik akan memberi semangat kepada orang walaupun kita mengucapkannya tanpa niat yang tulus. Dan percakapan itu juga sebenarnya akan menaikkan semangat kita sendiri yang pudar.
  2. Lakukan yang terbaik dalam hidup melalui apa yang kita percaya dan yakin dengan diri
  3. Gagal bukan bermakna kalah
  4. Tidak mengapa jika takut melangkah ke hadapan
  5. Sesekali perlu menoleh ke belakang mengenang hal-hal yang baik.
Kereta api dan perjalanan hidup melahirkan 'inner loop' tersendiri.

Filem pendek ini hanya berdurasi 30 minit namun saya menontonnya hampir sejam. Mengulang-ulang babak dan menghadam setiap dialognya. Dalam tidak sedar saya terperangkap dalam 'inner loop' yang dicipta oleh pengarah filem ini. 


Saya ingin tahu apakah makna 'Inner Loop' dan terjumpa LINK ini. Inner Loop ialah istilah perkomputeran yang bermain dengan data, kod dan sebagainya. Ah, izinkan saya tidak menuliskannya kerana saya sendiri kurang faham keadaan sebenarnya. Yang saya tahu sikit-sikit ialah Inner loop merupakan hasil daripada perbuatan-perbuatan (kod, database dll) yang melalui proses berulang-ulang dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Boleh baca link tersebut untuk kefahaman anda. 

Falsafahnya amat besar jika dikaitkan dengan stesen kereta api dalam filem ini. Stesen permulaan yang menjadi stesen akhir menghasilkan 'inner loop' dalam bentuk pusingan penuh. Apakah yang ada di dalam pusingan-pusingan kereta api tersebut?
Perulangan hidup manusia!

Dalam perulangan itu, manusia barangkali akan membetulkan kesilapan lalu, melihat dengan teliti sekeliling yang berulang-ulang lalu akhirnya (jika kuat) mengambil keputusan untuk keluar daripada lingkungan itu untuk mencuba pengalaman baharu lain. Jika lemah, manusia akan tetap mengulang-ulang persekitarannya sehingga dia sedar kekuatannya sendiri.

Begitu juga dalam filem ini. Akhirnya mereka perasan bahawa bandar Shibuya sudah banyak berubah melalui pengalaman semalaman berjalan kaki mengelilingi 'inner loop' stesen kereta api itu. 



Bak kata pengarahnya:

I made this film with a wish to record within a fictional story, the city of Shibuya that is changing with constructions for 2020. Check out the pop idol song featured in this fim.
Taro Shibano / DIRECTOR

Thursday, May 07, 2020

PKP Hari Ke-51: Are You Human?


Hari ke-51. Saya terfikir sama ada mahu meneruskan kiraan hari PKP dalam setiap catatan atau teruskan sahaja sehingga PKP bbenar-benar tamat (belum ada pengumuman fasa baharu dan tarikh akhir fasa ini ialah 12 Mei).

Azam saya cuma satu. Buat catatan setiap hari. Walau apa pun cabarannya, saya perlu mencatat setiap hari dan saya harap saya konsisten. Mencari bahan untuk penulisan setiap hari walaupun untuk simpanan peribadi bukanlah mudah. Dalam sekian banyak hal sehari-hari kita tetap memilih cerita apa mahu disampaikan dan dikongsikan. Memilih cara dan garapan yang difikirkan sesuai kerana tidak semua cerita perlu dikongsikan. Kan?

Robot atau manusia?

Sehari dua ini saya menghabiskan masa menonton drama ini, Are You Human? (2018) yang memakan masa agak panjang dan tenaga yang banyak (36 episod - durasi 30 min per episod). Faktor utama memilih drama ini hanya kerana Seo Kang Joon, hero yang saya minati dalam drama Cheese in The Trap dan When the Weather is Fine.




Drama tentang pembinaan robot Android (AI) oleh Dr. Oh kerana merindui anaknya, Nam Shin yang terpisah sejak kecil. Plot bermula apabila Nam Shin ke Czech untuk mencari jejak ibunya namun mengalami kemalangan yang dirancang lalu koma. Dr. Oh yang berada di tempat kejadian segera menyelamatkan anaknya dan menukarkan anaknya dengan robot ciptaannya, Nam Shin III.

Nam Shin kembali ke Korea dan mula memainkan watak Nam Shin dengan jaya. Konflik kekeluargaan, perebuatan kuasa dalam syarikat datuknya serta musuh dalam selimut menjalari babak demi babak. 



Melalui drama ini paparan tentang manusia dan robot ditonjolkan. Kemanusiaan dan perbandingan dengan robot yang canggih ini menemukan watak-watak manusia yang pelbagai. Walaupun memiliki wajah yang serupa, sifat manusia tetap berbeza. Dan sedikit pujian tentang teknologi yang dipaparkan dalam drama ini agak mengagumkan - tentang robot Nam Shin yang sempurna dan pembinaan kereta M-Car yang canggih.

Sebetulnya drama ini sedikit membosankan sebab terlalu panjang dan terlalu banyak konflik. Namun ia tetap okey untuk ditonton. 

Menonton drama ini saya teringat lagu Cristina Perri bertajuk Human. 

I can hold my breath
I can bite my tongue
I can stay awake for days
If that's what you want
Be your number one
I can fake a smile
I can force a laugh
I can dance and play the part
If that's what you ask
Give you all I am
I can do it
I can do it
I can do it
But I'm only human
And I bleed when I fall down
I'm only human
And I crash and I break down
Your words in my head, knives in my heart
You build me up and then I fall apart
'Cause I'm only human, yeah
I can turn it on
Be a good machine
I can hold the weight of worlds
If that's what you need
Be your everything
I can do it
I can do it
I'll get through it
But I'm only human
And I bleed when I fall down
I'm only human
And I crash and I break down
Your words in my head, knives in my heart
You build me up and then I
Maklumat drama:

Nightbooks dan Seruan 'La Tahzan'

Allah SWT berfirman, maksudnya: “Janganlah kamu lemah dan bersedih.” (Surah al-Imran: 139). Kesedihan ialah kegelapan yang menutup jiwa yang...