Showing posts with label #covid19 #PKPMALAYSIA. Show all posts
Showing posts with label #covid19 #PKPMALAYSIA. Show all posts

Friday, August 13, 2021

PANDEMIK YANG SEMAKIN MENGGILA!

Kalibiru, Jogja, 2017


Pandemik terus menyerakahi Malaysia. Saya sudah tidak mampu mengira jumlah hari kami terkekang, tersepit dan terikat dengan pandemik. Cuma ia bermula bulan Mac 2020 dan sehingga kini. Jumlah kes kematian semakin meningkat dan mendekat. 

Siapalah tak bimbang, tidak trauma, tidak paranoid dan depresi. Yang dulu kita dengar khabar orang yang tidak kita kenal meninggal kerana Covid. Kini yang terdekat dan paling dekat sudah terkena wabak itu. Sungguh, kemurungan dibuatnya. 

 Yang paling terkesan tentunya mereka yang dihimpit ekonominya. Mereka yang bergantung harap kepada kerja-kerja harian. Dan demikian, nyata kita akan mengatakan, betapa malangnya menjadi miskin dalam suasana pandemik yang menghambat ini. 

Apa yang kita harapkan? 

Jika setahun lalu, kita cuma mengharapkan kita mampu hidup dengan suasana ekonomi menghimpit. Berjimat, mengharapkan dan menikmati bantuan yang kerajaan usulkan. Menjalani kehidupan seadanya. 

Kini, kita hanya mahu terus hidup dan selamat daripada diserang. Kita tidak mahu positif. Kita mengharapkan vaksin dapat mencegah dengan baik. Kita tidak mahu kehilangan orang terdekat dan apatah lagi diri sendiri. 

Kita mahu kehidupan seperti sedia kala. Kita mahu bebas ke sana sini, memeluk mak ayah, berpeleseran dengan rakan-rakan. Tuhan, hindarilah kami daripada wabak ini.




Sunday, January 03, 2021

3/2021: YANG MENAKUTKAN DAN MEMBERI PENGAJARAN




Apakah yang menakutkan dalam kehidupan manusia? Kemiskinan, keputusasaan, kehilangan, kelaparan, kematian. Demikian segalanya mungkin dialami ketika pandemik Covid-19 melanda pada tahun 2020. 

Sungguh. Itulah detik yang amat menakutkan bagi saya ketika itu. Saya, dan mungkin sebahagian besar manusia di dunia ini berasa bimbang dan takut apabila pada awal kemunculan virus ini di Wuhan, China meragut ratusan ribu nyawa. Setiap hari bilangan yang terkorban amat tinggi dengan paparan wabak yang sangat menakutkan.

Salah sebuah video oleh Malaysia Gazette tentang mangsa kematian amat mengharukan dan dalam masa yang sama menakutkan. Bayangkan, seseiapa yang terkena jangkitan ini, tidak dapat dilawati oleh sesiapa pun dan jika mati, juga mati sendirian - tiada orang tersayang yang menemani. 



Saya ingat ketika awal-awal PKP, bagaimana setiap orang begitu menjaga SOP yang ditetapkan sehingga sesiapa yang keluar rumah untuk beli barang, sebelum masuk ke rumah siap mandi dan cuci semua pakaian yang dipakai ketika keluar. Begitu sekali virus itu menakutkan kita. 

Ketika keluar rumah juga, kita sentiasa menjaga penjarakan sosial seolah-olah setiap yang di sekeliling kita pembawa virus atau pembunuh.

Namun, yang menakutkan ketika itu, semakin sirna dan tidak lagi menakutkan kini. Adakah kerana vaksin yang dijanjikan sudah sedia digunakan?

Apa pun, perasaan takut seperti berada dalam peperangan itu masih saya ingati dan akan kekal dalam lipatan sejarah mereka yang mengalaminya. Semoga virus ini tidak lagi menakutkan dan dunia kembali pulih seperti asalnya...

Ia amat mengajar saya tentang banyak perkara:

  1. SOP yang sebetulnya amat penting dalam aspek kebersihan - pakai mask, basuh tangan dengan air atau sanitizer, penjarakan sosial, elak tempat sesak.
  2. Perancangan kewangan ketika keadaan mendesak
  3. Perancangan masa ketika terkurung di rumah
  4. Pengurusan emosi
  5. Menghargai mereka yang disayangi

*Tulisan ini menjawab persoaan tentang: Something the horrors of 2020 taught you

Tuesday, June 09, 2020

Menelusuri PKP....



Menjelang fasa akhir Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP), inilah dia, PKPP - Peraturan Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan. 

Rasanya seperti terlalu awal untuk menutup jendela kawalan ini kerana ada beberapa kawasan masih dalam zon merah, tetapi barangkali desakan ekonomi menjadikan langkah ini dilakukan.


Bermula 18 Mac fasa pertama PKP dijalankan, seluruh Malaysia begitu resah. Melalui hari-hari baharu, terkurung dan sebahagian besar sektor ekonomi dan perkhidmatan ditutup. 

Hidup seperti dalam gua tetapi tidaklah sengsara kerana bukan zaman peperangan dan bencana alam. Masyarakat masih boleh melakukan kerja pejabat di rumah, memesan makanan melalui penghantaran segera.

Saya dan PKP.

Sejak awal PKP saya mula menulis semula di blog ini. Lebih kepada mengisi ruang waktu yang terperap si rumah, mencabar minda mencari idea penulisan setiap hari dan cuba mendisiplinkan diri menulis.

Beberapa waktu, ada ketikanya ia menjadi sukar walaupun saya sudah mempelbagaikan corak penulisan - ulasan drama dan filem yang ditonton sepanjang PKP, buku-buku yang dibaca dan catatan biasa tentang diri. 


Yang sukar apabila saya tiada tenaga menulis. Ya, menulis memerlukan tenaga yang banyak. Perahan keringat tenaga dan otak melesukan tubuh. Ada ketikanya terpaksa menghabiskan bacaan buku dengan segera atau menonton drama laju-laju semata-mata mahu jadikan bahan penulisan. 


Hujung PKP lalu, saya mengalah. Apatah lagi sudah mula masuk ke pejabat dengan kerap (tiga hingga empat hari seminggu). Ini bermakna tenaga yang banyak dihabiskan dan untuk menulis dengan waras dan tenang saya tidak berdaya.

PKP memakan jadual harian, menjadi kucar kacir kerana saya sendiri tidak meletakkan jadual di tangga teratas. Banyak kali tidur lajak sehingga matahari terik. :(

Untuk diri saya, pencapaian sendiri sangat GAGAL. Apatah lagi banyak target yang tidak terlaksana terutama hal penulisan. Ya, penulisan memerlukan semangat, tenaga dan keinginan yang tidak dipaksa-paksa - untuk sayalah. Orang lain pasti berbeza. 

Apa pun, hari ini adalah hari terakhir PKPB dan esok bermulanya PKPP. Saya berharap suasana akan kembali kepada asal, tanpa melupakan SOP kesihatan. 

Banyak hikmah yang dapat dipelajari sepanjang PKP ini.

Sekadar salin tampal catatan ini yang berlegar di FB:

2020 YANG BERSEJARAH
PKP akan menjadi sejarah negara yang terpahat dalam kenangan. Penulisan ini tular tanpa kredit dan tahu siapa penulisnya.
la kenangan yang tak akan dilupakan. Bolehlah simpan untuk aku baca di tahun-tahun hadapan jika masih dipanjangkan umur 😢😢
Takkan sesekali aku lupa, setahun sekali FB akan mengingatkan.
FASA 1: 18 MAC - 31 MAC 2020
FASA 2: 01 APR - 14 APR 2020
FASA 3: 15 APR - 28 APR 2020
FASA 4: 29 APR - 12 MEI 2020
FASA 5: 13 MEI - 09 JUN 2020 (PKPB)
FASA 6: 10 JUN - 31 OGOS 2020 (PKPP)

*(PKPB) - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
*(PKPD) - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
*(PKPP) - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

Perintah Kawalan Pergerakan seluruh 🇲🇾
📌Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP
📌PKP dalam bulan puasa. Tiada bazar Ramadan, tiada terawih di masjid.
📌Tiada buffet Ramadan di hotel-hotel seperti tahun-tahun sebelumnya.
📌Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung mengunjung.
📌Tiada bunyi mercun, tiada yg cedera akibat mercun.
📍 Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
📍Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
📍Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dlm group what'sapp.
📍Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dgn meletak tgn di dada.
📍Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan. Beratur hingga berpuluh meter ke luar kedai.
📍 Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yg kantoi jual rokok seludup dan ketum.
📍Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
📍Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
📍Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah.
📍 Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan. Kawasan tumpuan di bukit bintang sunyi sepi yg sblm ini sesak dan padat 24 jam. Ibarat tiada waktu tidur.
📍Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan. Tp diganti dgn nikah online.
📍Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
📍Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu juga tidak dibenarkan.
📍Taman permainan kanak-kanak ditutup.
📍Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.

📍Kekurangan alat bantuan pernafasan
bagi pesakit kritikal.

📍Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
📍Rak-rak di kedai menjadi kosong.
📍Kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
📍Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
📍Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
📍Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
📍Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari jam 5 ptg.
📍 Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm.
📍Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
📍 Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
📍Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
📍 "Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang"
Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020 😭😭😭😭
Kenapa saya copy paste status ini?
Kerana, satu hari nanti, status ini akan muncul dipaparan ingatan FB saya dan ia memberikan peringatan kepada saya, supaya menghargai nyawa ini dan orang yang kita sayang.
Nikmat mana lagi yang kita dustai?
Lakukan kebaikan antara satu sama lain Sayangi antara satu sama lain
Sentiasa menyokong antara satu sama lain

Kita semua adalah satu ! ❤️🇲🇾❤️🇲🇾❤️

Friday, April 24, 2020

PKP Hari Ke-38: Chef: Three Star School Lunch



Apa khabar semua? Seronok la tu puasa hari pertama tak perlu ke sekolah, ke pejabat dan seumpamanya. Semua di rumah. Tidak perlu terkocoh-kocoh memasak hidangan. Banyak masa fikir mahu sediakan apa pada hari pertama puasa ini.

PKP hari ke-38, apakah perkara yang terbaik kita buat?

No one in this world who will not finish my food

Semalam memilih drama Jepun ini untuk mengisi waktu. Drama tahun 2016 ini mengisahkan seorang cef, Hoshino Mitsuko, seorang cef berbakat besar di sebuah restoran makanan Perancis yang terkenal, yang sangat meraikan masakannya dan memebrikan yang terbaik dalam setiap hidangannya. Untuk merasai masakannya, tempahan sentiasa penuh sehingga tiga tahun perlu menunggu. 


Namun, sikap Mitsuko yang mengikut 'kepala' sendiri ketika menyediakan hidangan dan hanya memilih bahan dan ramuan terbaik, menjadikan pengurus restoran sentiasa dalam konflik kerana perlu menyeimbangkan kos dan keuntungan. Dengan sedikit komplot, Mitsuko dikhianati, dan difitnah menyediakan makanan yang tercemar sehingga menyebabkan keracunan makanan kepada delegasi vip yang datang ke restoran itu. 



Hoshino amat terkejut kerana dia pasti hidangannya tidak akan menyebabkan keracunan. Bertambah kecewa apabila Shinoda (pengurus La Cuisine de La Reine) menghasut restoran lain agar tidak mengambil Mitsuko sebagai cef mereka sehinggalah suatu hari Mitsuko diberitahu bahawa dia memang sengaja disingkirkan kerana sikapnya yang tidak mempedulikan kehendak Shinoda.

Oleh kerana Mitsuko pernah memberi pendapat di stesyen televisyen tentang sebuah program makanan di sekolah, dia akhirnya dipelawa oleh penerbit program itu, Yaguchi Saki untuk berkhidmat sebagai tukang masak di sekolah.





Apa yang Mitsuko katakan? "Makanan di sekolah tidak habis kerana makanannya tidak sedap."

Mitsuko bukan sahaja berdepan dengan cabaran menyediakan makanan tengah hari untuk 300 pelajar secara 'live' setiap hari, malah dia juga berkonfrontasi dengan peraturan-peraturan penyediaan makanan yang ketat, kos yang kecil dan bahan yang terhad. 



Mampukah Mitsuko menyahut cabaran itu? Dalam masa yang sama, Takayama Haruko, anak perempuan yang pernah ditinggalkan ketika usianya 3 tahun muncul dan membawa konflik baharu. 

This is the best!

"Penyakit' Mitsuko bukan sahaja kagum pada diri sendiri, tetapi dia tidak akan berpuas hati jika pelanggan/pelajar hanya menyebut 'this is delicious'. Dia akan pastikan makanannya mencapai piawaian dirinya - sehingga orang yang menikmati masakannya menyebut 'this is the best'.

Drama ini sangat menarik pertamanya tentang kelainan pada plot cerita. Tidak seperti drama biasanya, Mitsuko tidak berlawan dengan sesiapa, walaupun restoran lamanya menggunakan resepi yang dihasilkannya, Mitsuko tidak peduli kerana dia percaya, hanya cef terbaik akan menghasilkan masakan terbaik. 

Setiap hari hidangan tengah hari untuk pelajar menemui cabaran-cabaran baharu. Namun Mitsuko mampu mengatasinya dengan kekreatifannya memanipulasi makanan sehingga makanan yang seringkali dibuang tidak akan bersisa di pinggan selepas Mitsuko mencari jalan menjadikan hidangan itu sesuai untuk pelajar dengan nutrisi yang ditetapkan dan kos yang disediakan.



Drama ini tentang perlawanan dengan diri sendiri untuk menghasilkan makanan terbaik kepada pelanggan. Sikap Mitsuko yang positif dan menerima pandangan (walaupun dalam nada sombong' begitu menghiburkan). 

Mujurlah hari ini saya cuti puasa. Melihat makanan yang dimasak dengan gaya yang bersemangat, sungguh membuatkan kita juga jadi teringin menikmati.

Friday, April 17, 2020

PKP Hari Ke-31: Air, Antara Kesempatan dan Waktu



Hari ke-31, rasanya kita mula terbiasa, malah tidak begitu kisah lagi dengan Covid-19. Orang mula berusaha meneruskan kehidupan dengan pelbagai cara yang ada sehingga sanggup melakukan penipuan demi urusan sendiri - mahu keluar dari rumah dan menyelesaikan urusan harian. Persetan Covid-19. Lihat, kesnya semakin mengecil dan kita sudah menang. Demikian kata mereka.

Hari ke-31, kita sudah lupa tentang ketakutan-ketakutan sebulan yang lalu. Kita rasa okey sahaja kalau keluar mengambil angin dan meneruskan urusan harian. Kita yakin waktu kita masih panjang, kesempatan hidup masih jauh.

Air I

Hari ini keluar rumah lagi. Ada urusan di pejabat yang harus dilangsaikan (pembetulan dokumen yang perlu dicetak dan dihantar kepada pelanggan). Keluar rumah dengan pesanan-pesanan kepada anak meminta mereka mengemas dapur, cuci segala pinggan mangkuk dan bersihkan tandas.

Di luar rumah cuaca begitu panas. Saya ambil keputusan singgah di kafe kegemaran, beli makanan siap-siap berserta teh ais - kononnya mahu sejukkan badan. Sampai di pejabat, buat pesanan makanan untuk anak-anak di rumah, dengan jangkaan saya mahu menyiapkan beberapa perkara tertangguh. Dalam masa yang sama mengingatkan lagi kepada anak tentang pesanan-pesanan saya sebelum keluar rumah tadi.

Petang, cuaca masih panas dan berbahang. Tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Jika diikutkan, sudah hampir seminggu hujan tidak datang. Cuaca panas dan belengas. Walaupun pernah diberitahu virus Covid alah dengan cuaca panas, entah kenapa saya lebih lega jika hujan turun lebat. Terasa segala virus dan kotoran lenyap ke dalam perut bumi.

Saya sampai di rumah, barulah anak-anak kelam kabut mahu cuci tandas. Saya jadi kecewa. Melihat singki penuh dengan pinggan tak berbasuh, menambahkan lagi angin dalam badan. Setelah selesai bilik air dibasuh, air paip terus berhenti.

"Air tiada!" Beritahu Iyad.

Dan tahulah perasaan saya bagaimana - geram!

"Sebab itulah ibu paling tak suka orang yang suka menangguh-nangguhkan kerja!"

Masing-masing diam, entah ambil iktibar atau sekadar tidak mahu ibunya berleter lebih panjang.

Air II

 "Saya suka sungai." Saya beritahu dia suatu ketika dulu.

"Saya suka pantai." Dia pula menyatakan kesukaannya.

Nyatanya, kami amat suka hujan.

Saya tidak tahu sejak bila kami mula akrab. 

Lama dahulu, bermula seperti setitis air hujan jatuh ke bumi sehingga berkumpul menjadi kolam persahabatan. 

Keruh jernihnya hanya kami yang faham. Sehingga kadang kala kami sendiri tidak selesa dengan kejernihannya - yang membias wajah kami, sikap kami sehingga sukar untuk menyembunyikan apa-apa pun. 

Keruhnya kolam persahabatan pula membuatkan perasaan jadi amat resah, gelisah dan berdarah.

Dan kami sangat meraikan segala bentuk air di sekeliling kami. 

"Nanti belikan air mineral."
"Eh, pokok lupa nak siram air."
"Hujan la. Tunggu sekejap ya."
"Saya demam, basah satu badan kena hujan."
"Buatkan kopi, boleh?"
"Jangan menangis."
"Cuba dengar bunyi hujan."

Fiksyen?

Kita tetap belajar banyak perkara melalui air yang melingkungi kita.

Air III

Saya teringat ketika mengikuti kembara ke Hatyai menggunakan kereta api beberapa tahun dulu, seorang staf penganjur bercerita tentang hikmah air. Air sebagai alat perakam yang baik. Bagaimana kepercayaan masyarakat Cina terhadap kuasa air. Bukan sahaja anak-anak mereka ke sekolah wajib bawa bekal air, malah sehingga bekerja, mereka akan bawa bekalan air sendiri. Jika di sekolah, katanya air tersebut mampu merakam ilmu yang diajar oleh sang guru. Dan ketika mereka meminum air itu, kefahaman lebih tinggi. 

Cerita itu sampai di situ. Saya pun tidak mengambil inisiatif mengambil tahu lebih lanjut, mengkaji, membaca dan mencari bukti-bukti saintifik dan juga bukti yang dinyatakan oleh Quran. Entah kenapa betapa rapuhnya sikap saya terhadap pengetahuan semesta. 

Air diperakui oleh saintis sedunia sebagai alat perakam terbaik sekali kerana ketepatannya apabila disukat pada dasarnya. Air sebenarnya boleh merakam setiap gema getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya niat kita (tanpa kata-kata). Itulah keistimewaan air yang kita sangka hanya untuk pembersihan semata-mata. Sumber: Rahsia Air.
Entah kenapa persoalan tentang air hari ini mengejar-ngejar saya - kerana sedihnya hati apabila Umar yang sebelum ini menghilangkan kasut saya membawa kepada cakaran pada badan kereta yang dilakukan olehnya. Rasa mahu menangis.

Hujan yang turun main-main membawa kepada seorang teman yang sudah lama tidak ditemui.

Dan menanti air paip untuk urusan seharian di rumah, membawa kepada betapa pentingnya air berbanding hal-hal lain di dunia ini.





Thursday, March 26, 2020

Hari-hari dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)




Demikian, hari ini masuk hari ke-9 sejak PKP dilaksanakan akibat tularan wabak COVID-19. Virus yang membunuh ini amat meresahkan saya dan seluruh warga dunia. Datangnya tanpa sapaan, simptom yang seakan selesema, batuk, sakit tekak, tetapi mampu menyerang paru-paru dan seterusnya menyekat pernafasan sehingga meragut nyawa.

Apa khabar kawan-kawan? 

Duduk di rumah dengan perintah kawalan pergerakan, bukannya mudah bagi setiap orang. Sama ada yang bekerja ataupun tidak. Ada rezeki yang diperoleh sepenuhnya ketika keluar rumah. Malah rezeki yang diperoleh ketika berada di rumah pun sukar digerakkan atas faktor keselamatan.

Di media sosial, gurauan dan gambar makanan sudah agak berkurangan sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP akan dilanjutkan lagi selama 14 hari, bermakna 'kurungan' ini berlangsung sehingga 14 April 2020. Itupun jika kes-kes yang dilaporkan berkurangan dan masyarakat akur dengan PKP.

Tidak dapat disenaraikan satu per satu urusan yang terganggu. Kebimbangan, tidak dapat bertemu ahli keluarga yang jauh serta ekonomi negara (juga dunia) yang meruncing.

Akhir zaman, demikian pandangan orang-orang agama. Ada benarnya, tentang akhir zaman, tentang situasi dan keadaan yang seakan-akan seperti yang dinyatakan dalam Quran.

Hari-hari Kurungan Seorang Zalila


Sumber: Drama Korea bertajuk A Girl Who Can See a Smell

Saya, yang selama ini menjadikan pejabat dan dunia luar sebagai eskapisme diri dalam menyeimbangkan emosi, agak 'down'. 'Down' yang banyak sebenarnya. Sejak 18 Mac, tidak ke pejabat dan terperuk dalam rumah yang tidak bertingkap ini, sedikit sebanyak saya beremosi. 

Apa yang saya buat?

Memasak (ah, ini wajib kerana anak-anak perlu makan), makan, membaca sebuah dua buku dan menonton drama Korea tanpa henti (setiap satu 16 episod) sehingga kepada sakit dan badan lesu.

Drama:
1. Catch a Ghost - Siri penyiasatan jenayah pembunuhan bersiri
2. A Girl Who Can See a Smell - Genre supernatural seorang gadis yang boleh melihat bau dan menyelesaikan jenayah pembunuhan bersiri.
3. The Great Show - Tentang politik dan pemilihan calon

Buku:
1. 7 Petala Sasterawan negara, UMT, 2019
2. Mata, Okky Madasari, 2018,

Dalam tempoh ini, sekali dua ada ke pejabat menyelesaikan beberapa dokumen yang penting dan berharap tiada dokumen baharu perlu diuruskan kerana untuk ke pejabat walaupun sedikit melegakan rasa dapat keluar rumah, tetap membimbangkan. 

Apatah lagi ini juga  masanya saya singgah ke pasar raya dan membeli keperluan rumah untuk seminggu (walaupun tak sampai seminggu beras 5kg sudah habis).

Facebook pula bermasalah sedikit, entah kenapa. Sedikit sebanyak juga emosi rasa berat kerana apa yang mahu diluahkan, tidak terluah.

Menulis? Tiada mood langsung. Hari ini barulah terdetik mahu menulis di blog, entah kenapa. Kerja-kerja menyunting juga tidak disentuh. :(

Sehari demi sehari, kes meningkat dan saya amat bimbangkan keluarga, bimbangkan rakan dan kenalan, ibu bapa serta sesiapa sahaja yang mudah terjangkiti tanpa sedar.

Ujian yang besar untuk tahun 2020 ini, yang kita sangka ia tahun gemilang, tahun kemjuan dan kebebasan. Tapi, perancangan Allah lebih baik, kan?

BOSAN?

Anak-anak bosan. Data saya dikerjakan semasak-masaknya. Beli dan beli setiap hari (RM2 untuk 10GB) digunakan seisi keluarga kerana kami tak punya televisyen.

Rakan-rakan lain pun pastinya merasai hal yang sama apatah lagi jika rumah mereka bukan syurga seperti orang lain.

Kemurungan dan tekanan perasaan pasti berlaku. Saya doakan semuanya tabah dan bertahan. 

PKP Hari ke-9

Hari ini katanya kes berkurang tetapi kematian bertambah. 

https://malaysiagazette.com/2020/03/26/covid-19-seorang-lagi-meninggal-jumlah-kematian-meningkat-kepada-21-orang/?fbclid=IwAR3TX_9W9XBT5SSYEnTYKnNKtbKoVn9AD9Hg0OV_5HXECJroSbgObzVd7CA

Berdoalah, semoga semua ini akan berakhir segera.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...