Tuesday, March 31, 2020

PKP Hari Ke-14: Bekerja Dari Rumah, Bagaimana?


Photo by Karl Solano from Pexels

Hari ini PKP hari ke-14. Kematian terus mencatat ke angka 43 orang. Sepatutnya hari ini menjadi hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh Malaysia. Tapi nampaknya virus ini masih berlegar dan mencatatkan penambahan kes positif dan kematian. Maka, PKP fasa kedua akan bermula esok sehingga 14 April ini.

Apa khabar saudara saudari? Sudah betah atau masih resah?

Ibu, dan Kerja dari Rumah

"Ibu, cuba tengok ni?"
"Ibu, ibu pernah tak tengok kartun ni?"
"Ibu, lapar la. Gorengkan telur boleh?"

Itu belum lagi bab anak yang tak mahu berenggang (jika ada anak kecil dan anak besar yang manja amat), bermain telefon di sebelah kita, menyanyi, bergaduh sesama adik-beradik. Halahhhh...



Dalam tempoh berkurung, kerja-kerja menguruskan dokumen yang perlu diterjemahkan, terus berjalan walaupun kuantitinya berkurangan (banyak) daripada sebelumnya. Sedikit lega, dan dalam masa yang sama sedih juga kerana semakin kurang dokumen yang masuk, semakin kurang jugalah pendapatan syarikat.

Dalam tempoh dua minggu ada beberapa dokumen yang perlu dihantar. Komputer riba di rumah (Alhamdulillah, ada komputer riba yang 'dimiliki' sebelum PKP berlangsung). Bolehlah buat kerja dari rumah sahaja. Saya pun bimbang dan tidak mahu merisikokan diri keluar rumah terlalu kerap.

Sejak PKP saya hanya keluar seminggu sekali untuk ke pejabat dan beli barangan dapur. Namun apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah proses bekerja dari rumah.

Semalam, saya menjadi hilang sabar kerana ada dokumen yang perlu dihantar kepada penyunting tetapi komputer yang telah dimasukkan 'TeamViewer' bermasalah sedikit. Jadinya saya tidak dapat melihat dokumen dari komputer di pejabat. Saya perlu merujuk telefon untuk mendapatkan password, melihat lap top dan memastikan Internet 'mantul' supaya kerja penghantaran dokumen tidak tersekat.

Umar pula memang asyik bermain dengan telefon bimbit apabila saya menggunakan lap top. Tak boleh tegah sebab itu sahajalah hiburan dia di rumah kerana kami memang tiada televisyen.

Bukan masalah peralatan sahaja, ruang dan 'privacy' juga tiada. Sekejap-sekejap mereka (anak-anak) masuk ke bilik untuk menggunakan bilik air atau Umar yang asyik lapar dan berkongsi aktivitinya dengan ibu.

Saya tahu, ini mungkin baharu untuk saya walaupun saya selalu juga buat kerja pejabat atau kerja sampingan di rumah. Namun kali ini, situasi berbeza. Saya buat kerja bukan sebagai sampingan atau penangguhan tetapi memang kena buat. Perasaan tertekan sedikit muncul dan mempengaruhi emosi seluruhnya.

Menulis di Facebook dengan nada bersenda, ramai juga rakan yang memberi reaksi balas. Saya baca kesemuanya. Ada yang berkongsi pengalaman yang sama dan ada juga yang memberi tip. Terima kasih.

Saya tulis juga dalam salah satu komen, "Barangkali Tuhan mahu saya bersedia awal menangani emosi dan menyediakan tempat bekerja yang lebih sesuai jika suatu hari nanti saya benar-benar bekerja dari rumah."

Apabila membuat carian di Google, memang banyak tip malah buku yang boleh menjadi panduan apabila seseorang berkeputusan atau terpaksa bekerja dari rumah atas faktor-faktor tertentu.

Saya percaya, selain jadual kerja yang perlu disediakan, ruang dan waktu bekerja juga menjadi faktor utama. Untunglah mereka yang mempunyai ruang peribadi atau bilik khas untuk melakukan kerja-kerja dari rumah.

Semoga PKP segera berakhir. Rindunya suasana pejabat. :(


Monday, March 30, 2020

PKP Hari Ke-13: Membaca Diari Baha Zain



PKP hari ke-13. Setakat hari ini dijumlahkan sebanyak 37 kes kematian sejak virus ini menyerang Malaysia. Kebimbangan memuncak apabila terdengar khabar angin PKP akan dilanjutkan lagi dan mungkin akan melibatkan bulan Ramadan dan Syawal.

Laporan hari ini tentang Covid-19: http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

Dalam tempoh ini, masa yang ada bukan lagi untuk memikirkan siapa yang berkuasa, siapa yang kaya. Namun, beberapa hari ini negara diributkan dengan sikap manusia-manusianya. Selepas pengumuman pakej rangsangan oleh Perdana Menteri Malaysia, soal siapa patut dapat bantuan pula menjadi isu. Dalam situasi masing-masing perlu menjaga diri dan saling membantu, perikemanusiaan semakin sirna. 

Duduk diam-diam di rumah, belajarlah daripada situasi ini. Sebagai penulis misalnya, banyak catatan yang boleh dibuat - merakam sejarah, mendidik manusia dan mengingatkan diri sendiri tentang kemanusian. Tulislah, walaupun hanya sebagai diari untuk bacaan diri.

Tentang Masa

Sejak semalam menonton sebuah drama Jepun, tapi sehingga pagi ini, petang ini, terasa plotnya semakin memualkan dan akhirnya saya membuat keputusan untuk menghentikan tontonan, setelah membuang waktu untuk 11 episod!

Mengulit masa dengan hal yang sia-sia membuatkan diri rasa entah apa. Bodoh? Tapi, kita tak akan tahu sesuatu selagi kita tak mengalaminya kan? 

Selepas menutup komputer riba, kepala jadi sakit. Perlu sesuatu untuk meredakan rasa kesal dengan masa yang dipersia hari ini. Perlu sesuatu yang bersifat sunyi dan peribadi, tetapi menjalar cakerawala dalam diam. Apa lagi kalau bukan sajak. 

Bercakap tentang sajak, tiba-tiba teringat salah satu video Masterclass Writing yang menampilkan beberapa penulis terkenal pelbagai genre. Dalam salah satu video trailer tersebut, Billy Collins, seorang penulis sajak terkenal Amerika menyatakan: 

"A lot of poetry begins as a secret and covert activity. So poetry is sort of a diary without the lock. The diary you want people to read it."

Ah, kalau bercakap tentang apa itu sajak, habis tempoh PKP pun tak akan selesai.

Merenung timbunan buku di dalam bilik - yang sebahagiannya sudah dibaca dan sebahagiannya belum, lalu saya mengambil sebuah buku. Melihat tajuknya, Siang Tak Pernah Mungkir dan Kau Akan Dewasa, terbitan DBP tahun 2015. Sebuah kumpulan puisi. Adakah masa akan terubat dengan membaca sajak? Membaca dengan cara apa? Pendekatan bagaimana?

Rasanya pernah baca ini tahun 2015 dahulu. Ini buktinya.



Buka dan semak Goodreads. Tiada catatan ia sudah dibaca. Maka, saya ambil keputusan untuk membacanya 'betul-betul' kali ini (selain mahu mengisi tandaan 'sudah dibaca' di Goodreads. Bacaan kali kedua ini, saya ingin mengambil pendekatan seperti yang dinyatakan oleh Billy Collins. Bukan pendekatan tapi sudut pembacaan melihat buku ini sebagai sebuah diari Baha Zain.

Diari Baha, Rakaman Lima Musim Kehidupan

Diari lima musim kehidupan. Sengaja saya gunakan istilah ini kerana buku ini merupakan edisi khas Sasterawan Negara (Baha Zain, Sasterawan Negara ke-12 [2013]) yang terdiri daripada 81 buah puisi daripada lima kumpulan puisi yang pernah terbit sebelum ini: 

1. Perempuan dan Bayang-bayang (1974)
2. Dari Catatan Kertas Tengah Malam (1978)
3. Tiga Catatan Perjalanan (1980)
4. Jalan Desa ke Kota (1994)
5. Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain (2011).

Maka, lima kumpulan puisi dengan perjalanan tahun berbeza ini bolehlah diertikan dengan lima musim perjalanan hidup. Beberapa catatan atau kata kunci sempat saya tandakan ketika membaca kata pengantar (pengenalan) buku ini oleh Dr. Shamsudin Othman.

Antara kata kunci kepengarangan Baha dalam tempoh lima 'musim' ini: 

Romantis
Sinikal
Puisi-puisi yang penuh muatan ilmu
 Hujah-hujah bersandarkan prinsip perjuangannya
Menyihir perasaan pembaca
Berlegar antara kenangan lalu dan masa depan yang kreatif dan inovasi
Bukan pemabuk kata-kata
Konsisten menyederhanakan kata-kata dalam pemikiran yang kritis
Memiliki gaya bahasa segar
Medium idealisme yang jelas
Berani, sinis, kritis dan sinikal terhadap perkembangan dunia semasa


Terima kasih Dr. Shamsudin Othman untuk pengenalan yang panjang tetapi amat perlu dibaca untuk memahami bentuk dan corak kepengarangan Baha Zain sepanjang beliau menulis. Jika mengambil sudut pandangan 'diari', ya, buku ini bagai sebuah diari Baha Zain dalam menyimpulkan dapatan pengalaman dan kematangan fikiran beliau dalam tempoh tersebut.

Tidak dinafikan, saya memang penggemar sajak-sajak sederhana Baha Zain. Namun, membaca kesemua sajak di dalam kumpulan puisi ini tidak begitu memberi kepuasan kepada saya. Mungkin kerana saya sudah membaca banyak sajak Baha Zain yang terkumpul di dalam buku Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain terbitan ITBM (150 sajak) yang lebih menarik dan disertakan CD sekali. 


Ada beberapa sajak yangs aya suka, malah pernah kongsikan di media sosial sebelum ini. Dan kali ini saya turunkan sebuah sajak yang paling saya suka dalam buku ini:

Apakah Ertinya Kata-kata

Apakah erti kata-kata?
yang rancu muzik dan nada.

Apakah erti kata-kata?
yang tak merubah dunia.

Apakah makna kata-kata
bagi kita yang tak membezakan
antara direktur dan koruptor
antara menteri dan pencuri
antara patriot dan pengkhianat
antara pencipta dan peniru
antara sahabat dan seteru
dan antara yang tulen dengan yang palsu.

Jadi, apa diharap daripada kata-kata?
tergantung kepada pentafsir
yang menterjemahkan makna di dunia fikir
dari lembah pengalaman
dari belantara pengembaraan
untuk manusia yang berlainan 
padang dan tempat permainan.

(tiada catatan tahun bila puisi ini ditulis. Barangkali sekitar tahun 2011 kerana ia terangkum dalam kumpulan puisi Menangguhkan kebenaran dan Sajak-sajak lain).




Laporan kes Covid-19 setakat hari ini. :(

Sunday, March 29, 2020

PKP Hari Ke-12: Membaca Mata



Hari ini hari ke-12 PKP dan jumlah kes semakin bertambah. Berbual-bual dengan beberapa rakan maya, ternyata masing-masing pun gusar. Segala macam menu dan aktiviti sudah tidak mampu membendung kerisauan dan keresahan kami.

Masuk hari ke-12, bagaimanakah saudara saudari sekalian?

Saya, seolah-olah tiada pilihan, selain menonton drama dan menjalankan rutin harian, maka membaca adalah acara terbaik mengisi waktu 'lapang' ini.

Okky!

Hari ini saya memilih untuk melangsaikan bacaan novel Okky Madasari, Mata dan Rahasia di Pulau Gapi.

Novel kedua dari Siri Mata ini dihadiahkan oleh Anis Azam, pemilik kedai Gadis Buku. Hadiah? Oh, rasa sangat terharu. Sudahlah sehari sebelum hadiah ini diberi, saya baru memenangi dua hadiah besar penulisan (cerpen media baharu dan puisi) dalam Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU). 





Dihadiahkan pula buku penulis kesukaan. Sangat bahagia! Siri pertama Mata juga saya dapatkan bukunya melalui Anis. Dan ya, saya sudah membaca kesemua novel Mbak Okky sebelumnya. Maka, ada apa dengan Mata dan Rahasia di Pulau Gapi?

Mata, Kisah Gadis Cilik yang Berani!

Setelah agak terkejut setelah membaca siri pertama Mata (Mata dan Rahasia di Tanah Melus) yang saya kira percubaan berani Okky menjelajah genre fantasi kanak-kanak/remaja ini, maka siri keduanya ini saya lebih santai menikmati perjalanan Matara seterusnya.

Jika siri pertama membawa Mata menjelajah ke alam 'bunian' atau makhluk halus dan bercerita tentang bangsa serta budaya, maka siri kedua ini lebih ringan, barangkali.

Mata dan Rahasia di Pulau Gapi bermula dengan sebuah perjalanan baharu - ibu bapa Mata tinggal bersama dan memilih Pulau Gapi  di Wilayah Timur Laut Kepulauan Indonesia (Sebelum ini ada sedikit ketegangan dalam rumah tangga ibu bapanya maka Mata dan mamanya sahaja mengembara ke Tanah Melus).

Ada apa di Pulau Gapi? 

dalam siri kedua ini, Okky mendekatkan pembaca dengan sejarah Pulau Gapi melalui pembuka rahsianya, Pak Zul, guru mengaji Mata yang gemar bercerita - tentang manusia-manusia istimewa dari pelbagai penjuru dunia.

Suatu hari Pak Zul bercerita tentang sejarah ratusan tahun lalu di Pulau Gapi. Mata menjadi teruja.  Cerota-cerota Pak Zul menjadikan Mata ingin mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Pulau Gapi. Tanpa berfikir panjang suatu pagi Mata senyap-senyap keluar dari rumah menuju pelabuhan dan bertemu dengan seekor kucing yang pandai bercakap bernama Molu. Cerita menjadi lebih menarik apabila Molu membuka rahsia hidupnya bermula ratusan tahun lalu.

Peredaran zaman mengubah landskap Pulau Gapi menuju kemodenan. Namun ada sesuatu yang berlaku yang dianggap misteri menghantui penghuni pulau itu apabila Sultan dan para penari ketika satu acara dijalankan di sebuah benteng, kesurupan. Puncanya si Laba-laba yang menjadi penjaga harta Sultan sejak ratusan tahun lalu. 

Atas nama amanah dan menjaga kesucian pulau, konflik berlaku antara Laba-laba beracun itu dengan manusia yang ingin membangunkan Pulau Gapi.

Apa yang terjadi seterusnya? Kenalah baca. :)

Okky dan Imaginasi Kearifan Tempatan

Jika dilihat atau dibaca sepintas lalu, novel ini tidaklah terlalu 'wow' jika mahu dibariskan dengan ribuan novel fantasi kanak-kanak yang lain. Namun, Okky menulis dengan keistimewaannya tersendiri.

Mengambil watak kanak-kanak perempuan, sesuatu yang harus diraikan dalam dunia moden hari ini. Seorang perempuan harus sejak kecil diajar mampu tangani suasana, berfikiran kritis dan berani. Itu yang disogokkan melalui watak Matara.

Selain itu, menggunakan idea kearifan tempatan menunjukkan setiap bangsa, atau negara mempunyai cerita-ceritanya yang tersendiri. Ini seterusnya membangunkan watak dan cerita baharu (hero) dalam setiap bangsa dan tidak hanya terikat dengan cerita-cerita klasik yang sudah berkali-kali diulang baca.

Mengambil sudut latar sejarah, ini juga satu keberanian yang bukan sedikit ekpada penulisnya. Tidak semua cerita tentang sejarah mampu dikupas dengan begitu kemas dan menarik. Walaupun hanya asas sejarah diceritakan, ia mampu menjadikan plot lebih menarik dan bergerak dengan lancar.

Membaca ini, membuatkan kita tahu, setiap daerah/negeri mempunyai sejarah tersendiri yang harus dipelihara dan menjadi kebanggaan penduduknya, dan tentunya banyak lagi sejarah tempatan yang tidak kita tahu atau ambil tahu kini.

Terima kasih Okky, menulis sebuah cerita fantasi yang berguna untuk bacaan anak tempatan. :)





Saturday, March 28, 2020

PKP Hari Ke-11: Rumahku Syurgaku?


Sumber: Drama Korea bertajuk Diary of Prosecutor

Hari ke-11. Apa khabar kawan-kawan? Sudah betah berkurung atau masih rengsa dan gundah? Bagaimana dengan rutin harian? Sudah susun elok-elok atau masih bercempera? Bagaimana rumah atau tempat yang anda diami semasa tempoh PKP ini? Tetap syurga atau sudah menjadi neraka?

Ketika awal PKP dua minggu lalu (bermula 18 Mac 2020), saya menulis satu status di Facebook tentang bagaimana rumah yang didiami ketika tempoh berkurung ini.



Entah. Tiba-tiba terfikir tidak semua rumah boleh disebut Rumahku Syurgaku. Bagaimana dengan orang yang tidak betah di rumah. Yang rumahnya bagai neraka. Yang rumahnya hanya menjadi tempat salin pakaian dan tidur menunggu esok pagi untuk keluar mencari rezeki. Dan kini tempoh 14 gari akan ditambah lagi 14 hari. Oh...

Sebenarnya ketika itu seorang kenalan menghantar mesej, menceritakan keadaan rumahnya, perasaannya yang 'broken' dan sudah tidak mampu berbuat apa-apa ketika tempoh PKP ini - hanya menghadap situasi yang berlaku di rumahnya dengan ketabahan berganda.

"I was diagnosed with bipolar disorder." Demikian dia bercerita tentang tingkah laku bapanya yang bobrok.

Mudah sahaja kita sebagai orang luar akan memberi jalan - "Awak sudah kerja, kan? Keluarlah dari rumah itu. Beli atau sewa rumah lain, bawa emak sekali."


Ya, mudah. Tapi keadaan sebenar tentu memerlukan keberanian, kewarasan dan kekuatan diri mangsa sendiri.


Setiap orang ada masalah tersendiri. Syurga bagi kita, neraka bagi orang lain. Jadi, bagaimana boleh kita bantu? Sentiasa bertanya khabar, memantau tulisan-tulisannya di media sosial agar dapat bertindak awal jika kelihatan sesuatu yang buruk akan berlaku, cuba beri beberapa alternatif lain agar dia dapat keluar dari situasi itu atau sekadar memberi kata-kata manis setiap waktu agar perasaannya tidak memburuk.

Tempoh berkurung yang agak lama ini tentu sukar bagi sesetengah orang. Tapi, apakan daya. Kita perlu kurangkan pergerakan ke sana sini dalam tempoh PKP ini agar virus Corona segera menghilang.


Namun, jika keadaan parah, boleh sahaja kita keluar daripada bumbung yang memedihkan itu. Pergilah ke mana-mana yang kita selesa, Rumah saudara mara, kenalan atau tempat yang boleh menyelamatkan diri sendiri daripada mengalami depresi. Ceritakan kepada pihak polis jika dalam tempoh mahu keluar itu, kita ditahan.


Soal perasaan yang sakit bukan benda main-main. Dalam situasi sengit begini, utamakan diri, jangan sampai kita mati bukan kerana virus tetapi kerana sakitnya hati kepada orang yang tinggal serumah dengan kita.


Rumah Kita


Menonton Kdrama bertajuk Diary of Prosecutor baru-baru ini, saya tertarik dengan pengenalan awal tentang latar tempat yang menjadi landas penceritaan (rujuk gambar di atas).


Bagaimana sesebuah tempat (rumah khususnya) boleh kita labelkan dengan sesuatu - sama ada kita mahu tempat itu menjadi begini atau begitu atau kita merancang sesuatu agar tempat itu menjadi begini atau begitu.


"Inilah rumah saya. Sebuah rumah yang ceria dan dipenuhi adab dan ilmu." Contohnya.



Sebuah rumah yang dihuni mungkin lebih daripada dua orang memerlukan satu 'label' yang dinamakan haluan atau harapan agar isi rumah yang berlindung di dalamnya akan menjadi seperti apa yang kita inginkan - mahukan suami/isteri yang berilmu dan bertolak ansur, mahukan anak-anak yang bijak, soleh solehah dan menyenangkan, mahukan isi rumah yang bersatu dengan tujuan dan fikiran yang sama....

Semuanya memerlukan usaha banyak pihak.



Banyak kali juga dengar kisah pasangan saling menyalahkan antara satu sama lain, mengungkit kesilapan lampau atau mengkritik keturunan masing-masing (hello, tiada siapa paksa kau kahwin dengan aku. Kalau sibuk memburukkan keturunan aku, kau boleh berhambus!)


Sangat menjelekkan jika pasangan sibuk meletakkan kesalahan kepada pasangannya atas soal mendidik anak, menguruskan rumah tangga dan lain-lain.

JELEK!


Teringat Dr. Muhaya menyebut tentang blue print ketika saya menemu ramah beliau mengenai isu kekeluargaan.



"Sangat sukar menemukan titik persamaan antara pasangan kerana masing-masing datang daripada keluarga yang berbeza latar belakang dan budaya. Blue print setiap manusia memang berbeza."

Jadi, apakah titik pemula atau titik tengah untuk menyatukan hal yang berbeza ini?



Tentulah saling percaya dan menerima kelemahan masing-masing serta berazam bersama-sama membina sebuah rumah yang bahagia. Tapi, ramai yang gagal berbanding berjaya, kan? Lumrah dan asam garam rumah tangga diibaratkan seperti 'sedangkan lidah lagi tergigit' yang menggambarkan lidah dan gigi yang elok diletakkan dalam sebuah ruang (mulut) pun kadang tergigit juga.


Namun, harus diingat juga, perkahwinan bukan 'ultimate' dalam hidup manusia. Perkahwinan bukan jalan akhir untuk menemukan bahagia atau melengkapkan kehidupan. BUKAN!


Jadi, tidak salah jika kita mengambil keputusan untuk menarik diri, meninggalkan sesuatu yang kita tidak mampu lagi untuk tangani atau hadapi. Jangan takut dengan perpisahan kerana itu juga sebahagian perjalanan hidup manusia. Mungkin dengan perpisahan itu, kita akan menemui jalan baharu yang lebih baik dan bahagia.


Ambillah keputusan dengan tepat dan berhentilah menyakiti hati pasangan/anak-anak kerana dosa menyakiti hati orang lebih besar daripada berpisah (bercerai).

Rumahku Syurgaku, kitalah yang mengisinya!


RUMAH awak, bagaimana?

Friday, March 27, 2020

PKP Hari ke-10: Tokyo Tower; Sebuah Titik Pemula Hidup




Terkurung di rumah, selain mencari kekuatan memulakan penulisan dan mengembalikan mood waras, saya memilih menonton drama-drama dalam saluran VIU. Rumah tiada televisyen, ini sahaja hiburan yang ada. Sebenarnya VIU bukanlah medium yang memuaskan sepenuhnya, tapi okeylah (sebab saya tidak melanggan, :P).

Beberapa hari lepas, sudah tiga buah drama Korea saya tonton (setiap satu ada 16 episod). Selepasnya, naik muak sebab genre sama dan episod banyak sangat.

Lalu saya memilih drama Jepun ini tanpa melihat latar belakangnya. TOKYO TOWER.

Menara Tokyo, Titik Permulaan.

"Tokyo Tower, this is my starting point," kata Manami, seorang gadis yang berhijrah ke bandar Tokyo untuk menyambung pengajian dalam bidang seni fotografi. Itulah dialog Manami kepada Masaya ketika mereka sama-sama berdiri di depan menara Tokyo selepas hampir kecewa dengan kehidupan di Tokyo.

Sebelumnya, pertemuan Manami dan Masaya yang tidak terduga ketika menaiki bas menuju ke Tokyo itu menjadi titik pemula perjuangan masing-masing. Manami ketika itu begitu takjub dengan menara Tokyo lalu mengambil gambar menara itu di sebelah Masaya yang juga mahu menuju ke destinasi yang sama.

Di universiti, mereka bertemu lagi, tetapi tidak begitu rapat. Masaya meneruskan kehidupan dengan sukar kerana beliau layak masuk bukan kerana latar belakang pendidikan yang kuat tetapi bakat semata-mata. Masaya tersungkur dan lalai malah hampir meninggalkan pengajiannya. 

Kekecewaan ibunya mengenai prestasi Masaya bukan sedikit, namun itu tidak mengubah sikap Masaya yang sejak kecil memang rapuh - ibu bapanya tidak tinggal serumah dan dia dibesarkan dalam lingkungan perkampungan tradisional yang tiada cabaran seperti di Tokyo.

Mengambil latar tahun 1970-an sehingga tahun 2000, drama ini mengembalikan saya kepada zaman kecil. Dibesarkan di kawasan terpencil, felda, lalu melangkah ke Kuala Lumpur. Serba serbi penuh cabaran apatah lagi bersendirian.





Begitu juga dengan Masaya. Dia hampir kecewa namun sesuatu yang berlaku kepada ibunya, membuatkan Masaya cepat sedar dan bangkit berusaha mengubah nasib diri, apatah lagi selepas kematian neneknya yang meninggalkan kenangan manis kepadanya.

Akhirnya, dia berjaya menjadi seorang ilustrator dengan bantuan kawan universitinya, Narusawa setelah mengharung liku-liku pekerjaan. Masaya bertuah kerana percaya dengan bakatnya dan banyak menyedarkan kawannya tentang pekerjaan dan kecintaan dalam pekerjaan. Bahagian ini saya teringat kepada diri sendiri apabila Narusawa bercakap soal editorial. :)

Tentang Ibu.



Kisah ini sebenarnya lebih kepada hubungan Masaya dan ibunya, serta bapanya (yang sesekali muncul dengan perwatakan yang 'annoying'). Yelah, drama ini pun adaptasi daripada buku autobiografi penulisnya, Lily Franky atau nama sebenarnya Masaya Nakagawa berkaitan kisah hidupnya. Sedikit tentang Masaya, boleh dibaca di wikipedia: Lily Franky

Sejak kecil Masaya dibesarkan oleh ibunya di sebuah perkampungan pertanian. Masaya membesar seperti budak kampung lainnya. Namun, kepercayaan kepada diri sendiri membuatkan Masaya nekad menyambung pelajaran ke sebuah institusi di bandar Tokyo dalam bidang seni lukis. 

Dalam tempoh ini bukan sedikit pengorbanan ibunya, Eiko. Eiko pernah kemalangan kerana terlalu kuat bekerja. Eiko juga pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami bengkak pada tekak (kanser) yang boleh menyebabkan dia kehilangan suara. Namun, Eiko enggan membuat pembedahan yang melibatkan peti suaranya itu kerana dia bimbang tidak mampu bercakap-cakap lagi dengan anak lelakinya, Masaya.

Pada waktu inilah Masaya mengambil keputusan mengajak ibunya tinggal di Tokyo walaupun pada waktu itu dia masih merangkak mencari rezeki dan kerja tetap. Pelawaan Masaya amat menggembirakan ibunya. Pada awalnya Masaya agak bengang kerana sikap ibunya yang sangat baik hati dan terlalu "happy go lucky" sedikit sebanyak mengganggu kebebasan dan ketenteraman Masaya. Namun akhirnya dia akur apabila ibunya menjadi idola kepada kawan-kawannya yang lain.

Eiko sakit kembali. Kali ini tanpa mampu dielakkan, Eiko perlu menjalani pembedahan lagi. Nasib baik menyebelahi Eiko apabila pembedahan itu berjaya dan dia masih punya suara.

Kerjaya Masaya semakin baik. Dia dan ibunya juga sudah begitu akrab dan ditambah lagi dengan bapanya yang juga mula menunjukkan sikap baik kepada ibunya. Kawan-kawannya juga banyak mengambil iktibar daripada nasihat dan sikap positif yang selalu ditampilkan oleh Eiko, termasuk Manami yang semakin rapat dengan Masaya dan mula membantu ibunya yang bermasalah di Hokaido.

Namun langit tak selamanya cerah. Eiko, ibu Mayasa dijangkiti kanser perut pula. Detik ini benar-benar menyedarkan Masaya tentang betapa penting ibunya itu dan dia harus menemani ibunya sehingga akhir nafas.






Tokyo Tower dan Kelangsungan Hidup Manusia

Menara Tokyo menjadi perlambangan titik permulaan bagi sesetengah orang di sana. Ia terletak di tengah pusat bandar Tokyo dan dapat dilihat dari sudut mana pun. Di sekeliling menara Tokyo terdapat ribuan bangunan dan manusia yang mencari rezeki dan tujuan hidup masing-masing.

Dalam kehidupan pun sama. Kita akan bermula dengan satu harapan dan kepercayaan. Dari situ kita akan mengejar impian melalui banyak cara dan usaha. Ketabahan dan usaha tanpa lelah Eiko membesarkan anaknya sama seperti mana-mana ibu atau bapa di dunia ini. Kita juga dikelilingi oleh ramai kawan dan lawan dalam meneruskan kehidupan yang mencabar di bandar-bandar besar.

Berbuat baiklah kepada semua orang. Kerana ia akan menjadi ingatan yang manis kepada orang lain.

Menonton drama ini tanpa sengaja merupakan satu keberuntungan buat saya. Selain memberi banyak idea untuk penulisan, kembali ke masa lampau - menggunakan telefon awam, budaya yang masih terpelihara, fesyen, suasana, memberi perasaan yang mendalam tentang apa yang telah ditinggalkan, yang membentuk diri masa kini.

Cuma pelik. Bapa Masaya tak habis-habis hisap rokok. Setiap kali babak bapa Masaya muncul, pasti dengan rokok di tangan walaupun di dalam hospital!

NOTA:

Profile

  • Drama: Tokyo Tower
  • Romaji: Tokyo tawa: Okan to boku to, tokidoki, oton
  • Japanese: 東京タワー オカンとボクと、時々、オトン
  • Director: Tetsuji KubotaMasaki Tanimura
  • Writer: Lily Fraky (novel)
  • Network: Fuji TV
  • Episode: 11
  • Release Date: January 8 - March 19, 2007
  • Runtime: Monday 21:00-21:54
  • TV Ratings: 14.9% (weekly average)
  • Language: Japanese
  • Country: Japan

Plot

Tokyo Tower--it was the first thing that caught the young man's eyes when he came to Tokyo, the brightly-lit big city. Everything looks big, crowded and chaotic to him who was raised single-handedly by his mother in a rural town. Torn between loves and yarning to be independent, he chooses to live in this city where he's going to experience love, insecurity, desperation, and hope. Based on a bestselling book, this heartwarming drama follows a young man's struggle to find the meaning of life, and the strong bond between him and his mother. This is a real tear-shedder with hearty humor for every generation.

Notes

  1. Based on a national best-seller auto-biography (sold over 2 million copies) by Lily Franky.
  2. Related titles:
    1. Tokyo Tower: Mom and Me, and Sometimes Dad (Fuji TV / 2006)
    2. Tokyo Tower (Fuji TV / 2007)
    3. Tokyo Tower: Mom and Me, and Sometimes Dad (2007)

Cast


PKP: Hari ke-10


Sumber: Drama Korea bertajuk The Great Show


Hari ke-10 PKP, apa yang saya jangkakan? 

Tiada jangkaan. Cuma berharap situasi semakin reda walaupun ini fasa/puncak Covid-19 mengganas di seluruh dunia. Setakat semalam, kes di Malaysia terus meningkat (positif Covid dan kematian). Walaupun tidak sebanyak negara lain, tetap membimbangkan apatah lagi sudah ada kawasan yang diperintahkan 'lockdown'. 

Tugasan pejabat juga ada beberapa yang perlu diselesaikan tetapi saya sudah berazam untuk keluar hanya sekali seminggu. Jika keluar saya akan ke pejabat selesaikan kerja yang sepatutnya, tidak berlama, mungkin hanya dua atau tiga jam sahaja. Balik dari pejabat terus singgah pasar raya Hero dan beli barangan dapur.

Hand Sanitizer baru sampai pagi tadi. Harap membantu mengurangkan risiko kami sekeluarga. Masak macam biasa walaupun sudah kehabisan idea mahu masak apa (padahal masak itu-itu sahaja). Huh, skil memasak saya memang terhad memandangkan semua yang ada di rumah ini tidak memilih dan tidak meminta. Alhamdulillah, kan?

Hari ke-10 saya sudah agak waras - boleh menulis dan membaca sikit-sikit. Berazam mahu kemas rak depan. Sebenarnya ada beli meja kerja kecil dan sebuah kerusi empuk yang relatif murah untuk kegunaan di rumah. Tapi barangan dialamatkan ke pejabat. Harap sampai sebelum Rabu depan. Bolehlah menulis dan membaca dengan lebih selesa.

Menulis? 

Menonton beberapa drama Korea dan Jepun beberapa hari ini serta membaca novel Mata karya Okky Madasari mengingatkan saya bahawa menulis bukanlah sukar mana. Hanya perlukan konsistensi, seperti yang saya gembar-gemburkan dengan banyak kali di FB sebelum ini. 

Hanya tahu menasihati tapi sendiri tidak melakukannya. Sebab tiada tekanan untuk melakukannya?

Agak banyak juga aktiviti penulisan dijalankan termasuk buat zine sendiri, bengkel penulisan dan pertandingan menulis semasa situasi Covid berlangsung. Ye la, masing-masing berusaha meneruskan kerja-kerja dalam industri ini walaupun situasi menyekat pergerakan. 

Saya diingatkan oleh dia, kawan baik saya, agar segera siapkan novel dan kumpulan puisi untuk pertandingan menulis oleh PENA. Saya sambil lewa sahaja. Tiada keyakinan. Tapi sebelum-sebelum ini pun begitulah perangai. Menulis suka-suka. Ada juga yang menang kan? Jadi, mengapa tidak saya menulis dengan lebih serius dan fokus? 

Selamanya mahu bekerja makan gaji? Apatah lagi kerja terkini pula bukanlah sesuatu yang saya cintai seperti kerjaya editor.

Semoga tempoh ini mengajar saya sesuatu yang bermakna. Dan bukan sekadar hanyut ditelan masa.

Ingat, Zalila... had waktu manusia tidak lama, dan tidak tentu bila penamatnya. Jadilah manusia yang hidupnya memberi manfaat yang banyak dan tidak terputus walaupun sudah mati kelak.





Thursday, March 26, 2020

Hari-hari dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)




Demikian, hari ini masuk hari ke-9 sejak PKP dilaksanakan akibat tularan wabak COVID-19. Virus yang membunuh ini amat meresahkan saya dan seluruh warga dunia. Datangnya tanpa sapaan, simptom yang seakan selesema, batuk, sakit tekak, tetapi mampu menyerang paru-paru dan seterusnya menyekat pernafasan sehingga meragut nyawa.

Apa khabar kawan-kawan? 

Duduk di rumah dengan perintah kawalan pergerakan, bukannya mudah bagi setiap orang. Sama ada yang bekerja ataupun tidak. Ada rezeki yang diperoleh sepenuhnya ketika keluar rumah. Malah rezeki yang diperoleh ketika berada di rumah pun sukar digerakkan atas faktor keselamatan.

Di media sosial, gurauan dan gambar makanan sudah agak berkurangan sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP akan dilanjutkan lagi selama 14 hari, bermakna 'kurungan' ini berlangsung sehingga 14 April 2020. Itupun jika kes-kes yang dilaporkan berkurangan dan masyarakat akur dengan PKP.

Tidak dapat disenaraikan satu per satu urusan yang terganggu. Kebimbangan, tidak dapat bertemu ahli keluarga yang jauh serta ekonomi negara (juga dunia) yang meruncing.

Akhir zaman, demikian pandangan orang-orang agama. Ada benarnya, tentang akhir zaman, tentang situasi dan keadaan yang seakan-akan seperti yang dinyatakan dalam Quran.

Hari-hari Kurungan Seorang Zalila


Sumber: Drama Korea bertajuk A Girl Who Can See a Smell

Saya, yang selama ini menjadikan pejabat dan dunia luar sebagai eskapisme diri dalam menyeimbangkan emosi, agak 'down'. 'Down' yang banyak sebenarnya. Sejak 18 Mac, tidak ke pejabat dan terperuk dalam rumah yang tidak bertingkap ini, sedikit sebanyak saya beremosi. 

Apa yang saya buat?

Memasak (ah, ini wajib kerana anak-anak perlu makan), makan, membaca sebuah dua buku dan menonton drama Korea tanpa henti (setiap satu 16 episod) sehingga kepada sakit dan badan lesu.

Drama:
1. Catch a Ghost - Siri penyiasatan jenayah pembunuhan bersiri
2. A Girl Who Can See a Smell - Genre supernatural seorang gadis yang boleh melihat bau dan menyelesaikan jenayah pembunuhan bersiri.
3. The Great Show - Tentang politik dan pemilihan calon

Buku:
1. 7 Petala Sasterawan negara, UMT, 2019
2. Mata, Okky Madasari, 2018,

Dalam tempoh ini, sekali dua ada ke pejabat menyelesaikan beberapa dokumen yang penting dan berharap tiada dokumen baharu perlu diuruskan kerana untuk ke pejabat walaupun sedikit melegakan rasa dapat keluar rumah, tetap membimbangkan. 

Apatah lagi ini juga  masanya saya singgah ke pasar raya dan membeli keperluan rumah untuk seminggu (walaupun tak sampai seminggu beras 5kg sudah habis).

Facebook pula bermasalah sedikit, entah kenapa. Sedikit sebanyak juga emosi rasa berat kerana apa yang mahu diluahkan, tidak terluah.

Menulis? Tiada mood langsung. Hari ini barulah terdetik mahu menulis di blog, entah kenapa. Kerja-kerja menyunting juga tidak disentuh. :(

Sehari demi sehari, kes meningkat dan saya amat bimbangkan keluarga, bimbangkan rakan dan kenalan, ibu bapa serta sesiapa sahaja yang mudah terjangkiti tanpa sedar.

Ujian yang besar untuk tahun 2020 ini, yang kita sangka ia tahun gemilang, tahun kemjuan dan kebebasan. Tapi, perancangan Allah lebih baik, kan?

BOSAN?

Anak-anak bosan. Data saya dikerjakan semasak-masaknya. Beli dan beli setiap hari (RM2 untuk 10GB) digunakan seisi keluarga kerana kami tak punya televisyen.

Rakan-rakan lain pun pastinya merasai hal yang sama apatah lagi jika rumah mereka bukan syurga seperti orang lain.

Kemurungan dan tekanan perasaan pasti berlaku. Saya doakan semuanya tabah dan bertahan. 

PKP Hari ke-9

Hari ini katanya kes berkurang tetapi kematian bertambah. 

https://malaysiagazette.com/2020/03/26/covid-19-seorang-lagi-meninggal-jumlah-kematian-meningkat-kepada-21-orang/?fbclid=IwAR3TX_9W9XBT5SSYEnTYKnNKtbKoVn9AD9Hg0OV_5HXECJroSbgObzVd7CA

Berdoalah, semoga semua ini akan berakhir segera.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...