Showing posts with label sastera. Show all posts
Showing posts with label sastera. Show all posts

Thursday, February 08, 2018

Sastera untuk Siapa?


Membaca akhbar hari ini, tentang perdebatan 'seni untuk siapa?', mengingatkan saya kepada status seorang penulis muda yang memetik perkataan dan pendapat seorang penulis muda yang lain tentang 'label' yang diberikan terhadap sastera - tentang apa fungsinya dalam masyarakat dan penulis itu sendiri.

Sebenarnya sudah malas mahu bercakap soal yang sama. Isu ini telah  lama diperdebatkan. Sejak zaman 50-an sejak penulisan dan sastera mewarnai dunia Malaysia dengan fungsinya sebagai 'pencorak' masyarakat, mengibarkan payung semangat kemerdekaan dan pembangunan bangsa.

Saya kira, sebagai insan kerdil dalam bidang ini, tidak perlulah kita bergaduh-gaduh (ya, saya anggap ia pergaduhan sia-sia antara manusia pelbagai pandangan dan pendapat), tentang sesuatu yang tidak perlu.

Sastera ialah seni untuk masyarakat. Ia datang daripada masyarakat (penulis) dan untuk masyarakat (pembaca). Itu cukup menjelaskan dan menggerakkan apa jua bentuk penulisan masa kini. Hal 'bentuk' dan 'kewujudan' sastera itu, biarlah ia berpulang kepada batang tubuh penggiatnya - sama ada mahu jadikannya sebagai 'ruang', 'alat' dan bla bla bla...

Demikian, penghujung dan awal tahun ini, isu ini mewarnai masyarakat penulis, pembaca dan warga industri seluruhnya.

Teruskanlah menulis. Biarlah hasil tulisan itu mengambil tempatnya yang sesuai dalam masyarakat. 

Salam manja,
Diari Editor Garang.

Wednesday, June 08, 2016

Cakap-cakap tentang hal buku dan filem


Setelah beberapa bulan ini melalui pelbagai acara dan peristiwa. ternyata kebanyakannya hanyalah cerita-cerita yang akan tenggelam bersama sejarah kalaupun ada antaranya nanti yang membiak, menyubur, menongkah arus malah melepasi zaman untuk diulang cerita lagi.

Ada beberapa perkara yang menggayuti fikiran sejak pulang dari Bota, Perak, semasa meraikan perkumpulan penyair dan penulis. Pada saya, ya, hal itu biasa-biasa. Menyemai benih sastera, mengembangkannya malah menjalin ikatan dengan orang-orang baharu itu memang perlakuan-perlakuan manusia dalam menjelaskan kewujudan seseorang (kalaupun bukan perkumpulan).

Saya dipaksa baca sajak. Itu sebahagian hal kecil yang perlu saya lupakan. Itu tak sepatutnya berlaku pun. Saya bukan orangnya yang perlu dipaksa-paksa baca.

Mendengar perkongsian daripada tokoh-tokoh lama, yang saban waktu di mana sahaja, ya perkara sama diulang cerita. Tetapi tidak pula saya bosan. Saya ini bukan jenis rebel atau seseorang yang laparkan perubahan mendadak. Mungkin juga saya belum cukup keras mendepani dunia, maka saya kira yang ada ini, kegiatan-kegiatannya, raikan sahaja.

Ditempelak oleh rakan penulis dari negara seberang berkenaan dengan kualiti penulisan dan karya Malaysia yang katanya biasa sahaja itu, memungkinkan hati saya digaru pertanyaan. benarkah tahap karya kita biasa sahaja atau ruang dan peluasan karya yang masih begitu-begitu?
Ah, mereka wajar bangga dengan susuk karyawan lama mereka yang sehingga kini masih diagung-agungkan oleh bukan sahaja rakyat Indonesia malah juga pengikut karya-karya di Malaysia. Siapa yang tak kenal Hamka? Pramoedya? Kartini? Sapardi? Sitor Situmorang? Chairil Anwar? Ahmad Tohari? Widji Tukul, dan beberapa nama penulis masa kininya yang berjaya menulis karya yang tersebar ke seluruh dunia. Malah, filem-filem Indonesia juga banyak yang boleh dibanggakan.

Soalan mereka, Malaysia dan Indonesia, secara geografi sangat dekat, kenapa perkembangan yang dahsyat di Indonesia tidak menjadi contoh di Malaysia?

Soalan saya, benar-benarkah karya sastera di Malaysia berkelintar di tanah sendiri sahaja? Tidak tersebar luas sebagaimana karya-karya Indonesia yang banyak diterjemah ke bahasa asing lalu terkenal pula di negara asing.

Saya enggan menjawabnya kerana jawapan saya tidak mungkin boleh dijadikan kayu ukur yang tuntas. Saya belum banyak membaca. Belum banyak mengkaji apatah terjun secara total dalam dunia penulisan.

Dalam hati saya hanya berbisik, "Ya, saya sendiri tidak dapat melihat mana-mana karya di Malaysia (Selepas era merdeka) yang boleh dibawa jauh mewakili pemikiran tinggi sastera Malaysia."

Tapi itu hanya pendapat dangkal saya yang masih kurang membaca.

Jika ditanya pengalaman selama beberapa tahun menulis sebagai wartawan, saya tidak ada jawapan tepat kerana saya menulis tidak berkaitan hal sastera dan kegiatan buku di Malaysia.

Jika ditanya pengalaman selama tiga tahun ini menjadi editor, ya, juga jawapannya masih sama. Jika ada pun hanya satu dua nama yang boleh dibanggakan seperti SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Mohamad Zakri Zakria, Wan Nor Azriq, Hafizah Iszahanid dan beberapa nama lain yang sedang menajamkan mata penanya.

Dan kemudian, muncul pula PBAKL yang mencetuskan kontroversi dalam setiap lapis peminat, penggiat buku sedari lokasi pameran buku yang dikatakan tidak sesuai, juga bahan-bahan yang dipamerkan kebanyakannya tidak mengandungi daya intelektual yang tinggi.

Pandangan dan cadangan pihak-pihak tertentu akhirnya menjadi polemik yang hangat dan besar. 

Bagaiman sastera akhirnya dikecam kerana dikatakan tidak kuat dalam melawan kebangkitan karya picisan. Itu belum lagi perdebatan hangat penerbit karya itu sendiri, yang amsing-masing mempertahankan apa yang diterbitkan.

Dari satu sudut, positifnya perbincangan membawa kita kembali kepada fikiran, berhati-hati dengan apa yang ditulis, diterbitkan dan dibaca. Ah, nampak benar Malaysia terlalu tertutup dalam soal meraikan kelainan karya. Kata seorang kawan.

Mungkin. Dari satu sudut ia kelihatan begitu. dari sudut lain pula, kebangkitan semangat menulis dalam kalangan generasi muda, perlu juga dikawal. 

Kita jangan terlalu memuja Indonesia sebagai pusat karya yang indah dan hebat. Lihat juga kesan dari aspek lain. Ekonomi, sosial dan sebagainya.

Barulah karya negara itu boleh dikatakan hebat dan dijadikan kayu ukur.

Apapun, saya berharap perkembangan yang baik dan sihat ini terus mekar dan diraikan sebaik-baiknya.

Kritikan bukan satu-satunya cara mengangkat/menjatuhkan karya. Yang paling penting ialah membina pemikiran kreatif dan kritis dalam kepala anak muda yang akan menjadi generasi pelapis kelak.

Nanti yang lahir bukan sahaja buku yang bagus, tetapi filem dan drama yang berkualiti daripadanya, malah, pembaca dan generasi yang hidup perjuangannya.

(Catatan tanpa kawal selepas menonton Ada Apa Dengan Cinta, Soe Hok Gie dan Pasir Berbisik. Dan saya tak akan senaraikan drama-drama Malaysia yang terlalu ringan tanpa isi - selepas menonton beberapa drama berkenaan).

Monday, February 15, 2016

International Book Giving Day 2016


Lihat, saya dapat apa? Yeayyyyy

Ia berlaku semalam. 14 Februari 2016.

Seperti yang ditunggu-tunggu hari yang dimaksudkan menjelma. Saya yang beberapa hari sebelum itu termenung panjang dan memikirkan hal ini sedalam-dalamnya, akhirnya membuat keputusan untuk mengeluarkan buku-buku terbaik dalam simpanan saya, untuk dihadiahkan kepada dua orang rakan yang akan 'mengopi' bersama-sama saya kelak.

Ia sesuatu yang sukar. Saya seorang yang agak berkira tentang buku. Kerana kebanyakan buku yang saya sayangi, dibeli sedikit demi sedikit melalui peruntukan gaji, dan juga pemberian daripada orang lain. Oleh kerana saya bukan jenis mencatat tarikh pembelian dan penerimaan di mana-mana bahagian buku (ya, kawan saya ada buat. Catat tarikh penerimaan buku), maka, saya terpaksa meluangkan banyak masa di hadapan rak buku di rumah, di meja kerja di rumah dan juga rak serta himpunan buku di pejabat.

Akhirnya, beberapa buah buku saya kumpulkan. Ada orang mesej, banyaknya beri buku pada orang. Saya kata, yang saya nak jumpa ini kawan-kawan yang istimewa bagi saya, yang saya harap melalui pertemuan ini, bukan sahaja saya mendapat pengalaman manis mengopi bersama mereka, tetapi juga berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang kepakaran masing-masing.

Tiba di Hospital Ampang Puteri, saya menunggu di kerusi tetamu bahagian lobi. Aroma kopi menusuk rasa. Belum sempat ambil gambar buku-buku yang saya bawa, kawan yang berdua itu sampai. Kak Emila Yusof - seorang pelukis yang terkenal dan bertaraf antarabangsa dengan lukisan yang sangat saya suka, dan seorang lagi, Kak Mazni Ramly - seorang penggiat seni persembahan Kamishibai (yang popular di Jepun).

Kami duduk, pesan kopi, dan menikmati perbualan awal dengan ghairah. Lama juga tak bertemu muka dengan Kak Emila, hubungan yang berlaku antara kami, hanyalah semasa beliau mengepos kalendar cantik 2016 kepada saya. Melompat bintang dibuatnya.





Kak Mazni pula, kami bertemu dalam beberapa siri, Melihat beliau mempersembahkan Kamishibai di Nu Sentral beberapa bulan lepas (kali pertama menontonnya, dan wow, ia bukan seni persembahan yang main-main dan calang-calang orang boleh buat, but she did it!), bertemu di PPAS dalam acara Pelancaran Buku Tiga Penyair, beliau membeli buku S.M. Zakir dan Zaen kasturi, tetapi tidak sempat mengambilnya semula kerana bergegas pulang, serta kali terakhir, beberapa hari lalu ketika saya melawat ibunya yang sakit di Hospital ini, Ampang Puteri.


 **********

Dan semalam harinya, 14 Februari 2016, buat pertama kali buat saya, meraikan IBGD bersama rakan-rakan yang saya suka. 

Gambar dari FB Kak Emila Yusof. Ya, itulah buku yang saya hadiahkan tidak termasuk Kite Runner (Kak Mazni hadiahkan kepada beliau)



Sebahagian buku saya, menjadi milik kak Mazni. Semoga bermanfaat (sumber, dari FB Kak Mazni)

*****

Itulah yang berlaku semalam. Saling memilih buku yang saya bawa (sebenarnya risau juga jika tak kena dengan 'kimia' mereka, namun, saya pilih buku yang saya jamin, tidak menghampakan mereka, insya Allah).

Selainnya, kami berbicara soal kerjaya masing-masing. Isu-isu seputar dunia kami dan beberapa hal kecil yang menjadi besar apabila dibincangkan sambil menikmati kopi yangs edap serta lasagna yang menyelerakan.

Tahun hadapan, saya mahu lagi, dan mungkin akan melibatkan beberapa orang yang telah saya 'aim'. :)


Tuesday, January 26, 2016

Pertama Kali


Sebenarnya hal ini telah saya azamkan sejak tahun pertama (Bulan ketiga) saya bekerja sebagai editor. Saya mahu buat buku dengan damai. Tak mahu tertekan atau kelam kabut.

Itu normal apabila bulan pertama atau ketika melakukan tugasan pertama, kita akan kalut. Saya masih ingat, buku pertama yang saya tangani ialah buku Cantuman Mimpi dan Retrospeksi (dua buah buku projek khas bersama Legasi Oakheart).




Betapa kalutnya saya. Pertama, sebab saya tak pernah uruskan buku dari awal sehingga akhir. Saya hanya pengalaman menyunting. Dan itu hanya menyumbang 1 peratus dalam kerja-kerja editor eksekutif.

Di syarikat lain mungkin lain caranya. Setiap editor juga bertugas mengikut polisi dan sistem yang ditentukan. Ia berbeza dengan syarikat lain. Di sini, editor menguruskan segala hal daria wal sehingga akhir - terima buku, bincang dengan penulis hal tajuk (sesuai atau tak), kandungan (kemaskini), prakata, dedikasi, sunting, cari bahan untuk kulit buku (elemen muka depan dan blurb), hantar ke bahagian atur huruf, semakan demi semakan, penentuan bagaimana bentuk dan rupa buku (saiz, jenis font, gambar atau tak, warna, dll).

Sungguh. Saya fikir kerja saya hanya menyunting (copy editor). Rupa-rupanya di sini saya perlu lakukan hampir 70% kerja-kerja penerbitan. Selebihnya tugas bahagian penerbitan (atur huruf, semak teknikal, pruf, hak cipta, barkod dan imprint dll).

Buku ini (Cantuman Mimpi dan Retrospeksi) terlahir dengan cantik kerana kerjasama yang kuat antara semua bahagian terutama pereka bentuk kulit yang memahami dan cekap. Walaupun teksnya mungkin ada kecacatan akibat tiada pengalaman dan tidak biasa dengan stail rumah penerbitan, juga kekangan masa (siapkan dalam tempoh sebulan kerana buku ini dilancarkan pada bulan April), saya masih bersyukur dikurniakan pengalaman yang cukup banyak. 

_______

Kini, sudah memasuki naskhah yang ke-72 naskhah-naskhah yang saya kerjakan. Buku-buku yang saya tangani, ada pelbagai ragam. Ada pelbagai cerita dan cara menanganinya. Tak takut saya katakan, saya lebih banyak belajar menangani penulis berbanding buku dan karya-karya mereka. Berhadapan dengan manusia, memberi banyak pengalaman manis dan pahit. Saya telan dan hadam untuk terus cekal dan bersemangat mengerjakan lebih banyak buku. Insya Allah.

____

Kisah lain, buku saya, maksud saya karya saya ada terselit dalam buku projek 50; Sedetik.doc (tajuk asalnya Kali Pertama). Di dalam projek ini, saya menulis tentang kali pertama saya jatuh cinta pada dua hal berbeza pada masa yang sama. 








Monday, January 25, 2016

Antara Perang dan Damai


Tak puas-puas memandang gambar ini. Diambil ketika berkunjung ke Tasik Chini beberapa tahun dahulu kerana tugasan. Gambar yang mendamaikan. Gambar yang menginspirasikan. Hanya itu. Damai dan inspirasi. 

Seperti duduk di balkoni, membelakangi mentari. Angin bertiup kencang. redup dan mendamaikan. Engkau ditemani kopi dan sebuah buku. Ada sepohon pokok bunga yang baru belajar mahu hidup. Itu cukup.

Jadi selepasnya apa?

Damai tidak menggerakkan engkau ke mana-mana. Kata seorang penulis yang saya minta nasihat daripadanya tentang penulisan.

"Jika engkau mahu menulis, keluar dari kedamaian itu. Hentak kepalamu dengan sesuatu. Biar ia sakit.  Biar kepala itu sedar banyak perkara perlu dibereskan. Jangan hanya tahu berdamai dengan alam sehingga engkau tidur lena tak berbuat apa."

Ah, keras sekali nasihatnya. Seperti sahaja berbual dengan Pramoedya. Haha...

Ya, begitulah. Seorang penulis, katanya harus keluar dari lingkungan keselesaan. cabar diri dan otak untuk menulis sesuatu. Berhijrahlah. Pergilah kembara.

Tapi, salahkah menikmati kedamaian? Mungkin dengan kedamaian itu akan tercetus fikiran-fikiran yang jernih tentang sesuatu.

Tak salah. Jawabnya. Cuma, masa damai itu gunakanlah untuk menyunting karyamu. Itu bukan masa yang baik untuk menulis sesuatu secara tajam.

Tapi.... 

_____

Mengenali ramai penulis melalui karya-karya mereka, amat membahagiakan saya sebagai seorang editor. Berperang dengan hal-hal teknikal tidak sama beratnya dengan mempertikaikan apa yang ditulis. 

Tugas editor hanya menyunting!

Tak mahu. Saya tak mahu hanya menyunting. Saya berhak mempertikaikan fakta. Saya berhak menidakkan yang tak perlu. Saya berhak meminta lebih daripada apa yang dihidangkan. 

Melalui karya-karya itu, saya seolah-olah mengembara ke alam rohani dan pemikiran penulis. Saya mampu teka, bagaimana emosi dan keadaan si penulis ketika cerita terlakar. 

Tapi, kata-kata ini semua, hanya secara peribadi saya rasakan dalam diri dan tak mahu saya kecoh-kecohkan. Mempertikaikan penulisan orang lain bukanlah aktiviti yang bagus terutama di Malaysia. 

______

Selepas membaca karya seorang penulis ini, benar-benar ia merenggut kedamaian saya petang ini. Menghadap ke luar balkoni, menikmati bebasnya angin bertiup, masih menyangkutkan saya pada persoalan yang dikemukakan tadi.

Benarkah kita menulis buku takdir kita sendiri?

____

Saya perlukah mencipta situasi untuk menulis? Tak bolehkah saya menulis ketika damai begini?

Boleh. Tulis blog!


Monday, January 18, 2016

Tentang Apa yang Kita Baca


Tadi, semasa bersembang-sembang dengan seorang rakan, ternampak sesuatu yang menggoncang fikiran (ketika itu beliau memegang telefon bimbitnya dan paparan tertulis tajuk sebuah artikel)

Dalam hati pun berfikir, 'Eh, kenapa dia baca artikel itu? Dia ada masalahkah?

Begitulah, apa yang kita baca selalunya sering dikaitkan dengan diri kita. Tak boleh tidak.

Setiap apa yang kita baca, itulah diri kita. Lebih kurang, "apa yang kamu baca, itulah diri kamu."

Tapi, paling tak boleh lupa pengalaman semasa kembara ke Hatyai menaiki kereta api, saya dan kawan saya (dua orang) asyik membaca. Anehnya, perbuatan kami dianggap pelik. Ya, kami kelihatan pelik kerana membaca.

Novel Popular dan buku indie

Kehadiran novel popular, yang sering dilabelkan sebagai novel tidal berkualiti dari aspek gaya bahasa dan jalan cerita yang sangat klise, masih bersemarak dalam ranah industri buku negara.

Pertelingkahan masih berlaku - novel popular masih dikategorikan sebagai novel picisan, sampah dan paling teruk sebagai perosak minda generasi muda.

Selain novel popular yang menggunakan tajuk yang cacamerba, terdapat juga buku-buku indie (kononnya indie), yang menguasai pasaran perdana di negara ini. Bersepah-sepah buku indie dengan muka depan kulitnya yang bernuansa liar, tidak berselindung serta berunsur provokasi berada bebas di tangan anak-anak muda pelbagai latar belakang.

Ya, dari sudut positif dan jangka masa pendek, kita suka melihat masyarakat mula membaca di sana-sini.

Namun, dari sudut lain, betapa kebebasan menerbitkan buku menjadikan kebebasan membeli dan membaca juga tiada kawalan.

Apakah perasaan kita jika keluar dengan anak-anak menggunakan kenderaan awam, di kiri kanan kita kelihatan remaja atau orang dewasa membaca buku-buku indie dan novel popular?

Pertama, tentulah fikiran kita akan cepat menerjah sikap-sifat pembaca tersebut. Menakutkan juga jika duduk di sebelah remaja yang membaca novel tragis - pembunuhan - liar - lucah. Tidak selesa juga apabila melihat remaja kita membaca penuh khusyuk novel-novel cinta bertajuk - Aku Sayang Pak Cik Guard, Suamiku Playboy, Isteriku Kaki makan Luar (contohnya - tapi itulah hakikat sebenar tajuk-tajuk novel popular masa kini).

Benar. Ada beberapa peratus pendapat (tidak secara psikologi) mengatakan tak semestinya apa yang dibaca itulah dirinya - tapi saya tetap mengatakan itulah dirinya!

Atau apakah perasaan kita sendiri, membaca novel-novel bernuansa begitu di hadapan awam? Bagaimana perasaan kita apabila anak-anak membaca novel dan bahan bacaan sebegitu? Tidakkah dihati kita berasa sedikit gerun, bimbang dan resah melihat bahan bacaan anak-anak kita?

Isunya apa?

Masyarakat semakin terbuka dalam segala hal. Barangkali.

Teringat zaman sekolah dan remaja. Sanggup balut buku dengan kertas bunga jika tajuknya menggelikan dan boleh menimbulkan salah faham.

Jagalah air muka sendiri, dan keluarga, melalui apa yang kita baca.

*Mungkin bahan-bahan bacaan sebegitu, jika mahu dibaca pun, bacalah dalam bilik. Bacalah di tempat yang orang tak boleh menilai siapa diri kita.


Wednesday, January 13, 2016

Bajirao Mastani - Mengajar Erti Cinta

http://www.dailymotion.com/video/x2yzf7w_bajirao-mastani-official-teaser-trailer-ranveer-singh-deepika-padukone-priyanka-chopra_shortfilms

Berbaur-baur ketika selesai menonton filem ini. Sungguh.

Dengan jangkaan begitu begini (google dan baca latar belakang filem ini dan tahu 'arah tuju' pengarahnya, Sanjay Leela Bhansali yang memang terkenal dengan kisah 'cinta tak kesampaian), maka saya menghadam cerita ini dengan perasaan yang bersedia.

 http://www.dailymotion.com/video/x3c3na4_deewani-mastani-video-song-bajirao-mastani-deepika-padukone-ranveer-singh-priyanka_shortfilms

Ini kisah sejarah. Peperangan dalam mengekalkan/merampas wilayah jajahan. Dari aspek visual ia tidaklah begitu mengagumkan. Dalam beberapa babak dan sudut sinematografi, terbayang-bayang filem perang barat yang lain. Namun, masih ia usaha yang bersungguh apabila dilihat pada skripnya.

Bajirao, pahlawan India berperang dengan cintanya. Nampak remeh kan. Tapi ia bukan cinta sembarangan. Kisah cinta melangkaui adat dan agama. Mastani, seorang puteri Muslim, mengejar dan akhirnya meraih cinta Bajirao - ah, perempuan memang selalu menyihir. Mereka bersumpah untuk hadapi apa sahaja  halangan agama dan adat budaya dengan kepercayaan cinta lebih besar daripada itu semua. Persoalan adat dan budaya jelas dipaparkan melalui kata-kata yang indah dalam sinis dan kias.

Bagaimanakah akhirnya? Apa tindakan ibu (Radhabai) dan isterinya (Kashibai)? Bagaimanakah reaksi orang kuatnya, orang agama dan masyarakat sekeliling? Mampukah cinta mengatasi segala hal-hal yang disebutkan? Mampukah cinta bertahan?

Menonton filem ini, saya teringatkan filem dan novel Tenggelamnya Kapal van Der Wijck. Persoalan cinta dalam novel itu bertitik tolak daripada konflik antara adat dan agama. Cinta dalam novel ini, tetap menang walaupun tidak diraikan dalam bentuk fizikal (Haryati yang menjadi simbol adat mati tenggelam).

Apapun, persoalan paling utama, Bajirao Mastani mengajarkan saya satu hal lagi tentang cinta. Tak perlu menunggu 15 tahun untuk menikmati cinta (akibat salah faham - ini konflik dalam bercinta yang sangat klise)






Bajirao Mastani, memperlihatkan cinta itu begitu besar pengaruhnya dalam setiap rasa orang yang terkena virus cinta. Bagaimana cinta menyebabkan kita hilang punca, hilang kewarasan. Dalam sudut lain memberi kekuatan dan semangat luar biasa. Yakin dan akhirnya pasrah apa juga yang berlaku. Cinta tak akan mati walaupun kekasih mati (ini tagline dalam filem Mohabbatein. :P)

Cinta seorang lelaki kepada perempuan - kita ini, perempuan, sebagai apakah dalam pandangan dan hatis eorang lelaki? Pelengkap? Bayang-bayang? Kekuatan?

Cinta seorang ibu kepada anaknya - sebesar mana?

Cinta seorang isteri.

Cinta seorang kekasih.

Tidak mahu lagi membandingkan Bajirao Mastani dengan filem-filem cinta lain, maka, nikmatilah buah tangan Sanjay Leela Bhansali yang selalu memberi harapan walaupun 'dia' tak akan beri kamu senyum ketika keluar dari panggung wayang.


Tuesday, January 12, 2016

Minyak dan Air






Industri buku merundum. Demikian desas-desus yang bertebar dalam ruang tahun 2015. Isu-isu politik, dasar-dasar kerajaan yang tak munasabah serta kenaikan nilai mata wang dunia memberi kesan kepada industri buku yang sememangnya 'struggle' di Malaysia. Sudahlah kita ini kecil, bergaduh-gaduh pula. :P

Kenapa nak bergaduh ya? Kan lebih baik bergabung. Aku dapat bayangkan sebuah toko buku, sebuah rumah penerbitan besar yang di dalamnya ada buku pelbagai genre dihasilkan. Indie pun join sekali. Bayangkan ada jabatan buku kanak-kanak, jabatan buku sastera, jabatan buku popular, jabatan buku indie, jabatan buku agama, jabatan buku umum, bla bla bla....kata seorang kawan.

Saya tergelak mendengarkannya. "Macam air dengan minyak tau," jawab saya.

Kenapa? Tak boleh bersama? Bergaduh. Eh, kau tengok ek, kita memasak guna minyak. Kemudian campur air. Jadilah sup. Jadilah masakan-masakan yang lazat. Bukankah percampuran itu boleh menghasilkan sesuatu yang lebih ummph? Bebel dia lagi.

Saya diam. Ada kebenaran khas di situ. Tapi saya tak maksudkan minyak dan air akan 'bergaduh'. Saya maksudkan, minyak dan air punya fungsi tersendiri. Jadi, biarlah air memegang tanggungjawabnya sebagai air dan begitu juga minyak, menjalankan peranannya seperti sifatnya.

Lebih daripada itu, saya ingin juga menjawab, percampuran antara minyak dan air - seperti yang dia maksudkan, hasilkan makanan yang lazat dan pelbagai - mungkin juga boleh mengundang penyakit dan kesan-kesan lain.

Jadi, biarkan minyak dan air, 'dalam industri buku' terasing-asing? Kita mahu maju kan? Kita mahu industri buku kita berkembang dan luas sasarannya kan? Why not try!

Saya serahkan kepada anda menilaikannya. Boleh beri pendapat.

Sunday, January 10, 2016

Buku Apa di Rak Anda?

Itu soalan seorang rakan kepada saya. Saya beritahu serba sedikit. Buku-bukunya - tajuk, penulis, penerbit, genre dan serba sedikit kecenderungan saya. Dia diam sejenak sebelum menjawab, "Patutlah. Saya nampak karakter kamu dipengaruhi oleh buku-buku yang kamu baca dan simpan di rumah."

Saya senyum pendek. Betullah agaknya. Seperti yang selalu saya kata, buku seperti makanan rohani. Apa yang kita baca sama seperti apa yang kita makan. Ia membentuk diri-sikap-sifat kita. Malah, orang juga boleh mentafsir kita dengan mudah hanya melihat buku apa yang kita baca. Berhati-hatilah.

Beberapa status rakan-rakan penggiat buku saya baca sejak akhir-akhir ini mengecam 'pelabelan' buku dan mengutuk 'kritikan' buku. Ada benar. Ada yang tak benar dalam setiap kata-katanya. Mungkin. Dan kebanyakannya tak mungkin.

Kritikan buku amat penting dalam membina jalur buku yang patut ada dan patut tiada dalam masyarakat.

Pelabelan buku pula memudahkan kita menilai buku mana yang sesuai dengan tahap umur dan latar belakang seseorang. Ya, ya, pasti ramai yang tak setuju lalu mengatakan buku bukan untuk dibeza-bezakan. tapi saya ada alasan tersendiri dalam hal ini terutama yang melibatkan tahap umur.

Tentang penulisan, penulis tidak boleh sebebas-bebasnya menulis. Boleh, jika ia tak diterbitkan. Sempadan dan batas tetap ada.

Ada yang berkata, jangan senang-senang melabel pembaca dan penulis novel sekian-sekian begini perangainya, hanya dengan menulis atau membaca buku-buku tersebut.

Hal ini panjang jika mahu didebatkan. Nasihat saya, menulislah yang baik-baik. Fundamentalnya kena jelas - untuk apa?

Jika tuan puan menulis cerita yang lucah, buruk bahasanya, terus ceritanya, menyinggung sensitiviti serta boleh menggugah institusi masyarakat, apa akan jadi kepada pembacanya? Bayangkan pula yang membacanya anak-anak anda.

Menulis bukan kerja main-main.

Sejak kerja sebagai editor saya mungkin sedikit tolak ansur kerana tumpuan bacaan saya perlu diluaskan. Namun, saya tetap menolak dan akan mengkritik buku-buku yang boleh merosakkan institusi masyarakat dan pembinaan jati diri insan, menggunakan tajuk yang cacamerba dan merosakkan bahasa serta mengandungi cerita yang tak wajar dipaparkan.

Ini bukan soal menutup periuk nasi orang lain. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu saya lakukan untuk menghalang anak-anak saya, anak-anak orang lain dan generasi muda membaca bahan yang boleh merosakkan jati diri mereka.

Kamu yang menulis tanpa ilmu, tanpa waras, apa tujuan kamu?




Saturday, January 09, 2016

Kita Berusaha, kan?



Berehat, dan kemudian berbincang mengenai perjalanan yang masih jauh - entah jauh entah tidak, memberi seribu rasa seperti tunas-tunas baharu yang segar.

Dalam setiap perkara di dunia ini, pembaharuan dan penyegaran amat perlu agar sesuatu yang bermula itu tidak mati - terus hidup malar segar.

Bagaimana caranya?

Carilah kawan yang mahu bersama-sama kita dalam melakukan setiap perancangan yang dibuat. Senaraikan segala pembahaguan atau rancangan-rancangan baharu - tak apa, rancang dahulu - berjaya atau tidak belakang kira.

Sastera

Setahun dua kebelakangan ini, dunia sastera meriah, bukan sahaja kerana banyaknya terbitan buku-buku sastera, malahan acara-acara sastera sentiasa ada, hampir setiap minggu setiap hari. Ada juga yang mengeluh sebab terlalu banyak dan tak mampu hadiri semua. Tak apa, buat sahaja.

Tidak kurang kalah juga, isu-isu yang melingkungi dunia sastera sedari penerbitan buku-buku sastera, isu bahasa, polemik yang dibincangkan di dalam akhbar dan isu-isu global yang melingkungi atau berkait rapat dengannya.

Malaysia, pada pendapat saya masih terkekang dengan blok-blok tertentu yang menjadikan sastera tanah air tidak bergerak banyak. Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, namun pembaharuan perlu dilakukan dan bersifat holistik, konsisiten dan realistik.

Apa yang perlu dilakukan? teruskan menulis, perbanyakkan acara, banyakkan membaca karya-karya luar dan mengadakan acara yang bersifat global dan sebagainya. hal-hal begini sebetulnya telah dilakukan sejak dahulu - gagal? Tidak juga. Kita sentiasa berusaha. Yang tua mati, yang muda akan menggantikannya.

Begitulah.


Wednesday, January 06, 2016

Pesona



Sebenarnya dari minggu lepas nak menonton Dilwale, di samping memang minat hindustan, juga sudah lama tak menonton SRK dan Kajol, maka cubalah cari masa untuk menonton. Tapi tak berkesempatan. Ternampak seorang kawan berkongsi link (haram) tayangan penuh filem ini. Maka, sambil-sambil tu, menontonlah. Kesimpulannya, boring. Banyak faktor yang menyebabkan kebosanan melanda diri. Kalau nak ulas, saya ulas pendek, too dramatic. Lagunya, biasa (stail sama macam lagu-lagunya dulu - entah kenapa terbayang Suraj Hua Madham ketika lagu Gerua didendangkan). Lokasinya juga biasa. Saya jadi pelik bila memikirkan komen kawan-kawan yang sudah menontonnya - Bagi lima bintang, Kajol cantik (ya, cantiklah nak buat come back setelah lama tak bergandingan dengan hero dunia itu), Bulgaria cantik. Ya, ya kalau lupa ingatkan balik, semua lokasi yang ada dalam filem-filem hindustan memang cantik...bla bla bla...

Sebenarnya tak mahu pun cerita fasal filem Hindustan.

Saya mahu cerita tentang buku. Buku juga penuh dengan pesona-pesona tertentu kepada pembacanya. Dengan kata lain, setiap pembaca mempunyai pesona dalam diri dan mereka akan cari pesona dalam perkara-perkara lain.

Ada orang mahu cari ilmu, maka, dia akan cari buku-buku yang penuh ilmu.

Ada orang mahu cari buku yang indah, beri sesuatu (pengalaman baharu dan ilmu) dan menenangkan - maka, bacalah buku-buku sastera (serius ... ha ha ha)

Ada orang mahu cari diri sendiri - boleh baca buku agama.

Buku untuk kanak-kanak di cari untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan tanggungjawab ibu bapa memberi bahan terbaik untuk anak.

Dan ada orang mahu cari hiburan semata-mata. Itulah novel popular.

Sebab itu novel popular masih mendapat tempat dalam masyarakat. Kita tanya kenapa masyarakat Malaysia memilih bacaan ringan begitu - jawapannya, mereka mahu mengisi sebahagian pesona dalam diri - mahu memujuk hati dan memenuhkan jiwa dengan hal-hal yang indah, yang membawa mereka berimaginasi macam-macam. Pendek kata, mereka lelah dengan kehidupan realiti maka, mereka mencari bahan bacaan ringan yang mampu memujuk jiwa lara mereka walaupun sebentar.

Okey, sekarang faham kan kenapa saya kata Dilwale bosan? Sebab pesona saya tidak kena dengan cerita itu. :P

Monday, January 04, 2016

2015, Yang Tertinggal, Yang Terbawa-bawa


2015 baru sahaja melepasi garis masa. Tidak banyak yang diingati sepanjang tahun 2015 kerana tidak mencatat dengan lengkap setiap perilaku dan peristiwa. getir, manis, pahit, cemas, gembira, semuanya bersatu membentuk diri yang lebih tekal. Pertama, sentiasa belajar dan kedua carilah teman yang mampu menjadi dahan tempat berpaut selain Tuhan yang selalu dihati.

2015, tak banyak pencapaian saya selain buku-buku yang siap diterbitkan. Beberapa buah karya - cerpen, puisi dan antologi.

Buku-buku yang ditangani sepanjang 2015 (diterbitkan). Ada beberapa buah buku tiada dalam gambar. 

Cerpen, Tunas Cipta Mac 2015


Ulasan cerpen Kopi Emak, TC April 2015




Cerpen Basikal di Mingguan Malaysia 27 Disember 2015

Puisi di Mingguan Malaysia 20 Disember 2015

Antologi 50 kisah zaman persekolahan terbitan Metromedia Solutions


Antologi 50 surat-surat kepada ... terbitan Metromedia Solutions

Semua ini menjadikan diri lebih kuat untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dan penuh cinta.

Kata dia, cinta akan menumbuhkan segalanya. 2016 kita akan lebih terus kuat. Jatuh dan terus bangun!

Bakal terbit!

Terlewat tetapi Tidak Terlambat - usaha perlu terus hidup



Hari ketiga, cuti dan agak letih. Saya sepatutnya menulis ini pada 3 januari yang berlalu beberapa minit tadi. Terlewat untuk azam mencatat setiap hari di sini, namun tak terlambat untuk mencatatnya sekarang.

Petang tadi menyempatkan diri menghadiri acara bual bicara dengan seorang tokoh penterjemah. Menarik. Sebenarnya banyak gangguan semasa acara berlangsung iaitu gangguan bunyi daripada pembuat kopi di kafe berkenaan. Sangat mengganggu. Tapi, apa boleh buat. Sebenarnya sedikit pelik. Adakah membuat kopi perlu sebising itu? Atau hanya kafe itu sahaja yang bising? Berkerut-kerut menghadam suara penterjemah yang sememangnya agak lunak.

Yang ingin saya ceritakan cuma beberapa perkara yang agak mengganggu fikir sehingga kini. Soalan-soalan beliau kepada saya yang bekerja di ITBM, khasnya tentang terjemahan tidak mampu saya jawab. Saya juga terperasan babak yang 'annoying' dan tak perlu saya sebutkan di sini kerana yang penting saya bertindak atas pengetahuan saya sendiri - tak mampu jawab kerana ia di luar bidang kerja saya dan di luar pengetahuan saya. Prinsip saya mudah. Tak perlu memandai-mandai atau mahu dilihat pandai.

Banyak hal terjemahan yang dibualkan tadi. Antaranya, betapa hal-hal terjemahan tidaklah semudah yang disangka. Bagaimana seorang penterjemah juga perlu memilih bahan dan penulis - merujuk kepada kerja penterjemahan beliau ke atas naskhah Pramoedya yang menggunakan nama samaaran. Ada sebab tertentu. Juga hal sikap dan diri penterjemah sendiri yang perlu tepat pada masanya - tidak semua genre mampu diterjemah dan seorang penterjemah perlu tahu melebihi penulis asal. Paling tak boleh lupa hal ini;

"Terjemahan ada seni yang indah."

"Tidak ramai penterjemah yang mampu menterjemah karya sastera."

Benar, sebagaimana tidak ramai editor yang mampu menyunting karya sastera. Dan kerja-kerja menyunting serta 'membuat' naskhah sehingga menjadi buku yang dicetak adalah kerja-kerja yang indah yang perlu kepada cinta untuk melakukannya.

Ada juga beberapa hal penterjemahan di Malaysia yang dibincangkan. Alhamdulillah, perbincangan tidak habis setakat itu. Mendapat khabar dari FB, Pak John bertemu dengan pihak ITBM malam tadi untuk perbincangan lebih lanjut. Semoga ini menjadi titik tolak usaha memperbaik terjemahan sastera oleh ITBM. Insya Allah.

Friday, May 15, 2015

RAHIMIDIN ZAHARI 1968-2015



Hari ini 15/5/15, seluruh warga sastera dan seni budaya berasa duka. Muram dan suram mewarnai ruang media sosial, perbualan dan wajah setiap rakan dan kenalan.

Sebetulnya semalam, jam 4.15 petang, Rahimidin Zahari dipanggil ilahi (14/5/15). Saya yang demam, berada dalam situasi tak mengizinkan, menerima berita itu dengan sebak. Mengikuti perkembangan beliau sejak mula dimasukkan ke dalam wad, dibedah dan sebagainya mebuatkan saya berfikir, 'jika ini yang terbaik buatnya, kami reda Ya Allah. Ambillah dia. Tempatkan dia dalam kalangan kekasih-Mu. Semoga segala karyanya, ilmunya, amal bakti, budi pekerti dan tutur katanya yang baik-baik menjadi bekalnya di sana.'

http://rahimidinzahari.blogspot.com/?m=1

http://ms.wikipedia.org/wiki/Rahimidin_Zahari

 http://www.bharian.com.my/node/54802

Apalagi yang perlu saya catat untuk tuan yang budiman ini?










Berehatlah tuan di sana. Kami akan menyusul. Al-FATIHAH.

Wednesday, May 06, 2015

Tentang Sayembara Penulisan ITBM-Pena-BH 2















TAHNIAH KEPADA PEMENANG! 
KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH 2

KATEGORI NOVEL:
Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil)
Jong Chian Lai
Ah Fook
Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Hasanuddin Md Isa
Sarjana Bangsa
Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Asari Ismail
Embargo
Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Neor Razak Neor Hashim ( Berjalan di Negeri Suhad)
• Ruhaini Matdarin (Trivia)
• Amer Hmzah L. Kadir (Bedar Tanpa Laut)
• Nazri Hussein ( S.P.I.D.E.R Teori Sang Labah-Labah)
• Norhisham Mustaffa (Guran)
• Hafizah Iszahanid (Bukan Orang-Orang)
• Budiman Mahamood ( Galau)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy
Pascasejarah
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Syahidatul Munirah Badrul Munir
Lela Rentaka
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Pembunuh Anarki
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Abang Median Abang Said (Cacing di Dahi)
• Siti Salbiah Raduan (Segara Lazuardi)
• Hafizah Iszahanid ( Perempuan Berambut Merah)
• Nazri Hussein (Cahaya Pelita Nurani)
• Ruhaini Matdarin (Jenaka Si Darah Lagenda)
• Mohd Ali Salim (Kapal Perang)
• Haizir Othman (Siaran Radio Lewat Pagi)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:
Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Muhammad Lutfi Ishak
Dondang Pembukaan
Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Mohd Rosli Nik Mat
Matahari Itu Jauh
Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Jasni Matlani
Dongeng Perkebunan
Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Ramli Selamat (Malam Hujan dan Oksimoron)
• Lim Kim Hui (Metamorfosis Kimchi)
• Zainal Abidin Suhaili (Merdeka Burung)
• Ramzah Dambul (Dari Cinta kepada CInta)
• Hamir Habeed Mohd Abdul Settar (Ceritera Dari Daerah Luruh)
• Sholihin Osman ( Sangkar Alam)
• Rahimidin Zahari (Sehelai Daun Kenangan)

Alhamdulillah, berakhir sudah sayembara ini. Ia sebuah perjalanan yang pendek tetapi penuh dengan segala macam kerenahnya. Yang baik dan tidak baik, dikisar menjadi sebuah hasil yang diharapkan dapat memberi pulangan kepada masyarakat dan memaknakan dunia perbukuan dan sastera (khasnya).

Seperti tahun lepas, kejutan yang dibuat ialah penulis diperlihatkan dengan kesemua pemenang yang terpilih (30 pemenang) tanpa mengetahui siapakah pemenang utamanya. Pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin di pentas utama memberi debaran yang bukan sedikit kepada penulis apabila nama rakan-rakan semeja disebut satu per satu mengikut turutan dari belakang - hadiah sagu hati sehingga ke tempat pertama. Debaran itu bukan sahaja berlaku kepada penulis tetapi juga kepada sang editor yang bertungkus-lumus mengerjakan naskhah pemenang sehingga habis dalam tempoh maha singkat. Ya, hanya beberapa orang tahu kedudukan pemenang, dan bukannya editor.

Kepuasan tergambar pada wajah setiap pemenang sesudah acara. Sudah pasti sayembara kali kedua ini mencipta sejarah baharu terutama kepada pemenang yang baru pertama kali menyertai sayembara ini dan juga mencipta sejarah serta analisa daripada pemerhati sastera di luar sana termasuk rakan penulis yang menghantar naskhah tetapi tidak terpilih, juga kepada penulis yang tidak menyertainya.

Bagi seorang editor, tidak banyak yang mahu diperkatakan selain meraikan usaha para penulis yang menyertai sayembara ini dan berlumba 'dalam diam' membawa pemikiran mereka untuk dinilai dan diuji oleh panel penilai.

Terima kasih kepada semua yang terlibat. Jumpa lagi pada masa akan datang (insya Allah jika ada lagi sayembara ini). Saya gembira berada dalam sayembara ini walaupun bukan untuk berlumba ke garisan penamatnya.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...