Monday, September 23, 2019

POTRET


Apabila Norsaadah mengeluarkan tugasan untuk bulan September dengan 'prompt' Foto Blog, saya teruja. Kemudian terfikir, teruja kerana apa? Saya tidak lagi memegang kamera DSLR (ya, bagi saya definisi fotografi masih kepunyaan DSLR) berbanding telefon bimbit.

Sebenarnya ini pendapat sendiri, berdasarkan pengalaman sendiri sebagai mantan jurufoto, sungguh, seni mengambil gambar amat saya abaikan apabila ditangan sudah punya telefon yang lebih mudah dibawa ke mana-mana. Kualiti? Ah, saya bukan lagi wartawan atau jurufoto yang memerlukan gambar berkualiti tinggi untuk tujuan laporan atau berita.

Bercerota tentang potret, ini adalah antara gambar awal ketika saya menjadi wartawan (cum jurufoto) sekitar tahun 2006 dahulu. Gambar ini dipetik oleh jurufoto profesional yang ditemui dalam program Pameran Makanan Halal Malaysia, Encik Fedli.

Sungguh, saya sukakan gambar ini kerana saya bukan seorang jurufoto mahir, tidak belajar secara khusus dan kamera awal yang diberi kepada saya semasa bertugas dulu ialah kamera disket. Kelakar kan? Tapi itu sahaja alat yang ada, maka gunakan sahajalah. Sebenarnya ada kamera DSLR tapi digunakan oleh wartawan senior saya.

Apabila melihat gambar ini, saya teringat, saya sejenis manusia yang paling tidak banyak gambar sepanjang hidup dan amat mengelak mengambil gambar secara bersedia.

Fedli mencuri-curi ambil gambar saya, dan saya hargainya.

Ketika melihat gambar ini, saya fikir saya ialah orang yang berbeza berbanding diri saya yang saya kenal. Senyuman, pandangan, dan gaya melihat saya kaji berhari-hari.

Tentulah ia berbeza dengan gambar swafoto sendiri. Boleh lihat gambar-gambar profail yang saya gunakan di FB sejak dahulu. Setiap gambar berbeza.

Apa pun, terima kasih kepada pencipta kamera di dunia ini!



Friday, September 13, 2019

Catatan Juang: 'Obat Kuat' Buat Semua!




'Obat kuat'. Demikian Kasuarina @ Suar menggelarkan Catatan Juang - sebuah buku bersampul merah yang lusuh, yang ditemui ketika dia berada dia sebuah mobil angkutan umum. 

Kasuarina, nama indah yang bererti pohon cemara - tinggi, kukuh, tidak bercabang - yang dirasakan sangat ironi dengan dirinya yang lemah dan kehilangan daya, mula menjadikan Catatan Juang sebagai 'kitab' hidupnya dalam meneruskan perjalanan nasib apabila putus asa, tidak dapat mencari pemilik buku merah ini.



Ketika mendapat buku ini, saya kepalang gembira kerana menunggunya sampai ke tangan juga memakan masa hampir sebulan - menunggu Anis Azam a.k.a Gadis Buku yang ke Jakarta. Anis yang saya percaya sebagai pembekal buku Indonesia terbaik, lantas saya sabarkan sahaja hati. 

Ketidaksabaran ini berbaloi juga. Sebetulnya jangkaan saya tidaklah tinggi kerana memahami Catatan Juang antara buku awal tulisan Fiersa Besari - susuk yang baru saya kenali melalui karya-karyanya lewat video-video kreatifnya di YouTube. Saya pernah menulis tentang Youtube Fiersa sebelum ini.


Catatan Juang bermula dengan gambaran Suar yang kehilangan semangat, menggeluti kehidupan dengan sisa perasaan yang mula bosan dengan takdir dirinya - yang memilih pekerjaan kerana terpaksa dan juga kecewa dalam cinta. 

Suar menemui buku merah Catatan Juang lantas menyimpannya kerana tidak menemukan sebarang maklumat pemiliknya. Berharap dapat menemukan sesuatu yang membolehkan dia memulangkan buku merah itu kepada pemiliknya, Suar mula membaca catatan pertama; Teruntuk Ibu (di mana segalanya berawal) dan hatinya tersentak, mengingat keluarganya yang sudah jarang dihubungi.  Suar seterusnya menjadikan Catatan Juang sebagai bacaan yang mengghairahkan dirinya untuk terus membaca dan membaca seterusnya membuatkan dia lebih berani menantang cabaran dan keluar daripada kebiasaan dirinya.

Buku merah ini saya tafsirkan sebagai sebuah buku motivasi yang berbentuk kreatif. Jika buku motivasi (self-help) biasanya dipenuhi dengan petua, tip dan bagaimana mengenali diri, maka Catatan Juang juga begitu. Cumanya, catatan Astrajingga, pemilik buku merah ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri maka ia begitu terkesan kepada Suar. 

“Kakimu Bukan Akar, Melangkahlah. "Orang-orang seperti kita, tidak pantas mati di tempat tidur," ucap Soe Hok Gie suatu ketika.”

“Sayangnya, banyak orang mengeluh saat diminta tolong menjadi A, karena merasa job desc-nya hanya B. Padahal, bukankah saat kita dipercaya melakukan sesuatu lebih dari satu pekerjaan, itu tandanya kita dianggap mampu? Bukankah itu menjadi nilai plus untuk diri kita sendiri? Siapa tahu, nilai plus ini memberi kita jenjang karier yang lebih cemerlang.”

Melihat dunia akhir-akhir ini membuatku rasa terpukul. Aku merasa kehilangan harapan terhadap rasa kemanusiaan. Perang dan kebencian ada di mana-mana, diperparah oleh hadirnya Internet. Semua orang - baik yang cukup ilmu maupun yang kurang berwawasan - dapat mengakses kata-kata provokatif dan tindakan  keji dengan mudahnya. Sedihnya, bukan menanggapi dengan akal waras dan rasa welas asih, orang-orang malah menambah kebencian. Kita saling bertikai, baik di dunia maya, maupun dunia nyata. Kebencian yang menjadi viral, apa yang lebih berbahaya dari itu?


Jadinya, membaca buku ini seolah-olah kita belajar tentang hidup melalui watak Astrajingga (catatannya) dan juga Kasuarina yang berani mendepani takdir dan mencorakkan hidup dengan pemikiran lebih matang. 



Asyiknya, membaca novel ini setelah menonton hampir kesemua video Fiersa di YouTube, terasa catatan itu menjelma sebagai suara Fiersa sendiri. :)

Makanya terasa lebih dekat, lebih akrab dan lebih memahami setiap catatannya, dan perasaan Suar yang menerimanya. 

Insya-Allah akan membaca buku-bukunya yang lain selepas ini. Semoga terus sukses Bung Fiersa!





Thursday, August 29, 2019

Suatu Hari Kami Memancing

gambar ihsan Pexels



Sekarang, 
rahsiamu pecah.

Sudah kutahu
dari mana kesabaranmu itu muncul
tatkala ombak membadai
tatkala duri mencucuk
tatkala api membakar.


Memancing Bersamamu
4 Ogos 2019
8.00 pm.

*Suatu hari berkesempatan menemani kawan baik memancing ikan. Baru saya tahu, dari mana dia belajar bersabar selama ini dalam menangani pertelingkahan antara kami atau mendepani cabaran dan dugaan di tempat kerja.


Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' -  Apa yang Anda Lakukan dengan Kawan Baik Anda bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

SEBABAK KISAH DI BULAN JANUARI



.... Engkau melangkah lemah menuju ke kereta. Membuka pintu kereta dan masuk dengan perasaan yang ngilu. Engkau memandang cermin hadapan yang sudah dipenuhi rintik-rintik halus. Engkau merabanya dari dalam dengan harapan dingin titik halus itu meredakan dingin rasamu. Tapi begitulah, hujan itu di luar dan engkau sudah terkepung di dalam kereta. Dingin hujan hanya mampu engkau lihat melalui bentuknya yang indah.
Engkau membuka telefon, engkau mahu mencatat sesuatu. Catatan tentang masa lalu. Pengakuan kepada entah siapa, engkau mahu tuliskan bahawa engkau pernah berada di sini lima tahun lalu. Engkau, lima tahun lalu berada di sini, mengambil sesuatu yang tidak patut engkau ambil. Engkau mahu tulis malam ini, malam ini engkau mahu....
Tidak sempat engkau habiskan ayat, telefon berbunyi lagi. Engkau memerhatikan nama pemanggil di paparan skrin telefon. Dia. Dia?
Engkau terus angkat (sebelum hatimu menegah) – dengan persiapan lakonan yang segera – mahu mengeraskan suara dan tidak mahu tunduk pada rasa cinta (yang ketika itu tiba-tiba bagai dibaja-baja tumbuhnya menyegar – ah, mungkin kerana peristiwa lima tahun lepas itu, benihnya tertanam di ruang ini – ruang yang sedang engkau gelumangi sekarang ini).
Dengan debar, engkau mendengar suara dia. Dia bertanya keberadaanmu. Engkau kata, di sini. Dia menjawab, dia juga di sini. Engkau menjerit kecil bertanya kenapa dia di sini (sedangkan hatimu sudah dipenuhi bunga-bunga bahagia). Ya, engkau berharap-berharap-berharap dia ada di sini kalaupun bukan untuk memujuk.
Dia kata, dia datang sebab dia mahu temani engkau yang mahu minum kopi – sejak petang tadi.
Ah, dia. Air mata engkau keluar tanpa sempat engkau pagar. Engkau ... engkau terus bergerak membawa kereta mencari dia. Di suatu sudut sana, dia berhadapan dengan engkau. Kenderaan diperlahankan, cermin kereta diturunkan dan dia, ah, kasihannya dia. Engkau menyesal kerana menyeksa dia. Engkau seperti mahu memukul kepalamu sendiri. Engkau menyumpah dirimu kerana menyusahkan dia sekali lagi. Engkau keluar, berlari ke arahnya dan ....
“Saya minta maaf. Saya salah.Saya, tidak akan jemu dengan awak.”
Engkau pun tahu, di ruang itu, langit pun tahu apa yang engkau dan dia lalui. Hidup ini mudah. Engkau, aku nasihatkan, janganlah memayahkan lagi perasaanmu walaupun merajuk itu perlu.



Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Tulisa Kisah Dengan Menggunakan Kata Ganti Nama Engkau... bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.


APABILA MARAH ....

Marah adalah perasaan yang wujud dalam setiap diri manusia. Setiap orang pernah rasa marah. Ia menyeimbangkan kesemulajadian sifat kemanusiaan. Cuma bagaimana kita menangani atau mengatasi perasaan itu.

Pengurusan kemarahan seiring faktor usia. Sejak kecil kita berhadapan dengan kemarahan kerana permintaan tidak dipenuhi oleh ibu bapa, marah dengan kawan-kawan, marah dengan guru, marah dengan emosi sendiri yang tidak mampu itu ini.

Maka, kita pun memberontak. Tidak mahu makan, tidak mahu bercakap. Baling barang. Hentak kaki. Akhirnya menangis.


Sikap yang ditunjukkan selepas marah, itu normal. Sehingga dewasa pun kita masih juga mengambil tindakan serupa (walaupun tidak secara nyata ditunjukkan).

Pernah, ketika marahkan abah, sewaktu kecil dahulu, saya mendoakan kematian abah. Saya kira, abah menjadi batu penghalang paling besar untuk saya mencapai keinginan peribadi. Saya pernah catatkan di blog tentang itu. Oh, sedihnya ketika membaca semula pada usia kedewasaan. Demikianlah tulisan mampu membawa kepada keinsafan betapa bodohnya saya ketika itu.

Memasuki usia remaja, pengurusan kemarahan perlu lebih waras apatah lagi usia remaja adalah usia yang sangat mencabar - darah muda, membuak-buak - maka berlakunya banyak konflik yang sepatutnya tidak perlu pun. Semuanya menatijahkan rasa yang akhirnya membawa kepada kekesalan.

Ketika bekerja, pun sama. Usia masih dalam fasa remaja menuju dewasa, memang banyak perkara yang berkaitan kemarahan kurang mampu dikawal.

Dulu saya mungkin suka bertelagah apabila marah - bercakap kasar, melawan-lawan, menjerit, melampiaskan marah kepada barang-barang.

Kemudian, masa memujuk, mengajar diri agar lebih bersabar. Maka, hal bebel-bebel semakin berkurang. Paling banyak, tunjuk muka marah tapi tahan percakapan. Berlalu dan menangislah di tempat lain yang tersembunyi dan sendiri-sendiri.

Kedewasaan juga memberi pilihan kepada saya untuk mengalih rasa marah dengan hal lain.

Ketika menjadi wartawan, apabila perasaan kecamuk dan beremosi, segera saya ambil kamera DSLR dan keluar menangkap gambar - di taman, bandar, sungai. Lega.

Kemudian, kedewasaan memberi pilihan lain lagi - membaca buku. Oh, ini sangat bermanfaat. Rasa sebal, kemudian buka buku, baca, sendiri.

Seiring kedewasaan dan keinginan juga, saya mula serius menulis karya kreatif. Maka banyaklah karya berbentuk cerpen dan puisi (ada yang disimpan sahaja, ada yang dihantar ke media cetak), yang dihasilkan yang ada antaranya memang lahir daripada kemarahan terhadap sesuatu, terhadap sekeliling, terhadap perkara-perkara yang tidak mampu diubah secara nyata.

Kemarahan harus ditangani dengan baik. Istighfar, ambil wuduk, baca Quran - itu antara cara paling berkesan bagi mengawal kemarahan yang berapi dalam diri. Bukankah api lawannya air?

Carilah cara yang tidak merosakkan sesiapa, sesuatu atau meranapkan diri sendiri.

Masyarakat dewasa ini semakin nipis pertahanan diri. Kadar kematian akibat bunuh diri, depresi, membunuh orang dan bersikap kurang waras semakin banyak melanda masyarakat.

Marah, walaupun hanya sebuah perasaan kecil seperti api yang terhasil daripada goresan mancis, jika tidak dikawal mampu menjadi unggun yang besar yang membakar rumah dan bumi.

Carilah teman yang mampu mengingatkan kita tentang indahnya dunia ini tanpa marah-marah yang tidak terkawal.

Namun, perasaan marah itu masih perlu dalam diri manusia. Marahlah jika agamamu dipermainkan. Cuma bagaimanakah marah itu diekspresikan? Gunakan akal. :)


Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Apa yang Anda Buat Ketika Marah bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

Wednesday, August 28, 2019

Raatchasi; Mendobrak Sistem Pendidikan



Apabila 'trailer' filem Tamil ini tersebar di media sosial, ia menjadi tular-setularnya. Semua orang bercakap tentang seorang guru besar yang berjaya mengubah lanskap sebuah sekolah paling bermasalah di Pekan Puthur, sebuah perkampungan Tamil Nadu yang sangat kuat pegangan kastanya.

"Awak nak masuk ke sekolah itu?" dan semua orang dalam bas yang sendat itu merenung Geetha Rani dengan pandangan 'hey-tiada-siapa-ingin-ke-sana-kenapa-pula-kau-nak-pergi?'

Ya, pandangan aneh yang menceritakan banyak kemungkinan.

"Itu bukan sekolah, tapi pasar yang sibuk."


"Salah satu kemunduran negara ini adalah gurunya."

Oh, saya suka sangat dialog ini. Benar. Guru memainkan peranan amat penting dalam pembinaan bangsa. Rosak guru, rosaklah murid. Apabila guru memainkan peranan dengan baik, murid akan mula mengenal diri dan bakat masing-masing. Guru seterusnya membimbing untuk murid mencapai apa yang sesuai dengan keupayaannya.

Dan permulaan yang penuh dengan gambaran keseluruhan sekolah terburuk ini membongkar lebih banyak cerita lain yang bermula daripada akarnya - guru - sehingga kepada hal-hal sekitarnya - sistem, pelajar, pembangunan sekolah, ibu bapa, isu sekitar.

Bagaimanakah Geetha menghadapi semua ini? Apakah yang mendorongnya untuk kuat dan meneruskan cita-citanya mengubah sistem pendidikan di sekolah ini?

SKRIP 

"Jika guru berusaha lebih sikit, ia akan meringankan kerja polis," kata Geetha kepada ayahnya ketika si ayah memberitahu latar belakang kawasan itu - pembunuhan berlaku setiap bulan, jenayah di mana-mana.

"Sistem atau kerajaan tidak berbuat apa-apa," kata seorang ibu ketika mesyuarat ibu bapa dan guru.

"Jadi, apa yang awak buat?" tanya Geetha kepada ibu bapa yang bertanya.

"Kamu tahu kamu akan kalah, buat apa takut?" Cikgu Matematik mencabar seorang pelajar dalam sebuah pertandingan baca sajak.

Oh, saya suka skrip yang ditulis oleh Barathi Thambi ini. Seluruh skrip sejak awal hingga akhir pendek-pendek tapi penuh makna dan menatijahkan tindakan-tindakan selepasnya sesuai dengan karakter setiap watak; watak Geetha Rani khususnya - seorang bekas leftenan tentera yang memilih bersara awal dan menjadi guru besar di sebuah sekolah paling bermasalah!

Hampir setiap babak mempunyai kata-kata yang bernas dan memberi kesedaran secara penuh.

PLOT/ISU

Jika GTO (Great Teacher Onizuka) menangani masalah kebejatan sosial di sekolah dengan cara samseng, semberono tapi dengan keyakinan tinggi, berbeza pula dengan Raatchasi. Tentu juga berbeza dengan Three Idiots atau Lasykar Pelangi.

Masing-masing ada kelebihan tersendiri melalui isu yang dikemukakan. Raatchasi mengangkat ilmu dan sekolah melebihi hal-hal ketuhanan (ketika membaca sari katanya, saya fikir mungkin kesilapan terjemahan tapi mungkin betul bahasa Geetha berkata guru (sekolah) lebih tinggi daripada Tuhan dan kuil).

Perubahan dibuat bermula sistem sekolah (pembangunan dll), ibu bapa (sumbangan kepada sekolah), guru (kata kunci: tiga soalan, 1 bulan). Semua orang bertanggungjawab terhadap sekolah!

Masalah kasta, guru yang tak bertanggungjawab, perlawanan antara sekolah swasta dengan sekolah kerajaan, pemerintah yang tidak ambil peduli masyarakat - hanya melayan kepentingan sendiri - semuanya diselesaikan dengan ilmu dan keberanian oleh Geetha Rani.

PELAKON

Apa yang menarik perhatian saya selain skrip yang baik, plot yang mantap dan padu ialah tentang pemilihan pelakon yang berbakat keseluruhannya. Watak Geetha yang dimainkan oleh Jyothika, tentulah tidak mampu diragukan lagi kerana Jyothika merupakan pelakon yang sangat popular dan mempunyai mutu lakonan yang tidak perlu dipertikaikan.

Selain Jyothika, saya juga suka watak setiap pelajar yang ditonjolkan. Sangat neutral. Terutama watak Kathir. Watak selainnya juga memberikan mutu lakonan yang memuaskan.


LAIN-LAIN


Sudut pandang kamera yang cantik dan simbolik serta busana yang terpapar dalam filem ini. Lagu-lagunya pun menginspirasikan. Patutlah ramai yang bagi markah penuh!

Oh, pertama kali saya melihat busana sari dengan anak baju yang berkolar (tidak mendedahkan bahagian atas bahu juga pinggang). Sehingga tidak berkelip mata dan tidak sabar melihat baju-baju yang dipakai oleh Geetha untuk babak seterusnya.

Plot cerita mudah, tidak terlalu dramatik tapi mengesankan.

Contohnya: Babak kematian bapa Geetha, saya sangkakan mungkin akibat khianat musuh-musuh Geetha, tapi tidak. Ia berlangsung begitu sahaja. Kematian bapa yang sedikit sebanyak membongkar kecekalan Geetha juga ada had batasnya.

Juga babak anak Pegawai Daerah yang dipanggil 'kosong' (instead of 'sampah') oleh Geetha. Apabila dia berjaya dalam sukan, saya sangkakan mak budak tu akan tampar akau berlagak. Rupa-rupanya ....



Sungguh, filem ini terpaksa saya akurkan sebagai filem paling saya suka masa kini kerana dilihat sungguh sempurna, tidak klise seperti cerita Tamil lainnya. Tahniah kepada semua kru filem ini. Teruskan berkarya mengubah masyarakat ke arah lebih baik!



Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Cerita Tentang Filem Kegemaran Anda bagi menyahut cabaran 21Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.


Monday, August 19, 2019

Gilmore Girls!



Gilmore Girls? I need more!

Bagaimana ya mahu memulakan percakapan tentang siri yang mula ditayangkan pada tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2007 (Season 7) ini. Kerana terlalu banyak yang saya suka mengenai drama bersiri ini walaupun banyak juga yang saya tidak suka (berkaitan dengan moraliti).


Gilmore Girls yang anda boleh semak maklumat dan latar belakangnya di Wikipedia ini secara ringkasnya ialah kisah tentang tiga generasi (wanita)  - Emily, Lorelai dan Rory yang berbeza zaman tentunya, serta hal-hal seputar kehidupan mereka dalam masyarakat.

Ia mengisahkan Emily dan Richard Gilmore yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Lorelai. Konflik berlaku apabila seawal usia 16 tahun, Lorelai melahirkan anaknya, Rory tanpa ikatan perkahwinan. Lorelai meninggalkan rumah dan berpindah ke Star Hollow bersama-sama anaknya demi menjaga 'privacy' daripada ibu bapanya yang tidak sekepala dengannya. Kisah pun bermula dengan saga kehidupan Lorelai yang membesarkan anaknya mengikut caranya.

Ia sebuah drama yang menarik kerana mempunyai skrip yang kuat dan oh, saya suka cara Lorelai bercakap - laju dan penuh sarkastik. Begitu juga dengan setiap watak yang melengkapkan kisah ini - Sookie yang comel dan pandai memasak, Lane Kim yang mempunyai ibu yang kuat kepada disiplin dan pegangan hidupnya, Michel Gerard yang berwatak aneh, Luke Danes si pemilik kafe yang popular, serta watak-watak lain yang sangat kuat perwatakannya membentuk sebuah komuniti yang lengkap, menjadikan plot drama ini berjalan dengan lancar dan laju.

Jika bercakap soal drama dari Barat tentunya banyak yang bertentangan dengan adat dan budaya serta pegangan kita sebagai orang Islam, namun saya mahu fokus beberapa perkara yang menarik tentang drama ini.


1. Hubungan kekeluargaan yang kuat.

Ini terlihat antara Emily dengan Lorelai. Walaupun Lorelai gagal memenuhi jangkaan keluarhga, namun Emily tetap menyayangi anak dan cucunya malah sanggup mengeluarkan perbelanjaan pelajaran dengan syarat mereka harus makan malam bersama-sama keluarga (Emily dan Richard) setiap malam Jumaat - bagi melaporkan perkembangan pelajaran Rory - sehingga hutang tamat dibayar.

Hubungan Lorelai dan Rory juga tidak mampu dinafikan sangat akrab sehingga segala sikap-sifat ibunya menurun kepada Rory dari aspek pakaian, cara bercakap dan pemikiran. Mereka seperti rakan yang sangat akrab. Lorelai sanggup berbuat apa sahaja demi Rory.

2. Visi dan tatacara hidup manusia berbeza

Visi setiap watak yang berbeza tentang kehidupan. Cth Lorelai yang mahu jaga anaknya mengikut caranya, Rory yang melihat kejayaan ialah belajar dengan baik, dapat melanjutkan pelajaran dan bersikap baik, Jessy melihat kejayaan ialah dapat menikmati hidup dengan cara sendiri yang merdeka tanpa ikut peraturan.

3. Buku

Saya tertarik dua perkara mengenai buku dalam siri drama ini. Pertama ketika Rory sampai di Universiti Yale, pergi ke perpustakaan universiti, terkejut dengan jumlah buku yang banyak lalu membuat kiraan berapa lama dan berapa banyak buku yang harus dia baca selama berada di Yale.
Kedua, ketika Rory dan Jess (oh, kekasih paling cocok buat Rory) bertemu setelah sekian lama dan Rory terkejut apabila Jess menulis buku.




Demikian. Sehingga sekarangs aya masih mengagumi siri ini. Pernah cuba untuk buat cerpen atau novel yang diinpirasikan daripada gaya siri drama ini tapi masih belum jumpa jalannya. :P



Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Siri TV Kegemaran Anda bagi menyahut cabaran 21Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

Thursday, August 08, 2019

BARISTA, KOPI dan BUKU



"Nak kopi paling sedap."Apabila sampai di meja, yang dihidangkan bukan sahaja sedap, tapi cantik! Hidup ini memang begitu. Adakalanya kita dapat semua. Adakalanya dapat lebih. Adakalanya dapat sedikit. Adakalanya tak dapat langsung.

Demikian catatan saya pada 12 Ogos 2017. Ketika itu, sungguh rusuh. Hati sebal. Perasaan bergoncang. Tentang persahabatan, tentang kerjaya, tentang pengkhianatan dan diri yang selalu gagal menguruskan perasaan.

Sampai di kafe ini, Kafe Kinokuniya yang memang menjadi tempat wajib saya mengopi jika ke KLCC. Kafe ini terletak di bahagian tingkat 2 dalam kedai buku Kinokuniya. Setelah mengambil tempat yang biasa-biasa sahaja (tidak memilih duduk di mana pun), beg segera diletak sambil tangan laju mengeluarkan dompet dan menuju ke kaunter pesanan. 

"Nak kopi paling sedap. Cepat ya. Saya bad mood." Entah kenapa saya perlu memuntahkan rasa di kaunter pesanan kepada penjaga kaunter yang sungguh asing bagi saya. Mungkin kerana wajahnya yang manis menyambut kedatangan pelanggan. 

Gadis itu senyum lagi, menanda pesanan, mengambil bayaran, seolah-olah ayat 'cepat ya, saya bad mood' itu tidak langsung mengganggu perasaannya; seolah-olah bukan saya seorang yang datang menerpa ke kaunter dengan perasaan sebal dan mood terbang. Ramai lagi, seperti saya, pelanggan yang rusuh, mencari kopi untuk kononnya membuang resah. Barangkali. Gadis itu lali!


Sebelum berlalu ke meja, saya sempat melihat ke wajah barista yang sedia memenuhi pesanan. Di tangannya, 'coffee tamper' bersedia dengan khidmatnya. Yang saya perasan, ketika duduk di meja, barista itu masih memandang saya sambil tangannya laju bekerja, tetapi saya abaikan.


Melihat ke tingkat bawah, bahagian buku kanak-kanak dengan pelbagai bentuk rupa buku, warna-warni yang membahagiakan kanak-kanak penggemar buku dan manusia yang masih belum ramai.

Ah, terubat hati melihat anak-anak kecil tekun membaca, ghairah mencari buku, dan merengek-rengek memujuk ibu bapa membelikan mereka buku yang diingini. 

Terlupa sebentar keresahan jiwa yang membawa saya ke sini.


Saya buka beg. Mencari buku untuk dibaca. Setulus Kata. The Naked Truth oleh Khair Ngadiron. Beberapa ayat penulisnya yang merupakan CEO ITBM (ketika itu) saya hadam. 


"Kalau mahu hati senang, berdamailah dengan manusia dan alam."

"Apa guna gelar kalau hanya membawa calar."

Belum sempat membaca petikan kata seterusnya, kopi sampai. Saya memberi laluan cawan kopi diletakkan di meja. 

Pramusaji beredar, hati saya berdebar. Kopi itu ....

Segera saya menoleh ke kaunter pesanan. Gadis penjaga kaunter sedang tunduk melakukan sesuatu. Mata saya meliar mencari barista yang menyediakan kopi ini. Tiada. Hati meronta-ronta mahu meliarkan lagi pandangan, menerobos ruang-ruang kaunter dan sebalik mesin pembuat kopi, di celahan barisan kopi mentah dalam tabung-tabungnya, barista tidak saya temui. 

Kopi dengan hiasan kata-kata di atasnya ini benar-benar membuatkan mood dan hari saya berubah!
Ia sungguh menyedarkan saya: 


Kepahitan hidup adalah seperti kopi. Kita minum walaupun pahit kerana kita tahu pahit itulah yang beri lega, yang terkandung pelbagai khasiat disebaliknya. Yang menyeimbangkan keperluan rasa. Kita mahu rasa pahit untuk mewajarkan rasa manis. Kita mahu rasai pahit untuk kita tidak terus tenggelam dalam kemanisan.


Sangat melegakan!


Saya lontarkan kata-kata sendiri selepasnya:
Hidup ini memang begitu. Adakalanya kita dapat semua. Adakalanya dapat lebih. Adakalanya dapat sedikit. Adakalanya tak dapat langsung.


Kata-kata dalam buku bersilang kembali ke fikiran dan menemani kopi saya, menemani saya, mewarnai semula emosi dengan warna pelangi. 

"Kalau mahu hati senang, berdamailah dengan manusia dan alam."


Ya, uruskanlah hati dengan waras. Belajar berdamai dengan manusia lain (sama ada memperbaik hubungan atau abaikan sahaja), dan juga alam - oh alangkah, bila kali terakhir saya benar-benar menghargai suasana sekeliling, meraikan alam?


Terima kasih barista misteri. Terima kasih kopi berseni dengan pesanan penuh magis. 



Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Anda pergi ke kedai kopi dan memesan minuman seperti biasa. Barista menyerahkan sesuatu kepada anda, bagi menyahut cabaran 21Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

Monday, August 05, 2019

INGATAN PADA SUATU PERCAKAPAN YANG TERTANGGUH



Maaf, saya hentikan perbualan telefon tadi. Puisi awak tadi, yang awak baca dengan susunan kata tulisan sendiri, saya kagumi. Cikgu BM awak tentunya gembira... ðŸ˜Š

Ya.

Saya paksa?

Tidak. Setiap manusia mempunyai pelbagai sisi.

Ya ... saya harap saya tidak memaksa sisi itu diwujudkan.

Ada sisi yang tak tersuluh, ada sisi yang terlalu terang ... setiap ruang bukan untuk kekosongan, kan?

Terima kasih kerana membawa lilin 😊😊

Lilin memang ada. Tinggal jemari awak yang mahu menyalakannya atau tidak
kan?

Kena ada sumbunya, mancis hayatnya bukan sehari 😉😉

Baik. Awak prihatin dengan diri awak. Tahu bahagian mana perlu difikirkan mendalam. Bahagian mana perlu direhatkan.

Begitukah?

Ya. Saya rasa. Awak seorang yang sayang kepada diri sendiri. Berhati-hati dalam berkata-kata dan tahu apa yang awak mahu.

(....)

Sekadar membaca. Bukan menilai.

Rasanya tidak ada orang pernah berkata begitu kepada saya.

Oh maaf.

Bukan rasanya, memang tidak pernah. Jadi, agak terkesima di situ.

Saya terlalu jauh menyelongkar halaman orang. Barangkali terlalu menggunakan ilmu kewartawanan saya.

Saya tak menghalau orang yg datang menjenguk halaman saya. Tidak juga menidakkan niat mereka. Tiada siapa hidup mahu menyusahkan orang lain. Pencuri pun tidak suka miliknya dicuri.


Beberapa minit sunyi.

Diam?

Ada saja. Takut mengganggu. Saya takut ganggu orang.

Saya takut juga.

Saya lagi takut.

Hmm, andai kata ada orang memberi anda kain bercorak kesukaan, apa yg anda akan buat dengan kain itu?

Saya pakai hari-hari, sebab saya suka. Jaga baik-baik sebab mahu ia sentiasa baik.

Tidak biarkan ia di situ dan mengganggu perasaan "ingin pakai hari-hari" ?

Bergantung. Tapi saya akan jaga baik-baik.

Oh begitu. Baiklah.

Kenapa?

Metafora sahaja.

Baik.

Apa yg dikerjakan tu?

Sedang baca blog. Sebetulnya dari tadi mencari satu entri saya untuk awak. Tapi, abaikan
[sebab tak jumpa].

Ok. Saya nak baca. Tolong carikan untuk saya, boleh?

Ya. Grrrr ... Hahaha.

Yang satu itu mungkin sesuatu ... hahahahahha!

Tidak. Sengaja mahu kongsikan.

Sebab sengajalah yang menjadi sesuatu, nakkkkkkkkk!!! Hahahaha!

Saya cuba.

Saya tunggu (mode:jahat)

Uhukkk ... maaf, saya tidak akan lalu. Awak tunggulah.

Saya dah biasa menunggu 😎😎 Biasa juga gembira selepas menunggu.

😆 Saya rasa tak wajar beri awak baca (selepas saya baca balik catatan itu). Abaikan sahaja boleh?

Tak wajar juga membuatkan saya tertanya...

Maaf sangat-sangat ... saya tidak terfikir tadi.

Saya sudah tertanya ... dan tertanya tanya. Harap awak tak keberatan untuk berkongsi.

Oh, saya tahu lagi satu sifat awak ... penghukum dalam senyum.

Mungkin sebab tu jarang senyum? Mungkin.

Ya. Mungkin.

Ok begini. Awak mesti tahu apa perasaan saya sekarang ... nak baca ... isk isk...

Tak wajar. Saya tak fikir panjang tadi.

Kelemahan saya yang satu semasa bercinta, adalah memujuk. Inikan pula bukan bercinta
isk...

Hahahha ... Boleh tak saya guna alasan ini : Line tak berapa ok, pencarian tersekat-sekat. nanti saya akan beritahu jika Internet ok.

Boleh ... kalau awak tak kisah buat hati seorang lelaki yg tak pandai memujuk tertanya-tanya 😢😢.

Hahaha ... saya dah jumpa, tapi masih menimbang-nimbang mahu beri atau tidak sebab ia hanya terfikirkannya secara 'tiba-tiba'... tiada niat apa-apa.

Nak choki²?

Tak mahu choki2. Saya tak minat coklat. Saya suka kek. Cheese cake.

Jadi kek coklat bukan kegemaranlah?

Marble Cheese cake! Tapi kek coklat pun suka. 😆

Oh itu jahat...

hahaha....



Diam lagi.

ini. Puisi itu ... entah ...tiba-tiba rasa nak bagi kat awak.

Terima kasih Layla 😉😉 ...  ada juga bahan bacaan hari ini.

Sekadar sama -sama menilai erti rasa dan kehidupan. Jangan fikir apa-apa ya.

Ya!

Mesti agak lama nak siapkan puisi ni.

Tidak. Puisi ini spontan. Ikut tarian jemari. Tapi mungkin ya. Yang lama ialah perasaan yang terjelma.

sekadar untuk awak layan.

Pendek, tapi terlalu mencabar.

... untuk difahami?

Sekarang segala rasa dipanggil berbincang.

Maaf untuk itu.

Tidak mengapa.

Saya tak sepatutnya buka meja perbincangan sekarang tanpa ambil tahu awak sedang sibuk melayani rasa yang lain yang lebih penting.

Masalahnya, yang datang dari hati tak boleh diberi takwim. Ia datang, ia pergi, bila² ia mahu.

Baik ... boleh sahaja simpan. Kita ada banyak ruang dalam hati. Otak juga punya sel-sel tersendiri. saya tak pandai berbahasa.

Itu bukan alasan untuk awak tidak berkata-kata kan? Menikmati tarian bahasa, indah juga.

Maaf jika ia menyerabutkan lagi rasa.

Itu bukan alasan, "bukan ciptaan sengaja" ... hehehehe

Saya melampaui rasa?

Layla, awak tahu apa rasa hati kan? Jangan sesekali meragui rasa itu.

Saya tidak suka tahu. Bukan apa-apa. Saya sakit kerana terlalu ikut hati sendiri dan suka baca orang lain.

Saya selesa sahaja begini ... usah risau 😎😎

Baik. Saya jadi lega.

Tapi, kadangkala, dengarlah apa hati cuba bisik tu ... kan lega 😉😉

Tidak bermakna apa-apa. Ia hanya di situ - hati. Tak mungkin keluar dari situ. Tak mungkin [eh, tiba-tiba emo lak] ... ha ha ha

Janganlah suruh ia keluar. Minta dedengari saja kesian dia.

Ia tak wajar dikeluarkan. Realiti tak sekata dengan impian.

Kalau tak bersebab tak mungkin Tuhan letak ia di situ...

Hukuman buat diri. Barangkali.

Hukuman bukan kerja kita.

Hukuman yang kita terima.

Kita terima hukuman daripada-Nya. Bukan kita pilih hukuman yang suka.

Kita terhukum. Selalu begitu.

Biarkan selalu, sampai bila?

Sampai bila? Sampai mati. Ahh biarlah. Apa kata kita stop bual-bual pasal benda menyakitkan saya ini, nanti saya tak seimbang dalam bengkel.

Baik!

Maaf, saya mulakan ...  saya yang akhirkan.

Ya ... selalunya begitu. Secara am, bukan awak sahaja. Usah bimbang!

Baik. Maaf sangat-sangat. Hari ini entah kenapa.

Tiada apa pun boleh dimaafkan...

Jangan beritahu sesiapa ya.

Saya takkan beritahu sesiapa bahawa awak juga ada perasaan 😎😎.

Hahahaha ... saya batu sebenarnya. Tak ada perasaan. Cuma batu kalau dicampak ke sungai, ia akan menimbulkan riak yang besar. Saya sudah mencampakkan diri sendiri dalam sungai. Tenggelam. Tiada riak yang wujud sama ada saya ada atau tidak. Awak tak akan nampak saya lagi lepas ini.

Tak mengapa. Ada pekerjaan yg mencari batu untuk perhiasan.


.
.
.
.
.

Sunyi selepasnya, sehingga kini.



-----





Nota: Catatan ini menggunakan 'prompt' - Tuliskan Cerita pendek Menggunakan Dialog Sahaja bagi menyahut cabaran 21 Pencetus Idea (Writing Prompts) untuk Ogos 2019 dan 10 Pencetus Idea Penulisan Kreatif.

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...