Showing posts with label indie books. Show all posts
Showing posts with label indie books. Show all posts

Monday, October 13, 2014

CABUL vs BACUL

Hak penulis ialah menulis. Hak pembaca setakat beli atau tidak. Setuju atau tidak, ada rencananya.

Apabila diperkenalkan dengan istilah 'novel cabul' beberapa tahun dahulu (ketika mengikuti kelas teknik Surah Yusuf oleh Puan Ainon Mohd), saya sekadar merasakan peranan saya sebagai penulis (kononnya), sekadar menghasilkan bahan bacaan yang tidak melanggar syariah dari aspek cerita mahupun setiap patah perkataan yang digunakan.

Melalui teknik tersebut, kami diajar memilih perkataan dan menggunakan ayat (showing) yang tepat dan patuh syariah. Kagum. Tentulah saya kagum kerana teknik tersebut merupakan satu-satunya teknik yang boleh mendidik penulis berhati-hati dengan setiap baris ayat dan setiap babak yang dituliskan. Apatah lagi teknik ini menggunakan surah Yusuf yang dikenali di dalam al-Quran sebagai sebuah kisah paling indah. Nyata, setelah meneliti surah itu sendiri, saya sedar, Quran adalah sebaik-baik panduan dalam apa jua bidang dan urusan harian manusia.

Bagaimana dalam kisah Yusuf yang diceritakan melalui surah ini, digambarkan perlakuan jelik Zulaikha, isteri pembesar yang tergila-gilakan Yusuf. Yusuf juga digambarkan terlalu indah ciptaannya sehingga terpotong jari mereka yang memandangnya. Dan pelbagai babak lagi yang melengkapi sebuah kisah seorang nabi dalam melakari kehidupannya.

Inilah kisah terindah kerana menggunakan gaya bahasa paling indah dan sempurna dalam menyampaikan cerita. Tidak perlu menjelaskan secara terperinci 'kegatalan' Zulaikha yang asyik masyuk kepada Yusuf. Cukup sekadar menggambarkan perlakuan-perlakuan Zulaikha dengan ayat yang sederhana dan tidak memaksa pembaca berimaginasi liar.

Itu kisah teknik Surah Yusuf yang saya fahami dan mula mengerti tentang kehebatan Quran sebagai panduan asas kepada penulis.

Hari ini, ketika ini saya dikecam kerana membanteras novel lucah atau cabul yang semakin berani menapaki pasaran buku dengan teknik penipuan yang licik. Bersama-sama sekumpulan rakan penulis dan penggiat buku serta pembaca yang mahukan hal ini dibanteras, maka saya tanpa takut atau gentar memulakan operasi mengenalpasti bahan-bahan lucah yang semakin 'daring' dipasaran.

Berperingkat-peringkat, satu demi satu hal muncul. Sedari penulis yang menulis, editor yang mengedit, penerbit yang menerbit serta pembaca yang membaca.

Mungkin, dilihat ini kerosakan moral yang dihadapi oleh penulisnya sehingga sanggup dan tega menulis sesuatu yang amat jijik untuk dibaca. Apatah lagi sasarannya remaja yang masih bersekolah. Apabila diselami lagi, kerosakan ini berpunca juga daripada penerbit yang memang mahukan bahan begini ditulis. Jika tiada penerbit, manakan mungkin penulis berani menulis begini.

Kesal. Apabila niat yang baik ini dikecam oleh peminat novel berkenaan. Dengan angkuh mereka berkata, "Ini hak penulis. Ini hak pembaca."

Ya, hak mereka menulis. Hak pembaca (gila) yang sanggup baca dan beli malah mempertahankan kecabulan ini.

Di mana pula hak pembaca yang tertipu oleh santun dan manisnya kulit depan buku yang kelihatan suci bersih siap dengan tagline berunsur Islamik?

Di mana pula hak ibu bapa yang tertipu kerana menyangka buku berkenaan baik-baik sahaja?

Di mana pula hak masyarakat yang terkena kesan daripada pembacaan hal-hal cabul tersebut.

Masih, penggiat bahan cabul mempertahankan hak mereka malah mengecam dan mahu menyaman kami.

Siapa yang CABUL di sini? Sungguh, mereka itulah yang BACUL.

*Panas juga apabila aliran indie mula bersuara. Memang, kami maksudkan juga buku-buku indie. Ini bukan menyekat kebebasan berkarya. Tulislah cerita apapun. Syaratnya, jangan keterlaluan melacurkan industri buku.






Monday, June 30, 2014

Membaca Indie : Sekadar cerita

Persoalan tentang penerbitan Indie memang selalunya akan mengundang polemik yang akhirnya 'cakar-cakaran'.

Teringat kata-kata seorang bos besar syarikat penerbitan arus perdana. Katanya, indie sekarang pun tak boleh dilabel sebagi indie apabila proses penerbitan dan pasarannya mengambil tempat di arus perdana.

Saya tidak mahu komen lebih-lebih. Yang pasti, saya setuju jika dikatakan penerbitan indie masa kini tidaklah indie sangat pun. Indie yang digunapakai hanyalah pada hal 'kebebasan berkarya' dari aspek gaya bahasa, cerita, tema dan paparan sesebuah novel yang dihasilkan. Selainnya, sudah tidak indie. Jadi, janganlah keras sangat berjuang kononnya buku indie lebih baik dan 'real' dalam memaparkan cerita.

Teringat juga seorang penggiat Indie yang memberi komen di laman penerbitan ITBM yang baru menguar-uarkan kegembiraan kerana mendapat anugerah Penerbita Paling Banyak Menghantar Bahan di Perpustakaan Negara.

Komen beliau: Kah kah kah kah ... Ingat paling banyak buat buku berguna. Kalau kami ni dapat duit dari gomen, sejak dari zaman nabi Adam anugerah ni kami pegang.

Saya geleng kepala dengan komen begini. Bukan terasa dan tersinggung, cuma kesal kerana manusia yang bersikap begini wujud dalam dunia perbukuan.

Maafkanlah dia. (Walaupun saya tak boleh maafkan kata-katanya).

Kisah lain - kawan saya baru menulis buku. Saya kagum kerana saya tahu beliau pasti boleh menulis selepas melihat tabiat membacanya yang luar biasa. Luar biasa kerana kebanyakan buku-bukunya adalah buku sasterawan negara dan buku-buku yang berkualiti. Namun, beliau memilih untuk berada dalam aliran indie. Juga tidak mengapa. Kerana bagi saya indie dipilih oleh penulis muda dan pembaca remaja kerana gaya bahasanya yang santai dan tidak terikat dengan peraturan tatabahasa. saya sekadar beri sokongan untuk beliau terus menulis dengan janji saya akan baca karyanya dan beri sedikit komen.

Ya, saya baca. Well, boleh tahan dari aspek plot dan jalan cerita. Namun beberapa hal besar yang saya rasa 'okey' untuk indie, menjadi tidak okey. Terlalu banyak penggunaan bahasa pasar dan gaya bahasa yang perlu dimurnikan lagi sehingga mengganggu pembacaan.

Mungkin ada yang berpendapat, cerita sepatutnya real menggunakan bahasa yang ditutur sehari-hari. Namun, bagi saya, untuk lisan, biarlah ia berjalan dengan acuan lisan. Manakala untuk tulisan, jadikanlah bahasa itu sebagai bahasa tulisan yang sedap dibaca. Ia penting bukan sahaja untuk pembaca menikmati bacaan tanpa sekatan 'ketidakfahaman' dan 'keterpaksaan' mengikut bahasa pasar penulis dalam buku, tetapi juga gaya bahasa yang digunakan, yang lebih teliti pemilihan perkataannya akan meninggalkan kesan abadi kepada pembaca. Percayalah, dalam banyak hal, gaya bahasa menjadi unsur penting dalam menyedapkan cerita.

"Kenapa perlu korbankan gaya bahasa untuk menyampaikan sesebuah cerita? Apa salahnya menggunakan gaya bahasa dan tatabahasa yang baik dan teratur untuk menyampaikan cerita? Tak perlulah 'keras' sangat mempertahankan gaya bahasa pasar dan lisan dalam cerita jika penggunaan gaya tersebut hanya menguncupkan sasaran pembaca."

Saya harap BM terus terpelihara. Dan jika BM semakin tercemar kerana adanya buku-buku indie yang melampau gaya bahasanya, saya tak teragak-agak untuk memperbetulkannya. At least!


Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...