Showing posts with label bahasa. Show all posts
Showing posts with label bahasa. Show all posts

Tuesday, April 14, 2020

PKP Hari Ke-28: Teroris Bahasa, Siapa yang Mati?

sumber: https://studioanaianai.com/product/teroris-bahasa/

Hari ke-28, saya dihubungi seorang rakan FB, bertanyakan tentang penggunaan perkataan untuk kerja terjemahannya. Waktu itu, saya sedang memasak. Bukan berasa terganggu tetapi terfikir, betapa bahasa Melayu malah saya percaya, bahasa-bahasa lain di dunia wujud kerana keperluannya, penggunaannya dan nilai yang ada padanya. Tapi mengapa ada bahasa yang boleh pupus? 

Dan bahasa Melayu? Ah, terus teringatkan buku Teroris Bahasa oleh Saharil Hasrin Sanin yang belum habis di baca sejak ia sampai 11 April lalu. Lalu, bersegera selesaikan masakan dan sambung bacaan.

Tentang seorang teroris bahasa dan seluruh tubuhnya, termasuk otak dipenuhi bom jangka ...

Bagaimana jika suatu hari engkau bangun sebagai alien dan ...

Membaca halaman pemula, tertera surah Ibrahim ayat ke-4. Lantas saya mencari maksudnya di Google:
Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Saharil memulakan wacana dengan sebuah mimpi yang aneh (ah, siapa tak kenal Saharil, dia memang aneh) - adakah sepupunya itu sebuah bahasa yang telah dibunuh? Entah. Beliau memang penuh dengan metafora. Bukan kisah makan daging sepupunya ini sahaja malah sepanjang penceritaan dalam buku ini penuh dengan metafora dan simbol tertentu.

Awal pembacaan, sambil bercerita, Saharil membawa pembaca ke tengah medan perbincangan bahasa secara global - tentang kewujudan 7000 bahasa di dunia, yang di antaranya sedang nazak dan mati dibunuh (laporan oleh National Geographic). Bahasa juga bukan sahaja dibunuh oleh bahasa yang popular melebihi bahasa lain (iaitu bahasa Inggeris), tetapi juga dibunuh oleh orang-orang yang menjaganya.

Waktu ini saya tahu, buku ini bukan sahaja bercakap tentang fakta atau sifat dan kedudukan bahasa di dunia tetapi juga pandangan dan fikiran penulis terhadap isu bahasa di sekitarnya.

Antaranya isu PPSMI, pihak yang diharapkan menjadi pejuang bahasa sepenuhnya (pembahagi halaman bertanda D, diwakilkan dengan DBP, he he he), menteri dan pemimpin-pemimpin negara yang seharusnya memperkayakan dan memberdayakan bahasa Melayu melebihi bahasa lainnya, dan sebenarnya penulis lebih cenderung mengatakan kematian sesuatu bahasa bukan kerana unggulnya bahasa Inggeris tetapi:
"Kerana orang yang menjaga bahasa itu sendiri yang degil, tidak mahu berubah dan berevolusi. Terlalu takutkan bahasa Inggeris."
Demi Allah,  Aku Menjadi Terroris 

(Entah mengapa saya tiba-tiba teringat sebuah buku yang dihadiahkan oleh Norziati yang tajuknya seperti di atas, tentang seorang perempuan yang diperkosa, lalu merasakan hidupnya tidak bermakna. Kemudian, untuk memaknai hidup itu sebelum mati, dia memilih menjadi teroris, menanam bom dalam tubuhnya untuk diletupkan dalam satu misi yang terancang.)

Seluruh buku ini penuh dengan jungkar balik, demikian pengakuan penulis setelah suku perjalanan buku saya baca, sesuai dengan sifat 'teroris' itu sendiri - Terlalu banyak sebab dan keinginan yang ingin disampaikan melalui perbuatannya melawan sesuatu, membawa bom dan membunuh semua yang ada di sekelilingnya.

Saharil menjejak sejarah bahasa Melayu yang menjadi Lingua Franca suatu masa dahulu, sejak kurun ke-14 negara kita terdedah dengan pelbagai bahasa dunia akibat aktiviti ekonomi, perdagangan dengan orang luar.

Selain itu isu eufemistik juga dibincangkan dengan menarik. Bagaimana kita, pengguna bahasa selalu terikat dan kemudian tersekat akibat sifat budaya sesuatu perkataan itu yang tabu jika disebut dalam bahasa sendiri.
"Kadang-kadang, alangkah senang menggunakan bahasa Inggeris sahaja...." 
Ya, saya setuju dengan hal sebegini. Cuma saya tidak pasti adakah bahasa Melayu benar-benar miskin perkataan sehingga susah kita mahu menulis tentang sesuatu yang tabu dalam bentuk yang sedap didengar. Contoh yang diberikan, perkataan 'tetek' yang lebih sedap jika diganti dengan 'breast' berbanding payu dara atau buah dada. 

Sehinggalah ke ruang simbolisme yang mengajak pembaca memikirkan tentang mimpi, tafsirannya, tentang Ibnu Sirin dan Carl Jung dan bagaimana simbol-simbol ini mempengaruhi perkataan dan seterusnya dunia persuratan (tulisan).

Babak pergaduhan penulis dengan Clementino Kulup, seorang gila di tengah bandar juga  diselitkan dengan falsafah kemerdekaan yang membawa saya ke dimensi berbeza. Di sini pembaca bertemu pula dengan istilah alusi menyambung kepada asal usul perkataan dan kemudian membawa isu DLP dan tulisan jawi.

Dan akhirnya 'bom' yang dibawa sampai ke halaman 101, melalui soalan-soalan Saharil kepada pembaca (awak yang membaca, sila jawab).

Waktu ini saya teringat dalam sebuah majlis (entah majlis apa), Zainal Rashid Ahmad yang selama berkarya lebih suka menerbitkan bukunya sendiri kerana beliau bimbang editor penerbitan arus perdana akan menyunting karyanya sehingga tidak lagi menjadi hasil tangannya yang asli. 

Saya masih ingat bagaimana Encik Khair Ngadiron (waktu itu CEO ITBM) berkata kepada kami (para editor yang hadir) supaya aturkan satu bengkel yang akan memberi pendedahan kepada kami tentang cara penyuntingan yang tidak membunuh 'rythm of story teller' seorang penulis. 

Sebetulnya kami di ITBM pun tidaklah seteruk yang disangkakan - membedah karya penulis sehingga hilang keasliannya demi menurut kehendak skema ejaan dan tatabahasa berbanding dengan cerita kawan-kawan penulis lain yang mengalami kekesalan yang sama, karya dicencang oleh editor sehingga maknanya hilang. Tapi bukan editor ITBM la. :)

Berbalik kepada Teroris Bahasa, cerita mengalir bersama isu bahasa selaras kewujudan pembahagi halaman bertanda A sehingga Z yang mewakili subjek yang berkaitan dengan perbincangan. Walaupun saya merasakan pembahagi (divider) setiap halaman itu lebih baik menandakan 'berhenti' pada sesuatu topik tapi tetap ia bukan isu besar. Pembacaan masih lancar walaupun sedikit penat sebab tak tahu nak berhenti di mana. :P

Beberapa hal yang saya gariskan di dalam buku ini:
  1. Bahasa yang mati akan membawa rahsia-rahsia ilmu bersama-samanya. 
  2. Bahasa perlu berubah mengikut peredaran zaman, jika tidak mahu ketinggalan.
  3. Tanpa perkataan yang cocok untuk menggambarkan apa yang ingin di sampaikan, maka tulisan kita pun akan jadi janggal, maka pemerkayaan kosa kata amat penting walaupun ia bersifat pinjaman dan saduran.
  4. Perkataan tabu jadi lazim akibat media. Apabila media menggunakannya, ia akan menjadi kelaziman.
  5. Masyarakat penutur Melayu yang menentukan segala kosa kata Melayu, bukan segala pakar bahasa atau para birokrat ...
  6. Bahasa itu mati kerana tidak cukup kaya.
  7. Setiap perkataan mempunyai sejarahnya, maksud yang disimpan turun-temurun.
  8. Untuk menyuburkan bahasa, terima segala bentuk bahasa yang wujud dalam masyarakat penutur. Kamuskan.
  9. Menyuburkan ilmu, adalah melalui bahasa ibunda sesebuah negara.
  10. Kalau bahasanya malap, sastera serta persuratan menyempit, tamadunnya juga akan musnah.
Akhirnya, seperti biasa, Saharil tidak pernah mengecewakan dalam karya-karyanya. Bacalah buku ini dan tanya kepada diri - sama ada engkau orang bahasa atau tidak - apa peranan kita terhadap bahasa sendiri. Adakah kita mahu dikenali sebagai bangsa yang membunuh bahasanya sendiri?

Terima kasih Saharil.

Buku boleh dibeli di: https://studioanaianai.com/product/teroris-bahasa/.

Wednesday, December 03, 2014

Nyiru yang Ditadahkan ...


Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

Saya menyangka ini adalah salah sebuah peribahasa Melayu yang menyatakan 'kebesaran hati' seseorang menerima sesuatu. Hati yang gembira menerima sesuatu yang seringkali juga dimodenkan menjadi - kecil tapak tangan, stadium bola saya tadahkan.

Saya silap. Kalaupun kali ini memang silap.

****

Hari ini, pagi ini menghadiri  sebuah syarahan penyelidikan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kertas kerja dibentangkan oleh Prof. Dr. Norhashimah Jalaluddin, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

Saya akui, sudah banyak, memang banyak kuliah sebegini saya hadiri sejak menuntut di Universiti Malaya dahulu, sejak memegang tanggungjawab sebagai wartawan dan sehinggalah menjadi editor kini.

Terkesima juga dengan pertanyaan pensyarah ini, selepas menghadiri kuliah begini, apa tindakan kita? Simpan ilmu atau sebarkan? Maka, saya berazam untuk tahun-tahun mendatang, akan cuba banyakkan menulis sama ada di blog ini atau akan menghantar ke majalah atau akhbar yang berkaitan.

Berdasarkan kertas kerja yang dibentangkan, memang agak banyak dapatan yang saya perolehi. Menambahkan ilmu sedia ada tentang kekuatan pantun dan peribahasa serta kekuatan BM sendiri sejak berzaman sebelum kedatangan penjajah. Dikongsikan beberapa kajian oleh orang barat tentang BM dan orang Melayu yang kebanyakannya berat sebelah dan secara harfiah. Namun, kajian-kajian itu sedikit sebanyak perlu diambil berat oleh pengkaji tempatan untuk memperkaya khazanah dan dokumentasi yang kita sendiri abaikan. Ya, dokumentasi penting tentang sejarah orang melayu dan naskhah-naskhah lama kita ada di simpan dengan baik di luar negara.

Selain komunikasi lisan (pantun, peribahasa, gurindam dll) yang dibincangkan, pensyarah ini juga membincangkan perihal dialek yang wujud di Malaysia (kajian beliau di negeri Perak). Dialek-dialek ini perlu dikaji bukan sahaja untuk kelangsungan hayat dialek itu sendiri tetapi juga, berbalik ke belakang, sejarah dapat digambarkan dan dibayangkan. Juga menilik kembali buku-buku sejarah yang ditulis oleh orang barat tentang Tanah Melayu. Sudah tiba masanya - memang perlu kita melihat kembali khazanah lama yang suatu waktu dahulu memperkenalkan kita sebagai orang Melayu, penduduk tanah Melayu yang cukup unik dan istimewa.

Kuliah pagi tadi, memugar rasa terutama tentang 'kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan'. Betapa, saya sendiri salah faham tentang maksud sebenar peribahasa itu. Jelas, maknanya bukanlah 'berbesar hati menerima sesuatu'. Tetapi ada makna lain yang memperlihatkan sifat dan sikap orang Melayu yang tersembunyi di sebalik peribahasa indah itu.

Apakah maknanya?

Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan. Menampakkan kerendahan hati dan berbudinya orang Melayu ketika menerima pemberian seseorang. Namun, dalam kerendahan dan kebesaran hati itu, terselit sikap berhati-hati orang Melayu - Menerima semuanya dengan sepenuh hati (tapak tangan), tetapi Nyiru yang ditadahkan memberi makna lain iaitu, walaupun semuanya diterima namun, nyiru yang ditadahkan bermakna ada penapisan dilakukan. Tidak semua pemberian mampu 'membeli' hati Melayu.

Umum tahu bagaimana dekatnya masyarakat Melayu dengan nyiru yang merupakan alat untuk menampi beras. Dengan nyiru, beras yang ditampi dapat diasingkan beras yang berisi dengan beras yang hampa (kosong).

Jelas. Bagaimana bijaknya orang Melayu bersosial. Dengan budi bahasa, adab sopan terjaga. Namun ada juga peribahasa yang menyatakan sisi negatif sikap orang Melayu seperti 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan' dan banyak lagi. Boleh google.

Sekian untuk kali ini. Sekadar menulis apa yang mahu dikongsikan. Semoga kita, sebagai orang Melayu, kenal hati budi sendiri. :)

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...