"Setiap tulisan merupakan dunia tersendiri, yang terapung-apung antara dunia kenyataan dan dunia impian. (Pangemanann, 138)
Showing posts with label indie. Show all posts
Showing posts with label indie. Show all posts
Monday, January 18, 2016
Tentang Apa yang Kita Baca
Tadi, semasa bersembang-sembang dengan seorang rakan, ternampak sesuatu yang menggoncang fikiran (ketika itu beliau memegang telefon bimbitnya dan paparan tertulis tajuk sebuah artikel)
Dalam hati pun berfikir, 'Eh, kenapa dia baca artikel itu? Dia ada masalahkah?
Begitulah, apa yang kita baca selalunya sering dikaitkan dengan diri kita. Tak boleh tidak.
Setiap apa yang kita baca, itulah diri kita. Lebih kurang, "apa yang kamu baca, itulah diri kamu."
Tapi, paling tak boleh lupa pengalaman semasa kembara ke Hatyai menaiki kereta api, saya dan kawan saya (dua orang) asyik membaca. Anehnya, perbuatan kami dianggap pelik. Ya, kami kelihatan pelik kerana membaca.
Novel Popular dan buku indie
Kehadiran novel popular, yang sering dilabelkan sebagai novel tidal berkualiti dari aspek gaya bahasa dan jalan cerita yang sangat klise, masih bersemarak dalam ranah industri buku negara.
Pertelingkahan masih berlaku - novel popular masih dikategorikan sebagai novel picisan, sampah dan paling teruk sebagai perosak minda generasi muda.
Selain novel popular yang menggunakan tajuk yang cacamerba, terdapat juga buku-buku indie (kononnya indie), yang menguasai pasaran perdana di negara ini. Bersepah-sepah buku indie dengan muka depan kulitnya yang bernuansa liar, tidak berselindung serta berunsur provokasi berada bebas di tangan anak-anak muda pelbagai latar belakang.
Ya, dari sudut positif dan jangka masa pendek, kita suka melihat masyarakat mula membaca di sana-sini.
Namun, dari sudut lain, betapa kebebasan menerbitkan buku menjadikan kebebasan membeli dan membaca juga tiada kawalan.
Apakah perasaan kita jika keluar dengan anak-anak menggunakan kenderaan awam, di kiri kanan kita kelihatan remaja atau orang dewasa membaca buku-buku indie dan novel popular?
Pertama, tentulah fikiran kita akan cepat menerjah sikap-sifat pembaca tersebut. Menakutkan juga jika duduk di sebelah remaja yang membaca novel tragis - pembunuhan - liar - lucah. Tidak selesa juga apabila melihat remaja kita membaca penuh khusyuk novel-novel cinta bertajuk - Aku Sayang Pak Cik Guard, Suamiku Playboy, Isteriku Kaki makan Luar (contohnya - tapi itulah hakikat sebenar tajuk-tajuk novel popular masa kini).
Benar. Ada beberapa peratus pendapat (tidak secara psikologi) mengatakan tak semestinya apa yang dibaca itulah dirinya - tapi saya tetap mengatakan itulah dirinya!
Atau apakah perasaan kita sendiri, membaca novel-novel bernuansa begitu di hadapan awam? Bagaimana perasaan kita apabila anak-anak membaca novel dan bahan bacaan sebegitu? Tidakkah dihati kita berasa sedikit gerun, bimbang dan resah melihat bahan bacaan anak-anak kita?
Isunya apa?
Masyarakat semakin terbuka dalam segala hal. Barangkali.
Teringat zaman sekolah dan remaja. Sanggup balut buku dengan kertas bunga jika tajuknya menggelikan dan boleh menimbulkan salah faham.
Jagalah air muka sendiri, dan keluarga, melalui apa yang kita baca.
*Mungkin bahan-bahan bacaan sebegitu, jika mahu dibaca pun, bacalah dalam bilik. Bacalah di tempat yang orang tak boleh menilai siapa diri kita.
Tuesday, January 12, 2016
Minyak dan Air
Industri buku merundum. Demikian desas-desus yang bertebar dalam ruang tahun 2015. Isu-isu politik, dasar-dasar kerajaan yang tak munasabah serta kenaikan nilai mata wang dunia memberi kesan kepada industri buku yang sememangnya 'struggle' di Malaysia. Sudahlah kita ini kecil, bergaduh-gaduh pula. :P
Kenapa nak bergaduh ya? Kan lebih baik bergabung. Aku dapat bayangkan sebuah toko buku, sebuah rumah penerbitan besar yang di dalamnya ada buku pelbagai genre dihasilkan. Indie pun join sekali. Bayangkan ada jabatan buku kanak-kanak, jabatan buku sastera, jabatan buku popular, jabatan buku indie, jabatan buku agama, jabatan buku umum, bla bla bla....kata seorang kawan.
Saya tergelak mendengarkannya. "Macam air dengan minyak tau," jawab saya.
Kenapa? Tak boleh bersama? Bergaduh. Eh, kau tengok ek, kita memasak guna minyak. Kemudian campur air. Jadilah sup. Jadilah masakan-masakan yang lazat. Bukankah percampuran itu boleh menghasilkan sesuatu yang lebih ummph? Bebel dia lagi.
Saya diam. Ada kebenaran khas di situ. Tapi saya tak maksudkan minyak dan air akan 'bergaduh'. Saya maksudkan, minyak dan air punya fungsi tersendiri. Jadi, biarlah air memegang tanggungjawabnya sebagai air dan begitu juga minyak, menjalankan peranannya seperti sifatnya.
Lebih daripada itu, saya ingin juga menjawab, percampuran antara minyak dan air - seperti yang dia maksudkan, hasilkan makanan yang lazat dan pelbagai - mungkin juga boleh mengundang penyakit dan kesan-kesan lain.
Jadi, biarkan minyak dan air, 'dalam industri buku' terasing-asing? Kita mahu maju kan? Kita mahu industri buku kita berkembang dan luas sasarannya kan? Why not try!
Saya serahkan kepada anda menilaikannya. Boleh beri pendapat.
Friday, December 13, 2013
Kotak, Bulat dan Infiniti - BUKU kita?
Aktiviti perbukuan dan penerbitan di Malaysia semakin rancak. Itu pandangan saya. Mungkin sudah lama rancak, cuma saya tidak menyedarinya. Atau sekadar rancak kerana saya membaca perkembangannya setakat yang terjangkau oleh mata?
Setelah memasuki dunia perbukuan secara total, banyak perkara bermain di fikiran. Sudah pasti ia diikuti dengan harapan-harapan dan paling utama, impian diri sendiri untuk melakukan sesuatu - kononnya - demi dunia perbukuan yang dengan rela hati saya terjun ke dalamnya.
Bercakap mengenai buku, yang kita fikirkan dan bincangkan selalunya tentulah mengenai kualiti dan cerita yang dibukukan. Apa yang saudara/i nampak?
- Bagaimana karya-karya kita setakat ini?
- Bagaimana dengan penulis-penulis kita sejauh ini?
- Bagaimana dengan pemasaran dan pembangunan serta aliran keluar masuk karya-karya tersebut selama ini?
Itu persoalan asas yang selalu bermain di benak penggiat buku - seperti penulis itu sendiri, editor yang menguruskan penerbitan buku, pereka bentuk kulit, ilustrator, pemasar dan penerbit.
KOTAK
"Dunia perbukuan seperti kotak." Kata seorang kawan. "Ruang lingkup penulisnya, karyanya dan pemasarannya setakat itu-itu sahaja."
"'Itu-itu' tu bagaimana?" Tanya saya yang benar-benar ingin tahu.
"Seperti filem, dan karya-karya seni yang lainnya termasuklah buku, setiap apa yang dihasilkan adalah melambangkan pemikiran bangsanya, pencapaian dan menunjukkan penanda aras ketamadunan negara dan bangsanya. Jika engkau lihat karya kita setakat ini - okey, aku ambil contoh filem - apa yang kita sogokkan kepada masyarakat sejak tahun selepas merdeka? "
Saya diam. Ini perbincangan yang serius.
Dia sambung - "okey, kecualikan zaman karya P. Ramlee yang sememangnya genius - walaupun dia banyak meniru (nanti aku cerita hal ini di lain masa - kata dia dalam bisik), kita ketandusan filem yang mengangkat bangsa kita ke arah yang lebih baik. Kau perasan tak?"
Pertanyaan dia saya fikirkan sedalam-dalamnya.
"Lambat ... engkau kena berfikir lebih dari luar kotak engkau sekarang." Dia beri respon tidak sabarnya.
***
Sebenarnya hal itu sudah lama saya fikirkan. Saya juga banyak membaca dan meneliti perkembangan dunia seni, dunia pengkaryaan tanah air yang sepatutnya meriah - apatah lagi Malaysia merupakan negara yang maju, majmuk dan aman. Sepatutnyalah karya kita lebih bernuansa kehebatan bangsa dan bukannya masih memaparkan kisah-kisah bejat masyarakat yang melalui filem-filemnya lebih menjadikan masyarakat Malaysia parah. Samseng, kongsi gelap, pelacuran, keruntuhan institusi rumahtangga dan keluarga dan ke'koya'an kelas sosial atasan - mendominasi filem-filem tanah air.
Belum lagi filem lawak tak bertempat dan bebalisme, juga kisah hantu yang tak berkesudahan.
Inilah kotak yang dimaksudkan oleh kawan saya.
"Aku harap dunia perbukuan tidak jadi seperti dunia perfileman kita. Haru ...
Saya mengerutkan wajah.
BULAT
"Balik-balik cerita begini ... cinta paksa, cinta terhalang, putus jumpa kembali...dihalang keluarga ... lelaki kaya, perempuan miskin, atau sebaliknya ... bla ... bla ...bla...." Bebel seorang kawan.
Apa? Saya bertanya dengan penuh rasa.
"Buku inilah. Bosan!" kata dia lagi sambil mencampakkan buku itu ke sisi.
Saya ambil. Sebuah novel cinta popular yang dramanya pun sudah ditayangkan di televisyen.
Siapa suruh beli? Tanya saya dengan nada menyindir - sudah tahu, sudah banyak buku yang sama nadanya, mengapa beli lagi? Bukankah ini menggalakkan lagi penulis 'cerita' di Malaysia tulis benda yang sama - bulat.
"Ingatkan lain. Rupanya semua sama. Tepu otak aku," katanya lagi.
Saya senyum. "Lain kali pilih bahan bacaan. Jangan terlalu ikut fenomena. Bila ceritanya keluar di tv, engkau pun beli bukunya seolah-olah engkau pembaca yang 'up to date'. Padahal cerita itu sudah lapuk. Kita masih banyak pilihan buku di pasaran. Jika kita asyik baca buku yang sama - malahan ceritanya tak berkembang asyik-asyik itu sahaja, maka, penulis cerita sebegitu pun naik lemaklah - tulis cerita yang sama sahaja sebab dia tahu pembaca seperti awak ada dan bukunya pasti dibeli."
Dia angguk - entah faham entah sebab tak mahu dengar saya bebel.
Betul! Sebagai pembaca, jika kamu bosan dengan apa yang kamu baca, komenlah buku sebegitu. Pembaca juga ada peranan dalam membangunkan buku-buku yang perlu ada di pasaran. Buat kritikan. Itu peranan pembaca. Bukan sekadar beli, dan kemudian beli lagi. Pembaca juga ada peranan okey!
INFINITI
Inilah dunia perbukuan. Sepatutnya ia bersifat infiniti - dalam konteks masih punya sempadan agama dan kemanusiaan.
Infiniti dari aspek pemikiran dalam karya, corak karya, bentuk karya dan juga hal-hal lain yang merangkumi proses penerbitan dan pemasaran karya. Malah, cara buku dinikmati dan berada dalam tangan masyarakat juga sepatutnya lebih bersifat infiniti - iaitu bebas dan rencam - dan bukannya terikat dengan musim atau peraturan tertentu.
Saya suka melihat perkembangan penerbitan di Malaysia kini, dengan dana-dana dan peruntukan yang diberi oleh kerajaan, pertumbuhan rumah-rumah penerbitan yang indie dan tak indie (?), dan juga keterbukaan masyarakat dalam meraikan pesta-pesta yang melibatkan buku dan aktiviti perbukuannya.
Masing-masing yang wujud dengan tujuan utamanya - hasilkan buku - sudah tentu melengkapi antara satu sama lain.
Cumanya, dalam apa jua pengeluaran karya perlulah mempunyai satu sempadan atau garis agar negara kita tidak dilambakkan dengan karya yang merosakkan pemikiran mahupun merencatkan pertumbuhan akal pembaca.
Saya tidak mempertikaikan kewujudan syarikat perbukuan indie yang kita sedia maklum menyediakan buku-buku yang agak 'lari' dari garisan semasa - dari aspek tajuknya yang kadangkala bersifat 18sx, belum lagi isi kandungan dan gaya bahasanya - sama ada dalam genre apapun ... novel, cerpen atau pun puisi yang sebelum ini dilihat "janggal" atau "tabu" seperti thriller, sai-fi, pulp fiction dan sebagainya .. (ah, banyak pula jenisnya). Malah kadangkala buku-buku 'inide' begini lebih saya cadangkan kepada kawan-kawan berbanding novel popular cinta yang melambak di kedai buku.
Cuma mengharapkan, sebagai 'pihak' yang sama-sama memeriahkan dunia buku tanah air, ingat satu pekara yang utama dalam hal ini - BUKU seharusnya membijaksanakan manusia dengan moraliti, pemikiran dan anjakan kepada kehidupan yang lebih baik.
Itu sahaja yang saya harapkan supaya dunia perbukuan kita semakin masyhur dan menjadi titik tolak kepada perubahan masyarakat ke arah yang lebih bertamadun. Ambil yang baik, jangan terbitkan yang boleh memudaratkan.
IKLAN
Celikhuruf.com merupakan sebuah komuniti pembaca-penulis yang mengutarakan seputar hal perbukuan dan penerbitan melibatkan pembaca dan penulis. Celikhuruf.com akan melaksanakan sebuah projek BUKU 50 Pembaca-Penulis yang akan memuatkan 50 buah karya kreatif pendek oleh 50 penulis pelbagai latar belakang (juga terbuka untuk mereka yang belum pernah menulis tetapi ada cerita), dengan pelbagai cerita dan kisah yang menginspirasikan.
Projek ini sedang berjalan dan insya Allah akan dijayakan sebelum bulan April tahun 2014. Mari beri sokongan dan doa agar usaha komuniti 'baca' ini menjadi realiti dan berjaya membuka satu lagi lembaran perbukuan di negara kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Pergilah, Kekasih Hati Kami!
Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...
-
Sebenarnya hal ini telah saya azamkan sejak tahun pertama (Bulan ketiga) saya bekerja sebagai editor. Saya mahu buat buku dengan damai....
-
Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...
-
Alhamdulillah, setelah disindir-sindir, ditanya-tanya, dicabar-cabar oleh rakan sekeliling tentang aktiviti penulisan saya, maka awal tahun ...



