Showing posts with label SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH. Show all posts
Showing posts with label SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH. Show all posts

Wednesday, February 04, 2015

Menyaring Sikap



Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2 baru sahaja melabuhkan tirainya. Sejumlah karya dikumpulkan melalui hantaran salinan keras dan lembut sehingga jam 12.00 tengah malam pada 31 Januari yang lalu.

Tahun ini, saya berkesempatan menjadi sebahagian staf yang menguruskan sayembara ini di peringkat sekretariat - Mengumpulkan, melabelkan, dan memasukkan naskhah yang diterima ke dalam kotak untuk saringan awal.

Penat, memang penat apabila sejumlah karya yang banyak bilangan penyertaannya merangkumi 3 genre perlu diuruskan dalam masa satu hari (1 Februari 2015) sebelum dihantar kepada penyaring awal.

Banyak perkara yang saya belajar kali ini setelah tahun lepas saya tidak berkesempatan menjadi sebahagian individu yang melakar sejarah sayembara pertama. Antara yang ingin dikongsikan ialah sikap penulis-penulis yang menyertai sayembara ini. Ini bukanlah catatan yang memburukkan mana-mana pihak. Sekadar catatan untuk saya lebih berhati-hati dan memperbaiki diri kerana sikap yang kita gunapakai dalam kehidupan itulah yang menentukan nasib kita bagaimana kelak.



Pertama; Minit terakhir
Saya, walaupun bekas seorang wartawan yang sudah biasa bekerja (menulis artikel) dalam minit-minit terakhir, sebetulnya tidak senang dengan sikap penulis yang suka menangguh-nangguhkan kerja (menghantar karya pada saat akhir) - betul-betul pada minit terakhir dengan pergantungan penuh kepada teknologi yang kita sendiri tahu, selalunya bermasalah. Alangkah sayangnya jika anda menghantar karya pada jam 11.58 malam, sedangkan talian internet sering tidak lancar menjadikan karya anda tiba kepada pihak pengurusan sayembara pada esok paginya. Tidakkah ini seperti 'menyembelih leher sendiri'?

Ya, mungkin minit terakhir memberikan kepuasan maksimum kepada penulis untuk memperbaiki dan menyemak karya, tetapi ini tidak efektif untuk pertandingan menulis. Kecewanya beberapa orang penulis yang terlewat hantar.

Sudah nasib, kan. Lain kali hantarlah awal. Selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh tutup supaya segala gerak kerja seperti semakan kepada penerima boleh dilakukan dan segala kepincangan teknologi dapat diatasi.

Kedua : Peluang
Sayembara ini dibuka selama setahun. Dalam masa setahun banyak perkara boleh dilakukan untuk menyertai sayembara ini. Namun, ada juga penulis yang meminta kami menangguhkan masa dan meminda tarikh akhir sayembara ditunda. Jika kami tunda seminggu lagi, saya pasti ada penulis lain akan meminta ditunda lagi dan lagi.

Tarikh akhir sepatutnya menjadi penanda aras terbaik untuk penulis merancang gerak kerja penulisan dan disiplin itu melambangkan penulis yang berjaya. Masa tidak pernah menunggu manusia. Itu hakikatnya.

Ketiga : Sombong
Mungkin agak kasar menuduh penulis sombong, tetapi itulah yang tergambar tatkala menemui naskhah-naskhah yang melanggar 'pesanan' penganjur. Namun, tidaklah pula gelaran itu kami berikan. Mungkin ada khilaf di pihak kami sendiri dan juga penulis yang memang benar-benar tidak diberitahu (atau tidak bertanya).

Ada penulis yang menghantar karya melanggar peraturan yang ditetapkan. Jangan menulis nama di dalam karya. Cukup pada borang yang dikepilkan. Ini salah satunya yang menyebabkan jemari kami lenguh dan kejang membuang setiap nama pada helaian karya.

Ada juga yang menghantar karya melebihi bilangan yang ditetapkan. Untuk novel 200 ms ke atas. Cerpen, 12 buah. Puisi, 45 buah.

Untuk sayembara, ikutilah syarat yang ditetapkan agar tidak menyukarkan kerja-kerja penilaian. Tidak mustahil hal tetek bengik begini boleh mempengaruhi keputusan penilai dan penyaring.

Sayang jika karya yang baik ditolak diperingkat penerimaan manuskrip hanya kerana hal-hal teknikal begini. Nampak ringan tapi inilah hakikatnya.

Keempat : Kaji latar belakang sayembara
Penyaringan awal, menemui beberapa karya yang 'salah masuk' rumah. Antaranya, karya berbentuk novel popular, puisi yang selalu berlegar di twitter dan Fb dan cerpen yang tidak matang.

Kesungguhan penulis memang membanggakan. Berani menyertai sayembara ini. Namun, kelihatan ramai yang sekadar masuk tanpa meneliti latar belakang sayembara ini - yang mahukan karya bagaimana.

Mungkin, anda sekadar mahu menduga kami.

Kesimpulan
Tahniah kepada mereka yang telah menghantar dan berjaya terpilih. Semoga bertemu lagi pada sayembara akan datang (jika ada), dan ambil iktibar daripada catatan ini untuk penambahbaikan yang lebih bermutu untuk karya kita. 

Friday, January 10, 2014

SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH



Selepas sebuah penyerahan amanah - SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH.

Saya tidak terlibat secara langsung dengan proses-proses yang berkaitan dengan sayembara ini keraa ketika itu saya masih belum berkhidmat dengan ITBM. Malah, sebenarnya saya berhasrat mahu menghantar sebuah dua karya untuk dipertandingkan. Namun, keadaan yang kurang membantu - ketika itu mengandungkan Umar dan melahirkan ... maka saya hanya melihat sayembara ini berlalu sehingga tarikh akhirnya. Tiada rezeki (kalau sempat pun entah menang entah tidak .. ha ha ha)

Bercakap mengenai sayembara yang dikatakan menawarkan hadiah yang agak lumayan  dalam dunia penulisan, tidak dinafikan banyak proses yang terlibat, dan banyak pula hal-hal yang menghambat.

Ketika saya mula berkhidmat (11 Mac 2013), rakan-rakan editor yang lain sedang bertungkus-lumus menyiapkan buku ini dan berurusan dengan pemenang-pemenangnya. Ia agak sukar apabila ITBM yang baru pertama kali menganjurkan sayembara, dengan kakitangannya yang ramai, dan dengan kepakaran yang terhad (sukar untuk menjaga P&C keputusan sayembara), tidak seperti mana-mana syarikat penerbitan yang lain - seperti Utusan Publication misalnya yang gah dengan Hadiah Sastera Karya Utusan Exxon Mobile (lebih kurang berlangsung ke tahun yang ke 25 jika tak silap).

Terjadi juga kebocoran rahsia, tetapi segera ditangani. Dan proses menerbitkan buku pun berjalan dengan lancar sehinggalah ke hari pengumuman pemenang berlangsung. Saya dapat lihat debaran di wajah pemenang-pememang yang tidak diberitahu sehingga ke sat akhir kedudukan mereka di tempat ke berapa. Ia satu momen yang indah bagi penganjur acara.

Sebanyak 30 karya telah dipilih daripada sekian 5** karya yang dihantar dan dinilai. Dengan kepakaran dan kredibiliti yang ada, penilai, editor dan seterusnya penerbit, berusaha menghadirkan impian penulis dalam bentuk anugerah dan buku (yang cantik).

Tahniah kepada semua pemenang. Jadikan anugerah ini sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya dengan lebih baik dan saksama. Membantu rakan-rakan penulis yang lain untuk tidak berputus asa kerana masih banyak pertandingan menulis diadakan dalam arena perbukuan demi meningkatkan semangat dan menghargai 'buah fikir' penulis selama ini. Kepada yang gagal, karya anda bukan tidak bagus, cuma belum masanya ia diangkat ke dalam masyarakat.

Kami hanya menjalankan amanah, dan bukan penentu nasib penulis. Penulislah yang menentukan hala tuju mereka dalam dunia penulisan ini. teruskan berkarya. Dan kami sedia membantu.

Terima kasih juga kepada PENA selaku badan persatuan yang banyak membantu kami meletakkan kualiti di tingkat teratas. Juga Berita Harian sebagai penganjur bersama (media), yang banyak membuat liputan dan mengangkat nilai sastera dan buku di mata masyarakat.

Saya berharap sayembara ini diteruskan dengan kerjasama lebih banyak pihak, secara konsisten (seperti HSKU), dan berprestij. Ini salah satu cara yang baik mengangkat sastera dan buku ke takah yang lebih bermaruah.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil) 
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N

Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
• Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
• Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
• Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
• Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
• Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
• Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)





TAHNIAH KEPADA PARA PEMENANG!

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...