Showing posts with label books. Show all posts
Showing posts with label books. Show all posts

Monday, February 15, 2016

International Book Giving Day 2016


Lihat, saya dapat apa? Yeayyyyy

Ia berlaku semalam. 14 Februari 2016.

Seperti yang ditunggu-tunggu hari yang dimaksudkan menjelma. Saya yang beberapa hari sebelum itu termenung panjang dan memikirkan hal ini sedalam-dalamnya, akhirnya membuat keputusan untuk mengeluarkan buku-buku terbaik dalam simpanan saya, untuk dihadiahkan kepada dua orang rakan yang akan 'mengopi' bersama-sama saya kelak.

Ia sesuatu yang sukar. Saya seorang yang agak berkira tentang buku. Kerana kebanyakan buku yang saya sayangi, dibeli sedikit demi sedikit melalui peruntukan gaji, dan juga pemberian daripada orang lain. Oleh kerana saya bukan jenis mencatat tarikh pembelian dan penerimaan di mana-mana bahagian buku (ya, kawan saya ada buat. Catat tarikh penerimaan buku), maka, saya terpaksa meluangkan banyak masa di hadapan rak buku di rumah, di meja kerja di rumah dan juga rak serta himpunan buku di pejabat.

Akhirnya, beberapa buah buku saya kumpulkan. Ada orang mesej, banyaknya beri buku pada orang. Saya kata, yang saya nak jumpa ini kawan-kawan yang istimewa bagi saya, yang saya harap melalui pertemuan ini, bukan sahaja saya mendapat pengalaman manis mengopi bersama mereka, tetapi juga berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang kepakaran masing-masing.

Tiba di Hospital Ampang Puteri, saya menunggu di kerusi tetamu bahagian lobi. Aroma kopi menusuk rasa. Belum sempat ambil gambar buku-buku yang saya bawa, kawan yang berdua itu sampai. Kak Emila Yusof - seorang pelukis yang terkenal dan bertaraf antarabangsa dengan lukisan yang sangat saya suka, dan seorang lagi, Kak Mazni Ramly - seorang penggiat seni persembahan Kamishibai (yang popular di Jepun).

Kami duduk, pesan kopi, dan menikmati perbualan awal dengan ghairah. Lama juga tak bertemu muka dengan Kak Emila, hubungan yang berlaku antara kami, hanyalah semasa beliau mengepos kalendar cantik 2016 kepada saya. Melompat bintang dibuatnya.





Kak Mazni pula, kami bertemu dalam beberapa siri, Melihat beliau mempersembahkan Kamishibai di Nu Sentral beberapa bulan lepas (kali pertama menontonnya, dan wow, ia bukan seni persembahan yang main-main dan calang-calang orang boleh buat, but she did it!), bertemu di PPAS dalam acara Pelancaran Buku Tiga Penyair, beliau membeli buku S.M. Zakir dan Zaen kasturi, tetapi tidak sempat mengambilnya semula kerana bergegas pulang, serta kali terakhir, beberapa hari lalu ketika saya melawat ibunya yang sakit di Hospital ini, Ampang Puteri.


 **********

Dan semalam harinya, 14 Februari 2016, buat pertama kali buat saya, meraikan IBGD bersama rakan-rakan yang saya suka. 

Gambar dari FB Kak Emila Yusof. Ya, itulah buku yang saya hadiahkan tidak termasuk Kite Runner (Kak Mazni hadiahkan kepada beliau)



Sebahagian buku saya, menjadi milik kak Mazni. Semoga bermanfaat (sumber, dari FB Kak Mazni)

*****

Itulah yang berlaku semalam. Saling memilih buku yang saya bawa (sebenarnya risau juga jika tak kena dengan 'kimia' mereka, namun, saya pilih buku yang saya jamin, tidak menghampakan mereka, insya Allah).

Selainnya, kami berbicara soal kerjaya masing-masing. Isu-isu seputar dunia kami dan beberapa hal kecil yang menjadi besar apabila dibincangkan sambil menikmati kopi yangs edap serta lasagna yang menyelerakan.

Tahun hadapan, saya mahu lagi, dan mungkin akan melibatkan beberapa orang yang telah saya 'aim'. :)


Sunday, February 14, 2016

Idea, Idea, Idea

Semalam adalah hari yang penuh dengan idea. Menghadiri dua acara (walaupun salah satu daripadanya saya hadir sekejap sahaja), masih, kedua-dua acara memberi banyak idea kepada saya. Idea untuk apa? Menulis? Kelakar juga saya ini.





Semalam berlangsung bengkel penulisan novel remaja yang dihadiri oleh penulis/penyair wanita (PENITA), SN Zurinah Hassan, Puan Amelia Hashim dan Puan Norazimah sebagai tuan rumah (GAPENA), serta editor-editor Jabatan Buku Malaysia. Ketua Jabatan kami, Tuan Rozlan Mohamed Nor diamanahkan untuk berkongsi pengalaman beliau yang panjang dan banyak dalam menangani novel remaja.

Sesi pertama, hal-hal berkaitan novel yang menarik untuk dilihat oleh peserta. Antaranya elemen-elemen yang membina novel remaja, ulasan novel-novel remaja yang pernah ditangani, hala tuju novel remaja dan potensi sebarluas novel remaja dalam pembinaan sashsiah dan jati diri remaja masa kini. Antara yang disebut ialah hal Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU) dan Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi yang merupakan antara pertandingan menulis terbesar di Malaysia dan perlu diambil tahu oleh penulis. Kedua-dua platform 'pengujian mutu penulisan' ini bukan sahaja menyediakan imbalan yang banyak kepada penulis malahan, pengukuhan nama dan kualiti karya, serta impak kepada pembaca terutamanya remaja dan pelajar sekolah. 

"Kenapa beriya-iya mahu dengar bos sendiri bagi talk?" tanya seorang rakan semasa saya singgah di Rumah Pena semalam untuk acara lain.

Saya ketawa. Tentulah saya suka, sebab saya pun ada impian untuk menulis dengan banyak dan berkualiti. Dan buah butir bicara bos saya selalu mengujakan. Akan ada imput baru yang saya tak dapat di pejabat. (Itupun jadi isu)

kemudian, saya memandu deras menuju ke Rumah Pena. Tak jauh pun. Di situ berkumpulnya warga penulis-pembaca generasi muda (Okey tak ramai 'warga' sastera - nampak sangat indie dan sastera umpama minyak dengan air - berbeza dan tak boleh bersatu tetapi punya manfaat tersendiri).



Sempat dengar sedikit. Dan ia turut mencetuskan banyak idea dalam kepala. kalaupun bukan isi kandungan perbualan (saya tak boleh kalau tak ikuti dari awal), masih pertemuan itu memberi banyak idea untuk saya mencatat sesuatu kelak berkaitan dunia orang muda yang semangatnya berapi-api. Alah, saya pun pernah muda kan. :P

Balik sesudah sesi pertama, memandu semula ke Rumah GAPENA (kan bagus kalau Rumah GAPENA masih di tapak lama, bersebelahan Rumah PENA).

Sesi kedua Bengkel Penulisan Novel Remaja berkongsi idea penulis dan ditambah baik oleh SN Zurinah Hassan dan Puan Amelia Hashim. Untungnya peserta dengan kehadiran Ainunl Muaiyanah, editor JBM merangkap penulis yang sedang naik kerana menghasilkan puisi dan cerpen serta memenangi beberapa pertandingan dan hadiah.

Suasana menjadi semakin rancak dan bersemangat. Sehinggakan saya pun tak boleh fokus. Dalam kepala ligat memikirkan itu ini (tapi malas mencatat. Haih).

Apa pun, tahniah untuk penganjuran bengkel yang menjadi dan beri manfaat pada semua, termasuk kepada para editor. Kami akan sentiasa menambahbaik gerak kerja kami.

Tulislah banyak-banyak, dan hantar kepada kami karya terbaik anda.



Sunday, January 10, 2016

Buku Apa di Rak Anda?

Itu soalan seorang rakan kepada saya. Saya beritahu serba sedikit. Buku-bukunya - tajuk, penulis, penerbit, genre dan serba sedikit kecenderungan saya. Dia diam sejenak sebelum menjawab, "Patutlah. Saya nampak karakter kamu dipengaruhi oleh buku-buku yang kamu baca dan simpan di rumah."

Saya senyum pendek. Betullah agaknya. Seperti yang selalu saya kata, buku seperti makanan rohani. Apa yang kita baca sama seperti apa yang kita makan. Ia membentuk diri-sikap-sifat kita. Malah, orang juga boleh mentafsir kita dengan mudah hanya melihat buku apa yang kita baca. Berhati-hatilah.

Beberapa status rakan-rakan penggiat buku saya baca sejak akhir-akhir ini mengecam 'pelabelan' buku dan mengutuk 'kritikan' buku. Ada benar. Ada yang tak benar dalam setiap kata-katanya. Mungkin. Dan kebanyakannya tak mungkin.

Kritikan buku amat penting dalam membina jalur buku yang patut ada dan patut tiada dalam masyarakat.

Pelabelan buku pula memudahkan kita menilai buku mana yang sesuai dengan tahap umur dan latar belakang seseorang. Ya, ya, pasti ramai yang tak setuju lalu mengatakan buku bukan untuk dibeza-bezakan. tapi saya ada alasan tersendiri dalam hal ini terutama yang melibatkan tahap umur.

Tentang penulisan, penulis tidak boleh sebebas-bebasnya menulis. Boleh, jika ia tak diterbitkan. Sempadan dan batas tetap ada.

Ada yang berkata, jangan senang-senang melabel pembaca dan penulis novel sekian-sekian begini perangainya, hanya dengan menulis atau membaca buku-buku tersebut.

Hal ini panjang jika mahu didebatkan. Nasihat saya, menulislah yang baik-baik. Fundamentalnya kena jelas - untuk apa?

Jika tuan puan menulis cerita yang lucah, buruk bahasanya, terus ceritanya, menyinggung sensitiviti serta boleh menggugah institusi masyarakat, apa akan jadi kepada pembacanya? Bayangkan pula yang membacanya anak-anak anda.

Menulis bukan kerja main-main.

Sejak kerja sebagai editor saya mungkin sedikit tolak ansur kerana tumpuan bacaan saya perlu diluaskan. Namun, saya tetap menolak dan akan mengkritik buku-buku yang boleh merosakkan institusi masyarakat dan pembinaan jati diri insan, menggunakan tajuk yang cacamerba dan merosakkan bahasa serta mengandungi cerita yang tak wajar dipaparkan.

Ini bukan soal menutup periuk nasi orang lain. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu saya lakukan untuk menghalang anak-anak saya, anak-anak orang lain dan generasi muda membaca bahan yang boleh merosakkan jati diri mereka.

Kamu yang menulis tanpa ilmu, tanpa waras, apa tujuan kamu?




Wednesday, May 06, 2015

Tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015

Tahun demi tahun. Sebetulnya banyak cerita mengenai pesta buku yang terbesar di Malaysia ini. Sejak saya bergelar wartawan sebelum menjadi editor, buku dan pesta-pestanya, kedai dan acara-acaranya, dan apa sahaja yang berkaitan buku menjadikan diri saya terlontar dalam kelompok ini, walaupun tidaklah 'segila' penggila buku.

Seawalnya, kehadiran saya dalam dunia buku disebabkan keperluan kerja. Wartawan perlu banyak membaca. Terpaksa pula merujuk buku yang berkaitan untuk menyudahkan tugasannya. Sungguh, pada waktu itu saya mengenali buku hanya untuk mengutip maklumat-maklumat yang saya perlukan. Malahan, ada juga buku yang saya beli hanya untuk kajian dan data di dalamnya.

Kini, setelah dua tahun bergelumang dalam dua penyuntingan dan bergelar editor (penyunting), pemahaman, kecintaan dan pandangan terhadap makhluk bernama BUKU ini sungguh berbeza - semakin banyak perkara yang saya tahu dan mahu tahu.













PBAKL 2015

Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini saya menggeluti PBAKL sebagai petugas. Dua hari bertugas penuh dan lapan hari ke pesta buku untuk meraikan acara dan penulis di reruai ITBM. Berbeza. Amat berbeza perasaan yang saya alami.

Jika dahulu, saya bebas ke mana-mana reruai, berlepak-lepak dengan rakan penulis dan kenalan serta bebas membelek mana-mana buku dari mana-mana rumah penerbitan.

Tahun ini saya lebih fokus kepada perjalanan reruai ITBM, melalui 'welcoming' kepada pengunjung, melayani penulis yang datang, memastikan buku-buku dan rak-raknya, menawarkan keistimewaan-keistimewaan dan diskaun yang kami beri, serta beramah mesra dengan sesiapa sahaja di reruai kami.

Tidak banyak buku yang saya beli tahun ini. Juga tidak banyak reruai yang saya kunjungi (eh, saya perasan, memang tak banyak reruai yang buat pameran dan jualan tahun ini).

Apa yang pasti, saya gembira kerana masih punya banyak keistimewaan dan peluang yang luas dalam mendakapi buku-buku yang banyak mendewasakan saya.

Terima kasih semua yang datang dan menyapa saya. Jumpa lagi tahun hadapan.

Tuesday, October 14, 2014

Buku dan Tangan-tangan Manusia






Seronokkah jadi editor? Tanya adik-adik yang membuat praktikal di jabatan saya.

Roti pisang tidak sesedap mana tanpa cinta (dan passion) untuk menikmatinya. Begitu juga pekerjaan. Apapun pekerjaan pasti seronok (dan disertakan tanggungjawab yang pelbagai), asalkan kita menanam rasa cinta  dalam melaksanakannya.

Editor mungkin berbeza bagi penerbitan yang berbeza. Bergantung kepada cakupan, gerak kerja dan sasaran serta objektif. Editor ada banyak jenis - editor perolehan yang kerjanya mencari manuskrip baharu atau membina judul baharu untuk penulis. Editor penyuntingan pula melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada manuskrip. Dan banyak lagi bergantung kepada gerak kerja sesebuah manuskrip.

Untuk sesebuah buku, banyak proses akan berlaku dan ia memerlukan kerjasama erat daripada pihak-pihak yang terlibat. Tidak kiralah mahu berperang atau bertekak dengan pembaca pruf, penyemak teknikal, pereka atur huruf, pereka desain kulit buku dan sebagainya, untuk mempertahankan atau membuang sesuatu, paling penting buku kena siap dan cantik menjadi buku yang diimpikan oleh penulis dan penerbit.

Malahan dalam masa yang sama penulis juga memainkan peranan dalam proses-proses yang dilakukan. Karya adalah hak penulis. Editor ada batasannya dalam menangani karya dan penulis juga ada batasannya dalam hal menentukan konsep atau kehendak.

Pendek kata, buku bukanlah satu produk yang dikeluarkan dengan mudah. Selain material, tenaga dan otak manusia yang terlibat juga banyak.

Paling penting, hal-hal berkaitan buku perlu ditangani oleh orang yang tepat- yang memahami aspirasi buku, mencintai buku dan faham keseluruhan kewujudan buku untuk pembaca dan masyarakatnya.

Tanggungjawab editor, memastikan ia hadir dalam bentuk yang paling indah dan bermanfaat.

Seronok kan?

Tetapi ada pula orang yang seronok menjadi virus dalam dunia buku. Menjadi penulis, menjadi editor dan penerbit serta menjadi pembaca yang zalim kepada keseluruhan pembinaan moraliti masyarakat dengan menghasilkan bahan bacaan LUCAH dan CABUL.

Saya masih memikir-mikir, jenis manusia apakah yang sanggup menabur nila dalam seperiuk susu yang bermanfaat. Si bacul manakah yang berselindung di sebalik nama pena, editor dan penerbit di sebalik tabir serta pembaca psiko yang mempertahankan bacaan perosak jiwa begini.

Terbuka?
Rebel?
Anti-agama?

Label apa pun, berbalik kepada asasnya - menulis untuk apa dan kesan menulis kepada diri sendiri dan masyarakat.

Itu juga tanggungjawab editor dan penerbit. Penulis dan pembaca. Kitaran ini tidak pernah terputus.

Jadi, mana mungkin engkau berkata tentang hak!




Thursday, September 11, 2014

Buku, Bukan Produk Percuma.





Sengaja kemukakan status ini di FB sejurus membaca komen seorang penulis veteran tentang kepayahannya menjual buku sendiri kerana beliau bukan seorang pensyarah yang boleh menjual buku-buku kepada pelajar. Bukan juga seorang penulis hebat yang punya ramai khalayak. Ramai yang mengaku peminat, katanya ... tapi buku minta percuma.

Hati saya pedih membaca kata-kata itu. Bukan kerana penulis itu saya kenali dan bukunya diterbitkan oleh syarikat tempat saya bekerja. Tidak. Hati saya pedih sejak lama, sejak saya mula mengenali nilai sebuah buku, sejak saya mula cuba-cuba menulis, cuba menjadi penulis dan sejak saya saya tahu nilai sebuah buku amat besar - yang sebetulnya harga yang diletakkan pun belum mampu menyamai perih penatnya menulis sebuah buku.

Hampir semua komen (setakat ini lebih kurang 56 komen) pada status ini, mengatakan setuju dan berkongsi pengalaman masing-masing sebagai penulis, yang mengalami situasi serupa - pembeli (yang kebanyakan rakan-rakan sekeliling), minta percuma.

Bagaimana caranya untuk kita didik mereka agar memahami buku bukanlah barang terpakai atau barang yang murah. Buku dihasilkan dengan kesungguhan yang tinggi. Ditulis dengan harapan. Dihasilkan dengan kudrat yang banyak dan melibatkan pelbagai pihak pula. Dan kesemua masa dan peluh yang terhasil dalam menerbitkan sebuah buku perlu dibayar dengan harga yang telah ditetapkan.

Tergamak kamu minta percuma?

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...