Monday, February 14, 2022

Kerja vs Hobi?


"Aik, melukis pula? Macam-macamlah awak ni. Sejak bila pula ni?" 

Seorang kawan memberi reaksi apabila melihat hantaran FB Story saya - saya kongsikan hasil lukisan pointilism yang telah saya siapkan hari Ahad lepas. 

Saya terdiam sebentar. Tidak tersinggung tetapi berfikir lebih banyak. Tentang diri sendiri sepanjang hidup ini dan tiba-tiba juga teringat sebuah drama Cina yang ditonton di Netflix baru-baru ini bertajuk Delicious Romance. Tajuk tak best tapi ceritanya best. :P

Saya teringat salah satu watak, Liu Jing yang sejak kecil mempunyai karakter berbeza dengan pelajar lain, juga berbeza dengan dua rakan baiknya, Fang Xin dan Xia Meng. Liu Jing sejak kecil suka mencuba sesuatu dan tidak berputus asa jika gagal. Dalam perhubungan sosial juga dia gagal. Tentulah ini menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapanya yang tipikal - anak kena kerja kerajaan/kerja ada majikan dan berkahwin pada usia sebelum 30. 

Liu Jing akhirnya mengambil keputusan membuka restoran makanan moden + tradisional pada era pandemik dan kebanyakan restoran gulung tikar. Liu Jing tak perlukan banyak, dia cuma perlukan sokongan ibu bapanya. Tapi itu tidak diperoleh kerana kegagalan-kegagalan sebelum ini menjadikan ibu bapanya marah dan tidak yakin dengan dirinya (sebenarnya bimbang). 

Liu Jing sejak kecil suka mencuba makanan - dan kemudian akan cuba memasaknya sendiri. Liu Jing menghabiskan separuh gaji untuk makan di restoran mewah dan 'street food' untuk menguji rasa setiap makanan dan mengatakan segala apa yang dia lakukan selama ini bukanlah gagal tapi sebagai pelajaran yang membentuk dirinya masa kini.


Ini membuktikan kita manusia ni, punya banyak keupayaan dan kemahiran. Hanya kita tak explore. Nanti saya kongsikan ulasan penuh drama ini.

Hobi vs Kerja

Saya selalu mengatakan kepada kawan-kawan, kerja saya ialah hobi saya, hobi saya ialah kerja saya. Dan tentu ia sesuatu yang membahagiakan. Kita melakukan sesuatu kerana kita sukakan itu dan kita dibayar gaji untuk itu. Tapi, adakah itu sahaja hidup kita? Jika saya, adakah hidup saya untuk buku dan buku sahaja? 

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)


Bukankah manusia dikurniakan akal berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain? Manusia punya potensi yang sangat besar dalam meraikan hidup. Jika baca tafsiran Quran, merujuk tentang ciptaan manusia itu sendiri, ada banyak ayat menyatakan betapa istimewanya kita diciptakan sebagai makhluk Tuhan. Bacalah. Dengan itu kau tak perlu tanya, "Aik melukis pula?"

Ini hidup saya. Suka hati saya nak buat apa pun - Melukis, memancing, mengait, bertani, main alat muzik, berbisnes, bla bla bla...

Gunakan potensi yang kita ada, selagi hidup. Bukan semata-mata untuk raih material (dapat duit dll) tetapi juga untuk memujuk jiwa yang banyak ragamnya. Kita kenal diri sendiri, buatlah apa yang boleh menenangkan diri.


Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...