Monday, February 14, 2022

Kerja vs Hobi?


"Aik, melukis pula? Macam-macamlah awak ni. Sejak bila pula ni?" 

Seorang kawan memberi reaksi apabila melihat hantaran FB Story saya - saya kongsikan hasil lukisan pointilism yang telah saya siapkan hari Ahad lepas. 

Saya terdiam sebentar. Tidak tersinggung tetapi berfikir lebih banyak. Tentang diri sendiri sepanjang hidup ini dan tiba-tiba juga teringat sebuah drama Cina yang ditonton di Netflix baru-baru ini bertajuk Delicious Romance. Tajuk tak best tapi ceritanya best. :P

Saya teringat salah satu watak, Liu Jing yang sejak kecil mempunyai karakter berbeza dengan pelajar lain, juga berbeza dengan dua rakan baiknya, Fang Xin dan Xia Meng. Liu Jing sejak kecil suka mencuba sesuatu dan tidak berputus asa jika gagal. Dalam perhubungan sosial juga dia gagal. Tentulah ini menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapanya yang tipikal - anak kena kerja kerajaan/kerja ada majikan dan berkahwin pada usia sebelum 30. 

Liu Jing akhirnya mengambil keputusan membuka restoran makanan moden + tradisional pada era pandemik dan kebanyakan restoran gulung tikar. Liu Jing tak perlukan banyak, dia cuma perlukan sokongan ibu bapanya. Tapi itu tidak diperoleh kerana kegagalan-kegagalan sebelum ini menjadikan ibu bapanya marah dan tidak yakin dengan dirinya (sebenarnya bimbang). 

Liu Jing sejak kecil suka mencuba makanan - dan kemudian akan cuba memasaknya sendiri. Liu Jing menghabiskan separuh gaji untuk makan di restoran mewah dan 'street food' untuk menguji rasa setiap makanan dan mengatakan segala apa yang dia lakukan selama ini bukanlah gagal tapi sebagai pelajaran yang membentuk dirinya masa kini.


Ini membuktikan kita manusia ni, punya banyak keupayaan dan kemahiran. Hanya kita tak explore. Nanti saya kongsikan ulasan penuh drama ini.

Hobi vs Kerja

Saya selalu mengatakan kepada kawan-kawan, kerja saya ialah hobi saya, hobi saya ialah kerja saya. Dan tentu ia sesuatu yang membahagiakan. Kita melakukan sesuatu kerana kita sukakan itu dan kita dibayar gaji untuk itu. Tapi, adakah itu sahaja hidup kita? Jika saya, adakah hidup saya untuk buku dan buku sahaja? 

Syeikh al-Maraghi menyatakan Allah SWT telah memuliakan anak cucu Adam dengan rupa yang indah, bertubuh tinggi dan berakal sederhana sehingga mereka mengetahui pelbagai kepakaran dan mengetahui pelbagai bahasa, dapat berfikir dengan baik tentang cara-cara mencari penghidupan dan mengeksploitasi segala yang ada di bumi serta menundukkan segala yang ada di alam atas mahupun alam bawah. Kami mengangkat mereka di atas haiwan, kereta, kapal terbang, belon dan kapal. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3996-3997)


Bukankah manusia dikurniakan akal berbanding makhluk ciptaan Allah yang lain? Manusia punya potensi yang sangat besar dalam meraikan hidup. Jika baca tafsiran Quran, merujuk tentang ciptaan manusia itu sendiri, ada banyak ayat menyatakan betapa istimewanya kita diciptakan sebagai makhluk Tuhan. Bacalah. Dengan itu kau tak perlu tanya, "Aik melukis pula?"

Ini hidup saya. Suka hati saya nak buat apa pun - Melukis, memancing, mengait, bertani, main alat muzik, berbisnes, bla bla bla...

Gunakan potensi yang kita ada, selagi hidup. Bukan semata-mata untuk raih material (dapat duit dll) tetapi juga untuk memujuk jiwa yang banyak ragamnya. Kita kenal diri sendiri, buatlah apa yang boleh menenangkan diri.


Tuesday, January 04, 2022

Memecahkan Dinding Rasa


(Oh, saya terpaksa besarkan saiz huruf ini kerana mata agak kabur. Spek mata saya hilang 😖)

Spek hilang ketika balik ke Tampin akhir Disember lalu. Entah mana ia tercicir atau saya salah letak. Maka kembali ke KL dengan mata yang kabur. Belum habis hal spek mata yang perlu dibuat baharu dan tentunya merenggut bajet dan kewangan yang sedia ketat, hati dipagut pula dengan peristiwa yang tak mungkin dapat saya lupakan.

Saya catatkan ia sebagai: basikal yang dikayuh dengan selesa dan nyaman, berantakan. Pedalnya patah, rantainya tercabut....

Demikian saya menggambarkan situasi dan perasaan yang melanda diri akhir Disember lalu. Dengan seorang dua rakan baik, saya adukan hal itu dan tentunya semua menyebelahi dan memujuk sehingga rasa lega. Namun mata ini, entah kenapa sejak memasuki usia 40-an, begitu lemah semangatnya - mudah pecah kolamnya. Maka, tentunya saya dilihat begitu rapuh dan lemah. 

Saya cuba, sehari selepasnya, dua hari selepasnya ... masih pedal yang patah itu tidak mampu saya ganti, apatah lagi baiki. Entah dinding ego atau dinding harga diri yang terjal telah mengepung rasionalisasi saya. Saya cuba menegakkan hujah atas apa yang berlaku. Ya, saya salah tapi cara dia juga salah. Dan ini sungguh menyesakkan dada. 

Semangat hilang seawal tahun begini memang tidak enak. Sungguh. Segala azam dan keinginan dibunuh prejudis. Segala gerak langkah yang dirangka, terus terhenti - dan mulalah hasutan jahat menerpa dengan rakus, memakan sebahagian kebaikan. Mula merasakan sekeliling dilingkungi mereka yang menekan dan memijak-mijak diri. 

Pagi ini bertambah lagi dugaannya. Kereta rosak, tersengguk-sengguk di jalanan sehingga saya terus mengambil keputusan untuk terus ke bengkel yang biasa dikunjungi. Dan hari ini juga dalam terpaksa menggunakan aplikasi Grab untuk kenderaan ke pejabat. Semasa menunggu Grab, telefon berbunyi. Nama seseorang yang biasa muncul. Dan apabila mendengar suara dia, automatik air mata berderai. Entah apa-apa. Seolah-olah anak kecil yang inginkan gula-gula dan kemudian si abang atau bapa datang menghulurkan sebakul gula-gula dengan mesra.

Perbualan berlanjutan - mengadu, merintih - sehingga kereta yang ditempah sampai. Seorang lelaki menyapa dengan anggukan ketika saya membuka pintu kereta dan mula duduk. Air mata saya kesat dan dengan suara basah saya sebutkan, "Maaf, awak pusing jauh ya?" kerana saya melihat keretanya lalu depan saya tapi saya tidak melambai. 

Dia memalingkan wajah, berkata "tidak apa", dan sebelum memulakan pemanduan, "Okey ya?" Dia menyapa santun. Melihat wajah saya sekilas sebelum matanya memeriksa pintu dan keselesaan saya duduk di kerusi belakang. 

Saya terdiam. Sungguh, suaranya dan tindakannya itu memujuk walaupun tadinya saya sudah hanyut dalam lautan tangis. Saya angguk, dan dia meneruskan perjalanan. Siaran radio diperlahankan dan dia memandu dengan penuh cermat.

Saya masuk ke pejabat lewat sejam, terus menunggulkan diri sehingga waktu tamat, (Sebenarnya bergulat mencari dana untuk bayaran kereta yang dibaiki tadi). Pukul 5.20, saya membuka aplikasi Grab dan menekan "book" sebelum mengemas itu ini. Tanpa diduga, kereta Grab begitu cepat sampai dan dalam kelam kabut saya terus turun ke bawah. 

Kelihatan kereta Alza berwarna merah sudah menanti. Dalam tergocoh saya buka pintu dengan agak kasar dan terus membenamkan diri dalam perut kereta. "Minta maaf, saya lewat..." dalam getar suara mengah. "Eh, tak apa. Jangan panik. Tadi turun ikut tangga dari tingkat 10 ke?" dia bergurau. Gurauan itu saya sambut dengan senang kerana terasa genuine dan spontan. 

Sepanjang perjalanan kami berborak seperti sudah lama berkenalan. Sehinggalah sampai ke bengkel dan kami melambai mesra seperti kawan sekampung. 

Apabila memikirkan segala apa yang berlaku hari ini dan segala yang merenggut rasa beberapa hari lepas, sungguh, puisi Kahlil sangat kena dan menampar diri. Saya pernah kongsi di blog ini dan tak pernah jemu mengulang baca kata-katanya;

.... selama ini kau dengar orang berkata bahawa hidup adalah kegelapan
dan dalam keletihanmu kau tirukan kata-kata mereka yang lelah
namun aku berkata bahwa hidup memang kegelapan
kecuali: jika ada dorongan
dan semua dorongan buta belaka
kecuali: jika ada pengetahuan
dan segala pengetahuan adalah hampa
kecuali: jika ada pekerjaan
dan segenap pekerjaan adalah sia-sia
kecuali: jika ada kecintaan
jikalau kau bekerja dengan rasa cinta,
engkau menyatukan dirimu dengan dirimu,
kau satukan dirimu dengan orang lain, dan sebaliknya,
serta kau dekatkan dirimu kepada Tuhan...
~sebahagian petikan puisi Kahlil Gibran tentang kerja.





 

Saturday, January 01, 2022

2022 , DAN KEINGINAN YANG CUKUP SEDERHANA!


Ya, catatan 2022 bermula....


Selamat tahun baharu, 2022!

Demikian, kita menakah setahun lagi yang penuh debar, "Ah, masaku semakin sedikit, Tuhan. Tolong ingatkan aku tentang usia yang semakin ke penghujung." 

Kedengaran agak pesimis, tapi begitulah kita perlu mengingatkan diri tentang titik hujung yang semakin hampir. Entah bila....

2022 bagaimana? 

Saya sebutkan kepada rakan-rakan terbaik saya, bahawa saya tidak ada spesifik target seperti tahun-tahun sebelumnya. Azam mungkin masih ada untuk beberapa hal yang saya kira dapat saya capai. Misi, juga sudah ada senarainya, untuk saya terus terpandu ke arah yang saya inginkan. Semuanya hanya dalam kepala, bayangan dan keinginan yang sentiasa tumbuh, kadangkala sekali gus, kadangkala satu per satu membenih, bertunas, mengikut keadaan semasa. 

Tidak mengapa jika kita ada senarai tak putus dalam mendepani hari. Tidak mengapa jika orang tahu dan terbaca mengenai keinginan kita. Tidak mengapa jika ia akhirnya tidak tercapai. Tidak mengapa!

Kita ada hak menjalani kehidupan sendiri tanpa terpengaruh atau dipengaruh oleh orang lain. 

Definisi bahagia, definisi gembira, definisi cukup, tidak sama setiap daripada kita. 

Belajar menghayati diri sendiri. 

Belajar menikmati usia yang masih ada. 

Selamat tahun baharu, semua. Semoga 2022 lebih baik untuk setiap langkah kita. 

Di dadaku aku kemarau panjang
aku menghabiskan tahun-tahunku
mengamati debu; aku mempelajari
debuku satu demi satu. suatu hari nanti
ujung kemarauku,
aku akan mengetahui seluruh debuku - aku akan mengenali siapa aku...

_ Aan Mansyur - Inner Selfie dalam bukunya Waktu yang tepat untuk Melupakan Waktu, 2021, Shira media

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...