Tahun ini, saya berkesempatan menjadi sebahagian staf yang menguruskan sayembara ini di peringkat sekretariat - Mengumpulkan, melabelkan, dan memasukkan naskhah yang diterima ke dalam kotak untuk saringan awal.
Penat, memang penat apabila sejumlah karya yang banyak bilangan penyertaannya merangkumi 3 genre perlu diuruskan dalam masa satu hari (1 Februari 2015) sebelum dihantar kepada penyaring awal.
Banyak perkara yang saya belajar kali ini setelah tahun lepas saya tidak berkesempatan menjadi sebahagian individu yang melakar sejarah sayembara pertama. Antara yang ingin dikongsikan ialah sikap penulis-penulis yang menyertai sayembara ini. Ini bukanlah catatan yang memburukkan mana-mana pihak. Sekadar catatan untuk saya lebih berhati-hati dan memperbaiki diri kerana sikap yang kita gunapakai dalam kehidupan itulah yang menentukan nasib kita bagaimana kelak.
Pertama; Minit terakhir
Saya, walaupun bekas seorang wartawan yang sudah biasa bekerja (menulis artikel) dalam minit-minit terakhir, sebetulnya tidak senang dengan sikap penulis yang suka menangguh-nangguhkan kerja (menghantar karya pada saat akhir) - betul-betul pada minit terakhir dengan pergantungan penuh kepada teknologi yang kita sendiri tahu, selalunya bermasalah. Alangkah sayangnya jika anda menghantar karya pada jam 11.58 malam, sedangkan talian internet sering tidak lancar menjadikan karya anda tiba kepada pihak pengurusan sayembara pada esok paginya. Tidakkah ini seperti 'menyembelih leher sendiri'?
Ya, mungkin minit terakhir memberikan kepuasan maksimum kepada penulis untuk memperbaiki dan menyemak karya, tetapi ini tidak efektif untuk pertandingan menulis. Kecewanya beberapa orang penulis yang terlewat hantar.
Sudah nasib, kan. Lain kali hantarlah awal. Selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh tutup supaya segala gerak kerja seperti semakan kepada penerima boleh dilakukan dan segala kepincangan teknologi dapat diatasi.
Kedua : Peluang
Sayembara ini dibuka selama setahun. Dalam masa setahun banyak perkara boleh dilakukan untuk menyertai sayembara ini. Namun, ada juga penulis yang meminta kami menangguhkan masa dan meminda tarikh akhir sayembara ditunda. Jika kami tunda seminggu lagi, saya pasti ada penulis lain akan meminta ditunda lagi dan lagi.
Tarikh akhir sepatutnya menjadi penanda aras terbaik untuk penulis merancang gerak kerja penulisan dan disiplin itu melambangkan penulis yang berjaya. Masa tidak pernah menunggu manusia. Itu hakikatnya.
Ketiga : Sombong
Mungkin agak kasar menuduh penulis sombong, tetapi itulah yang tergambar tatkala menemui naskhah-naskhah yang melanggar 'pesanan' penganjur. Namun, tidaklah pula gelaran itu kami berikan. Mungkin ada khilaf di pihak kami sendiri dan juga penulis yang memang benar-benar tidak diberitahu (atau tidak bertanya).
Ada penulis yang menghantar karya melanggar peraturan yang ditetapkan. Jangan menulis nama di dalam karya. Cukup pada borang yang dikepilkan. Ini salah satunya yang menyebabkan jemari kami lenguh dan kejang membuang setiap nama pada helaian karya.
Ada juga yang menghantar karya melebihi bilangan yang ditetapkan. Untuk novel 200 ms ke atas. Cerpen, 12 buah. Puisi, 45 buah.
Untuk sayembara, ikutilah syarat yang ditetapkan agar tidak menyukarkan kerja-kerja penilaian. Tidak mustahil hal tetek bengik begini boleh mempengaruhi keputusan penilai dan penyaring.
Sayang jika karya yang baik ditolak diperingkat penerimaan manuskrip hanya kerana hal-hal teknikal begini. Nampak ringan tapi inilah hakikatnya.
Keempat : Kaji latar belakang sayembara
Penyaringan awal, menemui beberapa karya yang 'salah masuk' rumah. Antaranya, karya berbentuk novel popular, puisi yang selalu berlegar di twitter dan Fb dan cerpen yang tidak matang.
Kesungguhan penulis memang membanggakan. Berani menyertai sayembara ini. Namun, kelihatan ramai yang sekadar masuk tanpa meneliti latar belakang sayembara ini - yang mahukan karya bagaimana.
Mungkin, anda sekadar mahu menduga kami.
Kesimpulan
Tahniah kepada mereka yang telah menghantar dan berjaya terpilih. Semoga bertemu lagi pada sayembara akan datang (jika ada), dan ambil iktibar daripada catatan ini untuk penambahbaikan yang lebih bermutu untuk karya kita.
assalamualaikum, maafkan saya jika bertanya, tetapi bukankah jumlah puisi yang dihantar harus sekurang-kuangnya 45 buah? tidak mengapa jika melebihi, jika tidak silap saya.
ReplyDeleteYa, 45 buah seperti tertera di atas.
Deletejadi melanggar syaratkah jika menghantar lebih daripada 45 buah?
ReplyDeleteSebaik-baiknya hantarlah 45-50 sahaja. Ada peserta yang menghantar 100 puisi sedangkan penilai hanya perlu menilai 45 puisi.
DeleteKategori pantun ada tak? Kalau ada saya teringin nak masuk.
ReplyDeleteTiada setakat ini. :)
ReplyDelete