Tuesday, January 02, 2024

Menyaring Getir 2023, Merangkak Menuju 2024




Jika buat novel mungkin perkataan "getir" juga akan saya jadikan sebagai judul. Tidak perlu tajuk yang panjang seperti tajuk buku-buku pada hari ini. Cukup dengan satu perkataan ini, menyimpulkan setahun yang penuh cabaran.


KERJAYA

Berlari ke belakang menginjak awal tahun 2023 yang sangat getir untuk saya. Memulakan tahun dengan tekanan perasaan berkaitan kerja. Jujur, inilah tahun yang sangat mengajar banyak perkara. Saya terasa seperti orang bodoh. Tidak. Saya tidak menuding kepada sesiapa. Mungkinlah, saya memang patut diberi pengajaran yang sebegitu. Hampir 'anxiety', namun diselamatkan oleh doa-doa orang di sekeliling.

1. Menguruskan projek yang besar bersifat "kebangsaan" tentu sahaja memerah keringat dan air mata. Projek Penulisan Cerpen (Penulis Cilik) yang bermula tahun sebelumnya, Kelantan dan Putrajaya ( tahun 2022), program bengkel penulisan ini merupakan projek buku yang paling saya sukai. Murid-murid (darjah 5 dan 6) seluruh Malaysia diajar menulis cerpen dan menghasilkan cerpen sendiri yang bertemakan kebudayaan setempat negeri masing-masing. Dan tahun yang sama juga bukunya siap diterbitkan untuk edaran di sekolah-sekolah rendah di Malaysia.

Biarlah saya cerita yang manis-manis sahaja. Yang pahit telah saya telan dan hadam menjadi pengalaman. Alhamdulillah.

2. Tentu sahaja dalam mengharungi projek besar ini, pengorbanan akan terjadi. Kawan baik yang telah lama bekerja; 30 tahun, malah hanya setahun sahaja lagi menunggu tarikh bersara, telah mengundurkan diri; meninggalkan saya keseorangan mengharungi kerja-kerja yang masih banyak perlu dilunasi. 

Perit. Tapi, biarlah keperitan itu saya simpan. Di sini saya belajar banyak perkara tentang gerak kerja berpasukan. Belajar sendiri. Faham sendiri. Dan adakalanya, harga diri tolak ke tepi. Niat hanya satu; mahu selesaikan segera semua yang terbeban di pundak.

Dalam usia begini, saya hanya berserah pada Allah agar segala yang dilakukan menjadi ibadah.





BUKU

1. Manisnya 2023, dengan kehadiran buku baharu, Jerman, Kami Datang! bersekali dengan tulisan rakan-rakan Artecationista yang saya sayangi. Buku terbitan terbitan Dua Penulis PLT ini memuatkan catatan kami ketika mengembara ke Frankfurt, Jerman tahun lepas. Gembira? Tentu sahaja. Menangis, ya, di sebalik perjalanan ke sana, banyak hal berlaku yang menduga kesabaran, namun mengenalkan kita kepada manusia-manusia di sekeliling. 

Namun begitu, semua kepahitan itu lebur apabila buku ini siap dengan memenuhi jangkaan. Kawan-kawan Arte, jujurnya, merekalah yang bersama-sama mendayung cerita roda kehidupan saya. Kami juga memulakan langkah menyewa reruai di PBAKL 2023 yang tentunya memberi pengalaman yang manis selepas beberapa pameran bersama.

2. Buku Rumah Sejuta Buku, terbitan Jejak Tarbiah memuatkan catatan saya tentang koleksi buku di rumah Encik Khair Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan bekas CEO ITBM. Sebuah buku yang mengumpulkan cerita koleksi buku rakan-rakan yang menggilai buku. 

3. Sebuah buku antologi yang memuatkan penyair-penyair wanita di Malaysia sedikit melukakan perasaan (kerana mereka tidak bertanya, tidak menjemput dan bertindak wewenang dalam menerbitkan buku ini. Jadi saya tidak mahu menulis lanjut tentangnya).

4. Dua buah karya eceran bukanlah sesuatu yang membanggakan. Puisi yang tersiar di Dewan Sastera pada bulan Februari dan juga penghujung Disember 2023 di Berita Harian. Cukup? Tentulah tidak.

5. Terlibat dalam penulisan sebuah buku umum di bawah KPM, suatu pengalaman berharga juga.









LAIN-LAIN

  1. Memenangi Anugerah Sastera Johor, membuahkan kenangan yang manis dan bahagia. Siapa tak bahagia kan?
  2. Iyad cedera (retak tulang lengan), sesuatu yang saya tidak mahu ia berulang.
  3. Menyunting karya-karya yang menarik sepanjang tahun 2023.
  4. Dapat berkenalan dengan Ratih Kumala serta terlibat dengan penyuntingan novelnya, Gadis Kretek, juga sesuatu yang membahagiakan.
  5. Dan tentu sahaja sehingga ke hujung tahun, saya bertabah dengan dugaan sepanjang tahun ini - tidak dinafikan banyak juga yang manis, dan tentu sahaja bersilang dengan yang pahit. Tidak dapat bersama-sama dengan geng Arte kembara ke Jogja-Jakarta-Magelang-Van Java ... misalnya. Sedih!
  6. Semakin kenal manusia, semakin menjadikan saya tidak mahu berkawan dengan ramai manusia. Kebahagiaan diri, kitalah yang cari. Masalah yang menimbun, cuba atasi. 










Demikian ringkasnya tahun 2023, saya simpulkan dengan harapan tinggi 2024 akan memberi penjelasan dan penyelesaian bagi banyak hal yang sepatutnya. 

Saya mahu bahagia. Saya akan menggapainya. Saya sudahi dengan puisi yang dihadiahkan oleh Kak EMILA YUSUF ketika hasrat dan keinginan hampir padam. Terima kasih semua yang membahagiakan dan banyak membantu saya!




No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...