“Hidup
yang dipandu oleh sebuah buku.” Memang benar kata-kata Dollah, begitulah
kenyataan hidup Hasnawi kini. Tentang bagaimana buku itu begitu
mempengaruhinya, dia tidak menerangkan kepada Dollah. Sekadar memberitahu buku
itu terlalu penting, selain membumbui dengan kata-kata yang menyenangkan halwa
telinga Dollah. “Tidakkah kau menyukai perkembangan rakan baikmu mula membaca
karya penulis lain?” Kata-kata itu memang melegakan Dollah yang melihat dengan
tidak membaca karya orang lain, Hasnawi semakin terpisah daripada masyarakat.
Apakah
yang tertulis di dalam buku itu sehingga menarik perhatian seorang yang
berikrar tidak mahu membaca karya penulis lain sepanjang hayat? Kewujudan buku
itu telah dikhabarkan kepada Hasnawi oleh seorang lelaki misteri lewat e-mel.
Lelaki misteri itu memberitahu; buku itu adalah satu-satunya buku yang
melakukan pekerjaan itu; mendedahkan realiti diri Hasnawi; penulis yang sedang
diagungkan, yang difikirkan secara berlebihan oleh ramai orang sebagai penulis
yang maksum dan bermukjizat. Buku itu juga menurut lelaki misteri itu, mencatat
perkataan-perkataan yang memprovokasi. Antaranya; Hasnawi sekadar seorang
penulis biasa dan yang paling mencambuk; Hasnawi dan setompok tahi adalah wujud
yang sama. Tiada perbezaan. Malah, keaslian yang dibanggai Hasnawi turut
disinggung sebagai kepura-puraan. Cita-cita Hasnawi ditafsir oleh buku itu
sebagai gerakan lebih ekstrem untuk meniadakan Tuhan, sekaligus menegaskan
eksistensi diri.
Buku itu
memancing emosi terburuk Hasnawi sehingga dia tidak mampu lagi menulis. Dia
hanya ingin mencari buku itu dan jika bernasib baik, si penulisnya. Andai
ditakdirkan bertemu kelak, dia mahu memberitahu penulis itu bahawa tiada siapa
yang memahami manusia lain dengan lebih baik melainkan orang itu sendiri.
Kerana buku itu juga, Hasnawi meninggalkan rumah yang menjadi tempatnya
menyendiri selama ini di Sarawak.
* Petikan cerpen EKSISTENSI, salah sebuah cerpen yang menarik dan mencabar minda, karya penulis muda Mohammad Zakri Zakaria melalui Kumpulan Cerpen Wilayah Ekaterina, Terbitan ITBM, 2015. (Cerpen ini enak dihadam baris demi baris ayat).
**************
Ini pasti tentang kebudayaan setempat. Terka saya ketika mendapat
(sebetulnya saya yang meminta) naskhah penulis muda ini. 10 buah cerpen
yang terkumpul di dalam naskhah Wilayah Ekaterina ini memberi gambaran
yang tipikal kepada saya. Menangani cerpen-cerpen penulis dari negeri
yang kaya dengan pelbagai budaya dan etnik itu seterusnya membawa saya
kepada pengalaman-pengalaman menangani naskhah yang sama daripada
penulis yang berbeza sebelum ini - yang berasal dari sana, Sarawak.
10 buah cerpen. Ternyata telahan saya silap. Saya tidak memperolehi apa
yang saya bayangkan sebelum ini. Tiada istilah-istilah aneh yang diselitkan. Adat budaya etnik di Sarawak yang saya teruja mahu mengetahuinya (Ya, saya suka membaca cerpen yang banyak ilmunya, iaitu memaparkan adat-adat yang tidak semua orang tahu). Okey, saya bersabar. Baca satu demi satu cerpen yang ada. Nyata, penulis mengambil sikap membawa ceritanya kepada semua kelompok pembaca dengan cara yang berbeza.
Wilayah Ekaterina merupakan percubaan
pertama penulisnya mengumpulkan 10 buah karya yang digarap dari sisi
pandang sastera kota - iaitu mengambil latar permasalahan yang bergerak
dalam pemikiran generasi muda yang membesar dalam kepesatan urbanisasi
yang menggaulkan realiti dan non-realiti sebagai wacana hibriditi
mereka. Setiap cerita mempunyai gaya yang berbeza dan sudut pandang
pemikiran yang unik sehingga membawa pembaca menyelami diri sendiri.
Dengan menggunakan bahasa yang komunikatif
sifatnya, juga pengolahan pemikiran yang segar dalam ruang kehidupan
hari ini, penulis memberikan kesan dan pemahaman yang berbeza kepada
pembaca. Ternyata, percubaan Wilayah Ekaterina tidak sia-sia.
*Ingatkan 10 buah cerpen sikit dan mudah untuk dihadam. Rupa-rupanya
tidak, kerana penulis mengajak pembaca 'bermain-main;' dengan falsafah
yang dikemukakan dalam setiap cerpen. Syabas.
No comments:
Post a Comment