Wednesday, January 14, 2015

Apa Ada Dengan 2015


Cepat benar masa beralih. Terasa baru sahaja 2014 menjengah apabila saya umumkan, "Sudah setahun saya berlingkar secara rasmi dalam dunia buku." dan kini saya bakal umumkan pada bulan Mac kelak, "Masuk tahun kedua saya 'bersilat' di dalam dunia buku, dunia penyuntingan."

"Seronoknya kerja editor, orang bayar gaji untuk hobi yang kita sukai dan nikmati." Kata seorang kawan.

Ya, seronoknya apabila hobi kita, dibayar gaji. tetapi, ia tidak pernah mematahkan rasa atau mengubah fokus saya untuk terus belayar bersama kapal buku walau tanpa imbalan. Namun, seperti hobi lain juga, ada cabaran dan kekangan untuk kita menikmati hobi itu secara total.

2014 umpama tahun pengenalan bagi saya. Diberitakan juga 2014, tahun buku-buku sastera mula memenuhi kedai buku dan aktiviti sastera ada di mana-mana sehinggakan peminat sastera sendiri mengeluh kerana tidak mampu memilih yang mana satu untuk dihadiri kerana bertindan antara acara.

Kerjasama erat penerbit buku sastera, penulis, penggiat dan pencinta sastera membuahkan hasil dengan terbitnya banyak buku sastera, acara sastera sana sini dan polemik tentang sastera. Walaupun polemik itu subur di laman sosial sahaja, ia tetap menampakkan perkembangan yang positif. Dalam hal ini, peranan surat khabar dan majalah masih diperlukan. Perlu lebih banyak ruang dalam akhbar terutamanya, untuk memastikan sastera tidak terlepas pandang dari khalayak masyarakat.

2014 bagi saya, adalah tahun sastera mengembang semula. 2014  merupakan tahun untuk sastera memperkenalkan diri kepada masyarakat dengan 'bawaan' baharu yang lebih segar dan yakin setelah tahun-tahun kebelakangannya agak suram dengan kemelut yang pelbagai.

Tahun 2015 bukanlah tahun yang sepatutnya sastera hadir dalam bentuk buku sahaja. Bukan juga tahun yang sama seperti sebelumnya untuk penulis terus berpolemik siapa yang hebat, siapa yang patut menang. 2015 ialah tahun mencerap semangat dunia terhadap buku. Berani pelbagaikan bentuk dan tema penulisan. Berani berkreatif dengan seni persembahan buku itu juga. Juga berani menjadi pengkritik kepada semua buku yang dihasilkan.

Mencerap semangat dunia bukanlah meniru apa yang negara lain buat tetapi sama-sama meneroka manfaat yang banyak dalam industri buku. Hayat buku tidak harus sampai ke perpustakaan sahaja. Buku harus keluar dari perpustakaan, mendiami benak pembaca, memasuki ruang sosialnya, beraksi di dalam produk seni yang lain seperti filem dan drama dan sebagainya.

Seperti kedengaran ada yang mula bercakap, apa peranan penulis sebenarnya selain menulis dan menulis?

Tahun 2015, buktikan, penulis bukan sekadar menulis. Editor bukan sekadar menyunting dan bergaduh dengan penulis tentang sepatah kata yang tak ditemui dalam kamus.

2015 seharusnya jadi tahun untuk sastera terus berkembang dan memenuhi dada khalayak yang menekuninya, malah menjentik khalayak yang selama ini menjauhi sastera agar mampir dan mendekat, menghidu dan mencerap suara kemanusiaan sejagat dalam karya-karya yang dihasilkan.

Ya, sastera tak mampu menjadi 'barang' keperluan masyarakat. Tanpa sastera masyarakat masih boleh hidup. Tetapi, sastera mampu memanusiakan masyarakat melalui teladan dan ingatan yang disampaikan melalui buku-buku yang menemui khalayak pembaca.

Selamat bertugas 2015. Selamat melahirkan buku-buku yang mendunia!




No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...