Wednesday, May 06, 2015

Tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015

Tahun demi tahun. Sebetulnya banyak cerita mengenai pesta buku yang terbesar di Malaysia ini. Sejak saya bergelar wartawan sebelum menjadi editor, buku dan pesta-pestanya, kedai dan acara-acaranya, dan apa sahaja yang berkaitan buku menjadikan diri saya terlontar dalam kelompok ini, walaupun tidaklah 'segila' penggila buku.

Seawalnya, kehadiran saya dalam dunia buku disebabkan keperluan kerja. Wartawan perlu banyak membaca. Terpaksa pula merujuk buku yang berkaitan untuk menyudahkan tugasannya. Sungguh, pada waktu itu saya mengenali buku hanya untuk mengutip maklumat-maklumat yang saya perlukan. Malahan, ada juga buku yang saya beli hanya untuk kajian dan data di dalamnya.

Kini, setelah dua tahun bergelumang dalam dua penyuntingan dan bergelar editor (penyunting), pemahaman, kecintaan dan pandangan terhadap makhluk bernama BUKU ini sungguh berbeza - semakin banyak perkara yang saya tahu dan mahu tahu.













PBAKL 2015

Tidak seperti tahun-tahun sudah, tahun ini saya menggeluti PBAKL sebagai petugas. Dua hari bertugas penuh dan lapan hari ke pesta buku untuk meraikan acara dan penulis di reruai ITBM. Berbeza. Amat berbeza perasaan yang saya alami.

Jika dahulu, saya bebas ke mana-mana reruai, berlepak-lepak dengan rakan penulis dan kenalan serta bebas membelek mana-mana buku dari mana-mana rumah penerbitan.

Tahun ini saya lebih fokus kepada perjalanan reruai ITBM, melalui 'welcoming' kepada pengunjung, melayani penulis yang datang, memastikan buku-buku dan rak-raknya, menawarkan keistimewaan-keistimewaan dan diskaun yang kami beri, serta beramah mesra dengan sesiapa sahaja di reruai kami.

Tidak banyak buku yang saya beli tahun ini. Juga tidak banyak reruai yang saya kunjungi (eh, saya perasan, memang tak banyak reruai yang buat pameran dan jualan tahun ini).

Apa yang pasti, saya gembira kerana masih punya banyak keistimewaan dan peluang yang luas dalam mendakapi buku-buku yang banyak mendewasakan saya.

Terima kasih semua yang datang dan menyapa saya. Jumpa lagi tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...