Semalam berlangsung bengkel penulisan novel remaja yang dihadiri oleh penulis/penyair wanita (PENITA), SN Zurinah Hassan, Puan Amelia Hashim dan Puan Norazimah sebagai tuan rumah (GAPENA), serta editor-editor Jabatan Buku Malaysia. Ketua Jabatan kami, Tuan Rozlan Mohamed Nor diamanahkan untuk berkongsi pengalaman beliau yang panjang dan banyak dalam menangani novel remaja.
Sesi pertama, hal-hal berkaitan novel yang menarik untuk dilihat oleh peserta. Antaranya elemen-elemen yang membina novel remaja, ulasan novel-novel remaja yang pernah ditangani, hala tuju novel remaja dan potensi sebarluas novel remaja dalam pembinaan sashsiah dan jati diri remaja masa kini. Antara yang disebut ialah hal Hadiah Sastera Karya Utusan (HSKU) dan Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi yang merupakan antara pertandingan menulis terbesar di Malaysia dan perlu diambil tahu oleh penulis. Kedua-dua platform 'pengujian mutu penulisan' ini bukan sahaja menyediakan imbalan yang banyak kepada penulis malahan, pengukuhan nama dan kualiti karya, serta impak kepada pembaca terutamanya remaja dan pelajar sekolah.
"Kenapa beriya-iya mahu dengar bos sendiri bagi talk?" tanya seorang rakan semasa saya singgah di Rumah Pena semalam untuk acara lain.
Saya ketawa. Tentulah saya suka, sebab saya pun ada impian untuk menulis dengan banyak dan berkualiti. Dan buah butir bicara bos saya selalu mengujakan. Akan ada imput baru yang saya tak dapat di pejabat. (Itupun jadi isu)
kemudian, saya memandu deras menuju ke Rumah Pena. Tak jauh pun. Di situ berkumpulnya warga penulis-pembaca generasi muda (Okey tak ramai 'warga' sastera - nampak sangat indie dan sastera umpama minyak dengan air - berbeza dan tak boleh bersatu tetapi punya manfaat tersendiri).
Sempat dengar sedikit. Dan ia turut mencetuskan banyak idea dalam kepala. kalaupun bukan isi kandungan perbualan (saya tak boleh kalau tak ikuti dari awal), masih pertemuan itu memberi banyak idea untuk saya mencatat sesuatu kelak berkaitan dunia orang muda yang semangatnya berapi-api. Alah, saya pun pernah muda kan. :P
Balik sesudah sesi pertama, memandu semula ke Rumah GAPENA (kan bagus kalau Rumah GAPENA masih di tapak lama, bersebelahan Rumah PENA).
Suasana menjadi semakin rancak dan bersemangat. Sehinggakan saya pun tak boleh fokus. Dalam kepala ligat memikirkan itu ini (tapi malas mencatat. Haih).
Apa pun, tahniah untuk penganjuran bengkel yang menjadi dan beri manfaat pada semua, termasuk kepada para editor. Kami akan sentiasa menambahbaik gerak kerja kami.
Tulislah banyak-banyak, dan hantar kepada kami karya terbaik anda.
No comments:
Post a Comment