Wednesday, June 08, 2016

Cakap-cakap tentang hal buku dan filem


Setelah beberapa bulan ini melalui pelbagai acara dan peristiwa. ternyata kebanyakannya hanyalah cerita-cerita yang akan tenggelam bersama sejarah kalaupun ada antaranya nanti yang membiak, menyubur, menongkah arus malah melepasi zaman untuk diulang cerita lagi.

Ada beberapa perkara yang menggayuti fikiran sejak pulang dari Bota, Perak, semasa meraikan perkumpulan penyair dan penulis. Pada saya, ya, hal itu biasa-biasa. Menyemai benih sastera, mengembangkannya malah menjalin ikatan dengan orang-orang baharu itu memang perlakuan-perlakuan manusia dalam menjelaskan kewujudan seseorang (kalaupun bukan perkumpulan).

Saya dipaksa baca sajak. Itu sebahagian hal kecil yang perlu saya lupakan. Itu tak sepatutnya berlaku pun. Saya bukan orangnya yang perlu dipaksa-paksa baca.

Mendengar perkongsian daripada tokoh-tokoh lama, yang saban waktu di mana sahaja, ya perkara sama diulang cerita. Tetapi tidak pula saya bosan. Saya ini bukan jenis rebel atau seseorang yang laparkan perubahan mendadak. Mungkin juga saya belum cukup keras mendepani dunia, maka saya kira yang ada ini, kegiatan-kegiatannya, raikan sahaja.

Ditempelak oleh rakan penulis dari negara seberang berkenaan dengan kualiti penulisan dan karya Malaysia yang katanya biasa sahaja itu, memungkinkan hati saya digaru pertanyaan. benarkah tahap karya kita biasa sahaja atau ruang dan peluasan karya yang masih begitu-begitu?
Ah, mereka wajar bangga dengan susuk karyawan lama mereka yang sehingga kini masih diagung-agungkan oleh bukan sahaja rakyat Indonesia malah juga pengikut karya-karya di Malaysia. Siapa yang tak kenal Hamka? Pramoedya? Kartini? Sapardi? Sitor Situmorang? Chairil Anwar? Ahmad Tohari? Widji Tukul, dan beberapa nama penulis masa kininya yang berjaya menulis karya yang tersebar ke seluruh dunia. Malah, filem-filem Indonesia juga banyak yang boleh dibanggakan.

Soalan mereka, Malaysia dan Indonesia, secara geografi sangat dekat, kenapa perkembangan yang dahsyat di Indonesia tidak menjadi contoh di Malaysia?

Soalan saya, benar-benarkah karya sastera di Malaysia berkelintar di tanah sendiri sahaja? Tidak tersebar luas sebagaimana karya-karya Indonesia yang banyak diterjemah ke bahasa asing lalu terkenal pula di negara asing.

Saya enggan menjawabnya kerana jawapan saya tidak mungkin boleh dijadikan kayu ukur yang tuntas. Saya belum banyak membaca. Belum banyak mengkaji apatah terjun secara total dalam dunia penulisan.

Dalam hati saya hanya berbisik, "Ya, saya sendiri tidak dapat melihat mana-mana karya di Malaysia (Selepas era merdeka) yang boleh dibawa jauh mewakili pemikiran tinggi sastera Malaysia."

Tapi itu hanya pendapat dangkal saya yang masih kurang membaca.

Jika ditanya pengalaman selama beberapa tahun menulis sebagai wartawan, saya tidak ada jawapan tepat kerana saya menulis tidak berkaitan hal sastera dan kegiatan buku di Malaysia.

Jika ditanya pengalaman selama tiga tahun ini menjadi editor, ya, juga jawapannya masih sama. Jika ada pun hanya satu dua nama yang boleh dibanggakan seperti SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Mohamad Zakri Zakria, Wan Nor Azriq, Hafizah Iszahanid dan beberapa nama lain yang sedang menajamkan mata penanya.

Dan kemudian, muncul pula PBAKL yang mencetuskan kontroversi dalam setiap lapis peminat, penggiat buku sedari lokasi pameran buku yang dikatakan tidak sesuai, juga bahan-bahan yang dipamerkan kebanyakannya tidak mengandungi daya intelektual yang tinggi.

Pandangan dan cadangan pihak-pihak tertentu akhirnya menjadi polemik yang hangat dan besar. 

Bagaiman sastera akhirnya dikecam kerana dikatakan tidak kuat dalam melawan kebangkitan karya picisan. Itu belum lagi perdebatan hangat penerbit karya itu sendiri, yang amsing-masing mempertahankan apa yang diterbitkan.

Dari satu sudut, positifnya perbincangan membawa kita kembali kepada fikiran, berhati-hati dengan apa yang ditulis, diterbitkan dan dibaca. Ah, nampak benar Malaysia terlalu tertutup dalam soal meraikan kelainan karya. Kata seorang kawan.

Mungkin. Dari satu sudut ia kelihatan begitu. dari sudut lain pula, kebangkitan semangat menulis dalam kalangan generasi muda, perlu juga dikawal. 

Kita jangan terlalu memuja Indonesia sebagai pusat karya yang indah dan hebat. Lihat juga kesan dari aspek lain. Ekonomi, sosial dan sebagainya.

Barulah karya negara itu boleh dikatakan hebat dan dijadikan kayu ukur.

Apapun, saya berharap perkembangan yang baik dan sihat ini terus mekar dan diraikan sebaik-baiknya.

Kritikan bukan satu-satunya cara mengangkat/menjatuhkan karya. Yang paling penting ialah membina pemikiran kreatif dan kritis dalam kepala anak muda yang akan menjadi generasi pelapis kelak.

Nanti yang lahir bukan sahaja buku yang bagus, tetapi filem dan drama yang berkualiti daripadanya, malah, pembaca dan generasi yang hidup perjuangannya.

(Catatan tanpa kawal selepas menonton Ada Apa Dengan Cinta, Soe Hok Gie dan Pasir Berbisik. Dan saya tak akan senaraikan drama-drama Malaysia yang terlalu ringan tanpa isi - selepas menonton beberapa drama berkenaan).

No comments:

Post a Comment

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...