Saturday, December 19, 2020

2021: BERSEDIA MELAKUKAN YANG TERBAIK

Ah, sudah ke penghujung 2020 yang 'happening'! Happening kerana terlalu banyak perkara yang berlaku, yang mengubah seluruh landskap dunia. 

Kita akan meninggalkan 2020 yang menduga dan tentunya memberi impak kepada kehidupan kita, dan bukan sahaja diri sendiri tetapi seluruh dunia. Tidakkah ini sesuatu yang patut diraikan dan diingati?

Apa yang berlaku dalam hidup saya sepanjang tahun ini? 

  • Saya bertukar bahagian dalam kerjaya. Daripada editor (Jabatan Buku Malaysia) ke Bahagian Terjemahan Dokumen. Walaupun masih organisasi yang sama, yang saya sayangi, tetap ada perubahan besar dari aspek penerimaan, kemahiran, fikiran, masa dan tenaga. Selamat tinggal jabatan buku dan kerja-kerja editorial yang saya cintai.
  • Saya tuliskan beberapa kali dalam diari, "Kepenatan telah memakan segala rasa, keinginan dan cita-cita." Begitu sekali saya meletakkan prejudis kepada rezeki yang saya geluti setiap hari. Kepenatan. Kepenatan. Namun, saya teruskan apa yang dihadapi dengan sepenuh kepercayaan bahawa setiap sesuatu ada hikmahnya. Bukankah saya sendiri selalu berkongsi kepada umum bahawa kerja ialah kecintaan. Kerja ialah ibadah. Malah, saya terlalu berbangga mengingatkan orang lain melalui puisi Kahlil Gibran mengenai kerja:
                

  • Kehilangan rakan dan teman terbaik. Demikian saya memulakan tahun 2020 dengan keseorangan, melalui perjalanan baharu. Ia sangat berbeza sebenarnya. Rutin yang tiba-tiba kosong. Macam tidak bertujuan. Ah, Zalila, orang datang dan pergi, maka teruskan perjalanan ini. Demikian saya memujuk hati.
  • VSS dan kemerosotan ekonomi. Beberapa orang kawan memilih untuk menamatkan perkhidmatan dan mengambil skim VSS kerana kemelut kewangan yang dihadapi oleh syarikat. Saya turut bersedih. Ada yang terpaksa dan ada yang memilih. Ada beza antara kedua-duanya. Namun saya mendoakan setiap daripada mereka akan menemui jalan masing-masing dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
  • Covid-19 dan PKP. Apakah lagi yang perlu diperkatakan tentang ini. Virus yang tiba-tiba menyerang seantero dunia ini memang benar-benar mengubah landskap normaliti manusia. Siapa sangka, 2020 yang diharapkan sebagai puncak tahun gemilang menjadi tahun yang suram dan seolah-olah bermula semula daripada peperangan yang besar. Sekolah di tutup, syarikat tempat bekerja juga mengambil langkah keselamatan dengan menghentikan operasi atau memperlahankan gerak kerja serta budaya seluruhnya berubah - pelitup muka dan mask menjadi item yang sangat penting dan perisai yang paling utama, penjarakan sosial.
  • Work From Home (WFH) dan aktiviti dalam talian. Semua mengambil langkah berjaga-jaga. Saya diarahkan WFH oleh syarikat. Awalnya sangat sukar kerana tugas terjemahan dokumen memerlukan sentiasa ada di pejabat untuk tugas cetakan bahan dan cap pengesahan. Namun, akhirnya selesa dan aduh, terasa nyaman apabila bekerja selang sehari. Walaupun selang sehari, masih juga saya ke pejabat setiap hari. Cumanya giliran WFH, saya datang setengah hari sahaja untuk melangsaikan kerja penghantaran dokumen. dan kemudian balik, sambung proses menterjemah bahan dari rumah. Anak-anak pula, tak terkejar kelas dalam talian memandangkan lap top hanya ada satu sahaja di rumah ini.
  • Aktiviti penulisan. Ah, tahun ini memang tiada karya yang saya hasilkan. Kononnya masa terperuk yang banyak memungkinkan saya membaca kesemua buku di rumah ini dan juga menulis novel atau cerpen. Malangnya rasa malas mengatasi segala. Ya, tiada alasan lain selain malas. Sebenarnya ada beberapa hal juga berkaitan penulisan dan buku. Ada menghantar karya untuk sayembara, anugerah dan penerbitan buku. Selainnya kerja penyuntingan yang tidak putus muncul. Saya raikan daya kudrat ini. Semoga ada hasilnya nanti.
  • Menonton Kdrama, filem, lagu-lagu dan Lee Seung Gi. Ah, topik ini menakutkan. Kdrama sedang hit zaman ini jadi apalah daya saya untuk menolaknya apabila pilihan tempatan yang ada sangat mengecewakan. Tak boleh senaraikan drama dan filem Korea dan Jepun yang saya nikmati. Rumah tiada TV, maka ini sahajalah hiburan yang ada. Pertengahan tahun saya ditemukan dengan Lee Seung Gi, susuk penghibur yang mengkagumkan. Usianya baru 33 tahun dan telah bekerja keras melakukan apa yang disukai. Saya telah menamatkan semua drama dan filemnya. Menikmati program realiti TV-nya yang sangat banyak serta mendengar lagu-lagunya setiap waktu. ia bagaikan terapi semangat. Mengikuti perkembangan aktor yang berkebolehan ini menjadikan saya sedikit 'fangirl'. 


Kehidupan realiti. Sebolehnya saya tidak mahu bercerita di sini tentang betapa 'normalnya' kehidupan saya. Saya akan laluinya mengikut takdir yang akan menentukan. Selagi usia ada. Datanglah apa-apa. Saya perlu kuat. Perlu cekal demi anak-anak.


Selamat datang 2021! Dan terima kasih, 2020 yang memberi banyak pengajaran.


Sembilan perkara yang mengingatkan saya kepada 2020:

1. Mask
2. Penjarakan sosial
3. Aktiviti dalam talian
4. Keluarga 
5. Kawan-kawan
6. Buku
7. Mary Kay
8. Kucing (yang beranak-pinak)
9. Lee Seung Gi :)

 

    *********



Penutup 2020, saya menonton filem Little Forest. Antara hal menarik yang saya peroleh ialah tentang 'ruang dan masa' yang setiap orang ada. Ikutlah kata hati, buatlah pilihan untuk hidup dan hadapi masalah dengan tenang. Filem yang bagus untuk menguatkan akar diri.  




"Ibu telah mengalah dengan masa demi membesarkan kamu. Sengaja ibu memilih kampung ini untuk memberi bekal kepada kamu, bagaimana hidup perlu berlangsung. Kini kamu telah besar, jadi ibu rasa inilah masa terbaik untuk ibu memenuhi 'masa' ibu yang pernah ibu tinggalkan dahulu. Biar gagal atau kelihatan lewat, ibu akan cuba."

Demikian antara intipati surat ibu kepada Hye-Won yang sangat menyentuh hati saya sehingga meninggalkan beberapa persoalan: Apa yang saya sediakan untuk anak-anak membesar?

Ini menyedihkan, kan? Tapi selagi ada nyawa, saya akan sedaya kudrat memberi yang terbaik.



2 comments:

  1. Terbaik cerita Little Forest ini. Saya menonton dua kali! Tak jemu. Oh dan quote Margaret Atwood itu sangat awesome!

    ReplyDelete
  2. Itulah. Sebab ceritanya mengalir bak sungai. Tenang tapi memberi kesan.

    ReplyDelete

Pergilah, Kekasih Hati Kami!

Allahuakbar! Demikian ketika kami mendengar khabar Bella ditidurkan selepas mengalami kesukaran bernafas minggu lalu. Namun begitu, ibunya b...